Most families in Kampung Labong own or manage several acres of rubber trees. Here a villager is weeding a plot which she has just inherited from her father. (YH Law)

Antara banjir, gajah dan mata pencarian

Penduduk Kampung Labong di Johor menyalahkan ladang kelapa sawit kerana menyebabkan pencemaran sungai dan konflik dengan hidupan liar. Tetapi mereka juga bergantung kepada perladangan untuk pendapatan. Apakah pilihan mereka bila ladang yang lebih besar bakal dibangunkan?

Penulis: YH Law
Penterjemah: Adriana Nordin Manan
Penyunting: SL Wong

Diterbit: 3 Ogos 2022

Diterbitkan dengan kolaborasi Pulitzer Center’s Rainforest Investigations Network.

Versi ini diterjemahkan daripada versi Inggeris yang diterbitkan 28 Julai 2022. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.

(Imej paparan: Kebanyakan isi rumah di Kampung Labong memiliki atau mengendali ladang getah kecil. Dalam gambar, seorang penduduk kampung sedang membersihkan sebuah tapak ladang getah yang diwarisi daripada bapanya. | Imej oleh YH Law)

KETIKA MENJEJAKKAN kaki ke Kampung Labong di Endau, Johor, para pengunjung akan disambut oleh pemandangan sebuah tadika dihiasi mural lebah dan kumbang kura-kura di sebelah kiri jalan. Di sebelah kanan pula, sebuah sekolah rendah.

Sekolah itu turut menjadi pusat penempatan sementara mangsa banjir di perkampungan Orang Asli suku Jakun itu yang terdiri daripada kira-kira 120 isi rumah. Mereka telah menyaksikan banjir yang lebih kerap semenjak kebelakangan ini.

Kampung Labong terletak di tebing utara Sungai Labong, dan setiap November apabila kepulan awan gelap kelihatan, penduduk kampung sedikit cuak memerhatikan keadaan sungai.

Pada 2019, sungai melimpahi tebing, membanjiri rumah kampung dan memaksa penduduk untuk berpindah ke sekolah untuk menunggu sehingga banjir surut. Air banjir naik ke paras lutut.

Penduduk kampung menuding jari ke ladang kelapa sawit. Semenjak 1998, peladang telah menebang lebih daripada 3,000 hektar hutan di seberang kampung, di sebelah selatan Sungai Labong. Para peladang menggali parit pengairan yang mengalir ke Sungai Labong.

Sebelum ladang didirikan, air hujan mengalir ke tiga sungai berhampiran: Sungai Endau dan dua anak sungai, Sungai Labong dan Sungai Tersap.

Namun, kini apabila ribut melanda, curahan air dari parit ladang memenuhi Sungai Labong. Sungai pantas melimpahi tebing dan membanjiri rumah-rumah di kawasan tanah rendah berhampiran.

“Tapi sekarang ia (air hujan) tak keluar ke kuala, ia keluar sini,” kata Mabot bin Sela, Tok Batin kampung sejak tiga puluh tahun lalu. “Sebab parit besar ni.”

Satu parit besar? “Bukan satu, banyak!” kata menantu lelaki Mabot pula.

Banjir hanya satu daripada beberapa musibah yang dihadapi. Semenjak para peladang menggantikan hutan dengan kelapa sawit di kawasan bertentangan dengan Kampung Labong, penduduk kampung diuji dengan sungai tercemar dan konflik dengan gajah.

Sekarang pula, sebuah ladang seluas hampir 4,000 ha oleh AA Sawit Sdn Bhd sedang dibangunkan. Projek ladang ini sudah menyebabkan pembasmian 600 ha hutan. Ini sewajarnya membimbangkan penduduk kampung, tetapi kesudahan ini seakan menjadi kelaziman dan mereka tidak boleh membayangkan alternatif lebih elok.

Hakikatnya, ramai penduduk telah bergantung kepada ladang getah untuk kelangsungan hidup semenjak 1970-an.

AA Sawit Sdn Bhd juga terlibat dalam projek ladang kelapa sawit lain yang telah menebang 2,190 ha hutan di pesisir Johor. Baca artikel kami mengenai akibat projek itu.

Ketika kawasan masih diliputi hutan, suasana hidupan liar lebih meriah. “Oh itu jangan kira lah! Banyak haiwan,” kata Mabot, yang berusia 77 tahun, dengan ketawa besar.  “Macam macam, babi, gajah, rusa…

“Tapi sekarang nak tengok muka rusa pun tak ada. Bunyi burung, bunyi ungka, semua tak ada.”

Mabot sering menyingkap kenangan suatu masa yang dirasakan takkan kembali. “Dulu ikan ada, kita dengar dia ‘bong, bong’. Ikan tu tangkap benda yang jatuh kat air dan makan, tapi sekarang sudah tak ada. Ikan besar, baung, tapah. Sekarang mana ada?”

Kampung Labong diwartakan sebagai tanah rizab Orang Asli pada 1962. Setiap keluarga menerima lebih kurang 0.8 ha tanah di tebing utara Sungai Labong. Agensi-sgensi kerajaan ketika itu menggalakkan penduduk untuk menanam pokok getah.

Di seberang sungai, hutan meliputi 7 km ke selatan sehingga Sungai Tersap, dan ke timur sepanjang 11 km sehingga bertemu dengan kawasan yang kini dikenali sebagai hutan simpan Gunung Arong. Hidupan liar hidup megah, dan setiap pagi penduduk kampung disambut simfoni kicauan burung dan dendangan ungka yang berduet.

Kemudian, pada penghujung 1990-an, peladang besar tiba. Imej satelit menjejak perubahan yang berlaku. Pertama, peladang menggantikan hampir 900 ha hutan di tebing selatan dengan tanaman kepala sawit. Tapak ini kini diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Negeri Johor.

Buah kelapa sawit sedia untuk dikumpul di ladang Pertubuhan Peladang Negeri Johor. (YH Law)
Buah kelapa sawit sedia untuk dikumpul di ladang Pertubuhan Peladang Negeri Johor. (YH Law)

Sepuluh tahun kemudian, peladang menukar lagi 200 tanah hutan, kali ini di tanah rizab Kampung Labong yang ditadbir oleh FELCRA. Penduduk kampung menerima dividen jualan daripada FELCRA.

Selepas FELCRA, ratusan hektar hutan di sebelah barat ditebang dan ditukar kepada ladang kelapa sawit, katanya oleh penduduk setempat yang menceroboh tanah milik kerajaan negeri.

Dan di sebelah timur pula, di sebelah hutan simpan Gunung Arong, kerajaan Johor memajak lebih kurang 1,000 ha hutan kepada sebuah yayasan negeri pada 2014. Pada 2017, tapak itu sudah ditebang habis.

Pada 2020, syarikat perladangan, AA Sawit Sdn Bhd, mula mendirikan ladang kelapa sawit dan kelapa seluas 3,775 ha di tapak tersebut. Pada Jun 2021, hampir semua hutan di selatan Kampung Labong sudah tiada lagi.

Ditebang botak, dan anak pokok kelapa sawit ditanam menjelang Julai 2022 – ladang baharu seluas 3,775 ha milik AA Sawit Sdn Bhd, di selatan Kampung Labong. (YH Law)
Ditebang botak, dan anak pokok kelapa sawit ditanam menjelang Julai 2022 – ladang baharu seluas 3,775 ha milik AA Sawit Sdn Bhd, di selatan Kampung Labong. (YH Law)

Pengusaha ladang kelapa sawit disekeliling Kampung Labong – AA Sawit dan FELCRA – tidak membalas permintaan untuk memberi ulasan.

Hidupan sungai musnah

Di hujung jalan dari rumah Mabot terdapat sebuah jeti kecil di Sungai Labong. Di sebelah jeti ialah kediaman Ariffin bin Liba, seorang nelayan. Berumur 44 tahun, Ariffin telah bekerja sebagai nelayan selama 11 tahun, dan menjual hasil tangkapan kepada seorang peniaga dari bandar. Untuk menambah pendapatan, beliau turut menoreh getah.

A small jetty on Sungai Labong from which Ariffin bin Liba and other fishermen in Kampung Labong set out to catch fish and prawns. Oil palm plantations lie beyond the patch of trees on the southern bank. (YH Law)
Jeti kecil di Sungai Labong, tempat Ariffin bin Liba dan rakan nelayan yang lain bertolak untuk menangkap ikan dan udang. Ladang kelapa sawit terletak di belakang kelompok pokok di tebing selatan. (YH Law)

Ariffin telah menyaksikan komuniti nelayan menyusut daripada 30 sehingga kurang daripada 10 orang hari ini. “Saya masih lagi ke sungai,” kata Ariffin dengan nada yang mencadangkan rasa bangga kerana meneruskan kerja yang diwarisi daripada nenek moyang.

Namun, hasil tangkapan Ariffin sangat kecil. Beliau menenggelamkan geruguh atau bubu di dasar sungai untuk menangkap udang. Ikan pula ditangkap menggunakan jaring yang dipasang di sepanjang tebing. Dulu, Ariffin boleh menangkap 7 kg ikan dan udang setiap dua hari; kini, hanya lebih kurang 1 kg.

Ariffin mengesyaki bahawa hasil tangkapan yang menyusut teruk disebabkan ladang kelapa sawit yang semakin meningkat di sepanjang Sungai Labong dan Sungai Endau. Di peta lokasi, beliau menunjukkan di mana parit pengairan menyalurkan air ke dalam sungai. “Semua air kotor dari [ladang] sawit sana,” kata beliau.

“Air kotor” ini telah mencemar Sungai Labong, pada hemat Ariffin. Ketika air surut, air sungai bertukar warna kepada hitam kopi, dan selepas ribut, kepada warna teh susu pula. Air juga masam dan kelat, kata Ariffin. Sungai tempat beliau berenang dan minum ketika kecil kini tiada lagi.

“Sekarang mereka yang mencari hasil di kawasan sungai ini memang terjejas teruk sekali.”

Pengalaman Ariffin disokong oleh laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) ladang baharu AA Sawit. Pakar perunding menemui paras besi, mangan dan nitrogen berammonia (‘ammoniacal nitrogen’) yang tinggi di sungai yang mengalir di ladang-ladang sedia ada.

Salah satu ladang sedia ada dikendalikan oleh Pertubuhan Peladang Negeri Johor, atau PPK Endau (Pertubuhan Peladang Kawasan Endau). Pertubuhan itu memberitahu Macaranga bahawa ia tidak mempunyai isu berkaitan pencemaran sungai sejak ia mula beroperasi di sana pada 1998.

Kampung Labong villagers blame irrigation drains like this inside oil palm plantations for polluting the rivers. (YH Law)
Penduduk Kampung Labong menyalahkan parit pengairan di ladang-ladang kelapa sawit seperti ini, kerana menyebabkan pencemaran sungai. (YH Law)

Di sudut hati, Ariffin dapat rasakan yang kehidupan beliau di sungai akan berakhir tidak lama lagi. Kualiti sungai semakin merosot, dan beliau melihat penduduk lain memperoleh pendapatan hampir setara daripada bekerja di ladang. Jika tiada lagi hasil tangkapan di sungai, “terpaksa lah toreh getah,” ujar beliau.

“Tapi mana yang boleh kerja ladang? Yang tak boleh kerja ladang tu yang bermasalah.”

Ancaman besar

Ancaman besar turut berkeliaran di ladang. Tahun lepas, apabila isteri Ariffin menoreh getah di belakang rumah, beliau ternampak dua ekor gajah dan terus berlari pulang. “Dulu gajah tak masuk kampung. Sekarang hutan tak ada, dia masuk kampung,” kata Ariffin.

Bila berhadapan dengan gajah, keluarga beliau hanya mengetahui satu jalan keluar – “kalau boleh cabut, cabut lah.”

Looking across Sungai Labong from the jetty beside Ariffin’s house. Crocodiles live in the area, but locals are also worried about elephants crossing the river into their fields or villages. (YH Law)
Pemandangan di seberang Sungai Labong, dari jeti di sebelah rumah Ariffin. Ada buaya di kawasan ini, tetapi penduduk kampung juga bimbang dengan kehadiran gajah yang merentasi sungai ke tanah lapang atau kampung-kampung berhampiran. (YH Law)

Tahun lepas, Din bin Janja, seorang penduduk kampung terkorban ketika bertembung dengan gajah.  Macaranga bercakap dengan isteri Din, Jaerah binti Muda, dan anak mereka, Endi bin Din, untuk memahami apa yang berlaku.

Din gemar memancing. Selama lebih daripada 20 tahun, beliau selalu pergi memancing selepas menoreh getah. Kadang kala ada gajah, tetapi haiwan itu selalunya berlari menjauhi manusia.

“Tapi tak kenal apa pagi tu, kita pun tak sangka,” kata Jaerah yang berumur 58 tahun.

Pada 10 Februari tahun lalu, Din dan anak yang berusia 18 tahun, Endra bin Din pergi ke lokasi memancing mereka yang biasa di tebing Sungai Tersap, sepelaung ke selatan dari tapak ladang baharu AA Sawit.  Tiba-tiba, seekor gajah muncul. 

Mereka mengangkat kaki, tetapi hanya Endra berjaya membebaskan diri. Si anak kemudian menemui Din di atas tanah, dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Tidak lama kemudian, Din, 61 tahun, meninggal dunia. Organ beliau ditusuk oleh tulang rusuk yang patah. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 6 orang anak.

Endra tidak cedera, tetapi berminggu selepas kejadian, beliau tidak banyak bercakap dan hanya mampu merenung kosong. “Sejak arwah ayah dia meninggal, memang kita sebut ‘pancing-pancing’ pun tak ada lah. Kita takut,” kata Jaerah.

Ladang ada juga membawa manfaat, kata Endi. Lagipun, keluarga beliau memiliki 3 ha pokok getah dan kelapa sawit. Namun, beliau juga berpendapat yang ladang-ladang di seberang sungai terlalu besar dan tidak meninggalkan kawasan hutan untuk hidupan liar.

Kawasan Kampung Labong menghubungkan hutan Endau Rompin di sebelah barat dengan hutan simpan Gunung Arong di sebelah timur. Gajah menggunakan kawasan itu sebagai “tempat persinggahan” semasa bergerak dari satu hutan ke hutan yang lain, kata penyelidik gajah, Wong Ee Phin.

Kajian berasingan oleh Wildlife Conservation Society–Malaysia mengesan kehadiran banyak gajah di kawasan itu.

Elephant dung was found scattered in the oil palm plantations opposite Kampung Labong. Workers say they try to sniff the air for the pungent scent of elephant pungent urine to determine if the giants are present. (YH Law)
Tahi gajah ditemui merata-rata di ladang kelapa sawit di seberang Kampung Labong. Para pekerja berkata mereka cuba menghidu udara untuk sebarang bau hancing kencing gajah, bagi memastikan sama ada haiwan itu berada di kawasan mereka bekerja. (YH Law)

Wong ialah penyelidik utama kumpulan penyelidikan Management and Ecology of Malaysian Elephants (MEME). Beliau menjangkakan yang para peladang di sana perlu bersedia untuk menghadapi konflik dengan gajah, haiwan yang gemar memakan buah kelapa sawit muda.

Dalam laporan EIA AA Sawit, pakar perunding mengesyorkan syarikat mendirikan pagar elektrik di sekeliling ladang bagi mengelakkan pencerobohan oleh gajah. Namun, pagar ini tidak boleh menghalang gajah setiap kali, kata Wong.

Meskipun berjaya dihalang, gajah mungkin akan memasuki kawasan kampung dan kebun berhampiran. Kejayaan usaha menghalang konflik gajah tidak bersandar kepada tindakan seorang peladang sahaja, tetapi bergantung kepada cara pergerakan gajah diselaraskan di seluruh kawasan.

Salah satu ladang kelapa sawit paling lama di kawasan itu dikendalikan oleh PPK Endau. Pihak PPK Endau memberitahu Macaranga bahawa “masalah gajah tidak kritikal” pada tahun 2000-2020.

Tetapi penerokaan tanah baru baru-baru ini untuk kelapa sawit telah menyebabkan banyak masalah gajah memasuki ladangnya dan merosakkan kelapa sawitnya, kata PPK Endau.

Pertubuhan itu juga berkata bahawa masalah gajah adalah di luar bidang kuasanya kerana isu hidupan liar dikawal oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Lebih banyak insentif perlu diperkenalkan untuk pihak kerajaan negeri melindungi hutan sedia ada dan memulihara kawasan utama sehingga menjadi hutan semula, kata penyelidik gajah, Wong Ee Phin.

Johor adalah antara negeri dengan liputan hutan terendah di Malaysia, di mana hanya 17% kawasan tanah diwartakan sebagai hutan simpan.

Pada pendapat Wong, perlu ada lebih banyak galakan untuk menanam semula hutan yang bercampur dengan tanah rumput. Langkah ini bukan sahaja menyokong kesinambungan hidupan liar terkenal yang sinonim dengan Johor seperti gajah dan harimau, tetapi juga memelihara industri perkayuan negeri.

Namun, penghutanan semula memerlukan pembiayaan jangka masa panjang dan komited. Ini boleh diperoleh daripada ekopelancongan atau imbangan karbon (‘carbon offset’), kata Wong.

“Ada ruang untuk idea lebih kreatif apabila memikirkan cara penghutanan semula dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar boleh menyokong kepentingan ekonomi.”

Fisherman Ariffin bin Liba, here standing behind his house, has felt the many impacts of forest loss and oil palm plantations. His catch from the river has collapsed; his wife fled from two elephants in the rubber estate behind his house; and in a flood two years ago, the rising river stopped just short of his backdoor. (YH Law)
Ariffin bin Liba, seorang nelayan, di sini dilihat berdiri di belakang rumah beliau, telah merasai pelbagai impak kehilangan hutan dan penubuhan ladang kelapa sawit. Hasil tangkapan sungai merudum; isteri beliau terpaksa berlari menyelamatkan diri daripada dua ekor gajah di ladang getah belakang rumah; dan ketika banjir dua tahun lalu, air sungai yang melimpah sipi-sipi naik sampai ke pintu belakang rumah beliau. (YH Law)

Masa depan yang tidak menentu

Di luar Kampung Labong, lebih banyak komuniti di sekitar ladang baharu AA Sawit menolak projek ladang berbanding menyokong. 

Laporan EIA AA Sawit mengandungi tinjauan pendapat 130 penduduk di kampung dan estet ladang berhampiran. Lebih kurang 41% responden tidak bersetuju dengan projek, manakala 36% bersetuju, dan 23% tidak pasti. Sekitar 57% responden berkata projek itu akan merosakkan hutan dan persekitaran tempat tinggal mereka.

Namun di Kampung Labong, penempatan paling hampir dengan ladang baharu itu, kesemua penduduk kampung yang ditinjau, seramai 11 orang, tidak pasti sama ada projek itu akan menjejaskan keselamatan mereka atau merosakkan persekitaran tempat tinggal mereka.

Endi, yang kehilangan bapa akibat serangan gajah yang beliau rasakan diusir dari hutan akibat pembangunan ladang, memberitahu Macaranga yang beliau tidak bimbang tentang ladang baharu. Mengapa? “Tak tau lah. Tak ada jawapan.”

Dan Ariffin, nelayan yang menyalahkan ladang kelapa sawit kerana menyebabkan pencemaran sungai, sukar untuk memikirkan alternatif pembangunan yang lebih elok. “Susah nak cakap. Tak pernah fikir.”

Namun, Ariffin pasti ada idea sendiri tentang masa depan yang ingin dilihat untuk kampung dan 3 anak beliau?

“[Pendapat saya] tak bawa apa-apa perbezaan.”


Laporan EIA tersedia untuk semakan awam sehingga 3 Ogos: “THE PROPOSED PALM OIL AND COCONUT PALM PLANTATION AT LOT PTD 4882, PTD 4085,PTD 4963,PTD 4118,PTD 4117 AND PTD 4121(3775.34 ha) MUKIM PADANG ENDAU, DAERAH MERSING, JOHOR DARUL TAKZIM”.

Related stories

Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Be A Macaranga Supporter

Like our stories?

You can help us do more.
Sign up to be a Macaranga Supporter by 21 Aug for extra goodies!