MNSKB members helping out with bird counts at Bako-Buntal Bay (Batrisyia Teepol/MNS)

Bila Kawanan Burung Berkunjung ke Teluk Borneo

Bilangan burung pantai hijrah semakin meningkat di Teluk Bako-Buntal di Sarawak. Tetapi trend itu mungkin mencerminkan masalah di tempat lain. Diterjemahkan oleh Noorainie Awang Anak.

[Read story in English | 点击阅读中文版]

AIR PASANG datang dengan cepat. “Anda perlu bergerak, bergerak, bergerak,” kata Rose Au. “Dalam beberapa minit, ianya sampai ke paras lutut anda!” Di tambah pula dengan bahaya terbenam dalam lumpur atau terserempak dengan buaya, usaha mengira burung tidak lekang dari keadaan yang mendebarkan.

Au dan beberapa pemerhati burung amatur Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Kuching (MNS) di Sarawak, telah mengharungi berbagai rintangan sejak 16 tahun yang lalu. Matlamat mereka: untuk mengira beribu-ribu burung pantai yang datang ke Sarawak setiap tahun dalam perjalanan ke selatan dari tempat pembiakan mereka di Siberia.

(Mengira burung pantai di Teluk Bako-Buntal, Sarawak. Burung singgah di teluk setiap tahun dalam perjalanan dari Siberia. | Imej: Batrisyia Teepol/MNS)

Tapak pilihan mereka ialah Teluk Bako-Buntal, yang kawasan terasnya terdiri daripada 15km dataran lumpur dan dataran pasir yang berbentuk bulan separuh. Ianya dipinggiri oleh bakau dan diapit oleh Gunung Santubong yang berhutan dan semenanjung Bako yang berbatu.

Usaha pengiraan setia oleh saintis masyarakat ini telah mendedahkan bahawa teluk tersebut istimewa. Seperti yang disahkan dalam kertas saintifik 2021, ia telah menarik semakin banyak burung pantai yang berhijrah (burung kecil seperti burung kedidi yang kebanyakannya makan di pasir dan lumpur tanah lembap).

Jumlah bilangan burung pantai yang direkodkan di Teluk Buntal (dikira dengan menggabungkan bilangan maksimum tertinggi bagi setiap spesies) kekal stabil antara 2006 dan 2019, dengan puncak 9,335 ekor pada 2011. Pada 2019, kiraan burung yang paling banyak dalam sehari ialah 8,374.

Ini adalah menakjubkan memandangkan populasi burung pantai yang berhijrah menjunam di seluruh dunia. Trend ini lebih mengejutkan apabila ditumpukan kepada spesies tertentu.

Sebagai contoh, populasi global kedidi dian besar (Calidris tenuirostris), sejenis spesies burung kedidi yang terancam yang membiak di Siberia timur, telah menurun sebanyak 77.8% dalam tempoh tiga generasi, menurut BirdLife International.

Namun bilangan kedidi dian besar yang dikira di Buntal meningkat lebih dua kali ganda di antara 2011 dan 2019.

Teluk itu mempunyai “populasi global yang signifikan” bagi spesies tersebut, kata pengarang utama kertas 2021 tentang Teluk Bako-Buntal, saintis Batrisyia Teepol, yang juga seorang penyelidik burung pantai dengan MNS. Teepol telah mengkaji tapak burung pantai sejak 2018.

Kolam abu tapak penting juga

Sejak 2003, pemerhati burung MNS juga mula mengira burung yang bertengger di bahagian pedalaman ketika air pasang, di kolam abu buatan manusia stesen janakuasa arang batu Sejingkat, yang dibina untuk pelupusan sisa abu hasil daripada pembakaran arang batu.

Pada 2018, kiraan dalam sehari burung air oleh Teepol di Sejingkat (8,785) mengatasi jumlah tertinggi di lokasi tepi laut. Paling ketara, dalam beberapa tahun kebelakangan ini kolam tersebut telah menarik semakin banyak burung pantai yang terancam: kendi besar timur (Numenius madagascariensis).

Despite an 80% decline in their global population over the last 30 years, Far Eastern curlews are increasing in numbers in the Sejingkat ash ponds in Sarawak, Malaysia (Image: Alamy)
Walaupun penurunannya sebanyak 80% dalam populasi global sejak 30 tahun lalu, jumlah Kendi Besar Timur semakin meningkat di kolam abu Sejingkat di Sarawak, Malaysia (Imej: Alamy)

“Ia adalah bintang utama di Buntal,” kata Teepol, “burung yang dijadikan tumpuan semua orang yang datang ke Teluk Bako-Buntal. Ia juga merupakan burung pantai terbesar di dunia.”

Membiak di Kamchatka dan China utara, burung kendi yang terancam di peringkat global, populasinya telah menurun sebanyak 80% dalam tempoh 30 tahun yang lalu. Namun di Sejingkat, jumlahnya meningkat daripada 660 pada 2011 kepada 970 pada 2019, satu rekod jumlah tertinggi sejak tinjauan bermula pada 2003.

Apakah rahsia Teluk Bako-Buntal?

Kertas penyelidikan Teepol mencadangkan beberapa hipotesis mengapa Teluk Bako-Buntal mungkin menentang trend global.

Dengan berhemah kerana pemerhatian ini belum disahkan lagi melalui  penyelidikan, dia mencadangkan bahawa burung mungkin berpusu-pusu ke tapak itu mungkin kerana tanah lembap tersebut berada dalam keadaan lebih baik daripada tanah lembap di kawasan lain yang mereka biasanya singgahi ketika terbang ke selatan; kawasan lain itu mungkin telah merosot.  

Buntal ialah satu daripada beberapa hentian untuk burung pantai yang berhijrah, yang bersarang beribu-ribu kilometer di utara Siberia atau Alaska.

Mencari iklim panas

Untuk melarikan diri dari musim sejuk Artik, mereka melakukan perjalanan yang panjang dan memenatkan ke kawasan iklim yang lebih panas di Australia atau New Zealand. Mereka membuat perjalanan balik semula ketika musim bunga di Utara.

Sepanjang perjalanan, mereka perlu berehat dan menjana tenaga beberapa kali. Ini bermakna mereka mesti bergantung kepada tanah lembap pantai yang kaya dengan moluska, cacing dan serangga yang boleh memberi tenaga.

Laluan penghijrahan, yang dikenali sebagai Laluan Terbang Asia Timur–Australasia, menjangkau 85 juta kilometer persegi, dan menampung lebih banyak spesies burung berbanding mana-mana laluan burung hijrah utama dunia. Ia juga paling terancam oleh tebus guna dan degradasi tanah.

Jawapannya rumit

Terdapat banyak sebab yang juga kompleks yang menyebabkan bilangan burung hijrah naik dan turun di tapak tertentu, kata pengarang bersama kertas penyelidikan 2021, Dr Yong Ding Li, yang merupakan penyelaras serantau Asia Pasifik di BirdLife International.

“Tetapi ada perkara yang kami pasti,” katanya. “Burung-burung tersebut bergantung pada sekumpulan tapak ketika mereka bergerak dari satu titik ke titik lain.

“Jika satu tapak yang sangat penting terimpak teruk maka (tapak) di hiliran juga sedikit sebanyak akan terjejas.”

Menyambung titik di sepanjang laluan

Jadi, apakah keadaan tapak yang dikaitkan dengan burung pantai Buntal?

Untuk mengetahui perkara ini, Teepol mula mencari ‘petunjuk’ secara sistematik pada tahun 2019. Di beting pasir ‘menghitung burung’ di Buntal, kawasan yang selamat jauh daripada pasang surut dan buaya, dia akan memerhati melalui skop pengesannya.

Tujuannya untuk mengenal pasti bendera kecil di kalangan ribuan burung.

Mendapatkan bukti

Satu hari pada 2019 ternyata menjadi hari yang baik untuk mencari bendera, yang dilekatkan pada kaki burung semasa kajian pemantauan di sepanjang laluan penghijrahan mereka.

Dia melihat empat – semuanya pada kedidi dian besar – yang mana dicatatkan dengan teliti: “BW/ Bendera tibia kanan, cincin logam tibia kiri/AU7; BW/AK2; OLEH/AVF; OLEH/X1”.

Kod samar ini sebenarnya adalah bukti yang berharga. Ia menunjukkan bahawa burung-burung ini telah ditangkap dan ditandakan di Pulau Chongming, China dan Kamchatka, Rusia.

Menandai burung di sepanjang laluan terbang

Oleh kerana pengesanan satelit adalah mahal, bendera kaki dan jalur leher biasanya dipasang pada burung untuk membantu kajian laluan dan tingkah laku mereka di sepanjang laluan terbang. Bendera mempunyai warna dan huruf atau nombor yang berbeza. Pengesan burung kemudian berkongsi penampakan mereka di Facebook.

Mengumpul pemerhatian burung berbendera ini dan sebelumnya yang dibuat dari 2003 hingga 2021, Teepol dan sukarelawan MNS Ng Jia Jie dapat mengesahkan bahawa burung yang direkodkan di Buntal telah singgah di 17 atau lebih tanah lembap di sepanjang Laluan Terbang Asia Timur–Australasia.

Daripada jumlah ini, tapak di Chongming, Yalujiang dan Tangshan, terletak di kawasan Laut Kuning-Teluk Bohai, China. Ini adalah titik pertengahan yang kritikal dalam penghijrahan jarak jauh yang melelahkan.

Tetapi dataran lumpur yang dahulunya luas di rantau ini, kini 30% kurang dari saiz asalnya. Yong dari BirdLife berkata “pembangunan infrastruktur dan ancaman lain di pinggir pantai Laut Kuning telah mendorong kehilangan dan kemerosotan dataran lumpur di pantai China dan Korea.”

Ini terjadi walaupun terdapatnya sekatan di seluruh China terhadap penambakan pantai, dan penyenaraian Laut Kuning-Teluk Bohai sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2019.

Populasi menurun

Dekad yang lalu telah menyaksikan penurunan yang berterusan dalam populasi global kedidi dian besar, sekurang-kurangnya berdasarkan kepada kerja pemantauan yang dilakukan oleh penyelidik di pelbagai tanah lembap di Australia – di mana sebahagian besar populasi dunia menghabiskan musim sejuk.

Namun dari sekitar tahun 2009, bilangan kedidi dian besar yang dikira di tapak Asia Tenggara kelihatan meningkat. Alasan yang mungkin untuk ini, kata Yong, adalah kerana kehilangan tapak persinggahan yang kritikal di Laut Kuning. Ini bermakna banyak burung tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk habiskan perjalanan sehingga ke Australia.

Melindungi Teluk Bako-Buntal

Yong menyenaraikan tiga bandar pelabuhan mega berdekatan dengan tapak pantai China yang dikaitkan dengan Buntal: Shanghai, bandar paling ramai penduduk di dunia dan pelabuhan kontena yang paling sibuk; Dandong, pintu masuk ekonomi ke Korea Utara; dan Tangshan, hab pembuatan keluli.

Buntal jauh berbeza daripada metropolis ini. Dua perkampungan nelayan yang berpenduduk rendah bertempat di kedua-dua hujung teluk. Selain memancing, aktiviti ekonomi utama yang lain ialah pelancongan yang sedang berkembang: penduduk kota akan berkunjung ke kampung tersebut untuk menikmati makanan laut di pantai.

Kepentingan Buntal untuk burung hijrah telah diiktiraf di peringkat antarabangsa pada tahun 2007, sebagai sebahagian besar daripada Kawasan Penting Burung & Biodiversiti (IBA) seluas 3,590 hektar. Kemudian pada tahun 2013, berdasarkan data yang dikumpul oleh saintis masyarakat MNS, ia diiktiraf sebagai Tapak Rangkaian penting di Laluan Terbang Asia Timur–Australasia, satu-satunya tapak di Malaysia.

The importance of Bako-Buntal Bay for migratory birds, such as the great knot, has been recognised over the years and the area will hopefully soon receive “totally protected” status (Image: Alamy)
Kepentingan Teluk Bako-Buntal untuk burung yang berhijrah, seperti kedidi dian besar, telah diiktiraf selama ini dan kawasan itu diharapkan akan menerima status "terlindung sepenuhnya" tidak lama lagi (Imej: Alamy)

Teluk Bako-Buntal telah diuruskan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sejak 2017, menurut Oswald Braken Tisen, selaku timbalan ketua pegawai eksekutif SFC.

Beliau menyatakan, SFC terlibat dalam pengiraan burung, bekerjasama dengan masyarakat tempatan mengenai ancaman seperti pemburuan (yang kini telah berhenti) dan berurusan dengan loji janakuasa Sejingkat untuk memastikan kelanjutan kolam abu tersebut.

Yang penting untuk pemuliharaan burung, Oswald berkata, “Premier [Sarawak] kami telah memberikan lampu hijau untuk kami [memperuntukkan] Teluk Bako-Buntal sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya, termasuk kawasan pinggir hutan bakau serta dataran lumpur dan kawasan laut.”

Manfaat untuk semua

Walaupun jenis perlindungan yang tepat belum diputuskan, Oswald berkata adalah penting untuk masyarakat tempatan mendapat manfaat, sama ada melalui pengambilan sumber semula jadi yang mampan seperti ikan atau kerang, atau aktiviti pelancongan mampan seperti perjalanan menaiki bot atau restoran makanan laut.

Melalui penggunaan Buntal yang mampan, kata Oswald, “burung boleh mendapat manfaat, masyarakat juga boleh mendapat manfaat.”

Beliau menegaskan bahawa kawasan restoran Kampung Buntal terkenal dengan satu lagi bintang hijrah Buntal: burung kuntul Cina (Egretta eulophotes).

Antara burung bangau yang paling jarang ditemui di dunia, spesies ini bersarang di Laut Kuning dan Rusia. Di Buntal, ia bertenggek di atas jangkang memancing tradisional, burung putih yang sangat fotogenik.

Kemudahan disediakan

Rancangan masa depan untuk Buntal termasuk pusat pendidikan bakau dan laluan pejalan kaki untuk pelancong, kata Oswald. Tetapi dia berkata bahawa sebarang pembangunan akan mengekalkan integriti habitat burung dan melibatkan perundingan pihak berkepentingan.

Kunci kepada semua ini ialah peningkatan kesedaran tempatan tentang pemuliharaan, tambahnya, terutamanya dengan bantuan NGO.

MNS, bersama-sama dengan SFC, kini bekerjasama dengan jawatankuasa pengurusan kampung, nelayan dan sekolah untuk mengajar mereka tentang kepentingan habitat. Tetapi mereka tidak perlu bermula dari sifar.

“Para nelayan sebenarnya tahu tentang burung-burung tersebut,” kata Teepol. “Mereka boleh membezakannya daripada saiz mereka dan mempunyai nama tempatan untuk mereka.”

Rencana Insight ini ialah kolaborasi dengan China Dialogue.

Bako-Buntal Bay East Asian-Australasian Network Site Dossier – Concepts for Sustainable Use. Sarawak Forestry Corporation (2017).

BirdLife International. (2022). Important Bird Areas factsheet: Bako-Buntal Bay. Downloaded from http://www.birdlife.org on 22/04/2022.

Struggles ashore: Chan, YC. Migration ecology of threatened shorebirds in the East Asian−Australasian Flyway

The East Asian-Australasian Flyway Partnership. EEAFP (2018).

Grimm, D. “China’s Coastal Wetlands Get a Second Chance.” 9 August 2018. The Paulson Institute.

Round, Philip & Bakewell, David. (2015). Steep upward trajectory in Great Knot numbers at sites in South-East Asia. Tattler. Tattler No. 35.

“Sarawak wetland a vital habitat for Asia’s endangered migratory birds.” Malaysian Nature Society Kuching Branch, 23 Sept. 2021. Media release.

 

Teepol, B., et al. (2021). Long-term count data demonstrate the regional significance of Bako-Buntal Bay, Malaysian Borneo, for wintering shorebird conservation. Wader Study Group Bulletin. 128. 10.18194/ws.00239.

Weidensaul, S. “Losing Ground: What’s Behind the Worldwide Decline of Shorebirds?” 19 September 2018. Living Bird, Autumn 2018.

 

*Corrections (12/5/22): This story had mistakenly stated that the Bako-Buntal IBA was recognised in 2003; it should be 2007; Batrisyia Teepol is also not (yet) a PhD and so her 'Dr' title is removed.

 

Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *