Komuniti Pitas menanam semula bakau demi menuntut warisan mereka

Pokok bakau kembali sedikit demi sedikit ke kawasan yang dimusnahkan oleh penternakan udang gergasi, tetapi bagi penduduk tempatan, pemulihan hutan ini bukan sekadar menanam pokok; ia soal warisan. | Foto: kawasan musnah oleh Arieff Zafir

Penulis: Liani MK | Jurugambar: Arieff Zafir
Editor: SL Wong
Visualisasi data & kartografer: Louis Lugas dan Irma Garnesia
Foto fail: Chen Yih Wen
Penterjemah: Liani MK & Aidila Razak

Diterbitkan: 20 Oktober, 2026 [Laporan Bahasa Inggeris diterbitkan pada 23 September, 2026]

Ini ialah artikel #BLUECARBON, sebahagian daripada projek Macaranga mengenai Disinformasi Iklim dan Orang Asal.

Komuniti Pitas menanam semula bakau demi menuntut warisan mereka

Pokok bakau kembali sedikit demi sedikit ke kawasan yang dimusnahkan oleh penternakan udang gergasi, tetapi bagi penduduk tempatan, pemulihan hutan ini bukan sekadar menanam pokok; ia soal warisan. | Foto: kawasan musnah oleh Arieff Zafir

Penulis: Liani MK | Jurugambar: Arieff Zafir
Editor: SL Wong
Visualisasi data & kartografer: Louis Lugas dan Irma Garnesia
Foto fail: Chen Yih Wen
Penterjemah: Liani MK & Aidila Razak

Diterbitkan: 20 Oktober, 2026 [Laporan Bahasa Inggeris diterbitkan pada 23 September, 2026]

Ini ialah artikel #BLUECARBON, sebahagian daripada projek Macaranga mengenai Disinformasi Iklim dan Orang Asal.

 

SETIAP BEBERAPA HARI, beberapa orang penduduk kampung akan menghidupkan enjin bot mereka dan menyusuri anak sungai keruh berwarna coklat yang bersambung dengan Sungai Telaga di Pitas, Sabah. Laluan air dipenuhi pokok bakau yang hidup dengan bunyi nginit atau cengkerik walaupun pada waktu tengah hari. Namun air pasang surut yang mengalir melalui sistem akar bakau yang padat adalah tenang.

Kadangkala, di tengah kawasan hutan yang tebal tak beberapa dekat dari sana, Monyet Belanda (Proboscis monkey) berperut buncit (Nasalis larvatus) dilihat sedang mengunyah pucuk pokok bakau.

Penduduk kampung sampai ke tapak di mana pokok bakau yang sihat pernah tumbuh subur tetapi telah musnah akibat projek akuakultur gergasi 10 tahun yang lalu. Di sini, mereka akan menanam semula anak benih yang mereka kumpulkan.

Mereka telah mula menanam di beberapa kawasan sejurus selepas pokok bakau ditebang. Akhirnya, sebahagian daripada tapak ini kelihatan seperti hutan yang sedang pulih. Kadar penumbuhannya cukup padat sehingga projek akuakultur itu terasa seperti kenangan silam. Kecuali tapak ini masih mempunyai kolam dan kawasan terbiar di mana pokok bakau sukar untuk tumbuh.

Penternakan udang gergasi itu mempunyai kolam yang luas di atas kawasan bekas pokok bakau; selepas pandemik Covid-19, ia menjadi tanah tandus, seperti yang digambarkan di sini pada tahun 2023. Baca esei foto kami dari zaman itu. (gambar: Chen Yih Wen).

Pitas merupakan salah satu daerah termiskin di Malaysia. Ia mempunyai peratusan kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 50% pada tahun 2024, dan akses terhad kepada air bersih serta bekalan elektrik yang konsisten.

Suntikan ekonomi adalah kritikal. Pada tahun 2014, kerajaan Sabah melancarkan projek mega Pitas Shrimp Farm (Taman Udang Pitas) bernilai RM1.23 bilion, yang pada masa itu ditetapkan sebagai pembangunan akuakultur udang komersial terbesar di Malaysia.

Projek itu diumumkan sebagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang menjanjikan lebih 3,000 pekerjaan kepada masyarakat luar bandar. Ia dikendalikan oleh Sunlight Inno Seafood Company Sdn Bhd, usaha sama dengan Inno-Fisheries Yayasan Sabah, yang dimiliki oleh kerajaan negeri Sabah.

Tetapi setahun sebelum pelancarannya, pemaju telah membersihkan sekitar 930 hektar hutan bakau, walaupun kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) belum diterima. Maklumbalas tidak diambil dari 2,000 penduduk kampung di 6 buah kampung, kata pelbagai ahli komuniti kepada Macaranga.

MASYARAKAT ASLI Tombonuo, Rungus dan Suluk di sini telah menangkap ikan dan bertani di sepanjang Sungai Pitas dan laluan air di sekitarnya selama 9 generasi. Di sini, di perairan pasang surut cetek bakau, masyarakat ini menangkap ikan, mencari makanan dan menuai tumbuhan untuk perubatan tradisional.

Mereka menghargai perairan ini sebagai tempat pembiakan dan makanan kritikal bagi hidupan marin, termasuk ikan, udang, ketam dan siput. Tambahan pula, pokok bakau pantai melindungi tanah komuniti hulu sungai daripada ribut dan hakisan.

Kawasan adat yang terjejas

Penternakan udang itu memusnahkan kira-kira 76% daripada hutan adat mereka, kata NGO hak asasi orang asli PACOS Trust. PACOS menyokong salah sebuah kampung, Kampung Sungai Eloi, sejak tahun 2010 dalam mendokumentasikan dan memperkukuhkan tadbir urus adat wilayah mereka.

Syarikat Sunlight Inno Seafood tidak memberi maklum balas terhadap permintaan wawancara Macaranga .

Kemudian penternakan itu berhenti beroperasi semasa pandemik COVID-19, dan tidak beroperasi semula sehingga kini. Tiada lagi pekerjaan. Apa yang tinggal hanyalah lumpur kolam yang rosak, pagar yang patah dan pokok bakau yang musnah. Komuniti itu telah menghabiskan masa bertahun-tahun menyaksikan ekosistem sungai mereka musnah. Nelayan telah kehilangan 70% daripada tangkapan mereka.

 Usaha penanaman penduduk tempatan seperti ketua kumpulan kampung Mastupang Somoi sedang menambah baik tanah tersebut. Gambar-gambar dari lokasi yang hampir sama menunjukkan anak benih yang ditanam semasa air surut pada tahun 2023, telah tumbuh menjadi pokok kecil pada tahun 2026 digambarkan semasa air pasang. (Gambar oleh Chen Yih Wen [2023] dan Arieff Zafir [2026])

Menanam Menggunakan Pengetahuan Tradisional

TETAPI daripada penebangan hutan munculnya aktivisme komuniti. Kampung Sungai Eloi dan 5 buah kampung lain bergabung untuk membentuk sebuah kolektif yang menggelarkan diri mereka G6. Matlamat mereka adalah untuk melindungi apa sahaja pokok bakau yang tinggal dan memulihkan yang lain.

Pada tahun 2016, G6 mula menanam semula pokok bakau di kawasan komuniti yang musnah di luar projek akuakultur. Dalam tempoh 2 tahun berikutnya, mereka dengan bersungguh-sungguh menanam lebih 5,000 anak benih di 3 tapak seluas 4.5 hektar. Sejak itu, mereka telah menjaga tanaman dan perlahan-lahan memperkayakan kawasan tersebut.

Kolektif penanam bakau menganggarkan kadar kehidupan tanaman 60–80%, tetapi mengakui tiada dokumentasi atau audit formal. Malah, bajet pun tiada.

Sukar untuk tumbuh semula

Dalam program penanaman semula bakau di seluruh Asia Tenggara, kadar kehidupan biasanya 10–20% sahaja apabila terdapat pertumbuhan semula jadi yang terhad; pemulihan hutan bakau yang terosot dan musnah adalah sangat sukar.

Perjalanan agak perlahan kerana para penanam melakukan semuanya sendiri, termasuk mengumpul dana untuk aktiviti penanaman, pemantauan dan rondaan.

Walau bagaimanapun, apa yang penting ialah mereka telah memulihkan pokok bakau mereka menggunakan pengetahuan tradisional mereka yang diwarisi tentang kawasan tanah lembap (wetlands).

Noridah Samad ialah seorang Tombonuo yang mengetuai Jawatankuasa Tuntutan Tanah Adat Kampung Datong sebuah perkampungan G6. Dia menjelaskan, “Kita tahu bila nak menanam panggang, [ia] bergantung kepada bulan dan bintang. Sebab [ia] menentukan pasang surut dan menunjukkan musim monsun.” Panggang ialah perkataan dalam bahasa Tombuono bagi pokok bakau.

Penduduk kampung juga tahu bila biji benih bakau yang memanjang jatuh dan spesies mana yang tergolong dalam zon pasang surut yang mana, jadi tanaman yang betul boleh ditanam di kawasan yang betul.

Meniru alam semula jadi

Penanaman hanya berlaku dengan apa yang disediakan oleh sungai itu sendiri. Jadi, semasa bot mereka bergerak di sepanjang sungai, mereka mengumpul apa sahaja propagul (anak benih) yang ada dari air dan tebing sungai.

Kemudian, propagul yang dikumpul dimasukkan ke dalam beg poli yang diisi dengan campuran lumpur tempatan, kadangkala tanah liat dan pasir yang kaya dengan nutrien.

Beg-beg ini disusun menjadi batas benih di nurseri sementara, yang diolah untuk meniru persekitaran pasang surut semula jadi. Sesetengah nurseri sementara dibina di zon pasang surut rendah di mana air pasang surut secara semula jadi mengalir melaluinya, manakala yang lain didirikan di darat dengan pengairan terkawal.

Understanding how mangroves grow naturally, the planters' temporary nurseries mimic intertidal conditions (pic: Arieff Zafir)
Nurseri sementara penanam meniru keadaan pasang surut, menurut pemahaman tentang cara pokok bakau tumbuh secara semula jadi (gambar: Arieff Zafir)

PARA PENANAM juga belajar daripada banyak percubaan dan kesilapan. Murai Euos, ahli jawatankuasa G6, teringat satu masa lalu di mana mereka buntu mencari punca beberapa anak benih bakau mati. “[Kemudian] kami sedar itulah yang disukai oleh Proboscis!”

Jadi, penduduk kampung menanam lebih banyak pokok bakau untuk memastikan monyet-monyet itu juga mempunyai cukup makanan.

Monyet Belanda ini endemik Borneo dan biasa terdapat di hutan bakau komuniti ini. Mereka gemar memakan Bakau minyak (Rhizophora apiculata). “Kita perlu fikir tentang burung atau makhluk lain yang bergantung pada hutan bakau,” kata Murai.

Pemulihan semula jadi

Hutan itu juga mula pulih secara semula jadi di tempat-tempat di mana kemusnahan itu tidak begitu teruk.

“Apabila kolam udang ditutup semasa pandemik COVID-19, kami langsung dapat merasakan pemulihan hutan bakau dan sungai kami,” imbas Mastupang Somoi dari Kampung Sungai Eloi.

“Walaupun [ia] tak sama seperti sebelum kolam udang ada, sekurang-kurangnya keadaan pulih secara perlahan-lahan sekitar 85–90%.” Mastupang, seorang petani dan nelayan, merupakan pengasas dan pengerusi kolektif G6.

The indigenous people make sure that there are mangroves aplenty for wildlife as well, such as the iconic Proboscis monkey (pic: Arieff Zafir)
Orang asal memastikan terdapat banyak hutan bakau untuk hidupan liar, seperti Monyet Belanda yang ikonik (gambar: Arieff Zafir)

Di kalangan G6, penduduk Kampung Sungai Eloi merupakan yang paling aktif dalam memulihkan pokok bakau. Setahun yang lalu, mereka memulakan nurseri kampung dan tidak hanya bergantung kepada pengumpulan propagul secara rawak.

Dalam beberapa bulan, mereka telah menyemai hampir 1,000 anak benih dalam beg poli untuk ditanam di tanah adat kampung. Mereka bermula dengan 40 hektar daripada jumlah keseluruhan 142 hektar pokok bakau mereka.

“Ini memang dikendalikan sepenuhnya oleh komuniti, tanpa sebarang bantuan [institusi] luaran,” kata Mastupang dengan bangga.

Menanam untuk hidupan liar

Pokok bakau komuniti Kampung Sungai Eloi sebenarnya tidak ditebang untuk ladang udang. Jadi mengapa perlu menanam di sini?

Mastupang berkata mereka memerhatikan bagaimana monyet Proboscis kehilangan habitat mereka selepas ladang udang memusnahkan tompokan bakau tersebut. Oleh itu, haiwan-haiwan itu berpindah ke kawasan Kampung Sungai Eloi, di mana bakau dan makanan masih ada.

Tetapi kehadiran mereka mula memberi tekanan yang lebih besar kepada pokok bakau yang sedia ada kerana mereka memakannya. “Terdapat banyak haiwan! Jadi kami juga menanam pokok untuk mereka,” kata Mastupang.

Kawasan bakau yang musnah akibat akuakultur juga perlahan-lahan pulih secara semula jadi, tetapi tidak senang kerana keadaan telah berubah dengan begitu teruk, kata Mastupang, yang digambarkan di sini di lokasi yang sama pada tahun 2023 dan 2026. (gambar oleh Chen Yih Wen [2023] dan Arieff Zafir [2026])

Tadbir Urus Adat

KAWASAN pemulihan bakau seluas 4.5 hektar oleh komuniti ini kelihatan kecil berbanding 930 hektar yang telah musnah. Tetapi bagi orang Tombonuo, Rungus dan Suluk, bakau mereka adalah warisan tradisional mereka, dan memuliharanya adalah termaktub dalam tadbir urus adat.

Wilayah adat dipanggil puru inigoladan, dan diketahui oleh setiap penduduk tempatan, jelas Noridah. Di bawah undang-undang adat, penceroboh menghadapi denda komuniti yang dikenali sebagai sogit. Jika tertuduh menafikan pertuduhan tersebut, kes itu akan dibawa ke mahkamah anak negeri.

Selepas kejutan penebangan bakau yang berleluasa sedekad yang lalu, ahli G6 memasang papan tanda yang menandakan puru inigoladan mereka; papan tanda tersebut pada dasarnya menyatakan bahawa kawasan tersebut dilindungi oleh protokol komuniti.

G6 members place signboards to safeguard their customary areas and raise awareness about protecting mangroves. (pic: Arieff Zafir)
Ahli G6 meletakkan papan tanda untuk melindungi kawasan adat mereka dan meningkatkan kesedaran tentang melindungi bakau. (gambar: Arieff Zafir)

Olon Somoi, adik perempuan Mastupang dan salah seorang wanita yang memperjuangkan hak komuniti, berkata, “Kami hanya melarang orang (atau orang luar) daripada memusnahkan kawasan ini. Komuniti masih boleh masuk untuk memancing dan mencari sumber.”

Keazaman untuk memperkukuh hak wilayah mereka muncul selepas kegagalan projek akuakultur. Bukan sahaja pokok bakau ditebang, malah beberapa keramat, atau tapak suci masyarakat juga telah dimusnahkan.

Mengikuti protokol

Di bawah undang-undang adat, pemaju perlu mendapatkan kebenaran komuniti untuk menggunakan tanah mereka, kata Murai. Tetapi pemaju penternakan udang “tidak melakukan sebarang bentuk persetujuan bawah izin, maklum awal, bebas dan telus – FPIC.

“Itulah yang buat kami tidak berpuas hati. Mereka langsung tidak bincang dengan komuniti. FPIC mesti mempunyai pertimbangan tentang baik buruk projek ini.”

Noridah menambah, “Bayangkan, seolah-olah ada orang yang kamu tak kenal, masuk rumah kamu, dan siap masak (dalam rumah), sebelum dia ketuk pintu!”

3D maps and photographs are used by villagers as Murai Euos and Noridah Samad to understand the impacts of the shrimp farm. (pics: Arieff Zafir)
Peta dan gambar 3D digunakan oleh penduduk kampung seperti Murai Euos dan Noridah Samad untuk memahami kesan penternakan udang. (gambar: Arieff Zafir)

Gordon Thomas, pegawai program di PACOS Trust, menjelaskan bahawa usaha mendapatkan FPIC adalah selaras dengan piawaian antarabangsa yang disokong oleh Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli (UNDRIP), yang mana Malaysia merupakan salah satu daripada penandatangannya.

“Kita perlu mengadakan proses perundingan yang betul dengan komuniti,” katanya. Dalam wilayah inigoladan adat komuniti, mereka mempunyai hak untuk mengekalkan zon larangan mereka sendiri, termasuk hutan komuniti mereka sendiri.

Namun, di bawah undang-undang negeri, pemantauan dan penguatkuasaan komuniti di kawasan bakau adalah sukar dari segi struktur. Mengikut Enakmen Hutan Sabah 1968, hutan bakau dikelaskan sebagai Kelas V, yang ditetapkan sebagai “Untuk pembekalan kayu bakau atau hasil lain bagi memenuhi permintaan umum perdagangan dan untuk aktiviti eko-pelancongan”.

Ini bermakna pokok bakau mungkin dikelaskan sebagai kategori pengeluaran dan bukannya kategori perlindungan, kata Gordon.

Namun begitu, agensi dan jabatan kerajaan harus bekerjasama dengan masyarakat, menurut Gordon. Sumbangan masyarakat dalam menjaga kawasan tersebut harus diakui, dihormati dan diambil kira.

“Pengetahuan mereka sangat penting untuk difahami dari segi pemulihan, kerana mereka tahu cara menanam.” Pengetahuan itu adalah sebahagian daripada pemahaman masyarakat tentang kalendar ekologi hidup. “Mereka tahu di mana ketam bertelur dan masa terbaik untuk memancing. Mereka juga merujuk kepada pasang surut untuk menentukan bila hujan akan turun.”

Locals know that mangrove species such as flowering santing plants means mud crabs are spawning (above) and they also know where to forage for mangrove ear snails (pics: Arieff Zafir [top], Chen Yih Wen [bottom])
Penduduk tempatan tahu bahawa spesies bakau seperti tumbuhan santing berbunga bermakna ketam lumpur sedang bertelur (atas) dan mereka juga tahu di mana hendak mencari siput telinga bakau (gambar: Arieff Zafir [atas], Chen Yih Wen [bawah])

SAMBIL mereka memulihkan pokok bakau mereka, komuniti G6 berhadapan dengan cabaran baharu.

Pelan Tindakan Bakau Sabah 2024–2033 di bawah Jabatan Perhutanan Sabah menetapkan rangka kerja strategik negeri untuk restorasi dan pemuliharaan bakau. Sementara itu, Sabah sedang bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk membangunkan kredit karbon biru. Pada asasnya, karbon kredit biru membolehkan keuntungan dijana daripada karbon yang tersimpan dalam hutan bakau. Kredit itu boleh dibeli oleh entiti yang ingin mengimbangi karbon yang dilepaskan dalam proses perniagaan mereka. .

Jangan Sampai Berulang Lagi

Bagi G6, ini menimbulkan persoalan tentang siapa yang akan mendapat manfaat daripadanya.

“Kita bukan anti-pembangunan, tetapi komuniti perlu menjadi sebahagian daripada [perbincangan],” kata Mastupang. “Kami hanya mahu perkara ini adil terhadap hak komuniti. Kita telah lama mempertahankan kawasan kami [daripada dimusnahkan atau dicerobohi], tanpa memikirkan tentang karbon.”

Masyarakat juga bimbang tentang khabar angin bahawa projek penternakan udang mungkin akan dimulakan semula dalam masa terdekat.

Pitas communities want to ensure there are mangroves and related traditional knowledge not only for themselves but their children too (pics: Arieff Zafir)
Komuniti Pitas ingin memastikan terdapatnya pokok bakau dan pengetahuan tradisional yang berkaitan bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi juga untuk anak-anak mereka (gambar: Arieff Zafir)

Sementara itu, Mastupang merancang untuk memperluaskan nurseri di Kampung Sungai Eloi dengan bantuan institusi tempatan seperti Universiti Malaysia Sabah. Cita-citanya bukan sekadar untuk menanam lebih banyak pokok.

Sebaliknya, komuniti berharap nurseri bakau mereka dan pusat pembelajaran ilmu ekologi tradisional yang akan datang, dapat menjadi ruang di mana ilmu seperti bahasa dan logik pasang surut, dapat didokumentasikan secara formal dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Menjamin warisan

“Apa yang kami buat sekarang adalah untuk masa depan,” kata Noridah. “Kami adalah penjaga masa depan dan apa yang kami tinggalkan adalah untuk generasi akan datang. Jangan biarkan mereka mewarisi masalah.”

Tambah Mastupang, “Walaupun pejuang asal tiada lagi di sini, kami berharap perjuangan ini akan berterusan.” Dia ketawa sambil berkata, “Ada kawan anggap kami gila. Kami tidak menanam sesuatu yang menguntungkan seperti kelapa sawit, atau pokok getah. Tetapi tanam pokok bakau! Selain itu, [ia] sangat susah untuk ditanam. Tapi kami tidak peduli.”

Ini merupakan artikel #BLUECARBON, sebahagian daripada projek Macaranga mengenai Disinformasi Iklim dan Orang Asli, yang disokong oleh International Media Support (di bawah Digital Democracy Initiative)

Baca laporan #BLUECARBON

Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *