RM71 juta dibelanjakan untuk tanam semula pokok bakau; sekurang-kurangnya separuh telah mati

 Amalan menanam pokok bakau untuk menyelamatkan pantai dan mengatasi perubahan iklim perlu diperbaiki, kata saintis, namun kejayaan lebih tinggi apabila masyarakat tempatan terlibat | Foto: Anak benih bakau, oleh Arieff Zafir

Penulis: Aidila Razak
Editor: SL Wong
Kartografer: Irma Garnesia dan Louis Lugas
Penterjemah: Liani MK & Aidila Razak

Diterbitkan: 20 Oktober 2026 [Laporan Bahasa Inggeris diterbitkan pada 21 September 2026]

Ini ialah artikel #BLUECARBON sebahagian daripada Projek Macaranga mengenai Disinformasi Iklim dan Orang Asal.

RM71 juta dibelanjakan untuk tanam semula pokok bakau; sekurang-kurangnya separuh telah mati

Amalan menanam pokok bakau untuk menyelamatkan pantai dan mengatasi perubahan iklim perlu diperbaiki, kata saintis, namun kejayaan lebih tinggi apabila masyarakat tempatan terlibat | Foto: Anak benih bakau, oleh Arieff Zafir

Penulis: Aidila Razak
Editor: SL Wong
Kartografer: Irma Garnesia dan Louis Lugas
Penterjemah: Liani MK & Aidila Razak

Diterbitkan: 20 Oktober 2026 [Laporan Bahasa Inggeris diterbitkan pada 21 September 2026]

Ini ialah artikel #BLUECARBON sebahagian daripada Projek Macaranga mengenai Disinformasi Iklim dan Orang Asal.

 

TELAH MENJADI SUATU KLISE bahawa jika anda ingin menunjukkan yang anda melakukan sesuatu untuk alam sekitar, anda harus menanam pokok bakau. Tetapi kata pakar, penggiat sering kali mengulangi kaedah gagal yang sama, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.

Pakar pemuliharaan alam menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya separuh daripada bakau yang ditanam bawah program penanaman semula bakau kebangsaan bermula pada tahun 2005 telah mati. Itu merupakan kehilangan lebih daripada 3 juta bakau dan tumbuhan pesisir pantai yang lain.

Malah, kadar kehidupan (survival rate) berkemungkinan lebih rendah kerana program penanaman semula tidak merangkumi semua inisiatif swasta. Ini termasuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sering dijalankan.

Kejadian berulang

Satu contoh ialah di Pantai Cahaya Negeri di Port Dickson, Negeri Sembilan. Di pantai rekreasi yang terkenal ini, lebih daripada 7,000 anak pokok bakau telah ditanam dari tahun 2010–2024, menurut laporan media, korporat dan agensi kerajaan.

Tetapi pasir, dan bukan hutan bakar yang subur, melitupi tempat di mana sekurang-kurangnya 10 program penanaman semula telah berlaku.

Satu daripada aktiviti penanaman semula tersebut adalah pada Ogos 2024, di mana kira-kira 600 anak benih telah ditanam. Program ini ditaja oleh firma semikonduktor Amerika, onsemi, dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Negeri Sembilan-Melaka, Majlis Perbandaran Port Dickson dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

Tetapi lawatan tapak pada bulan Mei hanya mendedahkan segelintir pokok bakau. Tingginya sekitar satu meter – setinggi pokok bakau berusia 2 tahun.

[Above] Corporate planting in Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson in 2024 (pic: Majlis Perbandaran Port Dickson Facebook) [Below] The beach in May 2026 (video: Aidila Razak)
[Atas] Penanaman di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson pada 2024 (gambar: Facebook Majlis Perbandaran Port Dickson) [Bawah] Pantai pada Mei 2026 (video: Aidila Razak)

Yap Miow Lin merupakan ahli jawatankuasa cawangan MNS tersebut, tetapi beliau sertai jawatankuasa selepas terjadinya program penanaman semula itu. Beliau menganjurkan program pembersihan pantai di tapak yang sama baru-baru ini. Ketika itu, beliau bertanya kepada nelayan berdekatan tentang apa yang berlaku kepada anak pokok bakau yang ditanam dahulu. Jawapan mereka amat memalukan.

“Mereka ketawa dan berkata bahawa setiap tahun orang akan menanam pokok bakau, tetapi selepas itu, air pasang dan anak benih akan dihanyutkan!”

Tahun 2024 bukanlah kali pertama onsemi dan MNS menanam di pantai yang sama. Enam tahun sebelumnya, kakitangan syarikat dan sukarelawan lain telah menanam 800 anak benih di sana.

Jumlah kos kedua-dua program ini tidak jelas, tetapi melalui skim “dollars for doers”, onsemi mendermakan USD10–20 (RM41–82) sejam bagi setiap jam yang disumbang pekerjanya, kepada MNS.

“Kami berbangga dengan pencapaian kami dan teruja untuk masa depan,” menurut laporan kelestarian alam sekitar syarikat tersebut pada 2024. Menurut laporan itu program penanaman semula bakau itu antara “aktiviti sukarelawan yang bermakna” yang dijalankan kakitangannya di seluruh dunia.

Pihak perbadanan, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan ibu pejabat MNS tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan kami.

Mangroves grow naturally on the right but it does not mean that more mangroves can be planted on the left here on Pantai Cahaya Negeri (pic: Aidila Razak)
Pokok bakau tumbuh secara semula jadi di sebelah kanan, tetapi itu tidak bermakna pokok bakau boleh ditanam di sebelah kiri di Pantai Cahaya Negeri ini (gambar: Aidila Razak)

Tapak Salah, Tiada Dana

APA YANG SERING BERLAKU kepada anak benih bakau di Pantai Cahaya Negeri adalah seakan “pembunuhan”, menurut ahli ekologi dan pakar bakau Dr A Aldrie Amir.

“Apabila zirafah ditembak atau harimau dilanggar kenderaan, kita sangat bersimpati kerana itu adalah satu kehilangan nyawa.

“Propagul atau satu anak benih bakau itu juga satu nyawa. Tetapi anda mengeluarkan mereka dari bawah induk mereka dan menanamnya di kawasan yang mereka tidak dapat hidup. Anda sebenarnya membunuh mereka!”

Jangan buat andaian

Pantai Cahaya Negeri sememangnya tempat yang salah untuk menanam pokok bakau, kata Aldrie. Walaupun ia bersebelahan dengan Pulau Burong, yang mempunyai hutan bakau sedia ada, itu tidak bermakna penanaman di Pantai Cahaya Negeri akan membawa hasil yang sama.

“Pulau Burong adalah sebuah pulau berbatu berhampiran pantai. Beberapa spesies tumbuhan (bakau) yang kukuh mungkin boleh tumbuh di sana. Tetapi penanaman itu tidak dilakukan di sana. Bakau telah sengaja ditanam di pantai. Di atas pasir,” katanya.

“Beberapa orang yang terlibat dalam penanaman semula telah menghubungi saya untuk bertanya mengapa pokok bakau yang mereka tanam di sana tidak tumbuh. Jawapan saya hanyalah, ‘Siapa suruh (tanam di sana)?'”

Program rasmi

Berkemungkinan besar jawapannya ialah Jabatan Perhutanan, kata pegawai lapangan Sahabat Alam Malaysia Meor Razak Abdul Rahman.

Meor telah berkhidmat selama beberapa tahun sebagai wakil NGO dalam jawatankuasa Program Penanaman Semula Bakau dan Spesies-spesies Persisiran Pantai. Ditubuhkan pada tahun 2005, program kebangsaan anjuran kerjaan ini merupakan tindak balas terhadap tsunami Asia 2004 yang memusnahkan kawasan pesisir pantai di Malaysia dan meragut 68 nyawa.

RM71 juta dibelanjakan

Sehingga 2025, lebih RM71 juta dana persekutuan telah dikeluarkan untuk program penanaman pokok bakau meliputi kawasan seluas 3,820 hektar, kata pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar ketika itu, Johari Abdul Ghani, kepada media. Ini melibatkan sekurang-kurangnya 7.9 juta anak benih.

Pada “anggaran konservatif”, hanya kira-kira separuh yang terselamat, kata pegawai penyelidik kanan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Hamdan Omar.

“Kadar kemandirian adalah antara 30–80%, bergantung pada kaedah penanaman dan langkah penyelenggaraan.”

Penanaman semula ini juga tidak setanding dengan kehilangan keseluruhan hutan bakau – lebih daripada 42,000 hektar dari 2017–2023, sebahagian besarnya di Sabah dan Sarawak, menurut penerbitan data rasmi hutan bakau ‘Status of Mangroves in Peninsular Malaysia’ (2024). Laporan ini dihasilkan oleh Hamdan dan pasukannya menggunakan data satelit untuk menjejaki liputan hutan bakau.

Meor berkata sebahagian besar dana program penanaman semula disalurkan kepada Jabatan Perhutanan negeri, yang biasanya menawarkan tender dan melantik kontraktor untuk penanaman semula. Dana juga diberikan kepada FRIM untuk penyelidikan dan pembangunan.

NGO dan komuniti diperuntukkan 10% daripada bajet ini untuk program penanaman semula dan kesedaran. Tender tidak diperlukan untuk program NGO tetapi Jabatan Perhutanan negeri perlu memberi kebenaran dan akan memperuntukkan kawasan untuk penanaman semula. Begitu juga untuk program anjuran syarikat dan pihak berkepentingan lain.

ADAKAH KEHILANGAN separuh daripada anak benih yang ditanam sesuatu yang dijangka secara semula jadi? Tidak semestinya, kata Hamdan. Kekurangan pemantauan adalah sebab utama.

“Kebanyakan masa, tiada dana yang diperuntukkan untuk usaha pemantauan.”

Hamdan menjelaskan bahawa anak benih perlu dipantau dari masa ke semasa untuk memastikan ia dapat bertahan dari angin kencang dan air pasang, pencerobohan haiwan dan juga vandalisme. Ini memerlukan beberapa lawatan tapak, serta dana tambahan untuk menggantikan anak benih yang mati.

Tiada bajet untuk memantau

Semakan Macaranga terhadap dokumen tender yang dikeluarkan oleh beberapa Jabatan Perhutanan negeri mendapati tiada satu pun kontrak yang memberi dana untuk pemantauan. Daripada 10 kontrak yang dipilih secara rawak, bernilai sejumlah RM661,520, tiada satu pun yang memerlukan kontraktor melaporkan kadar kehidupan 94,330 anak benih yang ditanam.

Kontraktor hanya dikehendaki memberikan gambar anak benih yang ditanam, menurut dokumen yang diterbitkan di laman web ePerolehan kerajaan. Sementara itu, kontraktor di Perak dikehendaki membetulkan “kerja yang tidak memuaskan” – walaupun ini tidak ditakrifkan.

Mana-mana spesies pun diterima

Walaupun terdapat spesifikasi mengenai ketinggian dan keadaan anak benih, kontraktor tidak perlu membuktikan spesies tersebut sesuai untuk ditanam di tapak tersebut, atau menunjukkan bahawa benih diperoleh daripada nurseri yang bereputasi. Kontraktor juga tidak dikehendaki membeli anak benih daripada nurseri Jabatan Perhutanan sendiri.

Perkara yang sama berlaku untuk banyak program penanaman semula yang dianjurkan oleh NGO, komuniti atau badan korporat sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR atau Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mereka.

Tetapi semua ini penting untuk memastikan kejayaan penanaman semula.

These community volunteer planters at Sungai Tiram organise their mangrove nursery as part of their dedication to mangrove regeneration (pic: PSHBLS Facebook, 2023).
Penanam sukarelawan komuniti di Sungai Tiram menguruskan nurseri bakau mereka. (gambar: Facebook PSHBLS, 2023).

Apabila Komuniti Memimpin

DUA PULUH SATU TAHUN YANG LALU, Sungai Tiram berhampiran Sitiawan, Perak, kehilangan pesisir pantainya akibat hakisan kerana hutan bakau ditebang untuk membina ladang akuakultur.

Pada tahun 2015, masyarakat tempatan memutuskan untuk memulihkan ekosistem tersebut dengan sokongan daripada NGO Global Environment Centre. Hari ini, mereka menganggarkan bahawa 60 hektar pesisir pantai diliputi oleh pokok bakau.

Kunci kejayaan mereka adalah pemantauan, kata Ketua Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir Sitiawan (PSHBLS), A Hadi Kamil Ismail. Komuniti ini tinggal di tempat penanaman semula dijalankan. Ini bermakna pemantauan kerap dijalankan.

Selain itu, komuniti ini kebanyakannya terdiri daripada nelayan, yang mata pencariannya bergantung pada pokok bakau sebagai tapak semaian untuk ikan dan makanan laut yang mereka tangkap untuk dijual.

“Ada dari kami yang hilang sehingga 300 m tanah ke laut (akibat hakisan pantai). Selain itu, terdapat kolam akuakultur haram,” kata Hadi, seorang penjawat awam yang juga ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Kolam-kolam itu juga melepaskan bahan kimia ke dalam ekosistem, kata Hadi mengimbau kembali keadaan sebelum penanaman semula terjadi.

Bayaran untuk penduduk tempatan

Sukarelawan komuniti ini bertindak sebagai penanam dan pemantau. Apabila syarikat-syarikat datang dengan dana untuk menanam semula, Hadi berkata sukarelawan menerima elaun. Pendapatan ini juga dimasukkan ke dalam dana komuniti untuk program kebajikan dan acara komuniti.

Pada mulanya sukar untuk mendapatkan sokongan penduduk, tetapi sedekad kemudian, kebanyakan penduduk kampung kini benar-benar percaya akan usaha itu, kata Hadi.

Program penanaman semula bakau juga telah menjadi ekosistem ekonominya yang tersendiri. Selain menjalankan acara kesedaran bakau, komuniti ini juga menjual anak benih dan menyewakan peralatan seperti but getah kepada kumpulan penanaman semula di tempat lain.

Pendapatan terkumpul ini digunakan untuk membayar elaun dan mengembangkan dana kebajikan mereka.

“Bila saya tengok pesisir pantai sekarang, saya berasa sangat berpuas hati dengan apa yang telah kami capai,” kata Hadi. “Kini cabaran saya adalah untuk terus menyokong komuniti. Untuk setiap apa yang kami lakukan, jika kami tak jaga komuniti, tiada apa yang dapat dicapai.”

Healthy mangroves now line the once bare Sg Tiram coast, and fish and prawn nurseries are protected. (pic: Aidila Razak)
Pokok bakau yang sihat kini memenuhi pesisir pantai Sungai Tiram yang dahulunya tandus. (gambar: Aidila Razak)

Walaupun mempunyai latar belakang sebagai arkitek landskap, Hadi juga terpaksa mempelajari tentang penanaman semula bakau melalui percubaan dan kegagalan.

Satu pengajaran diterima semasa mereka membeli anak benih daripada satu NGO penanaman semula yang paling berpengalaman di Semenanjung Malaysia, iaitu Persatuan Kebajiakan Nelayan-nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA).

PIFWA telah menanam semula pokok bakau selama beberapa dekad dan merupakan pembekal anak benih utama untuk banyak program di Semenanjung Malaysia. Tetapi anak benih yang dibeli oleh pasukan Hadi dari PIFWA tidak dapat bertahan.

“Kami belajar yang media (tanah) itu penting,” kata Hadi. “Anak pokok (dari PIFWA) ditanam dalam tanah selut tapi di sini, tanahnya lebih berpasir. Jadi walaupun spesiesnya sama, anak pokok tak dapat menyesuaikan diri dengan tanah yang berbeza di sini.”

PIFWA's Ilias Shafie believes mangroves are critical not only for today's fishers but future generations too. (pic: Aidila Razak)
Ilias Shafie dari PIFWA percaya bakau adalah penting bukan sahaja untuk nelayan hari ini tetapi juga generasi akan datang. (gambar: Aidila Razak)

TIDAK SEPERTI BANYAK organisasi yang kini aktif dalam penanaman semula bakau, PIFWA bermula pada akhir 1990-an, sebelum tsunami mencetuskan program penanaman semula kebangsaan. Pencetusnya adalah kehilangan pendapatan perikanan apabila amalan akuakultur merosakkan tapak semaian ikan di hutan bakau, kata pengerusi PIFWA, Ilias Shafie.

Bekas nelayan ini menguruskan PIFWA sepenuh masa kerana pokok bakau sangat penting untuk komuniti nelayan. “Saya mula bergiat dalam PIFWA untuk pastikan ada sesuatu untuk anak-anak saya jika ada dari mereka akan menjadi nelayan. Dan memang betul, 2 daripada anak saya jadi nelayan.”

Menjana wang di setiap langkah

Sejak tahun 2005, PIFWA telah bekerjasama dengan pengeluar mikrocip Amerika Syarikat, Intel, untuk menanam semula pokok bakau di Sungai Acheh, kira-kira 40 km dari kilang Intel di pulau Pulau Pinang. Bagi setiap jam yang diluangkan oleh pekerjanya untuk aktiviti tersebut, Intel mendermakan US$10 (RM41) kepada PIFWA.

Kerjasama ini mengukuhkan status PIFWA sebagai NGO utama untuk program penanaman semula bakau di Semenanjung Malaysia. Ia telah sampai ke tahap di mana kebanyakan kerja PIFWA kini melibatkan pemulihan bakau dan bukannya kebajikan nelayan, kata Ilias.

Ini terbukti sepanjang perjalan lebih kurang 1km dari pusat pendidikan bakau PIFWA ke nurseri NGO itu, yang terletak di tebing sungai. Pada selang setiap beberapa meter, akan terdapat papan tanda yang memaparkan program penanaman semula oleh satu syarikat atau syarikat lain.

Intel telah menyokong PIFWA untuk menanam lebih daripada 17,500 anak benih bakau (gambar: Facebook Intel Malaysia)

Sejak tahun 1997, PIFWA menganggarkan ia telah menanam 400,000 anak benih, dan melalui penilaiannya sendiri, kadar kehidupan 80% – kadar yang amat tinggi dan luar biasa. Walau bagaimanapun, tiada audit bebas ke atas anggaran ini.

Satu-satunya rekod penilaian yang dijalankan ialah gambar-gambar anak benih yang ditanam. Nelayan ditugaskan untuk mengambil gambar anak-anak benih yang ditanam untuk tujuan laporan ke penjaja.

PIFWA mengenakan bayaran tambahan 90 sen setiap anak benih untuk proses dokumentasi ini, dan dana ini akan disalurkan terus kepada nelayan yang melakukan pemantauan.

Data tidak lengkap

Ilias mengakui bahawa cara penilaian ini tidaklah begitu tepat, tetapi ini terbaik yang dapat dilakukan dengan kos 90 sen untuk setiap anak benih. Ia juga nampaknya cukup baik untuk kebanyakan penaja, katanya.

Intel telah menaja PIFWA untuk menanam lebih daripada 17,500 anak benih setakat ini, tetapi laporan CSR Intel juga tidak menyebut berapa banyak daripadanya yang berjaya hidup.

Kelemahan dalam Pengauditan

PENGAUDITAN ADALAH PENTING dalam aktiviti penanaman semula bakau dan namun tiada audit awam diterbitkan untuk program penanaman semula kebangsaan sejak 2014. Dalam laporan terbitan tahun 2024, untuk tempoh 2005–2012, Jabatan Audit Negara telah memuji program tersebut meskipun terdapat kegagalan berulang kali di tapak seperti Pantai Cahaya Negeri.

“Sasaran output dan outcome program ini telah berjaya dicapai dan memberi manfaat

kepada kumpulan sasar dan kelangsungan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai negara…Justeru, usaha memelihara dan memulihara akan diteruskan di masa akan

datang dan semestinya outcome daripada program ini akan lebih signifikan kepada kesejahteraan hidup masyarakat dan kestabilan alam sekitar,” menurut laporan audit itu.

Soalan tentang data

Para saintis mengkritik data yang digunakan untuk audit tersebut. Data mengenai usaha penanaman semula negara direkodkan di laman web ePesisir yang diuruskan oleh kerajaan.

“Pengkalan data (ePesisir) itu tidak memberitahu kita kekerapan pemantauan dan ia tidak melaporkan dapatan selepas setiap pemantauan,” kata Aldrie. “Ia seolah-olah ingin berkata setiap anak benih akan tumbuh menjadi pokok matang sejak hari ia ditanam.”

Kata beliau lagi, semua tapak perlu diaudit setiap suku tahun “untuk mengesahkan bilangan yang ditanam dan untuk memantau kadar pertumbuhan dan kelangsungan hidup, kadar kejayaan dan berapa banyak kawasan hutan yang telah diperoleh (atau sebenarnya hilang) daripada aktiviti penanaman.”

Contohnya, bagi Pantai Cahaya Negeri, Macaranga hanya menemui satu rekod penanaman semula di e-Pesisir. Ini menunjukkan penyimpanan rekod program penanaman semula yang lemah merentasi sektor awam dan swasta. Jabatan Perhutanan tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan Macaranga.

Teknologi seperti penghadang gelombang buluh mewujudkan persekitaran optimum untuk penumbuhan semula bakau. (gambar: Wetlands International Malaysia)

Membantu Alam Semula Jadi

HAKIKATNYA, pokok bakau boleh tumbuh dengan baik dengan sendirinya jika dibiarkan begitu sahaja, kata Aldrie. Oleh itu, beliau mencadangkan agar usaha ditumpukan kepada membolehkan bakau tumbuh semula secara semula jadi, bukannya membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk penanaman semula.

“Penumbuhan semula jadi adalah perkara yang paling utama yang saya cadangkan. Untuk membolehkan perkara ini berlaku, kita mesti menyediakan kawasan kondusif atau membantu membaikpulih kawasan terganggu supaya ia kondusif untuk penumbuhan semula jadi.

“Di sinilah kajian perlu dilakukan sebelum sebarang aktiviti penanaman dijalankan,” katanya.

Pemendapan (accretion) adalah situasi di mana pokok bakau memerangkap lumpur dan pasir, dan menjatuhkan biji benihnya di sana. Biji benih kemudiannya tumbuh. Lama-kelamaan, ini boleh meluaskan garis pantai dan litupan bakau.

Satu intervensi yang berjaya – walaupun tidak bertahan lama – terjadi di Kampung Sungai Haji Dorani di Selangor. walaupun ia tidak bertahan lama. Di sana, satu projek eksperimen geotube oleh Jabatan Saliran dan Pengairan berjaya melindungi kawasan yang akan ditenggelamkan laut. Ia berjaya mencetus proses pemendapan (accretion).

Geotube, secara mudahnya, ialah satu sosej gergasi yang diperbuat daripada tekstil tahan lama dan disumbat dengan pasir. Ia bertindak memecahkan pergerakan ombak. Dengan cara ini, ia mencetus keadaan di mana alam semula jadi boleh menyembuhkan dirinya sendiri.

“Sebaik sahaja anda mempunyai pemecah ombak, pemendapan terjadi (untuk pokok bakau tumbuh dan tumbuh semula),” kata Hamdan dari FRIM. “Jika tidak, lautan akan menghanyutkan sedimen, dan itulah sebabnya anda tidak boleh menanam. Atau lebih tepat lagi, anda boleh menanam hari ini, tetapi esok, semuanya akan lenyap.”

Keadaan yang menstabilkan

Walaupun hanya kira-kira satu pertiga daripada anak benih bakau yang ditanam semula di Kampung Sungai Haji Dorani terselamat pada tahun pertama, perlindungan oleh geotube telah mewujudkan dataran lumpur yang menjadi tapak semaian bakau, membolehkan anak benih yang terselamat tumbuh semula.

Ia nampak seperti penyelesaian yang jelas, tetapi ada kekangan juga. “Kos pemasangan satu geotube itu hampir RM1 juta, tahu tak?” kata Hamdan.

Tambahan pula, pemecah ombak juga boleh mengubah corak ombak dan memberi impak kepada garis pantai bersebelahan. Saintis mengatakan lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami impak hidrologi geotube Kampung Sungai Haji Dorani.

Walaupun kejayaan dicapai, pada tahun 2020, tapak penyelidikan itu dikembalikan kepada kerajaan Selangor. Sejak itu, pokok bakau yang telah tumbuh subur selepas projek geotube telah ditebang, kata Hamdan.

INI TIDAK MENGHALANG ahli pemuliharaan daripada mencuba lagi strategi sedemikian, tetapi kali ini menggunakan kaedah yang lebih murah dan berpotensi kurang invasif.

Di Semarang, Indonesia, penghadang tiang bakau telah digunakan sebagai pemecah ombak sejak tahun 2016. Seorang peserta dalam projek itu ialah ahli ekologi Malaysia, Yong Huai Mei dari NGO antarabangsa Wetlands International (WI).

Mengambil inspirasi dari projek itu, beliau membawa teknologi ini ke Pantai Tanjung Kepah, Perak, di utara tapak penanaman semula Sungai Tiram (lihat peta Sungai Tiram di atas).

Kerjasama pihak berkepentingan

Di sana, WI Malaysia telah melaksanakan Projek Tindakan Bakau Tanjung Kepah (TKMAP) pada November 2024 bersama Universiti Teknologi Petronas, komuniti tempatan dan pelbagai agensi kerajaan. Berbeza dengan projek di Semarang, mereka membina penghadang ombak telap menggunakan buluh, dan bukan batang bakau. Penghadang ini bertindak memperlahankan halaju ombak dan melindungi anak benih di pantai.

Sebelum itu, Yong berkata kebanyakan, atau dalam beberapa kes, semua anak benih yang ditanam dalam program penanaman semula di sana telah hanyut.

“Sayang sangat! Ya, sebiji anak benih hanya berharga RM10 tetapi terdapat kos logistik dan organisasi lain, tidak termasuk juga usaha dan tenaga yang dicurahkan untuk program penanaman semula.”

Penghadang ombak buluh itu masih menelan belanja yang besar, iaitu RM200,000. Kebanyakannya dibelanjakan untuk penyelidikan dan pembangunan oleh penyelidik fakulti kejuruteraan UTP. Projek ini dibiayai oleh Yayasan Hasanah.

Tidak seperti geotube di Kampung Sungai Haji Dorani, penghadang ombak ini meniru ciri-ciri pokok bakau, kata Azwani Sahibu, pegawai teknikal WI untuk projek itu.

Bamboo wave screens [above] and enrichment planting and monitoring [below] raised the survival rate of mangroves in Tg Kepah. (pics: Wetlands International Malaysia)
Penghadang gelombang buluh [atas] dan serta penanaman semula dan pemantauan [bawah] telah meningkatkan kadar kehidupan bakau di Tanjung Kepah. (gambar: Wetlands International Malaysia)

Sejak penghadang itu didirikan, katanya, pasukan itu mendapati kadar kehidupan anak benih bakau yang ditanam telah meningkat sehingga 60%. Ini meskipun terdapat ribut yang luar biasa pada November lalu, di mana ombak melebihi ketinggian penghadang ombak.

Didorong oleh kejayaan awal ini, pasukan itu kini sedang mencari dana baharu untuk meneruskan projek itu dan mengembangkannya ke bahagian lain di pesisir pantai.

SEDIKIT DEMI SEDIKIT, melalui usaha ahli ekologi seperti Yong, Azwanie, Aldrie dan Hamdan, lebih banyak kumpulan yang terlibat dalam penanaman semula bakau di seluruh negara mencari cara yang lebih baik untuk menjalan program mereka.

Di Negeri Sembilan, cawangan MNS tempatan kini menolak tajaan untuk penanaman semula di Pantai Cahaya Negeri. Mereka juga telah melantik pakar untuk menentukan sama ada kawasan lain yang dicadangkan sesuai sebelum sebarang usaha penanaman semula dijalankan.

Jawatankuasa itu juga cuba mengalihkan minat ke arah aktiviti seperti pembersihan pantai, yang menyokong ekosistem bakau sedia ada. Walau bagaimanapun, tidak semua penaja bersetuju dengan alternatif ini, dan ini boleh menjejaskan pendapatan NGO tersebut.

“Seseorang mungkin datang kepada anda dan berkata saya ingin menanam pokok kerana menanam pokok adalah aktiviti yang sangat seksi dan mengujakan, dan ia kelihatan seperti anda benar-benar melakukan sesuatu,” kata penasihat sains MNS Negeri Sembilan-Melaka, Dr James Willis.

“Sebagai sebuah organisasi, anda memperoleh sejumlah tajaan, mungkin beberapa ribu ringgit, daripada projek ini. Tetapi ini perlu ditentang. Sebaliknya, lihatlah apa yang sebenarnya diperlukan oleh pokok bakau dan bagaimana untuk menggalakkan pertumbuhannya.”

Ini merupakan artikel #BLUECARBON dalam Projek Macaranga mengenai Disinformasi Iklim dan Orang Asal, yang disokong oleh International Media Support (di bawah Digital Democracy Initative)

Baca laporan #BLUECARBON:

Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *