Akuakultur Orang Seletar wujud seiring bakau, bukannya memusnahkannya

Akuakultur sinonim dengan pemusnahan bakau, tetapi Orang Asli Seletar bukan sahaja memerlukan bakau untuk penternakan kupang mereka, mereka juga membangunkan teknologi berdasarkan cara kupang hidup di hutan bakau | Foto: menuai kupang, oleh Aidila Razak

Penulis: Aidila Razak  |  Editor: SL Wong
Pereka grafik & Kartografer: Louis Lugas dan Irma Garnesia
Penterjemah: Liani MK & Aidila Razak

Diterbitkan: 20 Oktober 2026 [Laporan Bahasa Inggeris diterbitkan pada 21 September, 2026]

Ini adalah artikel #BLUECARBON, sebahagian daripada projek Macaranga mengenai Disinformasi Iklim dan Orang Asal.

Akuakultur Orang Seletar wujud seiring bakau, bukannya memusnahkannya

Akuakultur sinonim dengan pemusnahan bakau, tetapi Orang Asli Seletar bukan sahaja memerlukan bakau untuk penternakan kupang mereka, mereka juga membangunkan teknologi berdasarkan cara kupang hidup di hutan bakau | Foto: menuai kupang, oleh Aidila Razak

Penulis: Aidila Razak
Editor: SL Wong
Pereka grafik & Kartografer: Louis Lugas dan Irma Garnesia

Penterjemah: Liani MK & Aidila Razak

Diterbitkan: 20 Oktober 2026 [Laporan Bahasa Inggeris diterbitkan pada 21 September, 2026]

Ini adalah artikel #BLUECARBON, sebahagian daripada projek Macaranga mengenai Disinformasi Iklim dan Orang Asal.

DARI UDARA, Kampung Sungai Temon dan air tenang yang mengelilinginya seakan-akan sebidang kain yang disulam.

Hanya beberapa meter dari sempadan maritim yang memisahkan Malaysia dan Singapura, lautan akuamarin ini seakan fabrik yang dihiasi dengan jalur yang membentuk penternakan kupang.

Ini adalah usaha akuakultur 3 generasi oleh Orang Asli Seletar di Johor, yang beroperasi sejak tahun 1980-an.

Generasi masyarakat Seletar telah mengusahakan ternakan kupang di selatan Johor. (Gambar: Shufiyan Shukor)
Generasi masyarakat Seletar telah mengusahakan ternakan kupang di selatan Johor. (Gambar: Shufiyan Shukor)

Di tepi perairan, sepanjang pantai di mana terletak beberapa rumah Seletar, terdapat hutan paya bakau yang telah menyokong komuniti Orang Asli ini sekian lama, sebelum wujudnya sempadan negara.

Selama beberapa dekad, akuakultur mempunyai rekod buruk dalam usaha pemeliharaan hutan bakau. Di seluruh dunia, perusahaan ini merupakan punca utama kehilangan hutan bakau, di mana pokok-pokok bakau yang wujud di zon pasang surut ditebang untuk dijadikan kolam akuakultur.

Antara tahun 1990 dan 2023, Malaysia kehilangan 42,490 ha hutan paya bakau, menurut Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM, 2024). Dalam tempoh enam tahun yang lalu, Johor mencatatkan kehilangan terbesar di Semenanjung Malaysia. (713 hektar).

Menurut FRIM, antara semua ancaman terhadap pemeliharaan bakau, akuakultur adalah ancaman paling tinggi. Kajian lain menunjukkan bahawa antara tahun 2000–2012, Malaysia kehilangan 15% daripada bakaunya akibat akuakultur ikan dan udang.

Namun di Kampung Sungai Temon, di bawah kelolaan Orang Seletar, akuakultur dan pemuliharaan bakau saling seiringan.

Jefree Salim boats through his local mangroves, which are key to Seletar livelihoods. (pics: Aidila Razak)
Jefree Salim berperahu melalui pokok bakau, yang merupakan kunci kepada mata pencarian Seletar. (Gambar: Aidila Razak)

Belajar daripada alam semula jadi

SECARA SEMULA JADI, kupang tumbuh di permukaan berbatu di tebing atau – seperti yang diperhatikan oleh Seletar – di bahagian bakau yang tenggelam dalam air, kata penternak kupang generasi ketiga, Jefree Salim.

Datuk Jefree dan generasi Seletar seiringnya telah belajar dari alam semula jadi dan memancang batang bakau ke dasar laut di Pantai Lido berhampiran tempat tinggal mereka. Apabila mereka gantungkan jala ikan pada pancang, benih kupang (mussel spat) yang wujud secara semula jadi dalam lautan akan melekat pada jala dan membesar. Sebaik sahaja kupang mencapai usia matang, nelayan akan menyelam untuk menuainya.

“Menternak kupang tak macam udang atau ikan – kita tak perlu beli benih, atau beri kupang makan; alam semula jadi melakukan semuanya,” kata Jefree. “Tapi kupang takkan hidup kalau air kotor atau keruh. Pokok bakau jadi penapis air, supaya air bersih.”

Orang Laut

Keluarga Jefree telah tinggal kampung ini selama 9 generasi, lama sebelum kewujudan bandar Johor Bahru. Kaum Seletar ialah Orang Laut, penduduk pesisir pantai yang berasal dari Selat Johor. Identiti dan pengetahuan tradisional komuniti ini berkisar pasang surut lautan, ekosistem pesisir pantai dan perikanan.

Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mereka tentang ekologi pantai dan lautan, kaum Seletar memahami bahawa pokok bakau memainkan peranan penting dalam ekosistem. Bakau bertindak sebagai tempat pembiakan bagi banyak spesies, dan sebagai penapis air untuk menyingkirkan bahan pencemar, nutrien berlebihan, dan kekeruhan.

Pengetahuan ini merupakan asas kepada teknologi kupang mereka.

Datuk Jefree antara yang pertama menternak kupang di perairan sekitar kampung itu hampir setengah abad yang lalu. Selepas itu, kaum Seletar menginovasi penanaman kupang melalui ‘trial and error’, jelas Jefree. Hari ini, kaedah rawai yang digunakan kaum Seletar adalah antara kaedah penanaman kupang yang paling cekap di rantau ini.

Usaha kaum Seletar juga telah menghasilkan mata pencarian yang lumayan dan lestari, menghasilkan pendapatan bersih sebanyak RM30,000 setahun untuk sebuah penternakan kecil yang menghasilkan lebih kurang 20 tan kupang. Kampung Jefree mempunyai 3,000 orang penduduk, dan 4 daripada 5 isi rumah mengusahakan penternakan kupang.

Para penternak Orang Seletarlah yang telah membantu menjadikan Johor sebagai pengeluar kupang terbesar di negara ini, menghasilkan lebih 3,000 tan kupang setiap tahun.

Diguna pakai secara meluas

Penternakan kupang terbesar di Johor juga sebahagian besarnya dipelopori oleh kaum Seletar, bersama-sama nelayan Melayu dan Cina. Ia terletak di Kampung Pasir Gudang Baru di Masai, kira-kira setengah jam memandu kereta dari kampung Jefree.

Walaupun komuniti Seletar di Masai menerima bantuan kewangan daripada Petronas pada tahun 2020 untuk mengembangkan penternakan kupang mereka, Jefree berkata warga Kampung Sungai Temon tidak menerima sokongan sedemikian daripada sesiapa pun.

“Semua yang kami ada di sini hasil usaha kami sendiri. Tiada siapa yang ajar atau beri dana. Semuanya kami buat sendiri, simpan duit sedikit demi sedikit.”

Sesungguhnya, teknik pembiakan kupang kaum Seletar semuanya berdasarkan pengetahuan mendalam mereka tentang alam sekitar, kata Dr Vivienne Wee, seorang ahli antropologi yang telah mengkaji komuniti Orang Asli ini selama beberapa dekad.

“Orientasi marin merekalah yang telah membawa kepada penternakan kupang. Mereka secara sendiri telah menemui cara untuk melakukan penternakan kerana mereka bergiat sebagai nelayan dan mencari hasil laut selama beberapa generasi.

“Mereka kenal spesies yang berbeza, di mana spesies itu tinggal dan bagaimana mereka hidup,” katanya.

Tumpuan penyelidikan

Kini, pengetahuan itu menjadi bahan kajian para penyelidik di Universiti Malaysia Terengganu di bawah pimpinan ahli geografi manusia Dr Jarina Jani, yang menerima geran daripada Jabatan Perikanan.

“Masalahnya dengan kita, yang kononnya moden dan maju, ialah kita mahu menguasai alam semula jadi,” katanya.

Contohnya, kebanyakan ladang udang di Malaysia mengusahakan udang Panama, yang memerlukan penjagaan melangkaui apa yang terdapat secara semula jadi di persekitaran tempatan. “Untuk menampung spesies asing ini, kita perlu memberi mereka vitamin dan sebagainya, dan akhirnya, kita merosakkan ekosistem semula jadi.

“Cara penternakan kupang Seletar adalah cara yang lebih lembut untuk bekerjasama dengan alam semula jadi. Ini satu pengajaran tentang cara kita boleh hidup bersama. Tak perlu buat banyak, tetapi menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan alam semula jadi,” katanya.

Nine generations of Seletar have lived and worked with nature in Kampung Sungai Temon (pic: Aidila Razak)
Sembilan generasi Seletar telah tinggal dan bekerjasama dengan alam semula jadi di Kampung Sungai Temon (gambar: Aidila Razak)

Penternakan kupang telah dipromosikan dan disokong oleh Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia di beberapa negeri, tetapi tak banyak penternak yang menggunakan kaedah rawai seperti kaum Seletar.

Kebanyakannya menggunakan pancang yang dicucuk ke dasar laut atau rakit, yang menelan belanja puluhan ribu ringgit untuk dibina.

Pembangunan Teknologi Seletar

BAGAIMANAKAH teknologi Seletar berkembang? Jefree menerangkan secara terperinci.

Secara tradisinya, nelayan Seletar akan menggantungkan jala mereka dari pokok bakau ke pokok bakau untuk menangkap ketam dan ikan yang datang bersama air pasang. Kadangkala, siput, kupang atau kerang juga akan melekat pada jala.

Generasi datuknya mula memancang batang pokok bakau di tempat air pasang. Mereka mengubahsuai jala lama menjadi tali dan mengikatnya pada pancang. Mereka mendapati benih kupang akan melekat pada tali jala dan membesar dengan baik di sana.

Dengan cara ini, apabila tiba masanya untuk menuai kupang, penternak hanya perlu mengangkat tali keluar dari air. Mereka pastinya tidak perlu lagi terjun ke dalam perairan yang dipenuhi buaya, dan mempertaruhkan nyawa dan anggota badan.

Pengalaman ini mengajar mereka bahawa semakin dekat tali ke permukaan, semakin mudah proses penuaian.

Four out of five households in Kampung Sungai Temon farm and process mussels (pics: Aidila Razak)
Empat daripada lima isi rumah di Kampung Sungai Temon menternak dan memproses kupang (gambar: Aidila Razak)

Ini kemudiannya beralih kepada kaedah rakit. Apabila generasi bapa Jefree mula mengambil alih, penternak kupang mula membina struktur rakit menggunakan batang kayu yang diapungkan oleh tong plastik – sama seperti kelong ikan.

Pada rakit, mereka akan mengikat jala ikan yang lama, yang dijadikan tali. Tali itu akan digantung ke dalam air, dan kupang akan lekat padanya. Rakit yang lebih besar boleh menelan belanja kira-kira RM20,000 untuk dibina dan banyak lagi untuk diselenggara selama bertahun-tahun.

Evolusi Rawai

Tetapi jika motifnya hanya untuk gantungkan tali ke dalam air untuk kupang melekat dan membesar, mengapa perlu gunakan batang kayu? Mungkin ada cara yang lebih murah. Beginilah kaedah rawai dilahirkan.

Setiap tali rawai diapungkan secara mendatar di permukaan air menggunakan beberapa tong plastik. Pada setiap tali, jala ikan yang lama diikat pada selang jarak yang tetap. Jala ikan lama itu akan tergantung ke dalam air untuk membolehkan benih kupang melekat dan membesar.

Kaedah baharu ini berjaya mengurangkan separuh kos, sekali gus menggalakkan lebih ramai penternak kupang dalam kalangan masyarakat. Hari ini, kebanyakan penternak kupang di Kampung Sungai Temon menggunakan kaedah rawai.

Jefree's mussel raft is based on his father's complete with a hut where his then-infant children napped while he toiled on harvests. (pics: Aidila Razak)
Rakit kupang Jefree adalah berdasarkan rakit bapanya, lengkap dengan sebuah pondok tempat anak-anaknya yang ketika itu masih bayi, tidur siang sementara dia bekerja keras menuai hasil ternakan. (gambar: Aidila Razak)

Jefree memutuskan untuk menggunakan kaedah rakit yang sama yang digunakan oleh bapanya, walaupun kosnya lebih tinggi. Ini kerana, ia lebih stabil, oleh itu cara menuai kurang meletihkan.

Ia mempunyai 39 rasuk, agak kecil berbanding rakit lain di kampung itu. Di atasnya terdapat sebuah pondok kecil dengan beranda dan pondok. Di dalam pondok terdapat sebuah katil bujang dan buaian yang tergantung dari siling. Buaian itu adalah tempat kedua anak-anaknya tidur siang semasa bayi, sementara dia bekerja menternak kupang.

Hasil tuaian jatuh

Tetapi keadaan telah berubah. Kira-kira 10 tahun yang lalu, ketika anak sulungnya masih bayi, Jefree boleh mengisi sehingga 780 guni dengan hasil tuaian, setiap guni seberat sehingga 30 kg.

Hari ini, jumlah itu jatuh ke hanya 15% daripada apa yang pernah dituainya. Dalam nilai ringgit, itu merupakan penurunan pendapatan bersih daripada RM30,000 setahun kepada hanya RM5,000 setahun, katanya.

“Kita dah tak boleh lagi bergantung sepenuhnya pada laut. Kalau ya pun, kita kena buat dua tiga kerja – pagi tangkap ikan, sambil itu menternak kupang, waktu petang tangkap ketam dan buat kerja-kerja kampung lain untuk tampung kehidupan.”

Antara puncanya ialah kehilangan pokok bakau.

Kehilangan tanah dan laut

KETIKA pesisir pantai selatan Johor dibangunkan menjadi pembangunan baru seperti Puteri Harbour dan Forest City, kawasan hutan bakau yang luas telah ditebang. Antara 2017–2023, Johor kehilangan paling banyak pokok bakau di antara negeri-negeri semenanjung (713 hektar). Garis pantai juga telah ditebus guna, mengubah lanskap sepenuhnya.

Pantai Lido, di mana Orang Seletar pertama kali membangunkan teknologi penternakan kupang mereka 2 generasi yang lalu, kini merupakan pembangunan Country Gardens Danga Bay. Bangunan tinggi di sana terletak di kawasan tambak laut.

Di belakang pokok-pokok bakau yang masih ada di sekitar Kampung Sungai Temon ialah banglo mewah Taman Laguna, sebuah komuniti kediaman yang dipagari dawai berduri. Lebih banyak banglo sedang dibina di sana. Menurut papan tanda yang dinaikkan, pembeli dijanjikan sebuah “enklaf berpagar yang dikawal”.

Hartanah di Taman Laguna merupakan pegangan kekal yang berharga setinggi RM5 juta seunit dan terletak hanya 15km dari sempadan Woodlands ke Singapura. Menurut pelan tempatan, hutan pokok bakau dan Kampung Sungai Temon semuanya ditanda sebagai “kegunaan kediaman”.

Penambakan laut mengecilkan kawasan perairan tempat penternakan kupang Seletar, dan di sebelah kanan, beberapa perumahan mewah yang telah menggantikan pokok bakau (gambar: Aidila Razak)

Pada tahun 2012, komuniti Kampung Sungai Temon telah membawa kerajaan dan pemaju ke mahkamah kerana menceroboh tanah dan perairan tradisional mereka. “Gila! Tongkang besar yang bawa pasir lalu terus di tempat kupang,” Jefree mengimbas kembali. “Kami semua bawa keluar bot untuk halang tongkang.”

Pada tahun 2023, komuniti tersebut mencapai satu persetujuan di luar mahkamah. Mereka akan berpindah ke penempatan Orang Seletar yang lain di Ulu Tiram, kira-kira 90 minit perjalanan kereta dari Kampung Sungai Temon.

Sebagai balasan, komuniti tersebut akan menerima pampasan kira-kira RM6,500 setiap isi rumah, dan penempatan baharu mereka akan diwartakan sebagai Kawasan Orang Asli.

Dalam ketidakpastian

Tetapi setelah 3 tahun berlalu, kawasan rizab yang dijanjikan belum diwarta.

“Rasa macam kami dapat merancang kehidupan. Kena pindah atau tak? Patutkah saya baiki galeri ini atau tak?” kata Jefree, merujuk kepada Pusat Kebudayaan Orang Seletar yang dia bantu bina.

Pusat ini memerlukan perbaikan segera. Jefree melakukan apa yang termampu menggunakan dana dari anjuran ekopelancongan di kawasan bakau.

Apakah dunia yang menantikan anak Jefree yang berusia 8 tahun? (gambar: Aidila Razak)

Sementara itu, timbunan pasir tambak semakin hampir. Satu timbunan pasir hanya 200 m dari kampung, malah lebih dekat dengan rakit penternakan kupang Jefree. Kelodak telah menjadikan air lebih keruh dan cetek. Lebih buruk lagi, pokok bakau juga telah ditebang, dan tiada apa-apa untuk menapis aliran air dari sungai setiap kali hujan.

“Sekarang kupang boleh melekat di bahagian atas tali tetapi tak di bahagian bawah (di mana terdapat kelodak). Jadi kena selalu bersihkan tali supaya kupang boleh melekat. Kalau melekat pun, kupang tak membesar macam biasa…kupang paling bawah akan mati,” kata Jefree.

Ini bermakna kerja berganda – kupang yang mati perlu dibuang dari tali dan tali perlu dibersihkan untuk membolehkan benih kupang baru boleh melekat.

Pertumbuhan semakin perlahan

Selain itu, kupang kini mengambil masa yang lebih lama untuk mencapai kematangan. Jika sebelum ini, penternak boleh menuai dua kali setahun, kini ia mengambil masa sehingga 8 bulan untuk kupang mencapai kematangan.

Sementara itu, permintaan untuk kupang semakin meningkat dari hari ke hari. Pemborong kerap menghubungi komuniti untuk mendapatkan stok, kata Jefree. Kupang dari Kampung Sungai Temon dijual di Singapura, Kuala Lumpur dan jauh lagi.

“Memang tak dapat penenuhi permintaan,” katanya.

Apabila tiba masanya untuk meninggalkan Kampung Sungai Temon, Jefree berkata dia tidak akan membawa rakit kupangnya ke penempatan baharu itu.

Air di Ulu Tiram lebih keruh, katanya. Dia meragui hasil tuaian jangka panjang tidak akan berbaloi dengan kos pengangkutan rakitnya. “Saya akan cuba jual (rakit). Kalau tak ada siapa nak, tinggal sini. Tak berbaloi (bawa ke sana).”

Kata Jefree, ada sesetengah pihak, yang mencadangkan agar komuniti menanam semula pokok bakau di Ulu Tiram bagi memulihkan habitat dan kualiti air. Dia mengakui bahawa dengan penajaan dan sokongan untuk penanaman semula dan pemantauan, ia juga boleh menjadi sumber pendapatan untuk komuniti.

“Tapi bukan sekejap hutan bakau nak tumbuh, makan masa berpuluh-puluh tahun. Kalau kawasan itu tak diwarta sebagai rizab Orang Asli, benda sama boleh terjadi. Ada orang boleh datang tebang semua untuk bina kondominium. Jadi nak buat apa?”

Shufiyan Shukur memberikan gambaran dilema penempatan semula penduduk Kampung Sungai Temon dalam video yang diterbitkan setahun yang lalu.

Namun, teknologi Seletar tidak akan hilang. Para penternak Seletar telah dengan murah hati berkongsi pengetahuan mereka dengan komuniti pesisir pantai yang lain. Baru-baru ini, Jefree berkata mereka berkongsi benih kupang dengan komuniti di Batu Pahat di utara, yang cuba memulakan penternakan kupang.

Melalui Dr Jarina dari UMT, dia juga telah berhubung dengan komuniti Orang Asli pesisir pantai Selangor, Mah Meri. “Saya berkongsi cara melihat pokok bakau dan permukaan lain berhampiran air untuk melihat sama ada terdapat kupang yang melekat. Jika ada, maka adalah mungkin untuk menternaknya,” katanya.

Dia berharap dapat membimbing mereka lebih lanjut untuk menjalankan projek rintis penanaman kupang di sana. Ia akan menelan belanja RM5,000 untuk membina satu sistem penanaman, katanya. “Dari situ, mereka boleh berkembang sedikit demi sedikit,” katanya.

Ini merupakan artikel #BLUECARBON yang sebahagian Projek Macaranga Mengenai Disinformasi Iklim dan Orang Asli, yang disokong oleh International Media Support (di bawah Digital Democracy Initiative)

Baca laporan #BLUECARBON:

Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This is a #BLUECARBON story in the Macaranga Project on Climate Disinformation and Indigenous People, supported by International Media Support (under the Digital Democracy Initiative)