Kuda laut yang menakjubkan boleh menjadi ikon pemuliharaan laut dan perubahan iklim. Bagi menarik minat rakyat Malaysia, seorang penyelidik mengkaji kepelbagaian budaya yang diamalkan. Diterjemahkan oleh Hanna binti Norhisam.
[Read story in English | 点击阅读中文版]
SETIAP KALI ahli pemuliharaan Reana Ng masuk ke kedai perubatan tradisional Cina (PTC), beliau akan dipandang aneh, katanya dengan ironi. “Mereka tahu anda tidak datang untuk membeli ubat tradisional… Mengapa sebenarnya anda datang ke sini?”
Tanpa menghiraukan pandangan mereka, Ng terus mengunjungi kedai-kedai sebegini. Sejak Mac lalu, pelajar Ijazah Sarjana ini telah mengumpul maklumat mengenai kepelbagaian penggunaan kuda laut dan bagaimana rakyat di Semenanjung Malaysia menggunakannya.
(Gambar: Kuda laut kering digunakan dalam Perubatan Tradisional Cina selama berabad-abad | Foto: Reana Ng)
PTC telah digunakan selama berabad-abad di Malaysia. Kini, dianggarkan seramai 6,000 pengamal PTC memberi perkhidmatan kepada sebahagian besar pelanggan etnik Cina.
Kuda laut digunakan dalam PTC untuk merawat pelbagai jenis penyakit, termasuk keadaan kulit, pembersihan darah dan panas badan (ketidakseimbangan tenaga yin-yang kerana terlalu banyak tenaga yang).
Kedai pertama yang dikunjungi oleh Ng ialah sebuah kedai tradisional dengan kaunter kaca yang dibelakangi kabinet ubat coklat gelap dengan tombol laci bercorak pancaran suria.
Kembali ke masa lampau
Di sebalik kaunter itu, kelihatan seorang pekedai tua yang berkerepot. Dia memakai kemeja-T putih jenama Pagoda yang dimasukkan ke dalam seluar pajamanya yang berbelang-belang.
Lelaki tua itu merenung dingin pada Ng, hanya menjawab sepatah-sepatah sehinggalah Ng memberitahunya bahawa beliau separuh Cina (Ng juga separuh India).
Ng berpendapat bahawa persepsi budayalah yang menjadi asas dialog.
Pekedai yang kini sudah mesra itu masuk ke bilik belakang lalu membawa keluar beberapa buah bekas plastik yang dipenuhi kuda laut dan unduk-unduk kering untuk ditunjukkan kepada Ng.
Apabila ditanya bagaimana dia menjual ikan-ikan itu, sama ada mengikut bilangan atau berat, dia mengeluarkan sebuah dang cing tembaga (penimbang tradisional Cina) yang lengkap dengan jumbai merah untuk ditunjukkan kepadanya. (Harganya RM1,000 untuk 300g.)
Kedalaman pengetahuan
Dia juga mengongsi resipi terperinci perubatan berasaskan kuda laut dan menjawab pertanyaan Ng mengenai ancaman kuda laut (tangkapan sampingan adalah satu “ancaman kecil”) dan kosnya (“harganya terlalu mahal”).
Bagi Ng yang terlatih dalam bidang zoologi dan ekologi, keseluruhan pengalaman itu membuka matanya terhadap budaya dunia PTC.
Ini adalah pemahaman yang sedang didalami oleh Ng untuk projek penyelidikannya, ‘Aplikasi Perubatan Tradisional, Budaya dan Perdagangan Kuda Laut di Malaysia’.
PTC ialah bidang perubatan yang paling terkenal dengan penggunaan kuda laut di dunia. Ini mungkin benar di Malaysia tetapi penyelidikan terakhir yang diterbitkan mengenai hal ini adalah hampir 20 tahun lalu.
Banyak yang tidak diketahui
“Perdagangan kuda laut di negara kita adalah lebih banyak daripada apa yang kita sangkakan,” kata Ng.
“Disebabkan oleh kekurangan data, perdagangannya dianggap lebih rendah berbanding perdagangan tenggiling atau (gading) gajah.” Beliau menambah hal ini akan membawa kepada ketiadaan keterdesakan di kalangan pihak berkepentingan dalam pemeliharaan kuda laut.
Selama beberapa dekad, para penyelidik menganggap Malaysia memainkan peranan besar dalam eksploitasi kuda laut disebabkan oleh jumlah penduduk etnik Cina yang banyak, habitat kuda laut yang luas dan juga lokasinya sebagai pusat perdagangan serantau.
Di Malaysia, kuda laut bukan sasaran para nelayan tetapi ia ditangkap secara tidak sengaja sebagai tangkapan sampingan, terutamanya apabila menggunakan pukat tunda dasar yang mengaut semua hidupan laut dengan menggunakan jaring besar. Di peringkat global, PBB menganggarkan sebanyak 4.2 juta tan tangkapan sampingan dan sisa ditangkap akibat penggunaan pukat tunda.

Tiada data
Oleh sebab Malaysia tidak mencatat tangkapan sampingan dalam data perikanan, jumlah kuda laut yang ditangkap atau dieksport tidak diketahui.
Berdasarkan angka perdagangan global pada tahun 2010, anggaran kasar penangkapan kuda laut di Malaysia setiap tahun adalah hampir 1 juta.
Sebenarnya, perdagangan kuda laut di peringkat antarabangsa dan secara lestari adalah sah di sisi undang-undang di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam Pupus (CITES).
Kuda laut dicari untuk penggunaannya dalam PTC, selain dijadikan sebagai barangan aneh dan untuk perdagangan ikan hiasan untuk akuarium.
Gambaran palsu
Namun, semasa beliau melaksanakan tinjauan terhadap 22 orang responden PTC di Lembah Klang, Ng mendapati kebanyakannya di bawah tanggapan bahawa pembelian dan penjualan kuda laut adalah haram.
Bagaimanapun, dua pertiga daripada mereka menjualnya juga. Oleh sebab itu mereka berasa sangsi terhadap Ng apabila beliau menemui mereka.
Kira-kira separuh daripada responden mengambil ubat berasaskan kuda laut untuk diri mereka sendiri, baik dalam bentuk kering mahupun kapsul.
Ubat efektif
“Ia mengekalkan kesihatan tubuh badan saya. Ia mempunyai kurang kesan sampingan berbanding ubat-ubatan moden,” kata seorang responden yang enggan identitinya didedahkan.
“Saya rasa bahawa penggunaan kuda laut dalam perubatan tradisional memberikan kesan yang lebih baik atau sama seperti ubat-ubatan moden.”
Seorang lagi responden menambah memakan kuda laut “adalah sebahagian daripada kepercayaan budaya saya”.
Nilai pemuliharaan
Kuda laut menjadi perhatian pemuliharaan global baru-baru ini.
Pakar-pakar di mesyuarat Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) pada akhir 2020 bersetuju untuk meningkatkan profil pemuliharaan kuda laut serta haiwan-haiwan laut lain yang tergolong dalam keluarga Syngnathidae.
Mereka juga mengesyorkan bahawa spesies ikonik itu digunakan “untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu laut yang umum termasuk perubahan iklim”.
Ikon perubahan iklim
Perubahan iklim mempengaruhi kuda laut secara langsung terutamanya menerusi pengasidan lautan dan peningkatan suhu laut yang mengganggu tahap aktiviti, makanan dan pengudaraan.
Kenaikan paras laut serta hujan dan ribut yang lebih intensif yang berkaitan dengan perubahan iklim juga mempengaruhi habitat kuda laut yang sudah terancam akibat pembangunan yang tidak lestari dan pencemaran.
Menangani isu-isu ini akan menangani isu kesihatan marin secara menyeluruh.
- IA ADALAH keajaiban alam semula jadi. Seekor ikan yang mempunyai kepala kuda dan kantung kangaru, kuda laut jantan bunting dan melahirkan anak serta bersifat monogami seumur hidup.
- IA HIDUP DI RUANG KECIL tetapi di dalam pelbagai jenis habitat pantai termasuk ekosistem rumpai laut, terumbu karang dan paya bakau.
- IA MEMBANTU dalam menstrukturkan ekosistem-ekosistem ini dengan memakan organisma dasar laut. Ciri-ciri ini menjadikannya ikon budaya dalam pelbagai budaya, termasuklah di Malaysia.
- MENURUT kumpulan pakar kuda laut Project Seahorse: "Dengan menanangi isu yang berkaitan dengan kuda laut — seperti membangunkan kawasan perlindungan marin, mengekang amalan penangkapan ikan yang merosakkan dan mengawal perdagangan hidupan liar — kita boleh membantu ribuan spesies lain."
Sumber: Project Seahorse, pelbagai sumber
Malaysia merupakan kunci dalam menangani masalah yang berkaitan dengan kuda laut kerana lokasinya berada di dalam kawasan yang diutamakan oleh IUCN bagi pemuliharaan kuda laut.
“Terdapat spesies Rentan di seluruh dunia tetapi kita lazim melihatnya di bahagian timur Asia Tenggara…setara dengan kenyataan bahawa terdapat lebih banyak spesies di kawasan ini,” kata Dr Amanda Vincent dari IUCN di mesyuarat global bersama pakar-pakar kuda laut baru-baru ini. (lihat Peta)
Vincent ialah pengerusi Kumpulan Pakar Kuda Laut, Seadragon dan Unduk-unduk di bawah Suruhanjaya Kemandirian Spesies IUCN.


Memang benar bahawa Malaysia sahaja mempunyai 12 spesies kuda laut, lebih seperempat daripada semua spesies kuda laut.
Namun demikian, terdapat data hanya untuk 5 spesies untuk menilai populasi dan ancamannya. Kelima-lima spesies itu berada dalam bahaya, kata Mohamad Saupi Ismail, Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), yang di bawah Jabatan Perikanan.
Masa depan yang gelap
“Sekarang, sebahagian besar kuda laut di Malaysia tergolong dalam kategori Rentan dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. Kita menunggu masa sahaja sebelum salah satu daripadanya menjadi spesies Terancam,” kata Saupi, yang merupakan Pihak Berkuasa Saintifik Nasional Malaysia bagi kuda laut di CITES.
Kuda laut yang paling berisiko ialah hedgehog seahorse (Hippocampus spinosissimus) dan three-spot seahorse (H. trimaculatus) kerana kedua-duanya sering diperdagangkan di peringkat global.
Malaysia ketika ini tidak mempunyai strategi untuk memulihara kuda laut. Sungguhpun begitu, institut penyelidikan Saupi telah membiak kuda laut sebagai langkah pemuliharaan.
Pembiakbakaan dalam kurungan
Tangki yang disusun berbaris bersama paip dan hos yang berselerak, itulah pusat penetasan dan makmal IPP untuk mengkaji dan membiak kuda laut sejak 2014.
Kini, institut tersebut menempatkan ribuan kuda laut yang dibiakbakakan dalam kurungan.
Kuda laut di institut tersebut terdiri daripada 3 spesies yang dijumpai di Malaysia, iaitu three-spot seahorse yang sering diperdagangkan, spotted seahorse (Hippocampus kuda), Barbour’s seahorse (H. barbouri) – dan juga big-belly seahorse Australia/New Zealand (H. abdominalis).


“Kami di FRI memberi penekakan kepada akuakultur kuda laut sebagai alternatif kepada penangkapan kuda laut di perairan Malaysia,” Saupi berkata kepada Macaranga.
“Sebaliknya (pembeli) boleh membeli kuda laut peliharaan di pusat penetasan atau kedai akuarium.”
Strategi ini bertujuan untuk membangunkan akuakultur kuda laut yang lestari sebagai sebahagian daripada akuakultur ikan hiasan.
Langkah berjaga-jaga?
Dalam resolusi 2020 mereka, IUCN menyatakan mereka “bimbang usaha akuakultur syngnathid sering menambahkan tekanan terhadap populasi liarnya”.
Saupi tidak bersetuju. “Sebaliknya, pembiakan kuda laut akan membantu memulihkan populasi liar.”
Saupi pernah menegaskan bahawa pada dasarnya, objektifnya adalah untuk “mempunyai sebuah sistem sekiranya semua haiwan laut pupus”.
Pelbagai nilai
Pendekatan Ng terhadap pemuliharaan kuda laut adalah untuk meningkatkan penggunaan lestari.
Berdasarkan penggunaan kuda laut yang meluas dalam PTC, kuda laut bukan sahaja bernilai dari sudut kesihatan manusia, ia juga sumber pendapatan bagi sektor perubatan tradisional dan nelayan kecil-kecilan.
Penggunaan dan perdagangannya didorong oleh budaya, kata Ng, sambil menambah bahawa perkara ini terlepas pandang dalam kerumitan perdagangan hidupan liar.
Sup sirip ikan yu
Beliau menegaskan tentang isu pemuliharaan yang diketahui umum, iaitu sup sirip ikan yu yang digemari oleh orang Cina. Penggunaannya secara berterusan berakar umbi dalam budaya Cina.
“Kemudian kita (harus) mempersoalkan mengapa masyarakat Cina sangat menghargai sup sirip ikan yu?”
Untuk lebih memahami faktor-faktor budaya yang menekankan penggunaan kuda laut, Ng juga meninjau para nelayan dan masyarakat umum.
Apa yang menarik tentang Malaysia dalam hal ini ialah penduduknya yang berbilang etnik, yang mana orang Melayu ialah kumpulan terbesar di semenanjung dan di pesisir laut, diikuti oleh komuniti etnik Cina, India dan Orang Asli yang cukup besar saiznya.
Kepelbagaian kegunaan
“Kami menjangkakan bahawa penggunaan kuda laut (oleh kumpulan-kumpulan yang berlainan) mungkin berbeza,” kata Ng.
Maklum balas dari 500 responden pertamanya sudah membuktikan kenyataan ini, bukan sahaja dari segi etnik, tetapi juga dari segi geografi.
Contohnya, orang Melayu di Lembah Klang dan selatan Semenanjung Malaysia menggunakan kuda laut untuk merawat penyakit yang sama seperti PTC, terutamanya asma.
Tetapi di bahagian utara Malaysia, orang Kedah menggunakannya untuk masalah kelesuan dan senggugut.
Selain itu, memakai kuda laut sebagai tangkal diamalkan di kalangan nelayan Melayu. Tetapi, di sebuah jeti di Johor, seorang nelayan India berlari pulang untuk mengambil tangkal kuda laut yang digunakannya untuk tujuan yang sama, supaya dia boleh menunjukkannya kepada Ng.
Sensitiviti dalam campur tangan
“Malangnya, (penyelidikan terhadap) penggunaan kuda laut dari aspek budaya tidak banyak, walhal ia sangat penting untuk mengetahui langkah-langkah pemuliharaan dan campur tangan yang berkesan dan relevan dengan budaya atau sensitif budaya,” katanya.
Ini mungkin berkesan apabila mencadangkan alternatif kepada kuda laut, misalnya.
Perubahan nampaknya sudah berlaku dalam PTC yang sudah berabad-abad pengamalannya di Malaysia.
Angin perubahan
“Secara umum, penggunaan kuda laut semakin berkurang (dalam PTC) dan bukan mudah untuk mendapatkan kuda laut,” kata Lock Fu Fah, seorang pengamal PTC selama 10 tahun yang ditemu ramah oleh Macaranga.
Akibatnya, kedai perubatan Cina telah mengurangkan bekalan kuda laut untuk dijual.
Dia menambah bahawa pakar-pakar perubatan moden yang menjalani latihan ijazah universiti selama lima tahun akan mencari alternatif. Lock sendiri lebih gemar mengambil plasenta haiwan dan biji halba sebagai penggantian kepada kuda laut.
Namun, pada pandangannya, “secara klinikal, pakar perubatan yang lebih tradisional cenderung menggunakan kuda laut”. Begitu juga bagi orang ramai yang menyediakan ubat-ubatan mereka sendiri di rumah.
Tidak melampaukah ini?
Lock bimbang penggunaan haiwan yang terancam seperti kuda laut adalah satu amalan yang tidak lestari.
“Di Malaysia, apabila pengamal PTC memberi ubat, dosnya cukup untuk beberapa hari dan setiap dos harian mengandungi 5 hingga 10 ekor kuda laut. Pengamal PTC tradisional cenderung untuk menggunakan lebih. Oleh hal yang demikian, 70 ekor kuda laut diperlukan untuk preskripsi seminggu.
“(Mujurlah) trend yang baik dapat dilihat di Malaysia (iaitu) kita mengurangkan penggunaan haiwan terancam dalam PTC.”

Pengalaman Ng dalam PTC memperkuat keperluan untuk bekerjasama dengan pengguna kuda laut demi pemuliharaan dan bukannya pengenaan sekatan seperti melarang penggunaannya.
“Amat sukar untuk memberitahu seseorang yang telah menggunakan kuda laut sepanjang hidupnya untuk… terus berhenti menggunakannya,” kata Ng. “Ini tidak akan berlaku, lagi-lagi apabila ia sudah lama berakar umbi dalam budaya…
“Sebagai ahli pemuliharaan, kami perlu menghormati amalan ini.” Seperti isu pemuliharaan lain, “kami cuma ingin bekerjasama dengan orang-orang yang memperdagangkannya dan menggunakan kuda laut untuk mencari keseimbangan agar kuda laut dapat digunakan secara lestari dan sah.”
[Disunting oleh SL Wong]
“About Seahorses.” Project Seahorse, 2021. Dicapai 25 June 2021.
Choo, C.K. & Liew, Hock Chark. (2005). Exploitation and Trade in Seahorses in Peninsular Malaysia. Malayan Nature Journal. 57. 57-66.
Faleiro, F. et al. Seahorses under a changing ocean: the impact of warming and acidification on the behaviour and physiology of a poor-swimming bony-armoured fish, Conservation Physiology, Volume 3, Issue 1, 2015, cov009.
Ismail, M.S. (2020). FRI Newsletter volume 20 (2017).
IUCN. (2019). IUCN SSC seahorse, pipefish and seadragon specialist group 2019 report.
IUCN (2020). WCC-2020-Res-095-EN – Conservation of seahorses, pipefishes and seadragons (family Syngnathidae).
Ng, Reana. Tracing Our Seahorses: Traditional Chinese Medicine. Facebook, uploaded by Save Our Seahorses Malaysia, 10 July 2021, 9.52pm. Dicapai 10 July 2021.
Quek, Y.A. et al. “A First Record Of Seahorses And Their Habitats In Penang National Park, Penang, Malaysia”, Journal of Wildlife and Parks, 35: 61-71 (2020).
Save Our Seahorses Malaysia. Facebook. Dicapai 25 June 2021.
Vincent, A.C.J. (1996). The international trade in seahorses. Cambridge, United Kingdom: TRAFFIC International.
Vincent, A. (2021, May 17—21). Global Action for Seahorse Conservation, [Presentasi]. 4th SyngBio Meeting, Guangzhao, China.
Law Yao Hua telah menyumbang dalam melaporkan cerita ini. Terima kasih kepada Reana Ng atas perkongsian data beliau dan terima kasih kepada Project Seahorse atas penggunaan peta asas taburan kuda laut mereka. Cerita ini diterbitkan dengan sokongan Internews Earth Journalism Network.
Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.