Krisis Iklim Menyebabkan Porak Peranda dalam Periuk Nasi
Nasi ialah makanan ruji, tetapi kepanasan melampau, angin kencang dan banjir akibat perubahan iklim menjejaskan pengeluaran beras dan meresahkan golongan pesawah.
Penulis: Lee Kwai Han
Penyunting: SL Wong
Penterjemah: Adriana Nordin Manan
Diterbit: September 27, 2022
Cerita ini sebahagian daripada #TanahAir, Projek Khas Macaranga.
(Gambar utama: Semakin panas di sini: pesawah bekerja keras walaupun suhu semakin meningkat akibat krisis iklim | Foto oleh Lee Kwai Han)
JAM BARU menunjukkan 9.15 pagi. Namun, panas terik matahari sudah terasa di sawah padi yang luas di Megat Dewa, Kedah. Mohamad Nazri Murat, seorang pesawah, membantu rakan beliau, Muhamad Rafirdaus Abu Bakar membajai tanaman padi.
“Kami kena siapkan sekali harung. Cuaca panas sangat, kalau nak tunggu lepas rehat susah,” kata Nazri sambil memenuhi semula mesin menabur baja muatan 20kg. Tambah Firdaus, “Kerja ini bukan semua orang boleh buat.”
Untuk kelompok petani generasi ketiga seperti Nazri dan Firdaus, kepanasan melampau mula menjadi isu semenjak sepuluh tahun lalu. Mereka tergolong antara 57,635 pesawah padi di jelapang padi MADA, jelapang padi terbesar di Malaysia.
Pada 2019, MADA membekalkan 42.6% pengeluaran beras negara, sesuai dengan gelaran sebagai ‘jelapang padi Malaysia’.
Bahang yang luarbiasa menandakan ancaman krisis iklim yang semakin menjadi-jadi dan menjejaskan sektor pengeluaran makanan.
Di Malaysia terdapat 12 jelapang padi, iaitu skim pengairan besar yang menjadi lokasi pengeluaran padi utama dalam negara. Yang terbesar adalah MADA (42.6% daripada pengeluaran keseluruhan), KADA (8.7%), IADA Barat Laut Selangor (7.5%), dan IADA Kerian (6.4%).
Pakar sains mendapati bahawa suhu telah meningkat bukan sahaja di MADA, tetapi di 3 jelapang padi utama yang lain di Malaysia – KADA, IADA Pulau Pinang dan IADA Seberang Perak. Keempat-empat jelapang ini membekalkan 60.2% hasil beras negara.
Kajian oleh pakar klimatologi dan hidrologi, Dr Tan Mou Leong, mendapati jika dibandingkan dengan 1985, suhu maksimum di lokasi pengeluaran utama padi ini telah meningkat. Peningkatannya sekurang-kurangnya 0.68°C (kecuali KADA, yang tidak mencatatkan perubahan), manakala suhu miminum pula meningkat sekurang-kurangnya 1.02°C.
Cuaca melampau
Sains perubahan iklim menunjukkan bahawa cuaca lebih panas menjejaskan curahan hujan, unsur penting dalam penanaman padi serta pelbagai tanaman makanan dan bukan makanan yang lain. Cuaca panas tidak sahaja menyukarkan unjuran waktu dan kuantiti hujan, tetapi juga meningkatkan kemungkinan fenomena cuaca melampau, seperti banjir dan kemarau.
Ini semua petanda meresahkan buat sektor pengeluaran beras.
Malah, pihak kerajaan menjangkakan yang banjir dan musim kemarau pada 2030 dan 2050 akan mengurangkan hasil padi di 3 jelapang utama, iaitu MADA, KADA, dan IADA Barat Laut Selangor.
Di Kedah, petani tidak memerlukan statistik untuk memahami impak krisis iklim kepada sawah mereka. Kearifan tradisi turun temurun sudah sedia mengesahkan.
“Angin yang sekarang tak bagus kalau berterusan macam ini bulan depan,” kata Firdaus dengan nada resah, sambil menatap pokok padi yang terbentang di depan mata. Apabila pokok padi membunga pada usia 60 hari, angin kencang seperti ini akan mengurangkan kadar pendebungaan dan seterusnya, hasil padi.
Selepas tempoh berbunga, masalah berterusan.
Padi rebah
Ogos lalu, apabila pokok padi yang matang bertukar keemasan, sawah milik Firdaus dilanda padi rebah, di mana semua pokok padi tumbang akibat angin kencang dan hujan lebat. Biji-bijian yang lencun bertukar masam.
Biasanya hasil dari serelung sawah 2 tan (3.475 relung = 1 hektar). “Dia akan ‘drop’ sampai 600 kg,” kata Firdaus.
Tambahan pula, padi ini dianggap ‘kurang bermutu’ dan mungkin tidak diterima oleh pengilang beras. Kalau ada pengilang yang menerima sekalipun, nilai yang ditetapkan akan berkurangan, kadang-kadang sebanyak 42%, keluh Firdaus. Sia-sia sahaja peluh keringat dan dana yang dilaburkan untuk membeli benih, baja dan racun perosak.
Lebih membimbangkan lagi, hujan luarbiasa lebat juga meningkatkan risiko banjir.
“Kalau dulu, banjir dia 2008, 2010, banjir besar. Sekarang, banjir, dia bukan besar, tapi selalu. Dia banjir satu tahun dua kali, tiga kali macam tu,” kongsi Firdaus. Ini juga bermaksud kerosakan pokok padi yang berulang. Setiap kali ditanam semula, perbelanjaan bertambah.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) memperakui bahawa “perubahan iklim kekal sebagai ancaman utama kepada sektor agro-makanan”. Selain mengurangkan pengeluaran padi, cuaca melampau merosakkan infrastruktur perparitan dan pengairan.
Kenyataan ini diulangi di Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 dan di senarai syor Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia.
Memandangkan cabaran yang dihadapi, mampukah bekalan padi meningkat sejajar permintaan, sambil populasi negara meningkat? Pada 2019, rakyat Malaysia memakan purata 73.9kg/setahun (Statistik Agromakanan 2019, MAFI).
Malaysia sudah lama bergantung kepada import beras untuk memenuhi permintaan, tetapi import berkembang daripada 21.4% bekalan pada 1990 kepada 46.7% pada 2020.
Namun, kos mengimport beras semakin bertambah. Harga beras antarabangsa meningkat untuk bulan keenam berturut-turut pada Jun tahun ini, menurut data Indeks Harga Makanan FAO dari Julai. Ini seiring dengan peningkatan harga makanan sedunia, disebabkan gangguan rantaian bekalan akibat Covid-19 dan serangan ke atas Ukraine.
Pada Mei, India membuat pengumuman mengejut tentang larangan eksport gandum, berikutan gelombang haba melampau yang mengurangkan hasil pengeluaran. Ini menyebabkan harga gandum sedunia mencanak ke tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini.
India ialah negara pengeksport beras terbesar di dunia, oleh itu sebarang larangan eksport beras berpotensi menjejaskan harga beras seperti yang dilihat dalam contoh gandum.
Bekalan dari mana?
Jika Malaysia mampu membayar harga lebih tinggi sekalipun, larangan eksport melucutkan makanan daripada pasaran antarabangsa. Bagaimana negara pengimport makanan seperti Malaysia akan mengharungi situasi sebegini?
Untuk menangani gangguan rantaian bekalan makanan antarabangsa akibat Covid-19, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 menyasarkan tahap sara diri beras setinggi 80% menjelang 2030.
Untuk mencapai sasaran, pesawah perlu meningkatkan purata pengeluaran padi daripada 3.5 tan setiap hektar pada 2019 kepada 5.3 tan setiap hektar menjelang 2030.
Untuk membantu golongan petani mencapai sasaran ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai contoh, sedang membangunkan varieti padi yang tahan iklim, selain menambahbaik pengurusan air untuk pengeluaran beras.
“Kerja ini bukan semua orang boleh buat”: sebuah karangan foto
Untuk menangani krisis iklim, Malaysia memperkenalkan gagasan strategi seperti Dasar Perubahan Iklim Negara (2009), Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 dan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (2021). Malaysia juga telah bersetuju untuk mencapai sasaran pelepasan bersih sifar (‘net-zero’) karbon menjelang 2050.
Namun, keberkesanan dasar bergantung sepenuhnya kepada pelaksanaan. Pakar dasar iklim, Dr Ng Shin Wei berpendapat bahawa kekurangan mekanisme perancangan dan pelaksanaan dasar yang berkesan berkaitan perubahan iklim bertindak mengekang prestasi negara dalam menangani krisis iklim.
“Persetujuan daripada kerajaan negeri dan phak berkuasa tempatan diperlukan untuk mengarusperdanakan krisis iklim ke atas tadbir urus,” kata Ng, yang terlibat dengan kerja menyetempatkan dasar perubahan iklim di Pulau Pinang. Kunci kejayaan terletak pada tindakan tekad di lapangan.
Tindakan diambil
Di jelapang-jelapang di Kedah dan Perlis, pihak MADA memberitahu Macaranga bahawa langkah sedang diambil untuk menangani isu iklim.
Sebagai contoh, MADA bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dalam hal berkaitan ramalan cuaca, manakala dengan NAHRIM pula berhubung empangan pantai. Pihak agensi juga sedang mempertimbangkan penggunaan air bumi.
Selain itu, MADA berkata bahawa pengurusan air dan penghalaan banjir telah diperbaiki, menggunakan sistem telemetri yang mengumpul data hidrologi masa nyata. Data seperti taburan hujan, paras air dan pembukaan pintu air dikemaskini secara kawalan jauh dari 148 stesen telemetri.
Sistem turut digunakan untuk memberi amaran kepada pesawah tentang kejadian hujan serta insidens serangan haiwan perosak dan penyakit.
Di barisan hadapan pengeluaran padi, Nazri sudah lama berbelah bahagi memikirkan masa hadapan beliau dalam penanaman padi. Beliau melarang anak sendiri daripada turut bekerja di sawah, berbeza dengan pengalaman beliau ketika kecil.
Firdaus bersetuju. “Generasi keempat ni, kita rasa tak adalah. Dia tak berminat. Dia hanya akan pajakkan bendang, ataupun dia jual. Dia dua pilihan saja.”
Firdaus diulit nostalgia, mengenangkan masa lalu di mana generasi terdahulu boleh menjangka hujan daripada kicauan burung dan keadaan pokok gajus dan putat.
“Bila nampak sahaja daun-daun baharu tumbuh pada pokok, mereka sudah tahu yang hujan akan turun pada minggu akan datang. Pokok tidak pernah berbohong. Tapi, cuaca dah berubah. Dah tak menentu,” kata beliau.
Kini, pesawah tidak dapat menjangka cuaca mahupun masa hadapan yang berteraskan penanaman padi. Pada masa hadapan, dari mana datangnya bekalan beras kita nanti?
Buis A. (2022). Steamy Relationships: How Atmospheric Water Vapor Supercharges Earth's Greenhouse Effect. NASA. https://climate.nasa.gov/ask-nasa-climate/3143/steamy-relationships-how-atmospheric-water-vapor-supercharges-earths-greenhouse-effect/.
Jadhav, R. (May 14, 2022). India bans wheat exports as heatwave curbs output, prices soar. The Edge Markets.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (n.d.) Maklumat Asas MADA. Retrieved on June 29, 2022, from https://www.mada.gov.my/?page_id=4042.
Ministry of Agriculture and Food Industries. (2019). Agrofood Statistics 2019.
Ministry of Agriculture and Food Industries (2021).
R.B. Radin Firdaus, Mou Leong Tan, Siti Rahyla Rahmat & Mahinda Senevi Gunaratne | Sandra Ricart Casadevall (Reviewing editor) (2020) Paddy, Rice and Food Security in Malaysia: A Review of Climate Change Impacts, Cogent Social Sciences, 6:1, DOI: 10.1080/23311886.2020.1818373.
The Star (November 4, 2010). Floods: More evacuated in Kedah and Perlis.
The Food and Agriculture Organization of the United Nations (n.d.). FAO Rice PriceagUpdate. Retrieved on July 14, 2020 from https://www.fao.org/markets-and-trade/commodities/rice/fao-rice-price-update/en.
UN-Water (n.d.). Water and Climate Change. Retrieved on June 29, 2022, from https://www.unwater.org/water-facts/climate-change.
Artikel ini sebahagian #TanahAir, Projek Khas Macaranga.
Penerbit siri: SL Wong
Pengarang: Law Yao Hua dan Masjalizah Hamzah
Penulis: Lee Kwai Han, Ashley Yeong dan Ushar Daniele
Penterjemah: Adriana Nordin Manan dan Mun Yee San & pasukan
Baca: Climate Crisis Stirring a Storm in a Rice Bowl | 气候危机风暴在饭碗里涌动