Gali parit,

tebang pokok;

baru mohon kelulusan

Gali parit, tebang pokok; baru mohon kelulusan

Syarikat perladangan AA Sawit Sdn Bhd baru menyerahkan laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling kepada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan kelulusan membuka ladang baharu di Johor. Namun, pembangunan di tapak ladang sudah bermula sejak dua tahun yang lalu.

Penulis: YH Law
Penterjemah: Adriana Nordin Manan
Penyunting: SL Wong

Diterbit: 3 Ogos 2022

Diterbitkan dengan kolaborasi Pulitzer Center’s Rainforest Investigations Network.

Versi ini diterjemahkan daripada versi Inggeris yang diterbitkan 25 Julai 2022. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.

(Imej paparan: Tapak ladang baharu AA Sawit di Endau, Johor – semua pokok telah ditebas dan parit didirikan | Video oleh Macaranga Media, pertengahan Julai 2022.)

SYARIKAT perladangan AA Sawit Sdn Bhd, yang dimiliki secara tidak langsung oleh keluarga diraja Johor sebagai pemegang saham majoriti, nampaknya telah membangunkan tapak ladang tanpa kelulusan wajib.

Imej satelit menunjukkan bahawa sepanjang 2020—2021, lebih daripada 600 ha hutan di tapak seluas 3,775 ha di Endau, timur laut Johor, telah ditebang. Pada Jun 2021, beberapa kilometer parit pengairan sudah kelihatan silang-menyilang di seluruh tapak.

AA Sawit merancang untuk menanam kelapa sawit dan kelapa di tapak tersebut. Pelan tempatan daerah Mersing mengklasifikasikan seluruh tapak sebagai hutan, tetapi aktiviti pertanian dibenarkan dengan syarat.

Kegiatan pembalakan dan pertanian berskala besar perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri dan persekutuan, seperti dinyatakan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jabatan Alam Sekitar (JAS), agensi kerajaan persekutuan, mesti menyemak dan meluluskan laporan kesan kepada alam sekeliling (EIA) projek. Laporan EIA menerangkan langkah mitigasi impak alam sekitar oleh pihak pemaju.

Impak yang berleluasa

Tapak AA Sawit dikelilingi hutan simpan, ladang, sungai dan kampung. Hari ini, impak alam sekeliling ladang-ladang sedia ada sudah dirasai di kawasan tapak.

Penduduk kampung memberitahu Macaranga bahawa sisa kimia dari ladang sudah mencemar sungai berhampiran, menyebabkan air masam dan kadangkala bertukar warna segelap kopi.

Gajah-gajah yang diusir daripada tanah yang ditebang pernah menyeberangi sungai ke kawasan kampung, dan pernah merosakkan tanaman pokok pisang di belakang sebuah sekolah.

Tahun lepas, seekor gajah mencederakan seorang penduduk sehingga tulang rusuk beliau patah dan menusuk paru-paru. Mangsa yang juga bapa kepada 6 orang anak meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Laporan EIA AA Sawit, bertarikh Jun 2022, diterbitkan dalam talian pada 7 Julai untuk semakan awam. Namun, tapak ladang sudah dibalakkan dan dikerjakan selama dua tahun, hakikat yang dinyatakan dalam laporan tersebut.

Penduduk Kampung Labong dan pekerja ladang menceritakan bagaimana kehidupan mereka diubah oleh kehilangan hutan dan perladangan. Baca cerita itu di sini.

Menurut Lim Teckwyn, pakar perunding perhutanan dengan pengalaman bekerja selama dua puluh tahun, senario AA Sawit sudah menjadi kebiasaan. “Ini menunjukkan betapa EIA selalunya menjadi pertimbangan lewat,” kata beliau.

“Perkara dalam senarai yang dilakukan sekadar cukup syarat selepas projek sudah diluluskan” oleh pihak berkuasa negeri atau tempatan.

“Pihak berkuasa negeri dan tempatan perlu ditanya: mengapa mereka membenarkan pembalakan bermula tanpa EIA?”

Pakar perunding biodiversiti Dylan Ong berkata ada kemungkinan JAS tidak mengetahui bahawa kerja-kerja pembalakan sudah dimulakan. Beliau mengesyorkan JAS untuk mengesahkan isi kandungan laporan EIA, dan tidak hanya bergantung kepada pakar runding EIA.

Bila ditanya, JAS persekutuan memberitahu Macaranga bahawa mereka sedang menyiasat “keadaan sebenar di tapak cadangan projek ini”.

“Melaksanakan atau memulakan kerja-kerja tanah bagi tujuan pembangunan” aktiviti yang ditetapkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling tanpa mendapat kelulusan laporan EIA merupakan satu kesalahan, kata JAS.  Jika disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh didenda sebanyak RM500,000 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

JAS berkata lagi: “Sekiranya terdapat kesalahan,maka penguatkuasaan akan diambil terhadap pihak terbabit.”

Macaranga menyiasat rentetan peristiwa berkaitan untuk mengenalpasti sama ada benar bahawa kerja-kerja pembangunan sudah bermula sebelum laporan EIA diserahkan. Kami mengumpul bukti daripada laporan EIA, imej satelit, dokumen rasmi, lawatan ke lapangan serta wawancara.

Kerajaan negeri Johor tidak membalas pertanyaan berkaitan projek AA Sawit. Selain itu, AA Sawit dan keluarga diraja Johor tidak menjawab permohonan untuk diwawancara.

Golden Ecosystems Sdn Bhd, syarikat perunding yang dilantik untuk menyediakan laporan EIA, memberitahu Macaranga bahawa pihaknya tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan (NDA).

 

AA Sawit Sdn Bhd dan Golden Ecosystems Sdn Bhd juga terlibat dalam projek ladang kelapa sawit lain yang telah menebang 2,190 ha hutan di pesisir Johor. Baca artikel kami mengenai akibat projek itu.

Ladang baru AA Sawit di Endau, Johor; pertengahan Julai 2022Hakmilik: Macaranga Media

AA Sawit dimiliki 51% oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim serta anak Tuanku, Tunku Ismail, melalui syarikat pemegangan, IBZI Holdings Sdn Bhd. Tunku Ismail juga merupakan ahli lembaga pengarah AA Sawit. Seorang lagi ahli Lembaga, Chow Chuin Hai, memiliki 49% AA Sawit.

Tapak seluas 3,775 ha terdiri daripada 6 lot. Empat lot, dengan luas keseluruhan 2,232 ha, dimiliki oleh Sultan Ibrahim melalui hak milik pegangan bebas semenjak April 2018, termasuk lot PTD 4882, PTD 4963, dan PTD 4085 dan PTD 4118 yang sebelum ini diliputi hutan.

Dokumen-dokumen hakmilik tanah menunjukkan yang Sultan Ibrahim telah memajak 4 lot tersebut kepada AA Agriculture Sdn Bhd untuk tempoh 2020—2049. AA Agriculture Sdn Bhd ialah syarikat hakmilik Chow dan Ng Li Li, yang berkongsi alamat di Johor.

Namun begitu, Macaranga tidak dapat mengesahkan nama pemilik atau pemajak baki 2 lot seluas 1,043 ha. Semakan di Pejabat Tanah Johor menunjukkan yang lot-lot tersebut mulanya dipajak kepada Yayasan Pelajaran Johor untuk tempoh 2014—2113, untuk tujuan penanaman kelapa sawit tetapi diserahbalik pada Ogos 2018. Carian lanjutan tidak berjaya kerana nombor geran tanah yang dinyatakan di laporan EIA sudah dibatalkan.

Dalam isu pembalakan pula, meskipun laporan EIA AA Sawit menyentuh topik pembalakan, identiti pihak pembalak tidak didedahkan.

Meskipun sebahagian laporan menyatakan yang AA Sawit menerima lesen pembalakan (JT 04/5/20 dan JT 04/2/20) daripada jabatan perhutanan negeri Johor, di bahagian lain pula, syarikat tersebut dinyatakan sebagai hanya pemegang kontrak untuk menanam.

Lampiran lesen pembalakan – dan geran tanah – di dalam laporan tidak disertakan dan digantikan dengan baris berikut: “terhad kepada Jabatan Alam Sekitar sahaja.”

Menurut laporan EIA, lawatan ke lapangan oleh pihak perunding bermula pada September 2020. Namun, imej satelit menunjukkan kerja-kerja penebangan sudah bermula beberapa bulan sebelum itu. Antara Januari dan Jun 2020, lot PTD 4118 sudah kehilangan sekurang-kurangnya 300 ha hutan. Menurut penduduk setempat, hutan itu pernah didiami gajah, kijang, ungka dan burung kenyalang.

Pihak pembalak meneruskan penebangan pokok, termasuk ketika pakar perunding melawat beberapa bulan kemudian untuk membuat tinjauan hidupan liar dan mengambil sampel air bawah tanah.

Menjelang pertengahan 2021, apabila pakar perunding selesai menjalankan kajian lapangan, tapak sudah kehilangan sekurang-kurangnya 636 ha hutan dan 700 ha tanah semak.

Selain itu, ketika laporan EIA diterbitkan untuk semakan awam pada 7 Julai, pokok kelapa sawit baharu sudah ditanam di sempadan timur bersebelahan hutan simpan Gunung Arong.

Garis panduan JAS menyatakan bahawa laporan EIA perlu menggunakan data tepat dan dikemaskini. Pihak pemaju dan pakar perunding EIA perlu mengisytiharkan bahawa mereka “tidak menyembunyikan atau mengubah sebarang fakta penting”.

Namun begitu, laporan EIA AA Sawit mengandungi maklumat bercelaru.

Sebagai contoh, laporan menggunakan imej Google Earth bertarikh 2018 yang menunjukkan lokasi berhutan (Bab 1); memaparkan rajah bertajuk “Penggunaan Tanah Sedia Ada” yang menyenaraikan 1,150 ha hutan di tapak (mukasurat 5-2); dan menunjukkan gambar hutan di lot PTD 4118 (mukasurat 5-2).

Beberapa mukasurat kemudian (mukasurat 5-4), laporan menyatakan bahawa semua hutan sudah dibalak sewaktu tempoh kajian EIA dijalankan.

Selain itu, imej satelit menunjukkan kegiatan pembalakan dan parit melebihi batas projek sebanyak 650 ha – fakta yang tidak dinyatakan dalam laporan. Masih tidak pasti sama ada tambahan kawasan ini sah di sisi undang-undang atau telah mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Imej satelit bertarikh Jun 2022 menunjukkan pembangunan yang dijalankan di selatan ladang baharu AA Sawit di Endau, Johor. Pembangunan ini dijalankan pada 2020-2021, dan melampaui kawasan projek yang dinyatakan di laporan EIA. (Macaranga Media)
Imej satelit bertarikh Jun 2022 menunjukkan pembangunan yang dijalankan di selatan ladang baharu AA Sawit di Endau, Johor. Pembangunan ini dijalankan pada 2020-2021, dan melampaui kawasan projek yang dinyatakan di laporan EIA. (Macaranga Media)

“Melihat [laporan] EIA tidak mencerminkan situasi di lapangan dan mengandungi maklumat palsu adalah sesuatu yang amat mengejutkan,” kata Meenakshi Raman, presiden NGO alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia.

Setelah Macaranga berkongsi dapatan siasatan dengan beliau, Meenakshi berkata bahawa laporan EIA tersebut “tidak boleh diterimapakai”.

Akhir sekali, memandangkan pembangunan nampaknya sudah bermula sebelum kajian EIA, beberapa syor di dalam laporan seakan mustahil. Sebagai contoh, laporan menggalakkan pemaju untuk memohon pensijilan kelapa sawit lestari RSPO, tetapi pensijilan ini melarang pembasmian hutan.

Satu lagi syor adalah supaya tapak ditebang dan ditanam dalam plot tanah berasingan, setiap satu berukuran 200 ha, supaya mamalia dan burung setempat yang berjumlah hampir 300 spesies “diberi masa untuk melarikan diri”.

Cynthia Gabriel, pengarah eksekutif C4, sebuah organisasi bukan kerajaan yang memperjuangkan tadbir urus baik di Malaysia, berkata bahawa sebarang pembangunan yang dijalankan selagi laporan EIA belum diluluskan mesti dihentikan segera, dan hak penduduk kampung yang terjejas perlu dihormati dan dipelihara.

Lim dan Meenakshi Raman, presiden NGO alam sekitar Sahabat Alam Malaysia, meminta JAS supaya menolak laporan EIA projek AA Sawit. Meenakshi turut menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat dan mendakwa pesalahlaku dengan “hukuman yang berat”.

Namun, pengarah syarikat boleh dilepaskan daripada sebarang tanggungjawab jika mereka boleh membuktikan bahawa mereka tidak bersetuju atau bersubahat dalam melakukan kesalahan, dan telah berusaha untuk mengelakkan salahlaku tersebut.

“Hukuman penjara perlu dijatuhkan ke atas pengarah syarikat jika mereka didapati melanggar undang-undang.” kata Meenakshi. Jika tidak, pihak syarikat boleh terlepas dengan hanya membayar denda kecil.

“Ini ibarat mempersendakan kuasa undang-undang.”


Kemaskini, 5/8/22, 9.18pm: “2010–2021”  diperbetulkan menjadi “2020–2021”.

Laporan EIA tersedia untuk semakan awam sehingga 3 Ogos: “THE PROPOSED PALM OIL AND COCONUT PALM PLANTATION AT LOT PTD 4882, PTD 4085,PTD 4963,PTD 4118,PTD 4117 AND PTD 4121(3775.34 ha) MUKIM PADANG ENDAU, DAERAH MERSING, JOHOR DARUL TAKZIM”.

Related stories

Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Be A Macaranga Supporter

Like our stories?

You can help us do more.
Sign up for our membership programme.