Kisah Nenek Moyang Boleh Menyelamatkan Perairan Kita
Semakin nelayan skala kecil kehilangan mata pencarian disebabkan pembangunan di kawasan pesisir pantai serta pengurangan hasil tangkapan, kearifan tradisi turut menjadi korban. Mengiktiraf nilai pengetahuan ini dapat menyelamatkan perikanan dan identiti budaya mereka.
Penulis: SL Wong
Pengarang: YH Law
Penterjemah: Adriana Nordin Manan
Diterbit: 20 November, 2023
Cerita ini sebahagian daripada siri #SeaWorld Macaranga.
(Gambar utama: Laut dan menangkap ikan mengalir dalam darah kami, kata nelayan Mah Meri, Zarul anak Miring | Foto oleh SL Wong)
DI SEKEPING papan kenyataan, gambar-gambar Polaroid tersemat rapi. Setiap satu memaparkan hasil tangkapan laut pelbagai jenis dan saiz. Ada gambar seekor ikan siakap seberat 15kg yang diangkat dengan gah oleh seorang lelaki yang tersenyum lebar seperti melaungkan, “Tengoklah apa yang saya tangkap!”
Setiap gambar Polaroid diletak tarikh dan nombor siri serta kapsyen yang menggambarkan imej. Ini adalah kelompok pertama data perikanan yang dikumpul berkenaan nelayan Mah Meri di Pulau Carey, Selangor. Barisan informan pula terdiri daripada komuniti sendiri, dan data dikumpul oleh Zarul anak Miring, seorang nelayan.
Nelayan Mah Meri giat mendokumentasi dan menghitung nilai kearifan dan amalan warisan mereka. Dapatkah langkah ini mengekalkan budaya dan identiti mereka, memelihara kawasan perikanan serta memastikan keterjaminan makanan?
Data tersebut akan disalurkan kepada projek kajian kerajaan yang ingin mendalami konsep pengurusan perikanan berasaskan komuniti.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOFM) sedang meneliti ICCA, terma yang merujuk kepada wilayah dan kawasan yang dipulihara oleh masyarakat peribumi dan komuniti setempat. Usaha ini merupakan projek perintis dengan komuniti Orang Asli oleh agensi tersebut.
“Kita tak boleh memelihara alam sekitar sahaja, tapi menyisihkan komuniti setempat dan masyarakat Orang Asal yang ada di kawasan itu,” kata Izarenah Md Repin daripada bahagian konservasi dan perlindungan perikanan DOFM.
Projek penyelidikan DOFM bertujuan mendokumentasi kearifan komuniti terhadap ekologi setempat, khususnya laut dan perikanan.
“Jadi, kita hendak tahu setakat mana mereka bergantung kepada sumber laut. Kalau mereka bergantung sepenuhnya kepada sumber ini, dan ada setengah kawasan yang ada kepentingan dari segi budaya atau kerohanian, mungkin kita akan tengok potensi kawasan itu dilindungi.”
Nelayan skala kecil atau kecil-kecilan seperti komuniti Mah Meri selalunya menangkap ikan dalam kawasan sebanyak 5 batu nautika (anggaran 9 km) dari pesisir pantai dan/atau sungai. Di Semenanjung Malaysia, nelayan skala kecil merangkumi 60% daripada kesemua nelayan.
Namun, mereka sering tersisih daripada perancangan dasar berhubung pengurusan perikanan. Meskipun mereka sebenarnya tunjang sosioekonomi komuniti pesisir pantai berpendapatan rendah serta perusahaan kecil hiliran dan huluan yang berkaitan.
Nelayan skala kecil mewarisi dan menurunkan pengetahuan mereka berikutan penggunaan turun-temurun sumber alam semulajadi. Mereka “memainkan peranan penting dalam mengurus, memulihara, memelihara dan melindungi sumber akuatik dan ekosistem,” menurut Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO).
Suku Mah Meri merupakan salah satu daripada kumpulan Orang Asal yang diperkatakan. Meskipun mereka lebih terkenal kerana kerja tangan – ukiran kayu, tenunan, ritual dan persembahan – mereka juga berpengalaman sebagai nelayan.
Kemahiran ini memberi mereka gelaran Orang Laut, dan komuniti tetangga yang menetap di kawasan dikelilingi daratan pernah memanggil orang Mah Meri dengan gelaran ‘orang yang bersisik’.
“Menurut [orang lama dalam komuniti] Gendoi Samah Seman, jiran Temuan kami di tanah besar pernah memanggil kami Hma’ Besise’ yang diterjemah secara harfiah kepada ‘orang bersisik ikan’ – walaupun beliau juga berkata bahawa ini juga merujuk kepada kecenderungan kami untuk menetap di kawasan pantai dan cinta kami terhadap kegiatan menangkap ikan.
Ibah Pian Bumbong [adiguru kraf ukiran kayu] pula menyatakan lagi satu sebab, iaitu kami bercakap bahasa Besise’.
Beliau mengaitkan terma tersebut dengan chita muyang (cerita nenek moyang) di mana sisik ikan tersangkut pada mata seorang lelaki Besise’ hampir menyebabkan keriuhan apabila beliau ingatkan sisik itu layar kapal lanun yang semakin mendekat!”
Gambar Polaroid awal yang ditangkap Zarul memaparkan pelbagai peralatan menangkap ikan dan spesies tangkapan laut, menunjukkan betapa komuniti Mah Meri memiliki kemahiran dan pengetahuan yang sangat mendalam.
Kampung Zarul, Kampung Sungai Kurau, terletak di kawasan paling barat Pulau Carey, dan juga yang paling terpencil antara 5 kampung Mah Meri yang ada. Di sana, jeti komuniti membelah hutan paya bakau muara seperti jari-jari runcing. Sebuah ban binaan kerajaan menghalang air laut yang meningkat daripada membanjiri kampung.
Zarul menunjuk ke arah satu timbunan besar jaring nelayan. Semua orang kini menggunakan peralatan menangkap ikan yang moden dan bot bermotor, kata beliau. Namun, Zarul masih boleh menyebut satu persatu peralatan tradisional yang digunakan suatu ketika dahulu: buluh, rotan, tombak dan perangkap ikan seperti lukah dan bubu.
Jika pada waktu dahulu nelayan Mah Meri bergantung kepada bulan untuk menetapkan jadual mereka, kini mereka merujuk kepada kalendar lunar Cina, kata Lanuza anak Layon, bapa mertua Zarul dan ketua kolektif nelayan setempat.
“Tangkap ikan bergantung kepada [pasang surut] air. Kami perlu tahu bulan penuh mana untuk tahu sama ada air pasang atau surut. Lepas itu, baru kami tahu ikan apa yang boleh ditangkap. Macam, ok, sebagai contoh, pada hari tertentu, air macam ini, jadi kita tahu, kita boleh tangkap lebih banyak udang.”
Belajar daripada generasi terdahulu
Sesuatu yang tidak berubah dari dahulu ialah cara kearifan menangkap ikan diturunkan: dengan belayar ke laut dengan ahli komuniti yang lebih tua. Lelaki dan perempuan sama-sama menangkap ikan. Zarul mula menangkap ikan pada usia 10 tahun, ketika menemani ayah beliau; kini beliau sudah berusia 30-an.
Lanuza, kini berusia 50-an, belajar sedikit lewat ketika berusia 19 tahun kerana dahulu beliau membesar di bandar dan pulang ke kampung hanya setelah berkahwin. Namun, beliau tetap belajar, kali ini dengan mengikuti ibu dan bapa mentua ke laut. “Saya juga belajar dengan memerhati [pasang surut] air dan ikan,” tambah beliau.
Seperti nenek moyang mereka dahulu, menangkap ikan merupakan sebahagian tegar identiti mereka. “Setiap hari, kami mesti makan ikan,” Zarul menegaskan. “Semua yang kami tangkap akan digunakan. Kalau ada baki, kami jual.”
Dan jika mereka tidak mendapat sebarang tangkapan, “kami makan sayur dan ubi yang kami tanam sendiri.” Seperti banyak komuniti nelayan pesisir pantai yang lain, makanan laut adalah sumber protein haiwan utama, jika bukan satu-satunya yang dimakan.
Terdapat sekitar 40 orang nelayan berlesen, tetapi semua penduduk kampung keluar ke laut untuk menangkap ikan. Pekerja yang menerima upah harian keluar bekerja pada hujung minggu.
Namun, mereka terpaksa menyesuaikan cara menangkap ikan. Kekurangan tangkapan menjadi isu yang membimbangkan. Pengalaman mereka selari dengan statistik bahawa stok ikan di Malaysia telah menyusut sebanyak 96% dalam tempoh kurang daripada 60 tahun.
Zarul mengenang betapa “pada masa dulu, ikan terlalu banyak sampai bot hampir tenggelam.” Beliau menuding kepada pukat harimau sebagai penyebab stok perikanan menurun sejak “sekitar 2007.” Umum diketahui bahawa pukat harimau menyebabkan kerosakan ekosistem marin, termasuk perikanan pesisir pantai.
Pasang surut air juga telah berubah. “Bila masa kita ingat dapat tangkap ikan, kadang-kadang tak ada pun.”
Satu lagi faktor adalah Westports. Bertempat di pulau berhampiran, projek pembangunan agam ini ialah gerbang utama kargo ke wilayah tengah Semenanjung Malaysia. Ia juga merupakan pelabuhan kedua tersibuk di Asia Tenggara. Menurut syarikat, kejayaan ini adalah ihsan, antara faktor lain, “lokasi kami yang strategik.”
Tak terlawan kapal besar
Malang bagi nelayan Mah Meri, lokasi pelabuhan Westport mendatangkan masalah.
Komuniti Mah Meri telah menangkap ikan di lautan setempat bergenerasi lamanya. Pelabuhan Westport memulakan operasi pada 1994. Namun, pergerakan ulang alik kapal kargo dengan ketinggian bertingkat-tingkat yang bersaing merebut ruang dengan bot kecil nelayan menyebabkan situasi tidak selamat untuk ke laut menangkap ikan bersendirian.
“Sekarang, kami turun ke laut dalam kumpulan 5 bot, untuk keselamatan,” kata Zarul. Selain itu mereka kini perlu keluar lebih jauh ke lautan yang asing kepada mereka.
Berita kehilangan kawasan perikanan tradisional hampir terbungkam berbanding laporan kehilangan tanah tradisional Mah Meri disebabkan resort pelancongan dan ladang kelapa sawit.
Kehilangan budaya
Namun di mata komuniti, kehilangan pengetahuan berkaitan budaya sama membimbangkan, kata Lanuza. “Anak-anak kami dah tak kenal siput dan ikan tenggiri. Mereka tak kenal pokok bakau, itulah Generasi Z yang asyik dengan IT mereka.”
Meskipun begitu, pertalian dengan sumber marin jelas kelihatan di Festival Mah Meri yang bertempat di pulau kediaman mereka. Antara produk yang dijual adalah perhiasan dan rantai kunci buatan tangan dan perhiasan nipah anyam dawud yang dianyam dalam bentuk ketam, obor-obor dan belangkas.
Pelawat berpusu-pusu membeli kepah dan siput buluh segar, selain pelbagai jenis ikan, ketam bunga dan belangkas.
“Kampung Sungai Kurau ialah komuniti paling rentan dan paling bergantung kepada kegiatan penangkapan ikan di Pulau Carey,” kata Dr Jarina Mohd Jani dari Universiti Malaysia Terengganu merangkap ketua projek kajian DOFM.
Dr Jarina adalah seseorang yang meyakini peri penting pengurusan perikanan berasaskan komuniti, dan beliau yang melibatkan Zarul dan ahli komuniti dalam projek sebagai saintis gunaan dan menggajikan mereka sebagai pembantu penyelidikan.
Nelayan tradisional “mengetahui jauh lebih banyak daripada apa yang kami sangka, kerana mereka ke laut setiap hari,” kata Jarina, pakar konservasi biobudaya.
“Mereka bukan sahaja memiliki kearifan tradisional yang diturunkan dari generasi ke generasi, tapi juga pengetahuan yang ditimba sendiri setelah menangkap ikan selama 10 atau 20 atau 50 tahun…Mereka juga saintis, kerana mereka mengumpul data setiap hari.”
Namun, pengetahuan itu terhad: “Nelayan pun tidak mengetahui semua perkara.”
Kod tata laku Terengganu
Meskipun begitu, Dr Jarina berkata bahawa kearifan tradisional berharga kerana tradisi yang semakin lenyap juga boleh dihidupkan semula ke arah pengurusan perikanan lestari hari ini. Salah satu tradisi tersebut adalah kod tata laku kawal selia mandiri berkaitan unjang, tukun tiruan buatan tangan.
Pada masa lalu, kod ini diamalkan dengan meluas oleh nelayan pesisir pantai skala kecil dari Setiu, Terengganu. Ia merangkumi sistem terperinci berhubung ‘kepemilikan,’ batas dan pembayaran. Ia berpaksikan pengiktirafan bahawa mendirikan unjang adalah usaha yang besar.
Unjang namanya pelbagai
Unjang ialah nama dialek Terengganu yang merujuk kepada tukun tradisional buatan manusia. Di kawasan lain, ia dkenali sebagai unjam, manakala nelayan di pantai barat turut memanggilnya tuas. Terdapat pelbagai nama untuk peranti ini bergantung kepada kegunaan, seperti alat peranti ikan, tukun tiruan dan habitat tiruan.
Dikenali dalam Bahasa Malaysia rasmi sebagai unjam, unjang Setiu diperbuat daripada pelepah kelapa, ranting kayu dan batu, dan dipasang di dasar laut. Nelayan perlu mengumpul dan menyediakan bahan-bahan tumbuhan, ikatnya kepada tali dan memuatkan bot dengan peranti dan batu-bata kemudian pergi ke lokasi menangkap ikan yang dituju sebelum melepaskan kesemuanya dan memastikan ia dipasang dengan kukuh.
Tujuan memasang unjam adalah untuk menarik ikan tangkapan. Unjam berkesan, kerana apa-apa massa bio terapung pasti akan dikerumuni ikan. Dengan stok perikanan yang semakin berkurang, unjam ialah contoh langkah penting untuk memperkaya sumber perikanan.
Peranti-peranti ini telah digunakan sekian lama, barangkali apabila perikanan mula menjadi mata pencarian dan komuniti setempat menyedari betapa perlunya ada peraturan ketika menangkap ikan, kata Jarina, yang telah mengkaji tukun tiruan selama 15 tahun.
Disebabkan usaha yang perlu dicurahkan kepada mendirikan unjang, komuniti mengiktiraf nelayan yang memasang unjam sebagai ‘pemilik’ tapak tersebut. Beliau kekal sebagai ‘pemilik’ sehingga unjang terlerai. Namun begitu, nelayan lain boleh menangkap ikan di lokasi sama dengan syarat mereka membayar pampasan kepada sang ‘pemilik’.
“Jadi jika Dollah mendirikan unjang, unjang itu milik Dollah. Bila menangkap ikan di sana, anda perlu membayar Dollah,” Jarina menerangkan.
Sejak 1960-an, unjam telah diiktiraf oleh DOFM di Semenanjung Malaysia dan Labuan sebagai peralatan yang memperkayakan sumber perikanan. Malah, unjam menjadi asas program tukun tiruan DOFM yang berterusan hari ini, dan dikawal selia oleh Akta Perikanan 1985.
Akta turut melindungi ‘pemilik’ unjam melalui pelesenen yang selari dengan kod tata laku, dan menghukum mereka yang merosakkan unjam.
Namun, kod tata laku unjam tidak diamalkan dengan meluas hari ini. Menurut Jarina, salah satu sebab adalah menangkap ikan bukan lagi kegiatan yang dilakukan secara berkelompok.
Antara faktor penyebab adalah stok perikanan yang semakin berkurangan, bot-bot besar yang memasuki kawasan penangkapan ikan skala kecil serta peralihan kepada teknologi pengesanan ikan.
Selain itu, pihak kerajaan telah mengambil alih sepenuhnya pembikinan dan pemasangan tukun tiruan yang dibikin khas dan bersaiz agam. Ada antara tukun ini yang bertujuan meningkat biokepelbagaian dan melarang penangkapan ikan.
Yang dilarang dan diizinkan masih samar
Disebabkan tata kelola pelbagai tukun tiruan seakan tidak jelas, kata Jarina, nelayan skala kecil tidak tahu di mana atau sebanyak mana mereka boleh menangkap ikan.
Tambahan pula, bot ikan yang menggunakan seiner – jaring besar seperti kantung yang ditutup di bahagian bawah – terus mengangkut ikan di tapak tiruan tersebut. Semua usaha memasang peranti oleh nelayan skala kecil terbazir sebegitu sahaja.
“Dengan menggunakan tukun tiruan, lebih banyak habitat tercipta setelah sumber perikanan semakin berkurangan, terutamanya di sektor perikanan pesisir pantai,” kata Jarina.
“Namun, tidak ada pihak yang mengelola. Sejak 1990-an, kerajaan telah mencanang hubung kait rapat antara perikanan berasaskan komuniti dan tukun tiruan. Tapi tiada usaha ke arah itu.”
Ini menjelaskan gesaan beliau untuk menghidupkan semula kod tata laku unjang bagi memulihkan dan mengurus perikanan skala kecil. Beliau mengingatkan bahawa kod serupa pernah diamalkan pada masa lalu apabila kerajaan mula menggunakan unjang moden di Terengganu pada 1980-an.
Nelayan skala kecil dan bot mereka terlibat sama, lantas menjadikan mereka “‘pemilik’ tidak rasmi tapak yang dibina, sejajar dengan amalan unjang.”
Menggunakan apa yang sudah ada
Sistem unjang mudah untuk dihidupkan semula kerana sudah menjadi konsep tradisional yang difahami oleh para nelayan dan boleh diterimapakai sebagai aspek budaya mereka, kata Jarina.
“Laut bukan hak milik mana-mana pihak, tetapi sebahagian daripada laut boleh menjadi ‘milik’ anda jika anda berusaha membina tapak menangkap ikan.” Selain itu, ia boleh digunakan untuk tujuan konservasi, dengan merangka garis panduan lokasi terlarang dan diizinkan untuk menangkap ikan.
“Apabila kita bercakap tentang memperkayakan sumber, perlu ada batas kawasan. Aspek utama tata laku unjang adalah kebolehan membantu kami menggariskan batas….Menyusul kemudian, kebolehan mentadbir kelola.”
Di rantau ini, unjam masih digunakan dan disuaikan untuk perikanan lestari, tambah Jarina. Sebagai contoh, nelayan persisir pantai di Timor Leste dapat menangkap ikan tuna bernilai tinggi dengan mengolah peranti unjam tradisional mereka.
“Mereka mendapat sokongan daripada agensi pembangunan perikanan kerajaan, dan nelayan menggunakan undang-undang dan peraturan tradisional untuk menentukan ke mana mereka boleh membawa peranti yang sudah dimodifikasi.” Akses kepada sumber baharu ini boleh dikawal dan konflik dikurangkan.
Dengan penyusutan dahsyat stok ikan, kearifan tradisional yang dimiliki nelayan skala kecil dapat membantu dan memelihara ekosistem laut dan sistem makanan yang berkaitan. Menurut Izarena dari DOFM, “kami tidak ingin melihat kearifan warisan generasi ke generasi lenyap begitu sahaja.”
FAO mengiktiraf kategori nelayan ini sebagai “pencetus inovasi dan daya penggerak dalam memastikan sekuriti makanan dan membasmi kemiskinan.”
Di Pulau Carey, Zarul terus menangkap gambar dan mendokumentasi perikanan komuniti di kampung halaman beliau. Namun, ada satu cadangan pembangunan yang telah menerima keizinan di pulau tersebut: pelabuhan ketiga yang boleh mengendalikan 3 kali ganda kemampuan operasi Westports.
Apabila ditanya, Zarul hanya mengangkat bahu dan berkata beliau tidak tahu menahu tentang projek tersebut. Apa-apa pun yang terjadi, menangkap ikan adalah sebahagian tegar kehidupan beliau. “Seperti orang kata, Orang Asli dan laut tak berpisah.”
Cerita ini sebahagian daripada siri #SeaWorld Macaranga. Siri ini disokong oleh Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur. Baca juga:
Seribu Satu Cara Menyelamatkan Lautan | Kubu Alam Semula Kunci Mengharungi Ribut Badai | Pencarian Segera untuk Super Karang Malaysia
Mohd Jani, J. et al. (2015). Artificial reefs in Setiu: at a crossroad between tradition and modernity. In Faridah M., et al. (eds). Setiu Wetlands: Species, Ecosystems and Livelihoods (pp.161-176). Penerbit UMT.
Mohd Jani, J. et al. (2018). Re-Exploring the Application of Artificial Reefs for Community-Based Fishery Management in Malaysia. In Marine Artificial Reef Research and Development: Integrating Fisheries Management Objectives (pp.235-249). American Fisheries Society.
Mohd Jani, J. (2020). ‘The Status of Artisanal Fish Aggregating Devices in Southeast Asia’. In
Bortone, S.A. et al. (eds). Modern Fisheries Engineering: Realizing a Healthy and Sustainable Marine Ecosystem. CRC Press.
Parry, M.L. (1954). The fishing methods of Kelantan and Terengganu. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. XXXVII, Part II: 77-144.
Serina Rahman. (2022). Malaysia’s Artisanal Fishermen: Political Ecology and Survival. ISEAS Perspective. ISEAS – Yusof Ishak Institute.
Reita, R. & Tompoq Topoh. Chita’ Hae. 2007. Center for Orang Asli Concerns.