#LADANGHUTAN
Jerat dan Janji Ladang Hutan di Kelantan
Seorang rimbawan yang bakal bersara memerlukan kerjasama pengusaha ladang yang komited serta data untuk mengatasi pelbagai masalah berkaitan perluasan terlampau di negeri Kelantan.
Penerbit/penulis: YH Law; Penyunting: SL Wong
Penterjemah: Adriana Nordin Manan
Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network di Pulitzer Center.
Published: 24 Mei 2022
(Pokok eucalyptus menjadi pilihan di ladang hutan sedunia. Pokok ini ditanam pada 2019 di Hutan Simpan Batu Papan, Kelantan. | Foto oleh YH Law)
#LADANGHUTAN
Jerat dan Janji Ladang Hutan di Kelantan
Seorang rimbawan yang bakal bersara memerlukan kerjasama pengusaha ladang yang komited serta data untuk mengatasi pelbagai masalah berkaitan perluasan terlampau di negeri Kelantan.
Penerbit/penulis: YH Law
Penterjemah: Adriana Nordin Manan
Penyunting: SL Wong
Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network di Pulitzer Center.
Tarikh diterbitkan: 24 Mei 2022
(Pokok eucalyptus menjadi pilihan di ladang hutan sedunia. Pokok ini ditanam pada 2019 di Hutan Simpan Batu Papan, Kelantan. | Foto oleh YH Law)
Versi ini diterjemahkan daripada versi Inggeris yang diterbitkan 9 Mac 2022. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.
Ini ialah bahagian ketiga daripada siri #LadangHutan yang menyiasat ladang hutan di Malaysia.
SEUSAI HUJAN renyai di suatu petang November, pengusaha ladang Sia Beng Hock berdiri di jalan tak berturap di Hutan Simpan Relai, Kelantan. Di sekeliling beliau, pokok batai (Falcataria moluccana, juga dikenali sebagai Paraserianthes falcataria) berdaun kecil dan bulat tumbuh melata di lembah dan gunung.
Namun begitu, di mata pemerhati yang kurang berpengalaman, tiada pokok batai – cuma rimbunan pokok, pucuk dan lalang. Dua tahun yang lepas, Sia menebang habis tapak seluas 200 ha itu (“pokok kecil-kecil sahaja”, beliau berkata) dan menanam semula ribuan batai, sejenis pokok yang tumbuh pantas.
“Sekarang, nampak macam hutan semulajadi, kan?” beliau bertanya. Kata-kata ini kelak diulangi beberapa kali sepanjang setengah jam seterusnya. “Kami sudah mengembalikan kawasan ini ke alam semulajadi.”
Penting untuk Sia menekankan yang ladang hutan seperti yang dimiliki beliau boleh bersifat “semulajadi”. Kurus dan sawo matang setelah 30 tahun membalak dan menanam semula pokok, Sia cukup mengetahui bahawa aktivis alam semulajadi mengkritik ladang hutan kerana menebang habis hutan simpan.

Ladang hutan ialah kebun pokok di mana pengusaha ladang menebang habis tapak untuk menanam semula spesies pokok tumbuh cepat. Di Kelantan, pengusaha menggemari batai (Falcataria moluccana, juga dikenali sebagai Paraserianthes falcataria) kerana pokok ini tidak memerlukan penjagaan rapi. Dari kiri: Tiun Kian Joo, Sia Beng Hock, dan Tan Wai Ther, pengusaha ladang. (YH Law)
Dua dekad kebelakangan ini, ladang hutan menjadi penyebab utama kehilangan hutan di Semenanjung Malaysia. Negeri di tangga tertinggi adalah Kelantan. Sejak 2007, kerajaan negeri telah meluluskan penebangan habis 118,088 ha hutan simpan untuk didirikan ladang.
Pihak kerajaan negeri Kelantan masih boleh menebang habis kira-kira 80,000 ha untuk mencecah had 199,000 ha dizonkan untuk ladang hutan. Had ini bersamaan dengan 32.6% hutan simpan di dalam negeri.
Zahari Ibrahim, timbalan ketua pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Kuala Lumpur, memberitahu Macaranga yang ladang hutan lebih mudah diuruskan berbanding hutan semulajadi. Maka, ladang lebih berupaya membekalkan kayu balak dan berpotensi mengurangkan pembalakan di hutan semulajadi.
“Kelantan adalah satu negeri yang bijak sebab [mereka] buat perancangan awal [untuk] ladang hutan,” kata Zahari. Beliau memegang jawatan pengarah perhutanan negeri Kelantan dari 2014—2019.
Malangnya, ladang hutan sesuatu yang janggal buat pembalak dan pegawai perhutanan yang sudah terbiasa dengan hutan semulajadi. Tatkala mereka mendepani cabaran baharu dan tersungkur, matlamat kelestarian masih kejauhan.
Sesuatu yang amat membimbangkan adalah kebanyakan projek ladang hutan di hutan simpan gagal menanam semula tapak yang ditebang habis. Ini jelas kelihatan di Kelantan.
Sejak 2007, projek-projek tersebut sudah menebang habis sekurang-kurangnya 118,088 ha hutan simpan, tetapi rekod kerajaan negeri menunjukkan hanya sepertiga daripada itu, atau 40,506 ha, diklasifikasikan sebagai ladang hutan pada 2020. (Ini termasuk satu tapak kecil yang tidak dikenalpasti lokasi, yang diwarisi zaman sebelum 2007.)
Abdul Khalim Abu Samah, pengarah perhutanan negeri Kelantan sejak 2020, tidak berpuas hati dengan kadar penanaman semula yang mengecewakan. Menurut beliau, banyak projek diluluskan kepada pembalak yang hanya berminat menebang habis hutan simpan.
“Mula-mula dulu pada 2006, 2007, kami tiada SOP (tatacara pengendalian piawai) untuk mengenalpasti sama ada [pemohon] berminat untuk membalak atau menanam,” ujar beliau.
Jadi, mungkinkah ladang hutan digunakan sebagai alasan untuk menebang habis hutan simpan? Abdul Khalim mendengus: “Ya.”
Beliau telah memperkenalkan peraturan baharu, di mana projek perladangan yang tidak ditanam semula selepas 3 tahun akan ditarik balik. Pada penghujung 2021, pejabat beliau sedang membatalkan sekitar 30,000 ha tapak yang ditinggalkan. Tapak akan ditawarkan kepada “pengusaha ladang tulen,” kata beliau. “Kami akan memperbaiki cara kerja.”
Meskipun Abdul Khalim seakan tekad untuk memperbetulkan isu ladang hutan yang ditinggalkan dan diabaikan, kejayaan beliau bergantung kepada keputusan di luar tangan beliau.
Sebagai contoh, beliau memerlukan lebih kakitangan. Isu ini sudah lama, dan pernah diketengahkan pada laporan Ketua Audit Negara 2006 berhubung jabatan perhutanan negeri Kelantan.
Pada penghujung 2021, pejabat Abdul Khalim masih mempunyai 70 kekosongan untuk jawatan pegawai perhutanan, meskipun ribuan permohonan diterima untuk 30 kekosongan beberapa tahun lalu. “Kerajaan negeri tak mengisi jawatan kosong,” ujar beliau. “Nak buat macamana?”
Perhutanan pula terpaksa diketepikan untuk keutamaan lain di peringkat pentadbiran negeri. Dengan hanya satu panggilan daripada Menteri Besar, perancangan boleh bertukar, kongsi Abdul Khalim.
Apabila kerajaan negeri hendak menggunakan mana-mana tapak di dalam zon ladang hutan untuk tadahan air, perlombongan atau ditukarkan kepada tanah milik Sultan, pegawai perhutanan perlu mengezonkan semula kawasan dan mencari tapak pengganti. Antara 2016 dan 2019, zon ladang hutan sudah “banyak bertukar”, kata beliau.
Sebenarnya, yang paling menggusarkan Abdul Khalim ialah pangkalan data jabatan yang sudah lapuk. Beliau tidak dapat memastikan kesahihan statistik berkaitan ladang hutan yang diterbitkan di laporan tahunan jabatan.
“Kami melaporkan statistik kepada ibu pejabat (di Kuala Lumpur), tapi kami tak tahu kalau [pengusaha ladang] benar-benar menanam semula,” beliau mengakui dengan terus-terang. “Kalau saya tak tahu apa yang berlaku di hutan pantauan saya, memang tak patutlah.”
Beliau sudah mengarahkan pegawai jabatan untuk mengumpul dan mengesahkan data di lapangan. “Jadi, kalau lain kali ada orang tanya, saya tahu [jawapannya].” Selain itu, beliau ingin pangkalan data disiapkan sebelum beliau bersara pada Julai 2022. “Inilah peninggalan saya.”
Meskipun terdapat ramai pengusaha yang tidak mematuhi peraturan, Abdul Khalim bernasib baik kerana terdapat juga beberapa pengusaha yang komited.
Malah, terdapat sekurang-kurangnya 30 pengusaha jujur, kata Sia si penanam batai. Beliau ialah presiden Persatuan Pengusaha Ladang Hutan Kelantan. Ahli persatuan yang berjumlah kira-kira 30 orang menguruskan ladang hutan di tanah pajakan di hutan simpan serata negeri.
Sia memiliki 5,000 ha tanah dan banyak menanam pokok getah, seperti ramai pengusaha yang lain. Mereka menebang dan menanam semula pokok mengikut kitaran balak: 20 tahun bagi pokok getah, dan 7 tahun untuk batai.
Sia menjauhkan diri daripada pengusaha yang tidak jujur. Kumpulan pejuang alam semulajadi yang prihatin “patut menemuramah ahli persatuan kami — semuanya giat bertanam — supaya mereka memahami cara kami bekerja.”
Sia menaruh harapan tinggi pada ladang hutan, disulami perasaan berhati-hati. Hasrat terdahulu untuk memperoleh pulangan lumayan terpaksa dikurangkan akibat harga yang tidak menentu, kekurangan tenaga kerja dan haiwan perosak (beliau menyimpan senapang di dalam kereta untuk menghalau babi hutan, manakala pagar elektrik menjadi sandaran untuk mencegah pencerobohan gajah).
Ringkasnya, ladang hutan ialah kebun kayu tumbuh pantas yang digunakan untuk pembalakan. Sepanjang abad ke-20, agensi kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia telah menggalakkan ladang pokok eksotik dan jati. Namun, tiada satu pun yang mencatatkan kejayaan komersil.
Pada 2000-an, kerajaan persekutuan dan negeri beralih kepada sektor swasta untuk membangunkan ladang. Agensi perhutanan mempromosikan pokok getah jenis Timber Latex Clone untuk membekalkan kayu getah kepada industri pembuatan perabot tempatan.
Namun, ladang hutan getah dihambat teruk. Kayu balak getah kekal antara balak termurah di pasaran, dan harga kekal rendah oleh kuota eksport yang memanfaatkan pembuat perabot tempatan.
Selain itu, kekurangan tenaga kerja yang seperti tiada penghujung mencecah tahap kritikal ketika pandemik.
Mengambil Sia sebagai contoh, 350 daripada 400 penoreh yang bekerja untuk beliau sudah meninggalkan negara sejak 2020. Beliau tidak dapat mengambil pekerja baharu kerena Malaysia mengumumkan sekatan sementara ke atas kemasukan tenaga kerja asing baharu (meskipun industri kelapa sawit menerima peruntukan khas).
Kekurangan pekerja seperti mimpi ngeri untuk para pengusaha ladang getah. Lateks tidak dikumpul dan ladang dipenuhi lalang. Seorang pengusaha menggambarkan keadaan sekarang seperti “ada tali gantung di leher”.
Untuk mengatasi situasi, ramai pengusaha beralih daripada pokok getah kepada tanaman alternatif lain yang kurang memerlukan kerahan tenaga intensif, seperti batai. Sia telah menukar tapak semaian daripada getah kepada batai, menggunakan biji benih yang diperoleh dari Indonesia.
Pengusaha ladang bermotifkan keuntungan, dan ada antara mereka yang melihat peluang menjangkaui kayu balak dan lateks. Sebagai contoh, kredit karbon. “Ladang hutan ialah projek ekologi,” kata Corinna Cheah, pengurus ladang. “Dan industri besar memerlukan hutan untuk menimbal balik pelepasan karbon.”
Berkelulusan dalam bidang undang-undang dan kewangan, Cheah menguruskan beberapa syarikat pembalakan dan ladang hutan di Kelantan bagi pihak sebuah konglomerat. Kakitangan di lapangan mengangguk sambil mendengar arahan pantas Cheah di pejabat syarikat di Gua Musang. Cheah bersemangat apabila membincangkan topik ladang hutan.
Beberapa hari sebelum itu, sambil makan tengahari bersama pengusaha-pengusaha lain, Cheah mencadangkan penubuhan “Kelab Batai” untuk membangunkan Kelantan sebagai hab utama kayu tersebut.
Menurut hemat Cheah: “Kami lakukannya bersama-sama. Bila ada matlamat sepunya, barulah kami boleh bertindak jaya secara besar-besaran.” Respons yang diterima memberangsangkan.
Buat masa sekarang, kredit karbon ialah konsep yang masih samar buat Cheah. Namun, beliau mengetahui yang syarikat besar sanggup membiayai projek penanaman pokok dan ladang hutan. Cheah mungkin juga akan memohon sijil kelestarian untuk ladang hutan yang diuruskan.
Untuk layak menyertai Skim Pensijilan Kayu Malaysia bagi Pengurusan Perkayuan Lestari, ladang hutan perlu mula dibangunkan sebelum 31 Disember 2010.
Ladang yang bermula selepas tarikh tersebut tidak layak mengambil bahagian, melainkan tapak ladang ialah “kawasan terosot teruk yang tidak pulih atau dalam proses pemulihan,” kata Melvin Ku, eksekutif kanan di Majlis Pensijilan Kayu Malaysia.
Setakat ini, belum ada ladang hutan di Semenanjung Malaysia yang menerima pensijilan. Mengapa?
“Kebanyakan pengusaha ladang komersil tidak memiliki kapasiti teknikal dan sumber untuk memenuhi pelbagai syarat sosial dan ekologi bawah standard pensijilan,” jelas Ku. “Namun, kekurangan ini boleh diatasi sekiranya pengusaha yang komited boleh bergabung dan bekerjasama bawah struktur pensijilan berkumpulan.”
Namun, beberapa organisasi berpendapat bahawa ladang hutan yang mengurangkan biokepelbagaian ke hanya satu spesies tidak mungkin lestari. “Ladang (monokultur) takkan sesekali menjadi hutan,” Sahabat Alam Malaysia menyatakan secara bertulis. Mereka ingin ladang hutan dimansuhkan.
Tidak dilupakan impak sosial yang mungkin dahsyat. Komuniti Orang Asli di Kelantan memberitahu Macaranga bahawa mereka kehilangan sumber makanan dan bahan tradisional di hutan, disebabkan ladang.
Cheah dan pengusaha ladang yang lain di Kelantan berhati-hati apabila ditanya tentang impak kegiatan mereka dari perspektif alam semulajadi dan sosial.
Menurut mereka, mereka mematuhi semua undang-undang yang ditetapkan, dan ladang hutan merupakan sumber bekalan kayu yang boleh diperbaharui dan mengurangkan kebergantungan kepada hutan semulajadi untuk pembalakan.
Sungguhpun begitu, untuk menjana sebahagian dana jutaan ringgit yang diperlukan untuk membangunkan tapak, mereka perlu menebang pokok untuk menuai balak terlebih dahulu. Beberapa orang pengusaha memberitahu Macaranga yang mereka mengutamakan nilai balak yang tumbuh di tapak sedia ada ketika membuat keputusan berhubung kawasan yang bakal dipajak untuk dijadikan ladang.
Namun, ada beberapa orang pengusaha yang tidak perlu membalak untuk mengumpul dana, contohnya Neo Hock Seng.
Pasukan beliau mengambil alih sebuah syarikat ladang hutan di Gua Musang. Pemilik terdahulu merupakan pembalak yang menebang habis tapak untuk “untung cepat” dan melepaskan syarikat kepada Neo dengan senang hati, kongsi Neo. Beliau malah membayar mereka pampasan deposit RM3000/ha yang dibayar kepada jabatan perhutanan.
Neo kini memegang pajakan kawasan seluas 3,200 ha di hutan simpan di Kelantan. Sebanyak 1,000 ha sudah ditanam dengan batai dan 1,000 ha lagi dengan durian.
Menurut Neo, kerajaan negeri mengizinkan pihak pengusaha menggunakan sehingga 30% kawasan untuk penanaman durian bagi meningkatkan aliran tunai. Tuaian pertama durian dijangka berlangsung tahun ini.
Neo menganggap kerja pembalakan di hutan semulajadi membinasakan. Sebaliknya, kerja beliau digambarkan sebagai “konservasi melalui ladang”. Menurut beliau, “sebuah syarikat pembuatan perabot asing yang terkenal” telah menghubungi beliau berkenaan bekalan “kayu mesra ekologi,” perkembangan yang meningkatkan keyakinan beliau terhadap ladang hutan.
Neo tidak menjawab permintaan Macaranga untuk mendedahkan lokasi ladang beliau.
Dulu, pokok durian boleh ditanam di ladang hutan di hutan simpan. Tanaman yang lumayan. perusahaan durian berupaya membiayai operasi sementara pengusaha ladang menanti masa untuk memotong pokok untuk dijadikan balak.
Namun, apabila pengusaha mula mengutamakan tanaman buah tersebut berbanding balak, pegawai perhutanan memutuskan untuk menghentikan pananaman durian, kata Zahari Ibrahim, timbalan ketua pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Pada Disember 2019, Majlis Tanah Negara mengumumkan bahawa pokok durian sudah tidak boleh ditanam di hutan simpan. Walau bagaimana pun, kata putus berkaitan hal tanah dan perhutanan terletak di tangan kerajaan negeri.
“Jika kerajaan negeri nak izinkan pokok durian ditanam di hutan simpan, tiada undang-undang yang boleh menghalang, kerana itu bidang kuasa mereka,” kata Zahari.
Di Gua Musang, Kelantan, bandar di mana seolah-olahnya setiap orang mengenali sekurang-kurangnya seorang pengusaha ladang atau pembalak, Macaranga bertanya Abdul Khalim tentang rencana beliau sebelum bersara pada Julai 2022.
Adakah beliau menasihati kerajaan Kelantan untuk mengurangkan bilangan ladang hutan yang diluluskan?
“Keputusan tentang [kuota ladang hutan] sudah ditetapkan dan saya tak boleh melanggar,” kata beliau. “Namun, jiwa saya ialah jiwa rimbawan, jadi kalau saya tak dapat pastikan ribuan spesies pokok [ada dalam hutan] pun, saya kena pastikan yang kawasan berkenaan bertanam.
“Sekurang-kurangnya, tercapai liputan hutan yang disasarkan. Ini penting.”
Ini bermakna Abdul Khalim perlu berhempas pulas di fasa terakhir kerjaya beliau. Cukup banyak rintangan yang perlu didepani dan terjerat dalam kerumitan politik dan pentadbiran: kontrak yang dianugerahkan kepada pengusaha yang gagal menanam, kekurangan tenaga kerja yang meremehkan pengusaha dan rimbawan, selain data perhutanan yang sudah lapuk bertahun.
Namun begitu, sekecil-kecil penambahbaikan atau pengajaran yang ditimba pasti memanfaatkan. Bukan sahaja untuk Kelantan, tetapi negeri lain, terutama sekali Pahang. Ini kerana di negeri tersebut, hutan simpan ditebang jauh lebih banyak berbanding ditanam semula.
Zahari Ibrahim, timbalan ketua pengarah Jabatan Perhutanan di Kuala Lumpur, bersetuju bahawa pelaksanaan ladang hutan di Semenanjung Malaysia ada beberapa kekurangan. Namun begitu, beliau optimis dan yakin.
Beliau mengulangi janji yang jabatan perhutanan akan memperbaiki pengawasan dan pelaksanaan undang-undang berkenaan ladang hutan.
“Kita jangan cepat buat negatif thinking sebab itu akan menjejas program kita (Jabatan Perhutanan) untuk menjaga kebajikan ekonomi, social dan alam sekitar,” kata beliau.
“Kami secure kepada rakyat, inilah tujuan kami.”
Ini ialah bahagian ketiga daripada siri 4-bahagian #LadangHutan yang menyiasat ladang hutan di Semenanjung Malaysia.
Bahagian 1: Menanam Pokok, Tersilap Langkah
Bahagian 2: Ladang Hutan di Hutan Simpan: Pantas Ditebang, Lambat Tumbuh
(Akan diterbitkan) Bahagian 4: Hilang Pokok Sama Jati Diri
Penafian: Ketika bekerja di lapangan, wartawan ini dibelanja makan tengah hari secara berasingan oleh Sia Beng Hock dan Abdul Khalim Abu Samah; permintaan wartawan untuk menanggung perbelanjaan makan sendiri telah ditolak.
- Canham, C.D. 2021. Rethinking forest carbon offsets.
- Forestry Department Peninsular Malaysia. 1986. Forest plantation and future timber supply in Peninsular Malaysia.
- Forestry Department Peninsular Malaysia. 1997. Developments in forest plantations in Malaysia - present status.
- Forestry Department Peninsular Malaysia. 2017. Garis Panduan Penubuhan Ladang Hutan.
- Forest Research Institute Malaysia. 1997. Prospects for forest plantations in Malaysia - potentials and challenges.
- KUASA. How can there be logging in forest reserves? (in Bahasa Malaysia)
- Ratnasingam J., et al. 2020. Plantation forestry in Malaysia: an evaluation of its successes and failures since the 1970. Notulae Botanicae Horti Agrobotanici Cluj-Napoca 48: 1789-1801.
- Sahabat Alam Malaysia. 2020. Plantations are not forests.
Some materials can found in this public folder. Data used in this story will be shared after the series is fully published.