
Kubu Alam Semula Kunci Mengharungi Ribut Badai
Karang, bakau dan rumput laut, bersama-sama, membentuk benteng semula jadi yang kukuh untuk mengharungi impak perubahan iklim seperti pusuan ribut dan kenaikan paras laut. Ekosistem ini sewajarnya dilindungi bersama.
Penulis: SL Wong
Pengarang: YH Law
DIterjemah oleh: Natural Translation
Diterbit: 21 Julai, 2023
MONSUN timur laut yang lepas mendatangkan kesan yang amat buruk kepada orang Sabah. Lebih daripada 13,000 atau 93% daripada mangsa banjir di Malaysia merupakan penduduk di negeri termiskin itu. Mereka yang tinggal di pesisir pantai sangat terkesan.
“Ribut dan air pasang besar telah datang bersekali pada Hari Natal. Ini menyebabkan banyak kerosakan di Kota Belud, Pitas, Sandakan dan Kota Kinabalu,” kata Malinda Auluck, perunding alam sekitar yang pakar dalam bidang pengurusan pesisir pantai.
“Salah satu kes yang terburuk bertempat di Pulau Mantanani di mana beberapa rumah runtuh. Beberapa rumah yang runtuh ini beroperasi sebagai homestay, lantas memberi impak kepada kelangsungan hidup komuniti yang masih bergelut untuk bangkit semula setelah mengharungi pandemik.”
Semakin hari, semakin banyak komuniti rentan yang tinggal di pulau dan pesisir pantai tanah besar menderita akibat impak pusuan ribut. Dan Malaysia mempunyai jumlah pesisir pantai yang tinggi – sepanjang 4,8000 km. Kerajaan meramalkan bahawa impak perubahan iklim boleh “memberi kesan kepada sekurang-kurangnya 2.5 juta daripada populasi, meliputi 16% kawasan darat (50,000 km persegi)” (NAHRIM 2017).
Oleh sebab bumi semakin panas, pusuan ribut akan menjadi semakin kuat. Keadaan ini, bersama-sama kenaikan paras laut merupakan ancaman utama kepada pesisir pantai, sepertimana dilaporkan dalam Laporan Tindakan Iklim Kebangsaan kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terkini (United Nations Framework Convention on Climate Change; UNFCCC, 2021).
Pusuan ribut merupakan kenaikan paras laut sementara di sesebuah kawasan tertentu, yang disebabkan oleh ribut. Menurut hab sains Climate Signals, pusuan ribut digalakkan oleh kenaikan paras laut akibat krisis iklim. Tambahan pula, apabila bumi semakin panas, pusuan ribut di kawasan beriklim khatulistiwa semakin berintensiti tinggi dan membesar, lantas menolak ombak lebih jauh ke dalam, lantas mengakibatkan banjir yang lebih teruk. Paras laut di Malaysia dijangka meningkat antara 0.28–0.74 m menjelang tahun 2100 (NAHRIM-2017).
Impak-impak ini semakin meningkat dari segi jumlah dan skala kejadian banjir, hakisan pantai dan pembanjiran kekal. Keadaan semasa memperlihatkan rakyat Malaysia menanggung berbilion ringgit akibat kerosakan, perpindahan sosial, gangguan kelangsungan hidup, dan lebih tragik lagi, kehilangan nyawa.
Sebenarnya, Malaysia mempunyai kubu semula jadi sedia ada yang amat berkesan untuk mengurangkan impak peningkatan suhu laut: hutan bakau. Disebabkan ketumpatan dan akar udaranya, pokok bakau yang terdapat di pesisir pantai dapat mengurangkan impak pusuan ribut, dengan memperlahankan aliran air dan mengurangkan ombak permukaan, terutamanya bagi pusuan yang deras.
Bakau yang cukup luas
Malaysia mempunyai keluasan hutan bakau yang keenam terbesar di dunia, iaitu sebanyak 630,000 ha. Daripada jumlah ini, kira-kira 60% terdapat di Sabah, di mana hampir semuanya adalah hutan simpan.
“Selagi hutan ini kekal dilindungi, dan tidak terganggu, ia akan menjadi pertahanan kami terhadap pusuan ribut,” kata Auluck.
Namun demikian, hutan bakau bukanlah barisan pertahanan pertama terhadap pusuan ribut. Peranan ini dimainkan oleh satu ekosistem marin yang lebih jauh ke laut: terumbu karang.
“[Terumbu karang] juga dapat mengurangkan tenaga ombak. Tetapi saya ingin menekankan bahawa apa yang dapat membantu adalah terumbu karang yang sihat. Jika terdapat terumbu karang yang sudah dihancurkan, longgokan runtuhan karang ini cuma bergerak dengan ombak dan tidak mengurangkan tenaga tersebut.”
Walau bagaimanapun terumbu karang di Malaysia amat terancam, disebabkan oleh peningkatan suhu laut yang pernah dan boleh memusnahkan keseluruhan terumbu melalui proses pemutihan (bleaching). Namun begitu, ahli sains kini sedang mendalami kaedah untuk menyelamatkan terumbu karang (lihat Esei Foto).
Selain itu, terdapat juga kawasan rumput laut, ekosistem marin ketiga di Malaysia yang membantu dalam mitigasi impak perubahan iklim. Rumput laut tumbuh di antara terumbu karang dan hutan bakau.
Menurut ahli ekologi karang Affendi Yang Amri, ‘kerjasama‘ antara ketiga-tiga ekosistem ini amat berkesan untuk mengurangkan impak pusuan ribut.
Apabila angin menolak ombak ribut ke arah pantai, ombak itu akan menghentam terumbu karang terlebih dahulu. Terumbu akan menyerap sebahagian besar tenaga ombak. Seterusnya, apabila ombak tiba di kawasan rumput laut, daun rumput laut akan terus mengurangkan tenaga.
Sesampainya ombak yang dilemahkan di hutan bakau pesisir pantai, akar bakau akan menyerap baki tenaga ombak.
“Jika anda mempunyai ketiga-tiga ekosistem di hadapan [pesisir pantai], anda berada dalam keadaan paling selamat daripada hakisan dan pusuan ribut,” rumus Affendi.
Menambah tanah
Secara teorinya, ekosistem-ekosistem ini boleh terus melindungi pantai walaupun dengan fenomena kenaikan paras laut. Ini dilakukan melalui pengumpulan (accretion), iaitu proses ‘menambah’ substrat atau tanah untuk mengekalkan keadaan bagi perkembangan sihat.
Apabila paras laut meningkat, terumbu karang akan terus bertumbuh menghala ke atas manakala rumput laut dan pokok bakau memerangkap sedimen dengan akarnya dan ‘berhijrah’ ke arah darat.
Walaupun begitu, Affendi berpendapat bahawa paras laut kini meningkat dengan terlalu cepat. Dan apabila pemaju membina di belakang hutan bakau – yang sering berlaku – mereka tidak meninggalkan ruang untuk perluasan kawasan hutan bakau secara semula jadi.
Frasa untuk melindungi, mengurus dan memulihkan ekosistem ialah Penyelesaian berasaskan Semula Jadi (Nature Based Solution – NbS). Seperti yang didefinisikan oleh IUCN, tindakan ini berfungsi untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan alam semula jadi.
Untuk pesisir pantai Malaysia, NbS merujuk kepada tindakan yang berkaitan dengan terumbu karang, hutan bakau dan kawasan rumput laut.
Satu laporan penting yang diterbitkan pada tahun 2020 menyediakan data garis dasar yang penting tentang landskap NbS pesisir pantai, seperti yang disusun, dikategorikan dan dinilai buat pertama kali oleh 14 pakar dalam pelbagai bidang NbS.
Mereka mengenal pasti 229 tindakan. Ini terdiri daripada reef ball di Sarawak dan pemindahan rumput laut di Sabah, kepada penanaman semula bakau di Pulau Pinang dan pengurusan bersama komuniti tempatan di Taman Laut Pulau Tioman.
Namun, pantai yang mempunyai dua atau ketiga-tiga ekosistem ini, bukan sahaja perlu dilindungi tetapi juga diurus dan dipulihkan bersama.
Penyelidikan penting yang menggesa pendekatan ini mengatakan bahawa penggunaan satu habitat sahaja untuk melindungi pesisir pantai hanya akan menjadikan sistem semula jadi ini sebagai alternatif kepada struktur pantai buatan manusia.
Dalam keadaan ini, ia “kurang memanfaatkan potensi semua habitat yang terdapat di dalam landskap laut”.
Namun begitu, Cheryl berkongsi bahawa bakau dan rumput laut kini menjadi “amat menarik“ disebabkan oleh lonjakan minat daripada pihak kerajaan dan sektor swasta untuk aktiviti pengimbangan karbon (carbon offsetting). Dan ini berdasarkan kebolehan khas ekosistem tersebut untuk menyerap dan menyimpan karbon.
Habitat pesisir pantai lebih berkesan untuk menyerap dan menyimpan karbon berbanding hutan darat, kata Cheryl. Dari segi dasar, mekanisma karbon biru ini mula mendapat perhatian pada tahun 2021, selepas Malaysia membuat komitmen tanpa syarat untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang tahun 2030.
Minat terhadap karbon biru terus didorong oleh peningkatan dalam perdagangan karbon dan pelancaran platform perdagangan karbon Malaysia pada tahun lepas.
Karbon biru merupakan mekanisma yang menarik untuk aktiviti mitigasi dan adaptasi krisis iklim kerana ia menjimatkan kos, kata Cheryl, yang bekerja di Institut Maritim Malaysia (MIMA).
‘Intervensi’ semudah membiarkan pokok bakau dan rumput laut di mana mereka tumbuh, untuk menjalankan peranan mereka – menyimpan karbon. “Penggunaan perkhidmatan karbon ini juga boleh memberikan insentif kepada pelaburan swasta dalam aktiviti pemuliharaan.”
Bagaimanapun, beliau memberi amaran terhadap jurang dalam pengetahuan, data, dasar dan pengurusan.
Affendi lebih berterus terang. “Kami belum bersedia untuk karbon biru. Data asas dan sains belum lagi ada.” Beliau berkongsi bahawa ahli konservasi “dibanjiri” oleh permintaan daripada syarikat untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka dengan membeli kredit yang dijana melalui pemulihan kawasan bakau dan rumput laut.
“Tetapi kami tidak mengetahui kadar penyimpanan karbon [bakau dan rumput laut] untuk Malaysia. Untuk rumput laut, kami masih belum tahu kawasannya.” Malah, Macaranga telah mendapati bahawa liputan hutan bakau yang dilaporkan di Semenanjung Malaysia mungkin juga tidak tepat.

Namun begitu, Cheryl berkongsi bahawa bakau dan rumput laut kini menjadi “amat menarik“ disebabkan oleh lonjakan minat daripada pihak kerajaan dan sektor swasta untuk aktiviti pengimbangan karbon (carbon offsetting).
Dan ini berdasarkan kebolehan khas ekosistem tersebut untuk menyerap dan menyimpan karbon.
Habitat pesisir pantai lebih berkesan untuk menyerap dan menyimpan karbon berbanding hutan darat, kata Cheryl. Dari segi dasar, mekanisma karbon biru ini mula mendapat perhatian pada tahun 2021, selepas Malaysia membuat komitmen tanpa syarat untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang tahun 2030.
Minat terhadap karbon biru terus didorong oleh peningkatan dalam perdagangan karbon dan pelancaran platform perdagangan karbon Malaysia pada tahun lepas.
Karbon biru merupakan mekanisma yang menarik untuk aktiviti mitigasi dan adaptasi krisis iklim kerana ia menjimatkan kos, kata Cheryl, yang bekerja di Institut Maritim Malaysia (MIMA).
Biarkan ekosistem jalankan peranan
‘Intervensi’ semudah membiarkan pokok bakau dan rumput laut di mana mereka tumbuh, untuk menjalankan peranan mereka – menyimpan karbon. “Penggunaan perkhidmatan karbon ini juga boleh memberikan insentif kepada pelaburan swasta dalam aktiviti pemuliharaan.”
Bagaimanapun, beliau memberi amaran terhadap jurang dalam pengetahuan, data, dasar dan pengurusan.
Affendi lebih berterus terang. “Kami belum bersedia untuk karbon biru. Data asas dan sains belum lagi ada.” Beliau berkongsi bahawa ahli konservasi “dibanjiri” oleh permintaan daripada syarikat untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka dengan membeli kredit yang dijana melalui pemulihan kawasan bakau dan rumput laut.
“Tetapi kami tidak mengetahui kadar penyimpanan karbon [bakau dan rumput laut] untuk Malaysia. Untuk rumput laut, kami masih belum tahu kawasannya.” Malah, Macaranga telah mendapati bahawa liputan hutan bakau yang dilaporkan di Semenanjung Malaysia mungkin juga tidak tepat.
Walaupun minat terhadap karbon biru berkemungkinan baik untuk pemuliharaan pesisir pantai, ia akan gagal jika mengasingkan lagi pengurusan terumbu karang, kawasan rumput laut dan hutan bakau.
Affendi memang khuatir bahawa peralihan tumpuan kepada karbon biru boleh mengetepikan pemuliharaan terumbu karang – dan ironinya, ekosistem karbon biru itu sendiri.
“Karang tidak berkaitan dengan karbon biru kerana ia tidak menyimpan karbon… Tetapi jika anda mengabaikan ekosistem marin yang melindungi ekosistem karbon biru, maka ia tidak masuk akal. Jadi anda perlu melihatnya secara keseluruhan.”
Cerita ini sebahagian daripada siri #SeaWorld Macaranga. Siri ini disokong oleh Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur. Baca juga esei foto: Pencarian Segera untuk Super Karang Malaysia.
Chee S.Y., et al. (2021). Enhancing Uptake of Nature-Based Solutions for Informing Coastal Sustainable Development Policy and Planning: A Malaysia Case Study. Frontiers in Ecology and Evolution Vol. 9.
Ferrario, F., et al. (2014). The effectiveness of coral reefs for coastal hazard risk reduction and adaptation. Nature Communications 5, 3794.
Guannel G., et al. (2016) The Power of Three: Coral Reefs, Seagrasses and Mangroves Protect Coastal Regions and Increase Their Resilience. PLoS ONE 11(7): e0158094.
Masselink, G., et al. (2020). Coral reef islands can accrete vertically in response to sea level rise. Science Advances Vol. 6 (24).
Ministry of Natural Resources, Environment and Climate Change. Malaysia’s Fourth Biennial Update Report submitted to the United Nations Framework Convention on Climate Change. 2022.
National Hydraulic Research Institute of Malaysia (NAHRIM). Impact of Climate Change – Sea Level Rise Projections for Malaysia. 2019.
PLANMalaysia. National Coastal Zone Physical Plan (NCZPP) 2. 2021.