#LADANGHUTAN

Ladang Hutan di Hutan Simpan: Pantas Ditebang, Lambat Tumbuh

Ladang hutan dicanang sebagai cara menukar hutan terosot kepada bekalan kayu mapan di Semenanjung Malaysia. Namun begitu, siasatan kami setakat ini menunjukkan bahawa ladang telah menggantikan hutan, tanpa jaminan pulangan sama ada dari segi hasil atau tempoh tuaian.

Penerbit/penulis: YH Law; Penyunting: SL Wong
Penterjemah: Adriana Nordin Manan


Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network di Pulitzer Center.

Tarikh diterbitkan: 23 Mei 2022

(Di Semenanjung Malaysia, kira-kira 90% hutan simpan telah dizonkan untuk ditebang dan dijadikan ladang hutan seperti ladang ini, di Kelantan. | Foto oleh YH Law)

#LADANGHUTAN

Ladang Hutan di Hutan Simpan: Pantas Ditebang, Lambat Tumbuh

Ladang hutan dicanang sebagai cara menukar hutan terosot kepada bekalan kayu mapan di Semenanjung Malaysia. Namun begitu, siasatan kami setakat ini menunjukkan bahawa ladang telah menggantikan hutan, tanpa jaminan pulangan sama ada dari segi hasil atau tempoh tuaian.

Penerbit/penulis: YH Law
Penterjemah: Adriana Nordin Manan
Penyunting: SL Wong


Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network di Pulitzer Center.


Tarikh diterbitkan: 23 Mei 2022

 

(Di Semenanjung Malaysia, kira-kira 90% hutan simpan telah dizonkan untuk ditebang dan dijadikan ladang hutan seperti ladang ini, di Kelantan. | Foto oleh YH Law)

 

(Versi ini diterjemahkan daripada versi Inggeris yang diterbitkan 2 Mac 2022. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.)

Ini ialah Bahagian 2 daripada siri empat-bahagian kami, bertajuk #LadangHutan.

DI MALAYSIA, hutan simpan boleh ditebang, tetapi hanya pembalakan terpilih. Dahulu, penebangan habis dilarang di hutan simpan, kecuali di beberapa tapak ladang hutan. Situasi berubah apabila Majlis Tanah Negara mula mengalu-alukan penglibatan peladang.   

Pada 2012, Majlis yang dipengerusi oleh Perdana Menteri dan terdiri daripada barisan Menteri Besar dan Ketua Menteri, meluluskan zon ladang hutan seluas 439,189 ha di kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia. Jumlah ini bersamaan dengan 9% keseluruhan kawasan hutan simpan.

Terang lagi bersuluh, badan tertinggi dasar penggunaan tanah negara menggalakkan penubuhan lebih banyak ladang hutan di hutan simpan negara.

Hanya beberapa tahun sebelum itu, pada 2007, kerajaan persekutuan mula memberi pinjaman mudah kepada projek ladang hutan (lihat Bahagian 1: Mananam Pokok, Tersilap Langkah).

Susulan itu kerajaan negeri, pihak yang dipertanggungjawabkan dalam hal penggunaan tanah dan hutan, semakin rancak mengeluarkan lesen untuk menebang hutan simpan untuk dijadikan ladang hutan. Antara 2007 dan 2020, sejumlah 256,769 ha hutan simpan ditebang. Ini merangkumi 5.2% luas kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia.

Sila guna aplikasi dibawah untuk menggambarkan keluasan 256,769 ha.

(App by Kuang Keng Kuek Ser, Pulitzer Center)

Momentum untuk mendirikan ladang hutan sudah meningkat selama beberapa dekad. Antara 1990-an dan 2000-an, agensi kerajaan dan industri perkayuan negara mengisytiharkan ladang hutan sebagai sumber kayu mapan. Selain itu, mereka berhujah bahawa ladang kelak mengurangkan kegiatan pembalakan di hutan semulajadi. 

Menjelang 2020, sebanyak 121,147 ha ladang hutan ditubuhkan di hutan simpan di Semenanjung Malaysia. Ini termasuk kawasan projek kerajaan dari beberapa dekad yang lalu (lihat Bahagian 1).

Siasatan Macaranga di sini menyingkap

  • bagaimana ini terjadi,
  • cara projek ladang hutan – diluluskan oleh kerajaan negeri – menebang hutan semulajadi lebih pantas daripada menanam semula pokok, dan
  • bagaimana tiada sesiapa pun yang tahu jumlah kayu yang dapat dituai, atau tarikh tuaian.
Almost 70,000 ha inside forest reserves in Peninsular Malaysia are planted with rubber trees. This is allowed because the trees are perceived as timber trees, though latex sales are crucial for the planters.
Hampir 70,000 ha kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia ditanam dengan pokok getah. Ini diizinkan kerana pokok yang ditanam dianggap pokok balak, meskipun penjualan lateks ialah mata pencarian penting untuk para peladang.

Bagaimana Ladang Hutan Menjarah Hutan Simpan

Macaranga memilih tarikh mula penyiasatan pada 2007. Pada tahun itu, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melancarkan Program Pembangunan Ladang Hutan untuk menyalurkan pinjaman kerajaan kepada pengusaha ladang. Sejak 2007, Program telah membiayai 64,863 ha atau 53.5% (data 2019) daripada 121,147 ha kawasan ladang di Semenanjung Malaysia.

Selain daripada MTIB, terdapat agensi lain yang memegang kuasa berkaitan ladang hutan: jabatan perhutanan negeri. Jabatan ini mengawal selia semua ladang hutan di hutan simpan. Meskipun pengusaha ladang boleh beroperasi tanpa pinjaman Program, mereka wajib mendapat kebenaran jabatan perhutanan.

Di sini, dinyatakan yang kata putus berkaitan penggunaan tanah dipegang oleh kerajaan negeri.

 Segalanya berada di hutan simpan

Pada mulanya, agensi perhutanan tidak berhasrat membenarkan ladang hutan merangkumi sebegitu banyak kawasan hutan simpan.

Pada 1997, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) meninjau tanah yang sesuai dijadikan ladang hutan.

Mereka mendapati sekitar 296,000 ha tanah terbiar di luar hutan simpan, dimiliki oleh kerajaan negeri atau agensi pertanian seperti FELDA dan FELCRA.

Di dalam kawasan hutan simpan pula, mereka mengenalpasti hanya 78,090 ha atau 1.7% kawasan hutan simpan. Ini dikenali sebagai “hutan terosot”.

(Kajian bertarikh 1997 ialah kajian terkini tinjauan ketersediaan tanah untuk dijadikan ladang hutan yang Macaranga berjaya perolehi.)

Namun begitu, berbanding unjuran pada 1997, kawasan di dalam hutan simpan sebanyak tiga kali ganda lebih besar telah ditebang, dan zon ladang hutan yang dikenalpasti oleh Majlis Tanah Negara pada 2012 hampir enam kali ganda lebih besar.

Sementara itu, bilangan ladang hutan di luar kawasan hutan simpan sangat kecil, malah tidak mustahil jika tiada langsung.  (FELDA tidak membalas pertanyaan kami untuk rencana ini.)

Pinjaman kerajaan memacu perluasan ladang hutan di hutan simpan, kata Hilary Chiew. Beliau ialah mantan pengerusi lembaga pengarah Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB), syarikat yang ditubuhkan Lembaga Industri Perkayuan Malaysia. Sejak 2007, FPDSB sudah mengagihkan pinjaman mudah bernilai hampir RM1 bilion kepada para peladang.

Chiew memberitahu Macaranga bahawa pada mulanya, FPDSB memberitahu agensi lain yang terlibat dengan perhutanan mapan bahawa syarikat itu tidak akan membiayai ladang di dalam hutan simpan.   

Namun FPDSB ternyata membiayai projek ladang di dalam hutan simpan sejak hari pertama pada 2007. “Program mempunyai insentif songsang,” kata Chiew. “Ia sudah tersasar daripada kriteria asal dan memasuki kawasan hutan simpan.”

Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (Malaysia Timber Certification Council) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (Malaysia Timber Council) meminta FPDSB untuk tidak membiayai ladang hutan di dalam hutan simpan, kata Siti Syaliza, CEO Majlis Pensijilan Kayu Malaysia.

Beliau dahulu memegang jawatan penganalisis dasar di Majlis Kayu-Kayan Malaysia pada 2007. Menurut beliau, FPDSB pada mulanya bersetuju dengan permintaan yang disampaikan, tetapi kemudian seperti tidak berupaya memenuhinya. Selain itu, beliau berkongsi bahawa Skim Pensijilan Kayu Malaysia mengizinkan sebahagian kecil hutan simpan dijadikan ladang hutan.

FPDSB tidak menjawab pertanyaan Macaranga.

Meskipun Program mendatangkan manfaat kepada beberapa peladang, ia hanya memainkan peranan kecil dalam pertumbuhan pesat ladang hutan di hutan simpan. Program membiaya hanya 64,863 ha atau 25.3% kawasan ladang hutan yang menerima lesen daripada kerajaan negeri sejak 2007.

Apabila ditanya, Jabatan Perhutanan tidak menerangkan mengapa jumlah kawasan hutan simpan yang ditukar kepada ladang hutan jauh mengatasi sasaran terdahulu. Pada April 2021, pihak jabatan memberitahu Macaranga bahawa keputusan Majlis Tanah Negara pada 2012 mematuhi dasar-dasar perhutanan negara untuk mendirikan ladang hutan bagi membantu industri perkayuan domestik serta menggantikan hutan terosot.  

Apa sebenarnya “hutan terosot”?

Isu di sini berkenaan maksud “hutan terosot” dan jika hutan sebegini perlu digantikan dengan ladang pokok spesies tunggal?

Di setiap negeri, jabatan perhutanan menetapkan zon ladang hutan di kawasan hutan simpan. Ladang hutan hanya boleh didirikan di zon tersebut, dan hanya dengan keizinan kerajaan negeri.

Zon perlu memenuhi kriteria Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang tersenarai dalam surat pekeliling daripada ketua pengarah yang dikeluarkan pada 2010.

Kriteria menetapkan bahawa ladang hutan hanya boleh didirikan di “hutan terosot” yang terjejas oleh pembalakan haram, pertanian tebas dan bakar, haiwan perosak atau kebakaran.

“Hutan terosot” juga merujuk kepada kawasan di mana purata jumlah kayu yang boleh diusahahasil adalah kurang daripada 153 m3 setiap hektar.

Kriteria terakhir ini, juga satu-satunya kriteria yang boleh diukur, mencemaskan. Menurut Inventori Hutan Nasional yang terbaru (2010—2013), hutan di semua negeri kecuali Melaka mencatatkan purata kurang daripada 153 m3/ha.

Ini bererti kebanyakan hutan di Semenanjung Malaysia dianggap “terosot” dan oleh itu, layak dijadikan ladang hutan.

Had ‘153 m3/ha’ turut pernah menghairankan Abdul Khalim Abu Samah, pengarah perhutanan negeri Kelantan. Pada pendapat beliau, had ini terlalu tinggi untuk dianggap terosot.

Beliau cuba menjelaskan sebab di sebalik had yang ditetapkan kepada Macaranga, dan akhirnya merujuk kami kepada ibu pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Kuala Lumpur. (Jabatan tidak menjawab pertanyaan kami untuk penjelasan.)

Dalam operasi harian, penggiat perhutanan tidak terkecuali daripada menyertakan “hutan elok” ke dalam zon ladang hutan, kata Abdul Khalim. Ini kerana rangkaian yang hanya hutan terosot adalah terlalu terpecah untuk membolehkan ladang yang didirikan beroperasi dengan efisyen. Kelantan sudah mengzonkan sekitar 199,000 ha hutan simpan untuk dijadikan ladang hutan. 

Namun, menggantikan hutan dengan tumbuhan monokultur semata-mata kerana hutan itu dianggap terosot menggambarkan sikap tidak berpandangan jauh, menurut Lim Teck Wyn, pakar perunding perhutanan.

Apabila hutan cuma dinilai berdasarkan nilai kewangan, hutan berisiko ditukar menjadi ladang dan akhirnya, “terjerat dalam pembangunan berterusan,” kata Lim.

Di sisi lain, “sekiranya tanah tidak dirimbuni pepohon, ini tak bermaksud ia tiada nilai ekologi.” Tanah kosong boleh tumbuh menjadi hutan selepas beberapa lama, kata beliau.

Selain itu, kajian menunjukkan yang hutan yang ditebang mungkin menjadi teduhan hidupan liar yang pelbagai, termasuk kepadatan harimau yang lebih tinggi daripada hutan terlindung. 

Menebang pokok juga mengancam keselamatan dan identiti budaya Orang Asli yang bergantung kepada hutan untuk kelangsungan hidup. Mengikut jejak warisan leluhur, banyak komuniti Orang Asli ke hutan untuk mencari makanan, herba dan keperluan untuk upacara dan adat istiadat. 

Semua ini terkubur apabila hutan ditebang dan digantikan dengan tumbuhan spesies tunggal. Gajah dan harimau, barangkali disisihkan akibat kehilangan hutan, semakin kerap memasuki kampung dan kebun Orang Asli. Pertembungan antara spesies telah membawa maut kepada penduduk kampung dan haiwan.

Sebagai respons, beberapa Orang Asli telah mendirikan sekatan jalan dan menyaman pihak pembalak dan pihak berkuasa kerajaan negeri atas tuduhan merampas tanah. Majoriti Orang Asli yang terlibat semakin dihimpit kemiskinan.

[Kisah menyusul di Bahagian 4: Pokok dan Jati Diri yang Hilang.]

A bulldozer clearing a forest reserve approved for forest plantation. But most of such areas across Peninsular Malaysia have not been replanted after the natural forests were removed. (YH Law)
Jentolak melandaikan hutan simpan yang diluluskan untuk ladang hutan. Namun, kebanyakan kawasan seperti ini di Semenanjung Malaysia tidak ditanam semula selepas hutan semulajadi ditebang. (YH Law)

Alkisah Pokok Ditebas Tetapi Tidak Ditanam Semula

Keperluan membangunkan ekonomi boleh dijadikan hujah bagi menggantikan hutan terosot dengan ladang hutan. Lagipun, kayu ialah sejenis bahan utama dan eksport produk kayu-kayan menjana pulangan yang melebihi RM22 bilion setahun untuk Malaysia.

Malangnya, menebas hutan simpan—lebih-lebih lagi yang berkualiti—untuk mendirikan ladang menyebabkan kerosakan yang besar dan membazirkan apabila terdapat banyak tanah terbiar. Pada 2019, Jabatan Pertanian melaporkan terdapat sebanyak 102,000 ha tanah pertanian terbiar di Semenanjung Malaysia.

Menebas hutan simpan juga mensabotaj ekonomi negara di masa hutan boleh menjana pulangan jutaan ringgit tanpa perlu menebang sebatang pokok sekalipun. Misalnya, hutan sihat mungkin boleh menjana kredit karbon dan pulangan di sektor pelancongan–lebih daripada 3 juta orang melawat taman-taman hutan di Semenanjung Malaysia setiap tahun.   

Kemungkinan situasi meruncing juga wujud: apabila peladang menebas tetapi tidak menanam semula selepas itu. Mereka meninggalkan tanah selepas menebang hutan dan menjual kayu. Dalam situasi sebegini, tidak kira keadaan hutan sebelum itu, ia akan terosot.

Malangnya, ini adalah kelaziman, Macaranga mendapati.

Dari 2012—2020, hanya 67.9% daripada 185,413 ha hutan simpan yang ditebang untuk ladang hutan di Semenanjung Malaysia telah ditanam semula. Jurang terbesar ialah di Pahang dan Kelantan.

Jurang yang menggemparkan ini menimbulkan pertanyaan: adakah ladang hutan dieksploitasi untuk menebang terus hutan yang, dalam situasi lain, akan hanya ditebang secara terpilih?

Pembalak dan rimbawan memberitahu Macaranga bahawa menebang terus menghasilkan dua kali ganda kayu dan pendapatan. Pihak kerajaan negeri juga memperoleh lebih banyak pendapatan daripada sektor perhutanan.

Antara bantahan paling lantang terhadap ladang hutan, khususnya di Kelantan, berlaku 16 tahun lalu dalam laporan Ketua Audit Negara 2006. Laporan tersebut menyimpulkan bahawa pemaju “lebih memberi tumpuan kepada program mengeluarkan balak” berbanding penanaman pokok, dan banyak projek terbabit memiliki kebolehlaksanaan ekonomi yang rendah.  

Acacia Industries Sdn Bhd adalah antara syarikat yang dinamakan dalam laporan itu. Syarikat tersebut diberi pajakan oleh kerajaan negeri untuk mendirikan ladang hutan seluas 8,800 ha. Pengarah urusan sekarang, Er Ka Wei, yang telah mengambil alih syarikat bersama rakan niaga beliau pada 2006, bersetuju yang pemilik lalu hanya mementingkan penebasan hutan.

Er dan pasukan yang diterajui menanam pokok getah dalam tempoh 3 bulan selepas mengambil alih kepemilikan. “Kami peladang,” beliau tekankan.

Pengusaha yang tidak jujur mungkin didenda. Di Kelantan, pemaju yang gagal menanam semula kehilangan deposit yang dibayar ke jabatan perhutanan, sebanyak RM3,000 setiap hektar.

Walau bagaimana pun, keuntungan daripada menebas hutan yang kaya dengan balak boleh jauh melebihi denda yang dikenakan, kata Corinna Cheah. Beliau menguruskan beberapa syarikat pembalakan dan ladang hutan di negeri itu.

“Ramai yang memilih jalan itu untuk meraih keuntungan mudah dengan segera,” kata Cheah, tapi “keuntungan yang tertinggi terdapat di tuaian (ladang) kedua dan ketiga sebenarnya.” Beliau mempelawa Macaranga untuk melawat ladang yang diuruskan. 

Selain itu, ada pembalak yang menanam semula pokok selepas menebang terus, tapi ini dilakukan hanya untuk mendapat kembali deposit. Selepas itu mereka meninggalkan ladang, kata Encik Lai, yang telah membalak selama 40 tahun di Kelantan dan Pahang. Beliau enggan mendedahkan nama penuh beliau.

Encik Lai pernah dibayar untuk menebas hutan simpan untuk dijadikan ladang hutan. Menurut beliau, “banyak” ladang hutan terlalu terpencil untuk diakses, dan sudah ditinggalkan. Beliau juga mengkritik kerajaan negeri kerana meluluskan ladang getah di kawasan hutan simpan yang luas.

Pegawai jabatan perhutanan dan MTIB memaklumkan Macaranga yang mereka kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan audit di lapangan secara berkala. Pejabat Menteri Besar Kelantan dan EXCO negeri tidak menjawab pertanyaan untuk memberi ulasan.

Siapa yang bertanggungjawab?

MTIB meyakinkan Macaranga bahawa semua ladang hutan yang dibiayai Program Pembangunan Ladang Hutan di Semenanjung Malaysia – 64,863 ha sejak 2007 – telah ditanam. Macaranga tidak dapat mengesahkan kenyataan MTIB, tetapi beberapa peladang meberitahu Macaranga bahawa pegawai MTIB memberikan pinjaman hanya selepas mengaudit tapak yang sudah bertanam.

Berdasarkan kenyataan MTIB, ini bermakna kebanyakan — boleh jadi semua — tanah yang ditebang terus tanpa ditanam semula tidak termasuk dalam Program. Maksudnya, jabatan perhutanan dan kerajaan negeri menanggung tanggungjawab penuh ke atas projek berprestasi rendah ini.  

Jabatan Perhutanan di Kuala Lumpur tidak menjawab pertanyaan Macaranga tentang kenyataan MTIB. Namun, mereka mengakui kewujudan banyak tapak yang tidak bertanam. Timbalan ketua pengarah Jabatan, Zahari Ibrahim, memberitahu Macaranga pada April 2021 bahawa Jabatan telah mengesyorkan langkah-langkah bersesuaian untuk melindungi hutan.

Susulan itu, Majlis Tanah Negara pada 3 Disember 2021 mengumumkan tempoh moratorium selama 15 tahun ke atas ladang hutan baharu di hutan simpan Semenanjung Malaysia. Arahan ini berkuatkuasa ke atas  127,050 ha hutan simpan yang dizonkan tetapi belum menerima lesen untuk dijadikan ladang hutan  (agaknya daripada jumlah keseluruhan hutan dizonkan seluas 439,189 ha).

Sungguhpun begitu, keputusan Majlis Tanah Negara tiada kuasa undang-undang. Masih belum diketahui sama ada moratorium akan dipatuhi oleh kerajaan negeri sebagai pihak yang memiliki kata putus dalam hal penggunaan tanah dan hutan.

Sementara itu, di Kelantan, negeri yang mencatatkan penebasan tertinggi hutan simpan untuk dijadikan ladang hutan sejak 2007, pegawai-pegawai perhutanan ingin mempercepatkan penanaman semula.

Abdul Khalim, pengarah perhutanan negeri, berkata pejabat beliau bakal membatalkan projek penanaman hutan yang sudah ditebang terus tetapi belum bertanam selepas 3 tahun, meliputi kawasan seluas 30,000 ha. Ini bersamaan dengan 37% kawasan hutan simpan yang ditebang terus dari 2007 ke 2017, tarikh ‘cut-off’ mengikut kriteria Abdul Khalim.

“[Dahulu] apabila kami dapat pembalak, dia tak tanam, dia tebang, dia cabut lari,” kata Abdul Khalim.  Sekarang, beliau ingin mengagihkan kawasan terlibat kepada “pengusaha ladang sejati” yang telah mengemukan permohonan kepada beliau. Abdul Khalim mengeluh bahawa pembalak yang tidak menanam menyebabkan negeri kehilangan pendapatan dan hasil kayu.

Jiran selatan Kelantan yang lebih dirimbuni hutan, Pahang, mungkin menghadapi isu yang sama. Sejak 2012, jurang antara kawasan yang diluluskan untuk penebangan terus bagi ladang hutan dan kawasan hutan simpan yang ditanam semula adalah sebanyak 73,360 ha. Ini ialah jurang terbesar daripada semua negeri. Timbalan pengarah perhutanan negeri Pahang tidak menjawab pertanyaan yang diajukan.

The government promotes forest plantations (right and background) to replace natural forests and expects planters to harvest every 15 years. But planters say they will delay harvest until market conditions are favourable. (YH Law)
Kerajaan mengesyorkan ladang hutan (kanan dan latar belakang) untuk menggantikan hutan semulajadi, dan meminta pengusaha ladang menuai setiap 15 tahun. Namun, para pengusaha ladang berkata mereka akan menangguhkan tuaian sehingga keadaan pasaran lebih menggalakkan. (YH Law)

Bila Menuai, dan Apa Hasilnya?

Ladang hutan, dengan deretan teratur pokok cepat tumbuh, dijangkakan menghasilkan kayu dengan lebih menentu dan pantas berbanding hutan semulajadi. Namun, dalam keadaan hutan simpan yang ditebas tanpa ditanam semula serta kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan audit di lapangan, mampukah ladang hutan memastikan bekalan mapan kayu?

Sebenarnya, jika isu-isu di atas tidak wujud sekalipun, tiada sesiapa yang tahu jumlah kayu yang boleh dihasilkan ladang hutan, atau bila. Situasi diselubungi ketidaktentuan dan kekurangan data.

Penunjuk terbaik ialah ladang hutan getah, yang merangkumi 57.4% daripada ladang hutan di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan kajian lalu, kerajaan menetapkan sasaran tuaian sebanyak 200 m3 balak setiap hektar, menurut kitaran bertempoh 15 tahun.

Setakat 2020, hampir 60% daripada ladang hutan di Semenanjung Malaysia menanam pokok getah jenis Timber Latex Clone.

Namun, pengusaha ladang tidak boleh dipaksa untuk menuai oleh mana-mana pihak, mahupun jabatan perhutanan negeri atau MTIB.

Sebagai contoh, Acacia Industries Sdn Bhd telah meminjam kira-kira RM56 juta daripada MTIB melalui Program Pembangunan Ladang Hutan. Ada antara pokok getah milik syarikat yang sedia ditebang, tetapi syarikat memberitahu Macaranga yang ini tidak akan dilakukan sehingga 5—10 tahun akan datang.

Sebabnya mudah: harga kayu getah sekarang terlalu rendah, maka lebih berbaloi jika pokok getah dibiarkan hidup dan menjana pendapatan daripada lateks.

Sia Beng Hock, presiden Persatuan Pengusaha Ladang Hutan Kelantan, bersetuju. Beliau memiliki sekitar 5,000 ha ladang hutan di Kelantan, kebanyakannya ditumbuhi pokok getah. “Kalau tebang pokok [sekarang], bukankah rugi?”

MTIB meminta pengusaha ladang dalam Program untuk menjalankan tuaian pertama tahun ini. Namun, MTIB tidak boleh menjamin kuantiti tuaian atau bila kayu balak boleh dihasilkan. Masalah ini mungkin boleh diselesaikan pihak MTIB pada masa hadapan, kata Kamaruzaman Othman, timbalan ketua pengarah MTIB. 

Buat masa sekarang, mereka hanya mampu menjangka garis masa tuaian, sesuatu yang dihitung dari usia ladang.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia tidak menjawab pertanyaan tentang unjuran bekalan balak dari ladang hutan.

Antara 2022—2035, Program Pembangunan Ladang Hutan menyasarkan penghasilan 23.3 juta meter persegi dari ladang hutan. Antaranya kira-kira 69% adalah balak kayu getah.

Unjuran kabur seperti ini sangat tidak memadai untuk keperluan industri perkayuan. 

Yoong Hau Chun ialah ketua pegawai eksekutif kumpulan Heveaboard Bhd, sebuah syarikat pembuat perabot dan papan serpih. Syarikat itu adalah antara syarikat produk kayu-kayan terbesar yang tersenarai di Bursa Malaysia. Kira-kira 70% produk syarikat diperbuat daripada kayu getah yang dibeli daripada estet getah (bukan ladang hutan).

Yoong tidak tahu menahu sama ada ladang hutan wajar digelar berjaya. Beliau seakan kebingungan apabila ditanya jika syarikat beliau merancang untuk menggunakan kayu getah yang diperoleh dari ladang hutan. “Kalau ada bekalan bila-bila nanti, kami boleh menggunakannya juga.”

In Gemas, Negeri Sembilan, a truck delivers a full load of rubberwood logs to HeveaBoard Bhd, a company that makes particleboard with the timber. (YH Law)
Sebuah lori menghantar muatan penuh kayu getah kepada Heveaboard, sebuah syarikat yang menggunakan balak tersebut untuk membuat papan serpih di Gemas, Negeri Sembilan (YH Law)

Goh Chee Yew, pengerusi Persatuan Perindustrian Kayu-Kayan Malaysia, berkata rakan sekerja beliau tidak dapat merancang penggunaan kayu daripada ladang hutan, disebabkan kekurangan data.

Beliau turut mempertikaikan kesahihan data ladang getah MTIB. Dari 2020—2015, Goh memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah MTIB, dan pernah meminta pegawai mengesahkan lokasi kawasan ladang yang dibiayai pinjaman. Apabila tiada sebarang tindakan yang diambil, “saya begitu muak, saya tidak mahu lagi menjadi ahli lembaga.” *

MTIB manyangkal dakwaan yang penggiat industri perkayuan tidak tahu menahu tentang data ladang getah. Menurut mereka, MTIB sering mengadakan perjumpaan dengan wakil industri tentang ladang getah. Selain itu, lembaga pengarah dan jawatankuasa kerja Lembaga turut disertai wakil industri.  

Memandangkan Program – dan seterusnya, ladang getah – dibiayai oleh dana awam, adakah MTIB akan berkongsi data ladang getah dengan masyarakat umum?

Belum lagi, kata Kamaruzaman, timbalan ketua pengarah Lembaga. “Selagi ada beberapa perkara yang belum dipastikan, saya rasa tidak wajar untuk menerbitkan data; kalau tidak, [aka nada] tindak balas buruk [terhadap] kami.”

MTIB mahupun Jabatan Perhutanan tidak bersetuju dengan permintaan Macaranga untuk mengakses peta dan senarai ladang getah. Jabatan perhutanan negeri Kelantan sedang menguruskan pangkalan data ladang getah, yang akan dikongsi apabila siap, kata Abdul Khalim, pengarah Jabatan. 

 

Siasatan Macaranga menunjukkan yang pembangunan ladang getah sepanjang dua dekad yang lalu telah menyebabkan kehilangan hutan berskala besar, tanpa tanda-tanda keuntungan komersil yang setimpal.  

Namun begitu, tatkala gesaan untuk melindungi hutan semakin lantang, ladang hutan ialah penggerak masa depan, kata Jabatan Perhutanan dan MTIB. Kedua-dua agensi berhasrat memperbaiki pengawasan dan pelaksanaan untuk mengatasi kekurangan dalam sistem.

Buat masa sekarang, tiada antara mereka yang boleh menyebut contoh ladang getah komersil yang berjaya di Semenanjung Malaysia; sebab utama ialah masih belum ada ladang hutan yang menuai balak lagi.

Contoh terbaik terdapat di Kelantan, negeri tuan rumah ladang hutan terawal, cadangkan Zahari Ibrahim, timbalan ketua pengarah Jabatan Perhutanan.  Ladang getah di sana, yang kini mencecah usia 10 tahun, “memang cantik, nyaman udara,” kata beliau.

 

 

Ini ialah bahagian kedua daripada siri #LadangHutan yang menyiasat ladang hutan di Malaysia.

Bahagian 1: Menanam pokok, tersilap langkah

(Akan diterbitkan) Bahagian 3: Jerat dan janji ladang hutan di Kelantan

Bahagian 4: Pokok dan jati diri yang hilang

Penafian: Ketika bekerja di lapangan, wartawan ini dibelanja makan tengah hari secara berasingan oleh Sia Beng Hock dan Abdul Khalim Abu Samah; permintaan wartawan untuk menanggung perbelanjaan makan sendiri telah ditolak. 

*Kemas kini: 2 Mac 10.58 pagi – Petikan Goh Chee Yew menggantikan parafrasa awal kami. Selepas penerbitan, beliau menjelaskan kepada kami bahawa beliau telah meninggalkan Lembaga Pengarah MTIB apabila beliau diminta untuk menyertai agensi industri kayu yang lain.

  1. Forestry Department Peninsular Malaysia. 1986. Forest plantation and future timber supply in Peninsular Malaysia.
  2. Forestry Department Peninsular Malaysia. 1997. Developments in forest plantations in Malaysia - present status.
  3. Forestry Department Peninsular Malaysia. 2017. Garis Panduan Penubuhan Ladang Hutan.
  4. Forest Research Institute Malaysia. 1997. Prospects for forest plantations in Malaysia - potentials and challenges.
  5. Malaysian Timber Industry Board. 2019. Annual report.
  6. Magintan, D., et al. 2017. The conservation value of unlogged and logged forests for native mammals on the East Coast of Peninsular Malaysia. Journal for Nature Conservation 40: 113–119.
  7. Rayan, D. M. et al. 2009. The importance of selectively logged forests for tiger Panthera tigris conservation: a population density estimate in Peninsular Malaysia. Oryx 43: 48.
  8. Ratnasingam J., et al. 2020. Plantation forestry in Malaysia: an evaluation of its successes and failures since the 1970. Notulae Botanicae Horti Agrobotanici Cluj-Napoca 48: 1789-1801.
  9. Sahabat Alam Malaysia. 2020. Plantations are not forests.

Some materials can found in this public folder. Data used in this story will be shared after the series is fully published.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Komen dialu-alukan tetapi akan disemak. Jangan gunakan bahasa yang kasar, fitnah, ganas atau yang boleh melanggar undang-undang. Serangan peribadi tidak akan diterima.

Leave a Reply

Your email address will not be published.