Dari laut ke hutan, daya tarikan paling penting Tioman ialah alam sekitarnya. (Suhaimi Awang)

Lapangan Terbang Baru Tioman Perlu Difikirkan Semula

Pembinaan lapangan terbang baru di Tioman yang melibatkan tanah tebus guna tidak disokong orang tempatan sepenuhnya, tulis Suhaimi Awang.

DENGAN penuh rasa kekurangan dari diri, saya menulis di sini. Saya anak jati Pulau Tioman, berasal dari Kampung Juara dan keseluruhan family saya juga dari Kampung Juara. Saya pengusaha resort kecil di tanah warisan keluarga saya.

Saya berpendapat bahawa Tioman Development Authority (TDA) seharusnya memainkan peranan yang jauh lebih penting selain menjaga kelestarian Pulau Tioman. [TDA ialah agensi kerajaan yang menerajui pembangunan Pulau Tioman.]

Ya, ada yang mereka buat dengan baik. Tetapi mereka juga harus peka dengan penduduk Pulau Tioman, bukan dengan cadangan orang-orang kaya, tetapi apa yang orang kampung perlukan.

(Foto: Dari laut ke hutan, daya tarikan paling penting Tioman ialah alam sekitarnya | Gambar oleh Suhaimi Awang)

SAYA MENULIS tentang apa yang kami, penduduk Tioman, rasa tentang projek baru lapangan terbang di Pulau Tioman.

Jujur di sini saya tidak tahu di mana permulaannya dan segala maklumat masih lagi tidak jelas dengan projek ini.

Ramai rakyat di Pulau Tioman tidak pernah tahu segala pelan pembangunan di Pulau Tioman. Mereka tidak diperjelaskan tentang projek lapangan terbang baru ini.

Berita tidak sampai

Saya berasa setiap kali ada apa-apa perjumpaan, cuma yang dipanggil pengusaha resort dan penjawat awam di Pulau Tioman, sedangkan penduduk asal tidak tahu dan berita tidak disampaikan dengan betul.

Terutama orang kampung yang tidak di dalam industri pelancongan. Lagipun ramai yang ada kekangan kerja, terutama yang bekerja sendiri, seperti di Juara.

Masih ramai yang tidak bersetuju dengan projek lapangan terbang ini.

Tetapi suara-suara ini tidak pernah diperdengarkan dan tiada orang yang hendak dengar kerana golongan ini yang membangkang dan orang-orang ini tiada sokongan daripada mereka yang menyokong projek ini.

Tioman mempunyai terumbu karang yang sihat yang menjadi tarikan kepada pelancung. (Cintai Tioman FB)

Sekiranya lapangan terbang ini dijayakan, industri pelancongan di Pulau Tioman akan mati dengan serta-merta.

Ini kerana tarikan ulama Pulau Tioman adalah sumber marin dan alam semulajadi yang belum tersentuh.

Kedatangan pelancong ke Puau Tioman adalah kerana 2 sumber yang kebanyakannya sudah tidak ada di tempat lain, seperti hutan yang tidak terusik dan terumbu karang yang cantik.

Sumber alam sekitar terjejas

Sekiranya projek ini dilaksana, kedua-dua sumber ini akan hilang dan ini akan menjadi titik kejatuhan Pulau Tioman.

Tetapi ini tidak kepada pengusaha-pengusaha resort yang besar kerana mereka terus merosakkan Pulau Tioman dengan pelbagai idea dan tarikan.

Maka orang tempatan lah mengemis di pulau sendiri.

Penduduk Tioman berganding bahu dengan NGO Reef Check Malaysia untuk membersihkan laut di sekitar Tioman daripada sampah seperti ‘pukat hantu’ (ghost nets). (Cintai Tioman FB)

Sekiranya lapangan terbang ini tidak dibina, bukan bermaksud tidak boleh ada pembangunan di Pulau Tioman.

Sudah semestinya mesti ada pembaharuan tetapi ianya mestilah seiring dengan keperluan, bukan dengan kehendak yang membabi buta.

Ada yang jauh lebih penting untuk dibangunkan daripada lapangan terbang baru ini. Di sini ada beberapa luahan hati saya.

Pentingkan pendidikan

Satunya sistem pendidikan yang bagus untuk anak pulau. Sewajarnya ini harus diberi penekanan dan kewajipan.

Ini seiring dengan negara kita yang maju dan untuk melahirkan anak-anak pulau seiring dengan penduduk bandar dari segi ilmu.

Sessi pelajaran di Kelab Alam Sekitar Sekolah Rendah Kebangsaan Juara, Pulau Tioman (Cintai Tioman FB)

Sekiranya pendidikan mereka bagus, maka banyaklah lahir generasi yang cintakan Tioman kerana mereka faham bagaimana mereka harus pertahankan hak milik mereka.

Lagi satu ialah fasiliti keselamatan seperti klinik kesihatan. Sekarang klinik Pulau Tioman sangat teruk dari segi layanan, bantuan, kecemasaan, dan sebagainya.

Ini amat memalukan dan tahap keselamatan di Pulau Tioman amat jauh ketinggalan dengan tiadanya doktor yang bagus dan kurang pengalaman, peralatan yang sudah lama dan staff yang kurang prihatin. Ini atas pengalaman saya sendiri.

Kos kesihatan

Penduduk kampung harus menanggung kos sendiri untuk kesihatan, padahal perkhidmatan ini yang betul-betul diperlukan.

Kemudahan untuk penduduk Pulau Tioman bukan untuk pelawat dan pengusaha resort semata-mata.

Jeti Kampung Juara adalah jeti yang paling teruk dan buruk, dan yang paling mengejutkan itu jeti bukan milik kampung tapi agensi kerajaan.

Dan tiada siapa yang dapat memulihkan, membina, dan buat apa yang sepatut dibuat. Amat-amat memalukan.

Cara hidup kampung

Pelancong datang ke Pulau Tioman juga untuk menikmati cara hidup kami. Orang kampung itu jauh lebih hebat melayan tetamu atau pelancong berbanding resort dan pengusaha resort.

Cara hidup orang kampung, semasa perayaan, perkahwinan sudah tidak wujud di bandar tetapi di Pulau Tioman masih ada lagi, seperti adat lama, cara memancing yang berbeza, masyarakat yang unik kerana duduk dalam family yang besar dan makanan juga.

Jadi, fokuslah pada orang kampung, bukan focus pada pengusaha resort dari luar. Jagalah orang kampung dan jangan terjadi bahawa kami selalu disingkir dan orang atasan yang memanipulasi orang tempatan.

 

[Disunting oleh SL Wong]


Suhaimi Awang pengusaha resort kecil di Kampung Juara, Pulau Tioman, dan pernah bekerja sebagai jurulatih luar (outdoor instructor) selama 13 tahun.

Nota: Sebelum artikel ini diterbitkan, penerbit telah menghantar artikel ini kepada Tioman Development Authority dan menjemput mereka untuk membalas artikel ini agar ia dapat diterbit bersama.

Selain foto yang dibekalkan oleh penulis, foto lain dipilih oleh penerbit dan diterbit dengan kebenaran Cintai Tioman FB.

 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Macaranga.


MORE REMARKS:

Now or Never for Malaysian Coral Reefs  |  Plastics in the Body a Worrying Trend  |  Are We Serious about Sustainability?

 

Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *