#LADANGHUTAN

Menanam Pokok, Tersilap Langkah

Didirikan selepas hutan simpan yang melata ditebang, ladang hutan di Semenanjung Malaysia tidak menunjukkan tanda-tanda kemapanan ekonomi dan alam sekitar yang memberangsangkan.

Penerbit/penulis: YH Law; Penyunting: SL Wong

Penterjemah: Adriana Nordin Manan

Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network di Pulitzer Center.

Tarikh diterbitkan: 20 Mei 2022

(Kira-kira 9% hutan simpan di Semenanjung Malaysia dizonkan untuk ladang hutan seperti ini | Foto oleh YH Law)

#LADANGHUTAN

MENANAM POKOK, TERSILAP LANGKAH

Didirikan selepas hutan simpan yang melata ditebang, ladang hutan di Semenanjung Malaysia tidak menunjukkan tanda-tanda kemapanan ekonomi dan alam sekitar yang memberangsangkan

Penerbit/penulis: YH Law

Penterjemah: Adriana Nordin Manan

Penyunting: SL Wong

Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network di Pulitzer Center.

Tarikh diterbitkan: 20 Mei 2022

(Kira-kira 9% hutan simpan di Semenanjung Malaysia dizonkan untuk ladang hutan seperti ini | Foto oleh YH Law)

Versi ini diterjemahkan daripada versi Inggeris yang diterbitkan 23 Februari 2022. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.

Ini ialah Bahagian 1 siri #LadangHutan, yang merangkumi empat rencana. 

 

PADA 2006, Acacia Industries Sdn Bhd menanam pokok getah pertama milik syarikat di Gua Musang, Kelantan. Ladang seluas 8,800 ha itu merupakan antara ladang hutan swasta terawal dan terbesar di Kelantan.

Pengarah urusan Acacia Industries, Er Ka Wei, tertarik kepada potensi pulangan lumayan ladang hutan Timber Latex Clone (TLC). Rakan niaga beliau terdiri daripada pedagang balak yang berpengalaman, dan mereka menjangka kekurangan bekalan kayu getah — jenis kayu yang memacu pertumbuhan industri perabot Malaysia.  

Tambahan pula, pada tahun-tahun sebelum tuaian balak yang terakhir, mereka boleh menjual lateks yang dihasilkan. Mereka menanam sejenis pokok getah yang masih baharu ketika itu, dikenali sebagai TLC yang berupaya tumbuh dengan lebih cepat dan besar.

Lima belas tahun kemudian, Er menyesali keputusan yang diambil.

“Nasihat saya, janganlah ceburi industri ini, jangan sama sekali. Jujur saya cakap. Jangan langsung.” Beliau menasihati penggiat baharu untuk menjauhi industri, terutama sekali yang berkaitan pokok getah.

Menanam pokok untuk masa depan

Ladang hutan berperanan sebagai kebun pokok. Pengusaha ladang menebang hutan untuk menanam pokok yang tumbuh pantas, untuk dijual sebagai pulpa dan balak. Di Malaysia, ladang sebegini dikategorikan sebagai hutan, menurut takrifan yang ditetapkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO). 

Penyokong usaha ini berkata ladang hutan membolehkan industri menjana pendapatan daripada tanah terbiar, selain menyediakan bekalan kayu balak yang dipercayai dan mapan. Pada masa yang sama, pembalakan di hutan semulajadi dapat dikurangkan. Kelestarian di setiap peringkat.

Pihak kerajaan negeri — pihak yang bertanggungjawab ke atas hal penggunaan tanah — merupakan penyokong tegar ladang hutan. Di Semenanjung Malaysia, kerajaan negeri telah mengeluarkan lesen untuk menebang 256,769 ha hutan simpan untuk dijadikan ladang hutan. Sekitar 80.4% kawasan yang dilesenkan terletak di Kelantan dan Pahang.  

Namun, ladang hutan memerlukan sumber kewangan yang besar. Untuk menarik minat pengusaha, kerajaan persekutuan Malaysia memulakan Program Pembangunan Ladang Hutan pada 2007.

Program ini telah mengagihkan RM914 juta dalam bentuk pinjaman mudah kepada pengusaha di seluruh Malaysia, termasuk Acacia Industries. Pinjaman ini membantu lebih kurang 25.3% projek yang diluluskan kerajaan negeri sejak 2007.  

Kerajaan akan menyuntik dana tambahan kepada Program sebanyak RM500 juta sehingga 2025. 

Namun demikian, siasatan oleh Macaranga selama setahun menunjukkan yang ladang hutan di Semenanjung Malaysia melibatkan kos yang tinggi, tanpa menunjukkan tanda-tanda kejayaan yang setimpal.  

Kami menumpukan liputan di Semenanjung Malaysia, di mana ladang hutan telah muncul sebagai salah satu penyebab utama penyusutan liputan hutan sepanjang dua dekad yang lalu.  

Di siri empat-rencana ini, kami merungkai: (Bahagian 1) mengapa pengusaha ladang tidak dapat mengekalkan ladang mereka; (Bahagian 2) mengapa banyak ladang ditinggalkan, lalu menjejaskan bekalan balak; (Bahagian 3) kajian kes ladang di Kelantan; dan (Bahagian 4) impak ke atas masyarakat Orang Asli.

Ladang tetap menjadi pilihan

Ladang hutan di Semenanjung Malaysia mempunyai sejarah yang panjang dan bersimpang-siur.

Asal usul idea ini bertitik tolak pada 1900-an, dengan pengenalan tapak kecil pokok jati. Estet pokok pain dan eucalyptus yang lebih besar menyusul pada 1950-an. Kemudian, lazimnya di bawah teraju pihak berkuasa, Projek Ladang Hutan Kompensatori ditubuhkan dan meliputi sekitar 63,000 ha dari 1982-1999, kebanyakannya terdiri daripada pokok Acacia. 

Kesemua usaha ini akhirnya dihentikan akibat penyakit atau permintaan pasaran yang lemah. Seabad usaha, kebanyakannya bawah teraju pihak kerajaan, gagal menghasilkan ladang hutan mapan dengan keluasan yang mendapat perhatian. 

Walau bagaimana pun, penyelidik, agensi kerajaan dan penggiat industri tetap menggesa lebih banyak ladang hutan didirikan. Pada 1990-an, mereka memberi amaran bahawa industri perkayuan — penyumbang 4% ekonomi negara — diancam oleh bekalan balak yang tidak mencukupi. Anggaran defisit mencecah angka 55%.  

Namun begitu, jentera pertumbuhan pilihan kali ini ialah penswastaan, dasar yang diperjuangkan kerajaan Malaysia sepanjang 1990-an. 

Mencari: pengusaha ladang swasta

Pada 2003, Majlis Kayu-Kayan Malaysia menjalankan kajian untuk membina industri ladang hutan yang diterajui sektor swasta. Insentif kewangan dan ketersediaan tanah menjadi tunjang utama. 

Tidak lama kemudian, pada 2007, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi memperkenalkan Program Pembangunan Ladang Hutan.

Ditadbir oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Program menyasarkan penubuhan 375,000 ha ladang hutan di seluruh Malaysia menjelang 2020. Sasaran ini kemudian dikurangkan kepada 130,000 ha, berikutan kos yang meningkat.

Program diperuntukkan RM1 bilion dalam bentuk pinjaman mudah, untuk menarik minat pengusaha ladang. Pinjaman ini dapat membantu pengusaha menceburi industri yang memerlukan dana permulaan dalam lingkungan jutaan ringgit.

Pinjaman diagihkan selepas penanaman dan berlanjutan selama 15 tahun, mencatatkan kadar faedah tahunan sebanyak 3%. Peminjam membayar balik pinjaman antara tahun ke-16 dan ke-20. 

Di Semenanjung Malaysia, Program cuma meliputi sebahagian bilangan keseluruhan ladang hutan.

Walau bagaimana pun, disebabkan ladang baharu ini dibangunkan di hutan simpan, semua pengusaha ladang perlu memohon kebenaran daripada jabatan perhutanan negeri untuk setiap projek. Jabatan perhutanan negeri mengawal selia kesemua ladang hutan termasuk hutan simpan.

Pengusaha ladang berpusu-pusu menyertai Program. Menurut jawapan Parlimen (3 November 2021) oleh Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, sehingga 2020, Program telah mengagihkan RM913.7 juta kepada 70 syarikat swasta dan agensi kerajaan. Beliau tidak mendedahkan senarai nama peminjam.

Jawapan Parlimen Willie Mongin kepada soalan yang ditanya oleh MP Wong Shu Qi berkaitan ladang hutan, pada 3 November 2021.

 

Program kini semakin mencapai sasaran kawasan perladangan sebanyak 130,000 ha. Laporan tahunan MTIB 2019 menyatakan bahawa Program sudah meluluskan sekitar 124,767 ha, di mana 115,628 ha sudah ditanam. Sekurang-kurangnya 64,862.6 ha terletak di Semenanjung Malaysia.

Program dijangka berterusan sehingga 2025, dipacukan oleh suntikan dana kerajaan persekutuan sebanyak RM500 juta. Program kelak dikenali sebagai Program Pembangunan Ladang Hutan 2.0 dengan terma patuh Syariah, Macaranga dimaklumkan oleh MTIB. Maklumat lanjut belum diumumkan.

Lebih banyak pinjaman, lebih banyak ladang

Sia Beng Hock ialah mantan pembalak bertukar kepada pengusaha ladang, dan menyertai Program bermula 2011. Beliau menyifatkan Program sebagai “pelan sangat bagus” yang berjaya menampung 70% kos yang ditanggung beliau untuk mendirikan ladang.  Beliau mula menanam pokok getah di Kelantan pada 2008.

Program berjaya mempercepatkan perluasan perniagaan Sia. Beliau kini memiliki kira-kira 5,000 ha ladang hutan getah di Kelantan, kesemuanya terletak di hutan simpan. Kerajaan negeri memberi syarikat beliau, SBH Timber Sdn Bhd, pajakan tanah bertempoh 50 tahun. 

Planter Sia Beng Hock (right) checks on the latex collected in his 10-year old rubber forest plantation. Like many planters in Kelantan, he would milk the trees until they are up to 25 years old before cutting them for timber (YH Law)
Pengusaha ladang, Sia Beng Hock (kanan), memeriksa lateks yang dikumpul di ladang hutan getah milik beliau yang berusia 10 tahun. Seperti ramai pengusaha ladang di Kelantan umumnya, beliau menoreh getah sehingga usia pokok mencecah 25 tahun, dan kemudian menebang pokok untuk dijadikan balak (YH Law)

Sia acap kali memberitahu Macaranga bahawa mengusahakan ladang ialah tugas yang mencabar. Beliau perlu menebas tapak, menjual kayu, membina jalan dan menarah bukit. Beliau perlu memastikan tapak bebas daripada rumput dan menanti selama 7 tahun sebelum boleh menoreh pokok getah untuk memperoleh lateks.

“Untuk 7 tahun pertama, kami tak dapat satu sen pendapatan pun,” Sia memberitahu Macaranga pada November 2021. Apabila cawan pertama lateks diisi akhirnya, beliau menganggarkan perbelanjaan yang sudah dikeluarkan adalah sebanyak RM37,000 setiap hektar.

Rekod kewangan menunjukkan bahawa syarikat Sia mengisytiharkan pendapatan sifar sepanjang tempoh 2009—2018, dan sudah kerugian RM14 juta. Akhirnya pada 2019, syarikat mencatatkan jualan lateks bernilai RM440,000.

Program pinjaman adalah kritikal kerana Sia tidak memiliki tanah yang diusahakan, oleh itu tidak layak menerima pinjaman bank. Program memberi pinjaman sehingga RM10,000 untuk setiap hektar pokok getah, dan Sia layak menerima jumlah pinjaman sebanyak RM45 juta.  

Namun, masalah utama Sia bukan dana, tetapi kekurangan pekerja.

Kecemasan! Di mana dia, tenaga kerja saya?

Sektor perladangan di Malaysia bergantung kepada tenaga kerja asing, khususnya warga Indonesia, sejak 1980-an untuk mengerjakan tapak dan menuai hasil.

Namun begitu, ladang di Malaysia kini dianggap sektor pekerjaan yang tidak menarik minat pekerja Indonesia, semakin jurang pendapatan antara kedua-dua negara merapat.

Kekurangan pekerja semakin meruncing berikutan pembekuan pengambilan pekerja asing di masa pandemik Covid-19 yang masih berterusan. 

Sia, yang turut memegang jawatan presiden Persatuan Pengusaha Ladang Hutan Kelantan, berapi apabila memikirkan sikap kerajaan yang dianggap tidak menghiraukan keadaan.

“[Ladang hutan] menghadapi kekurangan pekerja yang luarbiasa, tapi kerajaan persekutuan tak sudi pandang kami pun.”  

Beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan pekerja Sia, yang mencecah ratusan orang, telah meninggalkan negara atau mengambil pekerjaan di sektor kilang yang menawarkan pendapatan lebih lumayan. Sia terpaksa mengurangkan penggunaan racun perosak dan kerja-kerja merumput.  

Baki pekerja yang tinggal, menoreh hanya 10% daripada keseluruhan pokok getah milik Sia. “Harga lateks tengah bagus, tapi ‘kami lihat boleh, makan tak boleh’ (tak boleh memanfaatkan situasi lumayan),” keluh Sia dalam Bahasa Cina.

Sama seperti Sia, Er dari Acacia Industries turut kecewa. Beliau kekurangan 400 orang penoreh, dan kerugian daripada lateks yang tidak ditoreh mencecah sekitar RM4 juta sebulan. 

Er tidak melihat kesudahan kepada kemelut kekurangan pekerja. “Tanpa pekerja asing, industri ini akan terkubur selama-lamanya.”

Pada November 2021,  Macaranga melawat beberapa ladang hutan getah di Kelantan. Banyak ladang sudah ditumbuhi lalang. Nyamuk membiak di air hujan yang bertakung di cawan lateks. Sebilangan besar ladang seperti sudah ditinggalkan.  

Rubber forest plantations like these need to control undergrowth to stay healthy and productive, but many in Kelantan are overgrown with shrubs (YH Law)
Di ladang hutan getah seperti yang digambarkan, tumbuhan semak samun perlu dikawal supaya ladang lebih sihat dan produktif, tetapi banyak ladang di Kelantan dipenuhi semak (YH Law)

Mengulas tentang krisis tenaga kerja yang dihadapi pengusaha, timbalan ketua pengarah MTIB, Kamaruzaman Othman, berkata pejabat beliau telah “menjalankan tugas” dengan memaklumkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Pihak Kementerian tidak mampu berbuat apa-apa, kerana hal tenaga kerja berada bawah bidang kuasa kementerian lain. Menurut Kamaruzaman, kerajaan sedang menumpukan bantuan kepada sektor paling terkesan dahulu, terutama sekali kelapa sawit. Lambat laun, pengusaha sektor lain akan dibantu jua.

Penyelesaian kos rendah tetapi berisiko

Walau bagaimana pun, para pengusaha ladang tidak duduk diam sementara wang ‘terbakar’ begitu sahaja. Mereka mencari tanaman alternatif yang menggunakan jumlah tenaga kerja yang lebih rendah, untuk menggantikan pokok getah. 

Satu calon tanaman ialah batai (Paraserianthes falcataria) – pokok asli yang tumbuh dengan pantas, memerlukan tahap penjagaan yang rendah, dan boleh ditebang dalam tempoh 10 tahun. Ramai pengusaha TLC di Kelantan, termasuk Sia, sudah beralih kepada tanaman batai. Ada yang sudah beralih seawal lima tahun lalu.  

Hardy and fast-growing, batai trees are the new favourite of many planters in Kelantan who cannot cope with the high labour demand of rubber trees (YH Law)
Berketahanan tinggi dan pantas membesar, pokok batai kini menjadi pilihan ramai pengusaha ladang di Kelantan, yang tidak mampu menampung permintaan tenaga kerja yang tinggi oleh tanaman getah (YH Law)

Percaturan ternyata berisiko, kerana tiada pasaran terbukti untuk kayu batai di Semenanjung Malaysia. Pihak pengusaha berharap dalam tempoh beberapa tahun, apabila stok kayu batai bersedia untuk dijual, kilang-kilang kayu berminat untuk membeli.  

Ladang hutan adalah sesuatu yang bagus, kata Sia dan tiga pengusaha lain di Kelantan yang ditemuramah Macaranga. Mereka menggambarkan ladang hutan sebagai inisiatif jangka masa panjang yang memanfaatkan ekonomi dan alam sekitar.

Namun begitu, industri ini sangat menghambat. Sia menggambarkan diri beliau dan rakan perintis seangkatan sebagai “bahlol” yang paling merana. Tambah beliau, ramai pengusaha menyerah diri kerana kekurangan dana atau kesabaran. Ada yang tidak dapat menahan kerahan tenaga yang perit di ladang.

Nampaknya kebanyakan pengusaha ladang tidak mampu bertahan. Menurut statistik, kira-kira dua pertiga hutan simpan yang ditebang untuk ladang hutan sejak 2012 belum ditanam semula. 

Mungkinkah ini bererti ladang hutan gagal memenuhi objektif memelihara hutan semulajadi seperti diuar-uarkan?

Ini ialah bahagian pertama daripada siri #LadangHutan yang menyiasat ladang hutan di Malaysia.

Bahagian 2: Ladang hutan di hutan simpan: pantas ditebang, lambat tumbuh  

Bahagian 3: Jerat dan janji ladang hutan di Kelantan

Bahagian 4: Pokok dan jati diri yang hilang

Penafian: Ketika bekerja di lapangan, wartawan ini dibelanja makan tengah hari secara berasingan oleh Sia Beng Hock dan Abdul Khalim Abu Samah; permintaan wartawan untuk menanggung perbelanjaan makan sendiri telah ditolak. 

  1. Forestry Department Peninsular Malaysia. 2002. Market prospects of fast-growing timber plantation species in Peninsular Malaysia.
  2. Forest Research Institute Malaysia. Selection of species for forest plantation in Malaysia.
  3. Lim T.W. 2013. Malaysia: Illegalities in Forest Clearance for Large-scale Commercial Plantations.
  4. Malaysian Timber Council. 2003. Study on forest plantation development in Peninsular Malaysia.
  5. Malaysian Timber Industry Board. 2019. Annual report.
  6. Ratnasingam J., et al. 2020. Plantation forestry in Malaysia: an evaluation of its successes and failures since the 1970. Notulae Botanicae Horti Agrobotanici Cluj-Napoca 48: 1789-1801.
  7. Sahabat Alam Malaysia. 2020. Plantations are not forests.

Some materials can found in this public folder. Data used in this story will be shared after the series is fully published.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Komen dialu-alukan tetapi akan disemak. Jangan gunakan bahasa yang kasar, fitnah, ganas atau yang boleh melanggar undang-undang. Serangan peribadi tidak akan diterima.

One thought on “Menanam Pokok, Tersilap Langkah”

  1. tidak di nafikan tenaga buruh dari Indonesia/Thailand tidak berminat dengan gaji atau piece rate yang di tetapkan,memandangkan harga latek yang rendah pihak pengusaha ladang hutan tidak dapat memberi pendapatan yang lebih.Pihak kita terlalu mengharap /bergantung skill worker dari Indonesia ^& Thailand sebagai penoreh getah sedangkan gaji purata RM2000 sebulan yang di jana tidak mencukupi,baik menoreh di negara sendiri kalau sekadar gaji 2K. seharusnya wajar di fikir duduk di ladang hutan sukar untuk didiami memandang jauh di perdalaman.Kemudahan asas di anggap tiada langsung.menharapkan “boring water/air hujan dan sungai sebagai sumber harian. sanggup kah? berbaloi kah dengan upahnya.
    Pihak jabatan peladangan & komiditi seharus memikirkan cara lain seperti latihan sebagai penoreh getah dari negara sumber yang lain serta upah yang di beri, bukan hanya memberi pinjaman tetapi tidak dapat mengeluarkan hasil kerana kekangan sumber tenaga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Be A Macaranga Supporter

Like our stories?

You can help us do more.
Sign up for our membership programme.