YP Olio Sdn Bhd baru menerima kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar untuk menukar hutan luas di Pahang kepada ladang kelapa sawit. Namun, bukti menunjukkan ladang takkan berjaya menerima lesen dan pensijilan mandatori. Jadi, mengapa hutan ditebang? Bahagian 1 daripada 3.
Diterbitkan dengan kolaborasi Pulitzer Center’s Rainforest Investigations Network.
Versi ini diterjemahkan daripada versi Inggeris yang diterbitkan 12 Oktober 2022. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.
Diterjemahkan oleh Adriana Nordin Manan.
PADA TAHUN 2020 dan 2021, pembalak menebang kawasan hutan luas di tanah persendirian di tenggara Pahang. Dahulu, tapak berkenaan adalah sebahagian daripada kompleks hutan Chini-Bera. Kini, laluan balak yang berselut meliputi serata kawasan yang ditumbuhi pokok renek.
Pembalakan terhenti di persimpangan jalan pembalakan utama sejak Jun 2021. Mungkin pembalak dihalang oleh sekatan kayu yang didirikan oleh penduduk Orang Asli setempat. Mungkin pemilik tanah, YP Olio Sdn Bhd, masih menanti kelulusan pihak berkuasa untuk laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).
(Foto: Di Pahang, pembalakan di tanah YP Olio Sdn Bhd seluas 8,498 ha terhenti di sekatan yang didirikan Orang Asli. | Gambar oleh YH Law)
Syarikat merancang untuk menukar tapak seluas 8,498 ha — di mana hampir dua pertiga kawasan masih diliputi hutan — kepada ladang kelapa sawit.
Laporan EIA projek itu ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) persekutuan pada Oktober 2021. Antara faktor penolakan ialah tentangan oleh beberapa Orang Asli yang tinggal di lokasi tapak.
Namun, YP Olio kemudian menghantar EIA yang dibaharui. Baru-baru ini, pada 21 September, JAS pula meluluskannya. Syarat wajib untuk memulakan projek, kelulusan itu bermaksud YP Olio diizin untuk menebang hutan. Ini adalah titik noktah untuk hutan yang telah wujud selama jutaan tahun dan memainkan peranan penting dalam memperlahankan pemanasan global.
Rintangan dan pilihan
Namun, YP Olio kini berdepan dengan rintangan baharu: kemungkinan besar syarikat akan gagal menerima pensijilan kemampanan mandatori untuk kelapa sawit di Malaysia.
Selain itu, projek dianggarkan menyebabkan kerugian lebih daripada RM200 juta yang perlu ditanggung oleh pihak kerajaan dan masyarakat umum.
Kemungkinan ini barangkali takkan menghalang YP Olio. Hutan masih boleh ditebang, kehidupan Orang Asli dihambat dan hidupan liar terbunuh atau tersisih.
Namun, ibarat di persimpangan jalan, syarikat masih mempunyai beberapa pilihan untuk bertindak. YP Olio boleh menyelamatkan hutan dan mencuba langkah alternatif yang melindungi perniagaan jangka masa panjang, kata para pemulihara.
YP Olio dituduh oleh penduduk Orang Asli menggunakan helah untuk memperoleh tanda tangan mereka dan persetujuan untuk meneruskan projek. Syarikat menafikan pertuduhan. Baca laporan kami pada 2021 tentang kejadian tersebut.
Tiada pensijilan, tiada lesen
Pada Disember 2019, YP Olio memperoleh pajakan 99 tahun ke atas tanah seluas 8,498 ha daripada kerajaan negeri Pahang, untuk penanaman kelapa sawit (rujuk surat kelulusan kerajaan di bawah). Tapak ini adalah sebahagian daripada hutan simpan Bukit Ibam dalam kompleks hutan Chini-Bera.
Pembalakan bermula serta-merta. Imej satelit menunjukkan bahawa antara Januari 2020 dan Jun 2021, pembalak menebang hampir 2,600 ha hutan (pembalakan dihentikan selepas Jun 2021). Kebanyakan kerja pembalakan dilakukan oleh empat syarikat lain, masing-masing menerima kelulusan untuk membalak di “tanah persendirian,” menurut laporan EIA.
Tapak berkenaan masih berstatus hutan simpan sehingga November 2020 apabila dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang.
Namun, pembalakan hutan semulajadi mengancam ladang kelapa sawit yang bakal didirikan YP Olio.
Semua ladang kelapa sawit di Malaysia mesti memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Namun, pengendali MSPO, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) memberitahu Macaranga bahawa “penebangan hutan semulajadi [selepas 31 Disember 2019] tidak layak menerima sijil MSPO.”
Namun begitu, pakar perunding laporan EIA memaklumkan dalam laporan bahawa YP Olio berhasrat memohon pensijilan MSPO. Bagi pihak MPOCC, ini bermaksud “YP Olio tidak mamahami syarat dan kesan standard yang ditetapkan.”
Tanpa pensijilan MSPO, YP Olio tak mungkin menerima lesen untuk menjual dan mengangkut kelapa sawit.
Agensi kawal selia: jangan tebang hutan untuk sawit
Lesen kelapa sawit dikawal selia oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). MPOB memberitahu Macaranga bahawa pihak mereka menganggap tiada keperluan untuk menebang hutan simpan bagi mendirikan ladang kelapa sawit.
Tambah MPOB, pihak Lembaga sudah memaklumkan syarikat dan pakar perunding EIA tentang “kekhuatiran dan pendirian tidak bersetuju” terhadap kerja menebang hutan untuk kelapa sawit. Kegiatan sebegitu kelak merendahkan dasar sedia ada kerajaan, kata MPOB. Dasar-dasar ini termasuk larangan terhadap penukaran hutan simpan untuk penanaman kelapa sawit.
Namun begitu, kerana hal tadbir urus tanah terletak bawah bidang kuasa kerajaan negeri, “tergantung kepada pihak kerajaan negeri untuk mengambil serius hal ini.”
Macaranga bertanya JAS persekutuan jika pihak mereka pernah mengambil kira risiko pensijilan MSPO projek YP Olio tidak diluluskan. Dalam jawapan bertulis, JAS berkata kerajaan negeri Pahang telah meluluskan projek pada 2017.
Menteri Besar Pahang, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri mahupun lembaga pengarah YP Olio tidak membalas pertanyaan kami.
Laporan EIA dari 2022 menimbulkan beberapa tanda tanya.
Kira-kira 2,600 ha tapak sudah ditebang, tetapi laporan EIA hanya menyenaraikan syarikat pembalakan dan kelulusan yang diperoleh untuk kawasan seluas 1,700 ha. Baki 900 ha yang terbahagi kepada 6 blok telah ditebang tanpa menyertakan maklumat kelulusan atau syarikat pembalakan.
Selain itu, apabila kerajaan negeri Pahang meluluskan projek YP Olio pada 2017, syarat telah diletakkan untuk YP Olio mencari tapak dengan keluasan sama (8,500 ha) untuk menggantikan tapak projek yang dikeluarkan. Keizinan juga diberi untuk melakukan penggantian di kemudian hari.
Namun begitu, pada 2021 Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang memaklumkan yang YP Olio tidak pernah menjumpai pihak Pejabat untuk membincangkan isu tersebut. Lokasi dan tarikh penggantian ini masih tidak diketahui.
YP Olio, pejabat mesyuarat majlis kerajaan negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang tidak menjawab pertanyaan kami.
Yang untung sedikit, yang rugi ramai
Data juga mencadangkan yang projek YP Olio akan memberi pulangan yang besar kepada syarikat, tetapi kerugian besar pula mungkin perlu ditanggung oleh pihak kerajaan negeri dan masyarakat.
Sumber pendapatan utama yang menanti YP Olio ialah balak di baki hutan seluas 5,900 ha. Anggaran harga balak?
RM166 juta.
Jumlah ini, yang dianggap konservatif adalah anggaran oleh seorang pengurus pembalakan yang berpengalaman di Malaysia. Jika terdapat margin kesilapan sebanyak 50% sekalipun, pulangan tetap dalam lingkungan RM83 juta.

Sumber pendapatan yang kedua ialah kelapa sawit. Laporan EIA menganggarkan bahawa dalam 30 tahun pertama projek, pulangan yang diperoleh boleh mencecah RM89 juta. Laporan tidak mengambil kira risiko jika ladang gagal menerima lesen beroperasi.
Di laporan EIA, pakar perunding menyatakan sumber pendapatan ketiga yang besar: balak dari ladang hutan. Anggaran jumlah pendapatannya sebanyak RM68 juta.
Namun, anggaran ini mungkin silap sebab projek tidak termasuk ladang hutan. Perunding, Eco Synergy Solutions Sdn Bhd, tidak menjawab pertanyaan kami.
Namun begitu, laporan EIA turut menjangkakan yang kerugian akan berlaku dalam 30 tahun pertama. Kehilangan hutan bermaksud kehilangan pendapatan daripada pembalakan mampan dan kredit karbon, masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM77 juta.
Kos ini akan ditanggung kerajaan negeri dan masyarakat, bukan YP Olio.
Mana-mana anggaran memang boleh dipertikaikan oleh pelbagai pihak. Namun, tidak kira perkiraan yang dilakukan, jelas bahawa tiada satu pun yang mengambil kira kehilangan habitat dan hidupan liar, ataupun impak ke atas komuniti Orang Asli.
[Penyunting: SL Wong]
Bahagian 2 – Biarpun Sudah Berjanji, Habitat Harimau di Pahang Tetap Dimusnahkan
Bahagian 3 – Orang Asli Menolak Tawaran Rumah Baharu Untuk Hutan
Related stories

Helping Sabah’s Sun Bears Return to the Wild

The Climate-friendly Virgin in Terengganu
