Menggunakan Parang untuk Menyambungkan Hutan
Di kawasan Hilir Kinabatangan, Sabah, sekumpulan wanita menggunakan parang, memandu bot dan menjaga anak-anak pokok, untuk menyambungkan kawasan hutan yang telah terkesan akibat aktiviti pembalakan. Inilah suara mereka.
Temuduga dan foto oleh Chen Yih Wen. Penterjemahan oleh Adibah Abdul Ghani.
Diterbit: Disember 4, 2021 [Updated Disember 17, 2021]
Kumpulan yang kesemuanya wanita bekerja untuk menyambungkan semula hutan-hutan yang terkesan akibat aktiviti pembalakan di kawasan lembah sungai Kinabatangan, Sabah. Norinah Braim (tengah) bersama adiknya, Haslina Braim (kanan) dan anak saudaranya, Azrimah Aslee (kiri) menanam dan memelihara pokok-pokok. “Manfaatnya dia orang dapat bekerja di tempat sendiri, di kampung sendiri dan untuk menjana ekonomi,” kata Norinah. “Dia orang dapat belajar juga macam mana memelihara hutan, menjaga hutan. Lebih baik dia menimba pengalaman bekerja di unit reforestation selain dari menjaga anak, menjadi suri rumahtangga.” Kesemua 20 ahli kumpulan ini adalah wanita dan kebanyakan mereka Orang Sungai. Projek ini diasaskan oleh NGO HUTAN. Pada mulanya, projek ini diusahakan oleh golongan lelaki di kampung tetapi aktiviti penanaman pokok ini dilaksanakan dengan jaya apabila golongan wanita mengambil-alih pada tahun 2008.
“Sebelum saya bekerja di unit reforestation pada tahun 2008, saya tiada pengalaman tentang perhutanan semula. Jadi peluang terbuka untuk kami, kami join lah team ini. Pertama, saya fikir untuk menjana ekonomi. Kampung Sukau ini dari tahun dahulu memang peluang pekerjaan untuk wanita amatlah berkurang terutamanya kepada ibu-ibu yang sudah berumahtangga. Jadi tertubuhnya unit reforestation ini membuka peluang kepada ibu-ibu. Sebab pemeliharaan atau konservasi ini jarang didedahkan kepada kaum ibu. Saya pernah bekerja tapi di Sandakan, itu pun di kilang. Tapi memandangkan kerja itu jauh dari keluarga saya, jadi saya macam tidak berapa berminatlah untuk meneruskan kerja di sana. Sebab saya berminat kerja di kampung macam begini dan tidak mahu jauh dari keluarga.” – Norinah Braim (52), perintis projek
“Mula dari sekolah, Tingkatan 5, hari-hari memang saya nampak mereka (penanam pokok wanita) pergi kerja, jadi saya tanya-tanya apa dia orang buat. Habis SPM, selang setahun, saya dapat tahu mereka mencari orang yang minat masuk team reforestation. Saya pun jumpa ketua unit reforestation dan daftar nama. Saya mahu cuba untuk kerja menanam pokok ini. Masa kecil, saya tidak terlalu seberapa dengan hutan, tidak masuk hutan. Sekali sudah masuk kerja sini, jadi hari-hari saya masuk hutan, adalah juga takut. Tapi lama-lama sudah biasa dengan suasana hutan. Sebenarnya hutan ini bagi saya tenang. Bagi saya, penanaman semula hutan sangat penting untuk hidupan liar dan manusia. Hutan, kanopi, di situlah kita dapat udara yang sedar, dapat oksigen yang memang kita akan guna pakainya.” – Azrimah Aslee (21), menyertai projek 2019
“Saya sudah 45 tahun di kampung (Sukau), memang Orang Sungai. Terdapat perbezaan suasana di kampung itu – sekarang ada kayu balak, sawit, kilang. Memang jauh berbeza sebab ada pelancongan. Dulu masa saya (kecil) tiada apa-apa, kayu balak sajalah. Jadi macam kampung berkembang sudah. Nampak gajah pun susah dulu, monyet pun jarang. Masuk (hutan) dalam baru nampak. Sekarang, gajah boleh dikatakan sebulan sekali boleh nampak. Monyet hari-hari nampak. Orang utan kadang-kadang boleh nampak, tidak macam dulu. Kalau dulu, (saya) di rumah saja, tiada kerja. Sekarang sudah kerja, gembira lah sebab ada ramai kawan-kawan, diajar bermesin, menanam. Dan sekarang saya diberi mandat membawa dia orang membuka kawasan dan menanam.” – Haslina Braim (45), menyertai projek 2016

“Saya ada 9 orang anak dan sudah 16 tahun jadi suri rumah sebelum masuk reforestation. Memang mampu juga sikit-sikit untuk hidup seharian tapi saya mahu rasa duit titik peluh sendiri. Apabila ada duit titik peluh sendiri, beli macam senang hati. Masa tahun 2008, HUTAN tengah mencari pekerja perempuan. Saya pun menawarkan diri. Saya memang tidak tahu kerja masuk hutan, tapi ingin mencuba. Saya bukan jenis kerja lasak. Di bulan pertama, kami dibawa masuk lapangan. Selepas dia (penyelia) bawa round kawasan, 2.4 ekar, saya macam terkejut. Dalam hati saya: ‘Matilah ini kali, pakai parang, macam mana ini.’ Memang semak kawasan itu. Tapi tidak apa, oleh kerana ingin kerja untuk membantu keluarga, terpaksa kerja sajalah. Memang kami tidak sangka kami boleh siapkan kerja dalam masa 13 hari. Sebab apa? Masa hujan, kami pergi kerja. Bila panas rumput keras, dan apabila kami kerja dalam hujan menggunakan selasing (parang), cepat. Walaupun hujan, kami tidak peduli. Masa rehat kami tidak rehat.” – Mariana “Dadai” Singgong (52), perintis projek
“Memang saya belum ada niat mahu kerja. Saya nak di rumah jaga anak saja sebab anak masih kecil. Tapi peluang itu, mama (Dadai) saya yang ajak, bawa saya. Itulah bagaimana saya dapat kerja. Memang sebab utama ialah duit sebab mahu tampung keluarga, anak ramai. Suami pun kerja, tetapi gaji tidak berapa tinggi. Jadi saya ikut mama saya kerja sini. Minggu pertama saya menangis, mahu berhenti. Saya bilang (cakap) dengan mama, ‘Tidak tahanlah sebab naik turun bukit, pegang parang, tangan pun sakit.’ Tidak pernah kerja begitu keras, kan? Inilah kali pertama saya kerja betul-betul mencabar. Mama bilang, ‘Tahan lagi, tunggu satu bulan lah, tunggu sampai gaji.’ Sekali saya terima gaji, saya gembira sungguh, saya sambung lagi kerja. Lepas lama-lama, tanam pokok ini jadi macam satu hobi sudah. Penat memang penat tapi macam kerja santai-santai saja.” – Fatimah “Jong” Pastor (36), joined 2019
“Saya kagum dengan orang lama. Saya pernah nampak sekali, dia orang bawa kami pergi maintenance penanaman yang lama tu. Dia punya pokok besar-besar sudah, memang hebat. Dia orang hebat sebab dia orang tidak gunamesin (rumput). Dia orang guna parang saja. Kami ini kira ada senang sikit. Kami diberi mesin untuk kesenangan kami. Mama memang hebat, dia pun ada lagi tenaga, masih boleh bekerja lagi. Kalau saya tengok, unit HUTAN ini , majoriti ibu-ibu yang bekerja penanaman semula ini. Kalau bagi saya, memang ini ada manfaat untuk ibu-ibu, dia orang tidak tertutup fikiran. Di rumah dia orang jaga anak saja. Sekurang-kurangnya, pemikirannya terbuka, dia orang tahu pasal penanaman semula, macam lebih ke depan sikit pengetahuan.” – Jong (kanan) dengan ibunya, Dadai
Tentang jurugambar: Chen Yih Wen ialah pembuat filem dokumentari dan wartawan. Tonton dokumentarinya, ‘The Women Tree Planters of Sukau’ di sini.
Penceritaan dalam kata-kata sendiri telah disunting dan dibaiki supaya bacaan bahan ini jelas dan mudah. Rencana ini dihasilkan dengan sokongan Rainforest Journalism Fund dalam perkongsian dengan Pulitzer Center.
[Disunting oleh SL Wong]
Check out these photo esssays too: The Many Values of Penang Hill Biosphere Reserve | Fishers for Life