Wong Pui May berkongsi pengalaman Tok Batin Mohammad bin Pokok di Bengkel Dana +20, Jordan. Tok Batin Batek dari Kelantan menambah suaranya kepada seruan antarabangsa untuk bekerjasama dengan ahli komuniti dalam hal berkenaan pemuliharaan dan pembangunan.
Dunia kita kini menghadapi pelbagai ancaman, termasuk perubahan iklim dan kemusnahan alam semula jadi yang mengugat jaminan makanan, merosakkan harta benda dan membahayakan nyawa.
Terdapat banyak yang dapat dipelajari daripada cara hidup Orang Asal yang telah diamalkan secara turun-temurun yang dapat meningkatkan daya tahan alam semula jadi melalui pengurusan tanah dan air yang berkesan.
Inilah pesanan peserta dalam perbincangan antarabangsa yang diadakan pada September lalu, 20 tahun selepas Pengisytiharan Dana, di Rizab Alam Semula Jadi Wadi Dana, Jordan.
(Gambar: Tok Batin Mohammad bin Pokok [tengah] berbincang dengan peserta-peserta Bengkel Dana +20 di Jordan September lalu. | Gambar oleh Wong Pui May)
Pengisytiharan Dana pada tahun 2002 telah menyerukan “pendekatan baru terhadap usaha pemuliharaan alam: pendekatan yang mengiktiraf hak dan kepentingan ‘orang berpindah’.
Istilah orang berpindah merangkumi Orang Asal dan komuniti tradisional di mana mata pencarian mereka bergantung kepada penggunaan bersama sumber asli secara berkongsi, dan yang menggunakan pergerakan sebagai strategi pengurusan kehidupan dan identiti budaya”.
Pemuliharaan alam semula jadi perlu dilaksanakan dengan kerjasama masyarakat tempatan, khususnya Orang Asal yang berpindah, apabila wilayah kehidupan mereka bertindih dengan kawasan pelindungan yang bakal dirizabkan oleh pihak kerajaan.
Untuk perbincangan Bengkel Dana +20 kali ini, Mohammad bin Pokok, Tok Batin Kampung Kuala Koh, Kelantan, telah dijemput sebagai peserta. Beliau, yang merupakan Orang Asli kaum Batek, dijemput selaku wakil Orang Asal dari wilayah Asia Tenggara yang hidup berpindah.

Secara tradisional, orang Batek mengamalkan cara hidup berpindah-randah dan merupakan pemburu dan pengumpul hasil hutan yang pakar. Kampung-kampung Batek, ataupun wilayah kehidupan Batek, meliputi kawasan di negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Bengkel ini mengimbas kembali pencapaian dan pembelajaran sejak Pengisytiharan Dana, serta membincangkan cabaran-cabaran baru yang dihadapi.
Perjumpaan ini turut disertai penyelidik dan pengamal dari pelbagai bidang seperti anthropologi dan pemuliharaan alam.
Peserta Orang Asal yang berjumlah 17 orang berasal dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Mongolia, India, Iran, Jordan, Sweden, Nigeria, Cameroon, Kenya, Tanzania, Namibia dan Peru.

Selain Tok Batin, peserta Orang Asal lain terdiri daripada kaum penggembala berpindah, iaitu kumpulan yang berpindah supaya haiwan ternakan mereka dapat memakan tumbuhan yang tumbuh mengikut musim.
Ramai yang berasa hairan kerana orang Batek dapat mencari makanan di dalam hutan dan tidak perlu membela haiwan ternakan.
Batin pula tertanya-tanya di mana sungainya di Jordon. Dia berasa amat hairan mengalami cuaca kering di sana dan berasa kagum apabila belajar mengenai cara hidup Orang Asal di kawasan yang beriklim kering.

Dalam perkongsiannya, Batin Mohammad telah melukiskan peta kawasan kampung dan menyampaikan hasrat beliau supaya warga Kampung Kuala Koh dapat menjalankan aktiviti ekonomi komersial di sekitar kawasan kampung, tetapi juga ‘menyimpan’ kawasan hutan untuk kelangsungan hidup.
Dia juga memberi pandangan tentang penerokaan hutan. “Sekarang haiwan pun tak ada tempat. Dia masuk kampung bukan sebab dia jahat. Sebab tu kita suka simpan hutan.
“Kalau kita nak bagi (buka) hutan bukan kita senang, lagi susah orang kampung. Orang luar yang kaya. Kita bukan hidup macam orang luar, kita hidup asal, pindah randah. Kita nak simpan makanan asal, dan sayang hutan rimba besar.”

Semasa Bengkel Dana +20, pelbagai cabaran yang dihadapi oleh mereka yang hidup berpindah dikongsikan.
Ini termasuk tekanan daripada pihak luar untuk menetap setempat, prasangka daripada orang luar, salah faham mengenai budaya berpindah, peperangan dan ancaman daripada pengganas, perubahan iklim, kerosakan wilayah kehidupan oleh aktiviti pembangunan, dan sebagainya.
Setelah beberapa hari berkongsi pendapat dan pengetahuan serta berbincang, para peserta bengkel telah bersetuju untuk keluarkan Manifesto Dana +20.
Manifesto ini menggariskan hasrat Orang Asal untuk masa depan dan merupakan surat terbuka kepada pelbagai pihak yang sedang dan bakal berhubung dengan masyarakat Orang Asal yang berpindah.

Berikut ialah ringkasan Manifesto Dana +20:
“Kami menyeru pihak kerajaan untuk menambahbaik dasar kebangsaan. Pertama, mengiktiraf dan menjamin secara rasmi hak kami ke atas wilayah masing-masing serta dalam penggunaan sumber bersama. Kedua, mengiktiraf pihak berkuasa tradisional kami dan undang-undang adat supaya masyarakat berpindah diwakili secara saksama dalam penggambilan keputusan. Ketiga, menggalakkan jenis pendidikan yang sesuai dari segi kebudayaan, dan menggalakkan belia untuk menghargai pengetahuan dan identiti tradisional.
Kami menyeru ahli pemuliharaan untuk menghormati hak, pengetahuan tradisi dan amalan pengurusan adat kami, serta mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pembela hak asasi manusia dan tanah dalam masyarakat kami. Kami ingin mengingatkan semua pihak untuk mematuhi perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai.
Kami menyeru syarikat-syarikat untuk menghormati hak masyarakat kami, untuk melaksanakan penilaian impak sosial, ekonomi, budaya dan alam sekitar. Projek mereka hanya patut dijalankan setelah memperoleh Persetujuan Bebas, Terdahulu dan Termaklum (Free, Prior and Informed Consent – FPIC) daripada wakil yang ditentukan oleh kami sendiri. Mereka harus memberikan pampasan yang adil untuk sebarang kerugian dan kerosakan.
Kami menyeru agensi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), universiti, pertubuhan masyarakat awam dan pertubuhan berasaskan komuniti untuk menyokong usaha kami, bersepakat dengan kami dan memberi sokongan kewangan kepada usaha yang diterajui masyarakat kami. Kami juga meminta para penyelidik untuk bersama merangkakan projek penyelidikan yang mencari penyelesaian kepada cabaran utama kami. Hasil kajian patut dikongsikan dengan masyarakat kami untuk menerima pengesahan sebelum disebarkan.
Kami menawarkan manifesto ini sebagai jemputan terbuka untuk bersama-sama memperdalamkan persefahaman mengenai kepentingan cara hidup berpindah untuk masa depan dunia kita, dan untuk membuka saluran kerjasama baru antara semua pihak yang berkenaan.”
Batin Mohammad berkata, “Apa yang (penyelidik) nak belajar, dia boleh cakap dengan kita. Kalau boleh, kita bantu.”
Manifesto ini akan dikemukakan semasa sambutan Tahun Antarabangsa Padang Ragut Semula Jadi dan Penggembala Berpindah (Pastoralis) yang akan diadakan pada tahun 2026.
Orang kampung Batin Mohammad bin Pokok ialah penduduk Orang Asal Kelantan sejak turun-temurun. Beliau ditemani ke Bengkel Dana +20 oleh seorang kawan, May, yang menjadi penterjemahnya.
Bengkel Dana +20 dianjurkan dari 7-10 September 2022 dan bertajuk ‘Orang Asal yang Berpindah, Pemuliharaan Alam, Pembangunan Mampan dan Perubahan Iklim: Dua puluh tahun selepas Pengisytiharan Dana‘. Manifesto Dana +20 yang penuh dapat dibaca dan dimuat turun di pautan ini: https://www.danadeclaration.org/dana-20-manifesto. Terdapat penterjemahan dalam 7 bahasa, termasuk Bahasa Malaysia. Jemputan penulis ke bengkel tersebut disalurkan daripada Forest Peoples Programme (FPP), yang merupakan salah satu penganjur, melalui Pusat Prihatinan Orang Asli (COAC).
[Disunting oleh SL Wong]
The views expressed here are those of the author/contributor and do not necessarily represent the views of Macaranga.
MORE REMARKS: The Real Meaning of ‘Water is Life’ | What Happens After Poachers Are Arrested? | Are We Serious About Sustainability?