Satu lagi habitat harimau di Pahang telah diluluskan untuk ditukar kepada ladang kelapa sawit seluas 8,500 ha. Namun, jika kerajaan negeri dan pihak pemaju ingin menyelamatkan hutan, wujud alternatif yang menguntungkan. Bahagian 2 daripada 3.
Diterbitkan dengan kolaborasi Pulitzer Center’s Rainforest Investigations Network.
Versi ini diterjemahkan daripada versi Inggeris yang diterbitkan 12 Oktober 2022. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.
Diterjemahkan oleh Adriana Nordin Manan.
CADANGAN sebuah projek kelapa sawit di Pahang dengan keluasan 8,498 ha menduduki lokasi utama di habitat hidupan liar dan landskap hutan Semenanjung Malaysia. Tapak projek juga terletak di tengah-tengah kompleks hutan Chini-Bera, menurut Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (2022).
Kompleks tersebut menghubungkan kawasan yang dikenali sebagai kompleks hutan Greater Taman Negara di utara dengan kompleks hutan Endau-Rompin Sedili di selatan. Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) bertujuan mendirikan laluan hidupan liar atau “rangkaian” di antara kompleks bagi membolehkan hidupan liar seperti harimau untuk bergerak dan membiak di sekitar landskap.
(Gambar: Kesan tapak kaki harimau ditemui di kawasan sekeliling hutan Bukit Ibam (latar belakang) yang kini ditebang untuk balak dan ladang kelapa sawit. | Gambar tapak kaki ihsan Mohjoey mojoey (Facebook), imej satelit oleh Planet Labs Inc)
Meskipun hutan tersebut memiliki nilai ekologi, kerajaan Pahang giat mengeluarkannya. Pada 2019, kerajaan negeri memajak tapak seluas 8,498 ha di hutan simpan Bukit Ibam kepada syarikat perladangan YP Olio Sdn Bhd. Setahun kemudian, baru kerajaan negeri mengeluarkan tapak daripada hutan simpan.
Dalam erti kata lain, kerajaan Pahang telah mengasingkan kawasan utama kompleks hutan Chini-Bera untuk industri kelapa sawit. Tindakan kerajaan negeri dan YP Olio, bercanggah dengan seruan lantang mereka di medan awam untuk menyelamatkan habitat harimau.

Christine Fletcher mempunyai pengalaman sebagai pakar perunding perhutanan selama hampir dua dekad. Beliau berkata projek YP Olio “ialah contoh biasa kekurangan kesedaran dalam kalangan penggubal dasar dan agensi tentang Pelan Induk CFS.”
Beliau berkata rangkaian hutan menyokong peranan kompleks-kompleks hutan utama yang didiami spesies terancam dan ikonik. “Hutan simpan Bukit Ibam lebih penting untuk dilindungi berbanding koridor.”
Surin Suksuwan, pakar perunding perhutanan dan ahli Suruhanjaya Dunia mengenai Kawasan Terlindung IUCN, bersetuju. “Jika tapak hutan itu sendiri sudah terpecah-pecah, apa gunanya rangkaian?”
Perubahan drastik landskap seperti ini boleh menyebabkan kepupusan spesies yang tidak boleh menyesuaikan diri, ujar Badrul Azhar, pakar biologi konservasi di Universiti Putra Malaysia. Ladang monokultur mencetuskan ekosistem ringkas “yang sudah hampir tentu tidak menyokong hidupan liar tempatan.”
Penilai menolak projek
Impak mungkin projek mengejutkan beberapa penilai laporan EIA YP Olio pada 2021. Contohnya, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menyatakan bahawa projek kelak menghalang pergerakan hidupan liar dan menjadikan koridor hidupan liar tidak lagi berguna.
Penilai lain, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang berkata bahawa projek akan menyebabkan “impak berleluasa dan tidak dapat dibaikpulih seperti sedia kala, ke atas konservasi biokepelbagaian dan habitat hidupan liar.”
MNS dan PERHILITAN menolak projek dalam penilaian mereka. Namun YP Olio memperbaharui laporan EIA dan ia diluluskan JAS pada 21 September.
Konflik dengan gajah dan harimau
Namun begitu, pakar perunding EIA menyatakan dalam laporan bahawa YP Olio akan “mengikuti langkah mitigasi yang dicadangkan dalam laporan EIA bagi mengelakkan konflik hidupan liar.”
Akan tetapi, konflik hidupan liar di kawasan berkenaan sudah semakin meningkat, dikatakan akibat penebangan berterusan ratusan hektar hutan di sebelah timur tapak YP Olio. Terdapat sehingga 50 gajah yang berkeliaran di hutan di sekitar tapak YP Olio, menurut PERHILITAN. Macaranga mendapat tahu bahawa sekumpulan gajah berkeliaran di ladang getah dan tidak kembali ke hutan.
Kehadiran harimau juga membimbangkan penduduk setempat. Rekod PERHILITAN menunjukkan satu konflik manusia-harimau pada 2017. Penduduk setempat memberitahu Macaranga mereka pernah melihat seekor harimau melintasi jalan pembalakan pada 2021, dan menemui kesan tapak kaki harimau di kawasan tersebut pada 2020 dan 2022.
PERHILITAN tidak menjawab pertanyaan kami.
Apa jadi kepada janji?
Status projek YP Olio yang kelak atau sudah membahayakan populasi harimau adalah ironik kerana pengarah dan pemegang saham syarikat terlibat dengan usaha konservasi harimau yang terkenal.
Tun Putera Yasir Ahmad Shah bin Mohamed Moiz memiliki 50% syarikat dan merupakan salah seorang pengarah syarikat. Beliau ialah sepupu kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang umum diketahui sebagai penggerak konservasi harimau.
Tengku Hassanal mengetuai NGO Save the Malayan Tiger dan telah berikrar untuk menjadikan konservasi harimau “tugas yang dilaksanakan bersungguh-sungguh.” Baginda menggesa kerajaan Pahang untuk meningkatkan usaha melindungi habitat utama harimau. Barisan pakar menganggarkan terdapat kurang daripada 150 harimau liar di Malaysia, dan bilangan terbesar terdapat di Pahang.
Menurut laporan, Menteri Besar Pahang pernah mengumumkan yang pihak kerajaan negeri akan melakukan sehabis baik untuk melindungi habitat harimau.
Kepentingan Thai
Seorang lagi pengarah YP Olio adalah Khawar Ahmad Khan, ketua unit Pembangunan Perniagaan Antarabangsa di syarikat tenaga dari Thailand, B.Grimm Power PCL. Pada Oktober 2021, beliau telah menggantikan Felix Link, salah satu ahli keluarga yang memiliki B.Grimm, sebagai pengarah.
B.Grimm menggambarkan operasi mereka sebagai “mengendalikan perniagaan dengan belas kasihan” dan pernah bekerjasama dengan WWF Thailand dan WWF Singapura untuk melindungi harimau.
Tengku Hassanal, Tun Putera Yasir, dan Menteri Besar Pahang tidak menjawab pertanyaan kami. Felix Link dan B.Grimm juga tidak membalas pertanyaan kami.
Terdapat kemungkinan B.Grimm merupakan pemegang saham (tidak langsung) utama YP Olio.
Pemegang saham kedua terbesar YP Olio adalah Ananda Limited, dengan pegangan sebanyak 29.9%. Ananda Limited ialah sebuah syarikat yang berdaftar di British Virgin Islands.
Sebuah syarikat dengan nama dan alamat sama juga memiliki syarikat Singapura bernama Alma Link Building Pte Ltd. Lembaga pengarah syarikat tersebut termasuk tiga ahli keluarga Link, yang memiliki dan menguruskan B.Grimm.
Kekalkan hutan dan peroleh pendapatan
Pakar konservasi menggesa kerajaan dan YP Olio untuk menghentikan pembalakan.
Ada cadangan supaya YP Olio mengalihkan penanaman kelapa sawit ke tanah terbiar meluas yang sedia ada. Pada 2019, di Pahang sahaja sudah terdapat 29,000 ha tanah terbiar.
Selain itu, terdapat “sejumlah agak besar ladang getah terbiar yang boleh digiatkan semula dan ditukar kepada ladang kelapa sawit,” kata Fletcher. MNS berpendapat YP Olio patut “mempertimbangkan tanah terbiar yang boleh dijadikan tapak penanaman semula. Jangan ditebang hutan asli, kerana itu perlu dikekalkan.” Dengan melindungi hutan semulajadi, kerajaan negeri boleh membantu mengurangkan kejatuhan biokepelbagaian sedunia serta krisis iklim, ujar Badrul, pakar ekologi.
NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengingatkan bahawa YP Olio mungkin mendepani impak ke atas perniagaan dan reputasi jika syarikat itu terus menebang hutan.
SAM menasihatkan YP Olio untuk melabur dalam “restorasi dan konservasi hutan berasaskan komuniti” untuk membina “nilai jangka masa panjang syarikat bermula hari ini”. Satu cara untuk mencapai matlamat ini adalah melalui skim Pensijilan Konservasi Hutan yang dikendalikan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Pada masa yang sama, kerajaan Pahang juga boleh memohon bantuan daripada dana iklim antarabangsa bagi tujuan konservasi, menurut SAM. Bawah Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), negara membangun seperti Malaysia boleh menerima bantuan kewangan untuk mencapai matlamat berkaitan iklim.

Membuat keputusan
YP Olio dijangka menerima tentangan lantang dari organisasi konservasi jika syarikat meneruskan rancangan untuk menebang hutan, kata MNS. Wakil MNS menyatakan kemungkinan melancarkan kempen mirip kempen organisasi-organisasi alam sekitar pada 1970-an untuk menghentikan pembalakan di hutan Endau-Rompin. “Kami takkan berdolak-dalih dalam hal ini.”
Selepas berhenti membalak selama lebih setahun, YP Olio kini memiliki kelulusan rasmi untuk terus membalak. Namun, banyak perkembangan sudah berlaku dalam tempoh jeda. Malaysia telah menubuhkan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTFF), manakala standard MSPO pula telah diperketat untuk menghalang penebangan hutan.
Terpulang kepada YP Olio untuk memilih sama ada ingin bertindak sesuai zaman.
[Penyunting: SL Wong]
Bahagian 1: Menebang Hutan Demi Kelapa Sawit Yang Takkan Terjual
Bahagian 3: Orang Asli Menolak Tawaran Rumah Baharu Untuk Hutan
Related stories

Helping Sabah’s Sun Bears Return to the Wild

Jury Out on Whether Petting Zoos Aid Conservation
