#LADANGHUTAN

Hilang Hutan, Hilang Jati Diri

 

 

 

 

 

 

Di Kelantan, masyarakat Orang Asli berjuang untuk mengekalkan adat budaya ketika hutan asli ditukar kepada ladang hutan. Apabila sumber bahan semulajadi untuk adat resam dan makanan mereka semakin dibinasakan, mereka tertekan zahir dan batin.

Penerbit/Penulis: YH Law; Penyunting: SL Wong

Penterjemah: Adriana Nordin Manan

Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network di Pulitzer Center.

Tarikh diterbitkan: 25 Mei 2022

 (Akibat kehilangan hutan, suku Temiar dari Kampung Kaloi, Kelantan, dilanda kesusahan untuk mengumpul bahan semulajadi untuk kegunaan di upacara tradisi seperti sewang. | Foto oleh YH Law)

#LADANGHUTAN

Hilang Hutan, Hilang Jati Diri

Di Kelantan, masyarakat Orang Asli berjuang untuk mengekalkan adat budaya ketika hutan asli ditukar kepada ladang hutan. Apabila sumber bahan semulajadi untuk adat resam dan makanan mereka semakin dibinasakan, mereka tertekan zahir dan batin.

 

 

 

 

Penerbit/penulis: YH Law
Penterjemah: Adriana Nordin Manan
Penyunting: SL Wong
 

Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network di Pulitzer Center.


Tarikh diterbitkan: 25 Mei 2022


(Akibat kehilangan hutan, suku Temiar dari Kampung Kaloi, Kelantan, dilanda kesusahan untuk mengumpul bahan semulajadi untuk kegunaan di upacara tradisi seperti sewang. | Foto oleh YH Law)

Versi ini diterjemahkan daripada versi Inggeris yang diterbitkan 16 Mac 2022. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.

Ini ialah bahagian keempat daripada siri #LadangHutan yang menyiasat ladang hutan di Malaysia.

 

PADA SENJA 21 November 2021, Along Busu duduk bersendirian di penjuru balai masyarakat Kampung Kaloi, Kelantan. Sudah bertahun sejak beliau hilang deria penglihatan, tetapi beliau boleh merasai pergerakan penduduk kampung di atas lantai buluh.

Isteri Along Busu, Muna Angah, terbaring di bilik di belakang. Muna Angah batuk tanpa henti selama beberapa bulan, dan sering kelesuan. Lawatan ke hospital besar di Gua Musang, 55 km dari kampung mereka, tidak membawa apa-apa perubahan.

Maka, Along merancang ikhtiar yang sudah diamalkan leluhur beliau sejak turun temurun – upacara sewang untuk meminta panduan dan bantuan daripada alam ghaib.

Kesemua 13 isi rumah di Kampung Kaloi terdiri daripada Orang Asli suku Temiar. Mereka percaya bahawa makhluk ghaib menghuni tanah, sungai dan pokok. Makhluk-makhluk ini dikenali sebagai Raja, Naga dan Datuk

Kampung Kaloi in the Gunung Stong Selatan Forest Reserve, Kelantan, is home to Orang Asli of the Temiar tribe. (YH Law)
Kampung Kaloi di Hutan Simpan Gunung Stong Selatan, Kelantan, ialah tempat tinggal Orang Asli suku Temiar. (YH Law)

Sebagai Tok Halak, atau bomoh, Along mengetuai upacara sewang untuk mengundang mahkluk ghaib dan meminta bantuan untuk menyembuhkan Muna. Sebelum ini, mahkluk ghaib yang diundang semasa sewang memberi amaran tentang banjir dahsyat pada Disember 2014, dan membantu menantu Along apabila mengalami kesukaran bersalin.

Namun, sewang kini lebih susah diadakan kerana hutan di sekeliling Kampung Kaloi sudah digantikan dengan ladang pokok getah untuk hasilan lateks dan kayu balak.  

Sejak 2016, tapak-tapak besar hutan di sebelah selatan dan barat Kampung Kaloi, serta utara di sebalik gunung-ganang, sudah ditukarkan kepada ladang hutan. Kawasan terjejas terletak di dalam hutan simpan Gunung Stong Selatan dan Berangkat di Kelantan.

Tanah di sekeliling kampung “semua dah licin sekarang”, kata Along. “Hidup kami dulu senang, tak ada yang lapar, apa-apa pun tak ada. Sekarang nak tanam ubi pun tak boleh…keliling semua ladang orang luar.”

Penduduk lain menyebut nama buah-buahan yang dahulu mudah dijumpai di hutan dara atau hutan pembalakan terpilih. Pada masa lalu, pembalak hanya menebang pokok yang lebih besar, kata mereka. “[Pembalak] dulu tak buat ladang,” keluh salah seorang daripada mereka, “tapi sekarang tanah pun mereka ambil.”

Semakin hutan menghilang, hilanglah jua pelbagai bahan makanan, herba dan bahan keperluan untuk adat resam dan upacara Orang Asli, yakni jati diri mereka.

Galeri: Hutan yang Menghilang

Pada petang November itu, ketika upacara sewang hampir bermula, penduduk mula memenuhi balai. Kaum wanita duduk di dua hujung balai, dengan kayu balak panjang tepat di hujung kaki mereka, dan mengangkat batang buluh di dua-dua tangan.

Beberapa orang lelaki duduk di tengah balai, di ruang berbentuk segi empat sama dengan batas ditandakan oleh dedaunan yang tergantung dari dinding. Mereka duduk di bawah sebuah piramid kayu yang dicat biru, merah dan putih. 

Adik ipar Along, Jabeng Angah, menanti di tepi ruang itu, gendang di riba.

Hasmawi, anak Along, membawa masuk mangkuk besi yang diisi bara dan cebisan damar kayu yang dikenali sebagai kemian. Asap memenuhi dewan dengan bau kayu yang kuat. 

Along menyertai barisan lelaki di ruang di tengah balai. Mereka mengambil hiasan kepala persis mahkota yang dikenali sebagai tempok, dianyam daripada daun palas, dan melalukan satu persatu di asap kemian, sebelum dipakai di kepala masing-masing. 

Tiba-tiba, Jabeng memukul gendang, dan kaum wanita mengikuti rentak gendang dengan menghentakkan batang buluh pada balak.

Along berdikir dengan kuat. Beliau kelihatan bersilih ganti menyanyi dan memanggil nama lain.

Kaum lelaki yang duduk di atas tikar menggenggam tandan daun calon hijau tua, dan beberapa minit selepas Along mula berdikir, mereka memukul daun dengan kuat pada tangan mereka. Along, Hasmawi dan beberapa rakan yang lain menggoyangkan kepala kuat-kuat.

“Makhluk lain dah masuk mereka,” seorang penduduk menerangkan. “Mereka sekarang bukan diri sendiri lagi.”

Muna, lemah dan dengan renungan kosong di wajah, diangkat masuk ke balai oleh anak perempuan beliau. Along melabuhkan kepala ke perut isteri dan meniup angin melalui buku lima ke kulit Muna. Hasmawi turut serta, berbisik kata ke dalam buku lima sebelum meniup. Mereka sedang membaca jampi.

Sepanjang sejam seterusnya, Along dan rakan lelaki yang lain, dalam keadaan masih dirasuk, bergilir-gilir meniup jampi melalui buku lima kepada Muna. Along juga menggosok belakang Muna dengan daun calon. Lelaki dewasa dan kanak-kanak bergerak dalam bulatan mengelilingi tikar, badan mereka berayun mengikuti rentak gendang.

Tiba-tiba, gendang berhenti berbunyi. Along dan rakan lelaki yang lain berdiri di sekeliling Muna dan menabur bertih padi bukit pada Muna. Kemudian, mereka mengira bilangan bertih yang tertinggal di tapak tangan masing-masing.

Sebelum itu, Tok Halak sudah mengumumkan suatu nombor, sama ada ganjil, tepat atau gandaan nombor lain. Jika bilangan keseluruhan baki bertih bersamaan dengan nombor itu, ia petanda baik daripada mahkluk ghaib yang dipinta bantuan.

Galeri: Sewang di Kampung Kaloi

Sewang memainkan peranan utama dalam budaya Orang Asli. Mereka mengadakan sewang untuk memenuhi permintaan makhluk ghaib, menghindar bencana semulajadi dan meminta panduan berhubung kesihatan, pertanian dan keputusan penting.

Tidak lupa juga — dan mungkin jauh lebih utama — sewang menyatukan komuniti apabila mengejar hasrat atau menghadapi cabaran bersama.

Tidak kira apa yang diturunkan oleh Raja atau Datuk, sewang menghimpunkan semua di bawah satu bumbung, untuk bersatu, berdendang dan berupacara.  

Namun, sewang memerlukan bahan semulajadi daripada hutan berhampiran. Dan sejak pembalakan bermula di kawasan sekeliling 15 tahun lalu, semakin sukar untuk penduduk Kampung Kaloi menemui bahan keperluan utama.

Untuk upacara kali ini, penduduk mengumpul daun calon dari hutan tumbuh semula berhampiran bandar Gua Musang, kira-kira 55 km dari kampung. Damar kemian pula diminta daripada komuniti Orang Asli lain di Pos Belatim, terletak sejauh 20 km merentasi hutan. Dan batang buluh yang digunakan oleh penduduk wanita? Dituai kira-kira 10 km dari kampung.

Menurut Along, bahan untuk sewang, serta daun nipah dan rotan yang digunakan untuk membina balai masyarakat dulu senang didapati di hutan berhampiran. Namun, sekarang sebahagian besar hutan hanya tinggal kenangan. 

Galeri: Bahan yang diperlukan untuk sewang

Penduduk Kampung Kaloi hidup dalam ketakutan terhadap ancaman gajah, harimau dan beruang matahari. Mereka mengadu tentang konflik hidupan liar yang semakin ganas dan kerap, dan menuding jari kepada pembinasaan hutan sekeliling.

Dahulu, gajah mengelak daripada bertembung dengan manusia, tapi semenjak kebelakangan ini, haiwan itu mencerobohi kebun pisang, merosakkan motosikal, mengambil tebu dari rumah dan merosakkan tapak perkuburan.

Disebabkan hutan sudah ditebang habis, “gajah dalam hutan marah, mereka tiada makanan atau tempat tinggal,” kata Along Busu. “Hanya kampung kami ada pisang.”

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia telah memasang peranti di sekeliling Kampung Kaloi yang dikatakan boleh menghalau gajah. Penduduk kampung tidak mengetahui cara peranti berfungsi, namun mereka syak yang gajah tidak menyukai lampu biru yang dipancar peranti.  

Pada petang keesokan hari selepas sewang, seekor gajah melulu masuk ke dalam kebun Kampung Kaloi.

Namun begitu, komuniti Along berjuang untuk melindungi hutan dan cara hidup mereka. Mereka pernah mendirikan sekatan dan sedang berganding bahu dengan barisan peguam untuk mempertahankan hak tanah adat mereka.

Anak beliau, Mustafa Along, mengetuai Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan dan memperjuangkan hak tanah adat mereka.

Hutan ialah “sumber budaya dan cara hidup kami,” kata Mustafa. Apabila hutan ditebang, “kami rasa dicuri, dirompak.”

“Pembalakan terpilih tidak seteruk penebangan habis,” yang “menggantikan hutan dengan penanaman getah, jadi nilai hutan sudah tiada. Sudah tiada nilai.

“Kami minta kerajaan untuk menghentikan penebangan habis. Kami minta kerajaan memulihara hutan; Orang Asli boleh membantu.”

Villagers feed and comfort the ailing Muna Angah after the sewang. (YH Law)
Selepas sewang, penduduk kampung memberi makan dan menenangkan Muna Angah yang dilanda penyakit. (YH Law)

Di balai masyarakat pada malam sewang, hadirin mula berbisik sesama mereka. Anak-anak Muna menangis sambil membantu ibu mereka bangun. Bertih menunjukkan petanda buruk.

Masa seakan terhenti. Kanak-kanak yang bermain di bilik bersebelahan berkumpul bersama, mata terbeliak menatap Muna.

Sebulan kemudian, Muna meninggal dunia. Kampung Kaloi mengadakan kenduri selama empat hari untuk meraikan roh Muna yang meninggalkan alam ini.

Jauh dari kenduri, di hujung kampung sebelah barat yang lebih senyap, terdengar desingan mesin gergaji elektrik dari sebalik bukit.

 

 

Ini ialah bahagian terkhir daripada siri 4 bahagian #LadangHutan yang menyiasat ladang hutan di Semenanjung Malaysia

Bahagian 1: Menanam Pokok, Tersilap Langkah

Bahagian 2: Ladang Hutan di Hutan Simpan: Pantas Ditebang, Lambat Tumbuh

Bahagian 3: Jerat dan Janji Ladang Hutan di Kelantan

Penghargaan: Kami berterima kasih kepada Dr Colin Nicholas dari Center for Orang Asli Concerns atas bantuan untuk mengenalpasti nama adat istiadat Orang Asli.

  1. Forestry Department Peninsular Malaysia. 2017. Garis Panduan Penubuhan Ladang Hutan.
  2. Forest Research Institute Malaysia. 1997. Prospects for forest plantations in Malaysia - potentials and challenges.
  3. Ratnasingam J., et al. 2020. Plantation forestry in Malaysia: an evaluation of its successes and failures since the 1970. Notulae Botanicae Horti Agrobotanici Cluj-Napoca 48: 1789-1801.
  4. Sahabat Alam Malaysia. 2020. Plantations are not forests.

Some materials can found in this public folder. Data used in this story will be shared after the series is fully published.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Komen dialu-alukan tetapi akan disemak. Jangan gunakan bahasa yang kasar, fitnah, ganas atau yang boleh melanggar undang-undang. Serangan peribadi tidak akan diterima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Be A Macaranga Supporter

Like our stories?

You can help us do more.
Sign up to be a Macaranga Supporter by 21 Aug for extra goodies!