: The villagers of Kampung Mesau in Pahang built a blockade to save their forests from loggers. After 16 months of sleeping by the blockade, they have brought their fight to the High Court. (YH Law)

Orang Asli Menolak Tawaran Rumah Baharu Untuk Hutan

Selepas mengawal sekatan terhadap pembalak selama 16 bulan, sekumpulan Orang Asli di Pahang membawa perjuangan mereka ke mahkamah. Penduduk Kampung Mesau baru sahaja memfailkan saman terhadap kerajaan Pahang dan sebuah syarikat pemaju kerana melanggar hak adat mereka. Bahagian 3 daripada 3.

Diterbitkan dengan kolaborasi Pulitzer Center’s Rainforest Investigations Network.

Versi ini diterjemahkan daripada versi Bahasa Inggeris yang diterbitkan 19 Oktober 2022. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.

Diterjemahkan oleh Adriana Nordin Manan.

DI BELAKANG Rani Jilal, nasi dimasak dalam sebuah periuk bersalut jelaga. Lelaki berusia 72 tahun itu duduk di lantai pondok milik beliau. Rani ialah ahli komuniti kanan suku Orang Asli Temoq di Kampung Mesau di hutan Chini-Bera, Pahang.

Di belakang Rani, beras yang menggelegak tertumpah keluar periuk dan jatuh ke dalam nyala api. Bunyi berdesit tidak dihiraukan. Rani asyik berkongsi kebimbangan sekiranya sanak saudara beliau diusir daripada tanah pusaka mereka yang dianggap tanah adat. Rani sudah cukup mengetahui bagaimana para pemaju boleh membinasakan kehidupan komuniti.

(Foto: Penduduk Kampung Mesau di Pahang mendirikan sekatan untuk menyelamatkan hutan mereka daripada pembalak.  Selepas 16 bulan bermalaman di sisi sekatan, mereka membawa perjuangan ke Mahkamah Tinggi. | Gambar oleh YH Law)

Pada Disember 2019, kerajaan negeri Pahang menyerahkan tanah di sekeliling kampung Rani dan kawasan sekitar kepada syarikat perladangan, YP Olio, bawah pajakan 99 tahun. Dalam tempoh dua tahun, pembalak menebang hampir 2,600 ha dan merosakkan beberapa dusun dan pusara yang dimiliki penduduk Kampung Mesau dan Kampung Berengoi yang terletak berdekatan. 

Untuk menghentikan kegiatan pembalak, penduduk Kampung Mesau membina sekatan kayu di jalan pembalakan utama pada Jun 2021. Sejak itu, mereka menetap di kawasan sekatan.

Sehingga hujung minggu lalu (14 Oktober), pembalak belum kembali, meskipun penduduk tidak berganjak daripada pendirian dan tekad menolak sebarang pampasan daripada syarikat. Namun, keadaan semakin tegang.

Pada 21 September sebelumnya, Jabatan Alam Sekitar persekutuan meluluskan projek YP Olio untuk menebang dan menukar tapak kepada ladang kelapa sawit. Tapak tersebut meliputi lebih kurang 83% tanah adat yang dituntut komuniti Orang Asli setempat.

Tapak projek YP Olio meliputi lebih kurang 83% tanah adat yang dituntut Orang Asli Kampung Mesau dan Kampung Berengoi.

Kemudian, pada 27 September, Rani dan teman seperjuangan memfailkan kenyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Mereka menghantar saman kepada YP Olio, kerajaan negeri Pahang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan beberapa agensi kerajaan yang lain. Mereka menuduh kesemua pihak tersebut melanggar hak adat Orang Asli dan gagal melindungi kepentingan Orang Asli.

Di sekatan mahupun mahkamah, pertembungan antara penduduk Orang Asli dan YP Olio seperti hanya menunggu masa. 

Satu mesyuarat, pelbagai versi

Pada penghujung 2020, Rani, anaknya Omar Rani, dan rakan sekampung Maarof Abdullah bertemu dengan wakil YP Olio dan pegawai JAKOA di Kampung Berengoi. Di dalam lingkaran nipis pokok yang dikelilingi tanah botak, mereka bermesyuarat. Para penduduk, yang tidak boleh membaca sepatah perkataan sekalipun, ditunjukkan beberapa surat.

Omar Rani met with YP Olio and JAKOA under this tree in Kampung Berengoi in 2020. The forests beyond the wall of trees have been cleared by loggers. (YH Law)
Omar Rani bertemu dengan YP Olio dan JAKOA di bawah pokok ini di Kampung Berengoi pada 2020. Hutan di sebalik pokok-pokok ini sudah ditebang oleh pembalak. (YH Law)

YP Olio tiba di mesyuarat sesudah menerima kelulusan kerajaan negeri untuk mendirikan projek ladang kelapa sawit seluas 8,498 ha. Syarikat mendaftarkan geran tanah pada Disember 2019, ketika tapak masih disenaraikan sebagai hutan simpan.

Kerajaan mengeluarkan tapak daripada hutan simpan hanya pada November 2020. Namun, hutan di sana ditebang beberapa bulan sebelum itu, di projek pembalakan yang dikatakan mengambil tempat di “tanah persendirian”, menurut beberapa laporan penilaian impak alam sekitar.

Penduduk kampung tidak mempersetujui pelanggaran hak adat mereka oleh projek tersebut. Pada Jun 2017 – sebulan sebelum kerajaan meluluskan projek – penduduk Kampung Berengoi dan Kampung Mesau memeta 4,223 ha tanah adat.

Namun, kerajaan negeri tidak mengiktiraf tuntutan mereka.

Menteri Besar Pahang dan pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menjawab pertanyaan Macaranga.

Jadi, dari 2018 hingga 2020, penduduk kampung membantah kerja-kerja pembalakan. Mereka memfailkan dua laporan polis, menulis secara rasmi kepada JAKOA dan agensi-agensi lain, dan pada 2019 mendirikan sekatan yang dialihkan oleh pembalak beberapa hari kemudian.

Sungguhpun terdapat konflik lalu, mesyuarat di Kampung Berengoi tamat dengan 3 Orang Asli menandatangani surat persetujuan. Surat tersebut menyatakan mereka bersetuju dengan projek YP Olio di tanah berkenaan, dan akan menerima sebuah rumah setiap seorang daripada pihak syarikat.

Beberapa hari sebelum itu, lima penduduk lain menandatangani surat yang sama.

Tuduhan tipu helah

Namun, semenjak itu, 4 daripada 8 individu yang menandatangani surat itu menafikan sokongan mereka terhadap projek YP Olio.

“Kami tak tahu tentang ladang, masa tu mereka hanya cakap nak bagi bantu rumah, bantu [tenaga] solar,” kata Omar. Tambah beliau, kali pertama beliau mendapat tahu yang tandatangan mereka digunakan sebagai kebenaran menebang hutan adalah pada 2021, apabila diwawancara oleh Macaranga. “Yang pertama itu kami memang tidak tahu, jadi kami setuju lah, selepas tu kami nampak ada masalah, jadi kami tidak setuju.”

Mohamad Nor Suandi bin Rahmat, pegawai paling kanan JAKOA di mesyuarat tersebut menafikan tuduhan Omar. Sebaliknya, Suandi memberitahu Macaranga yang beliau dan wakil YP Olio telah memberikan penjelasan lengkap kepada Omar dan penduduk kampung.

Masih segar di ingatan beliau ketika memberitahu penduduk kampung untuk “menandatangani hanya jika memahami dan bersetuju dengan projek.”

Pada Jun 2021, Omar membuat laporan polis terhadap YP Olio. Sebulan kemudian, seorang pengurus YP Olio membuat laporan polis bagi pihak syarikat, menafikan tuduhan Omar. Menurut pengurus tersebut, segelintir penduduk kampung bertukar fikiran selepas menandatangani surat persetujuan.

Walaupun setiap pihak berpegang kepada pendirian masing-masing, tiada bukti konklusif berhubung tindak tanduk mereka. Mesyuarat tidak dirakamkan. Malah, tarikh mesyuarat pun berubah-ubah mengikut siapa yang ditanya oleh Macaranga, apatah lagi maklumat yang lebih terperinci.

Most of Kampung Mesau villagers have been living at and round this fork in the main logging road (shacks on left) to guard the blockade (right) against loggers. (YH Law)
Kebanyakan penduduk Kampung Mesau telah menetap di dalam dan sekitar jalan bercabang di jalan pembalakan utama (pondok di sebelah kiri) bagi mengawal sekatan (kanan) daripada pembalak. (YH Law)
Ladang lebih disukai

Namun, terdapat juga penduduk yang faham dan bersetuju dengan surat yang ditandatangani. Antara mereka adalah Buyan Luka, 20 tahun. Buyan berkata bahawa YP Olio dan JAKOA telah menjelaskan projek kepada beliau dan bapa beliau, dan mereka bersetuju. Buyan sudah bersedia untuk bergantung mata pencarian kepada ladang, menggantikan hutan.

“Saya malas nak gaduh dengan orang,” kata beliau. “Ramai orang di sini gaduh pasal tanah.” Beliau juga berkongsi bahawa beliau sudah menandatangani persetujuan lain dengan YP Olio untuk menerima 1.2 ha pokok getah di belakang rumah yang bakal diterima. Beliau percaya JAKOA akan terus memaklumkan beliau tentang perkembangan berhubung pampasan tersebut.

Adakah Buyan berasa kesal kerana kelak kehilangan hutan yang menjadi sumber damar yang dijual bagi menampung kehidupan selama ini? “Buat apa kita nak sedih? [Hutan] dah tak ada pun”, kata beliau. “Kalau dia orang nak jadikan ladang, bagi dia orang. Kita nak gaduh pun tak guna.”

Sambil Buyan bercakap, abang beliau, Arip menumpang dengar dari jarak beberapa kaki. Arip baru sahaja kembali ke kampung selepas 5 tahun. Beliau tidak tersenarai untuk menerima sebarang pampasan oleh YP Olio. Berbeza dengan ahli keluarga yang lain, Arip marah terhadap YP Olio dan kemusnahan hutan yang “disayangi”.

Arip Luka in Kampung Berengoi, standing by a keruing tree from which Orang Asli extract oil to sell. He is upset that loggers destroyed his family’s keruing trees which grew a little further away. (YH Law)
Arip Luka di Kampung Berengoi, berdiri di sebelah sebatang pokok keruing, sumber sejenis minyak yang dijual oleh Orang Asli. Beliau susah hati melihat pembalak merosakkan pokok keruing milik keluarga beliau, yang ditanam tidak jauh dari lokasi ini. (YH Law)

“Jika semua ditebang dan tinggal kelapa sawit sahaja, lain jadinya,” Arip memberitahu Macaranga. “Biar ada hutan lagi, saya senang cari makan dalam hutan, makan monyet…Kalau ladang, bila mereka halau kami, nak ke mana kami nanti?”

Arip berasa keluarga beliau “sudah ditipu oleh YP Olio” .

YP Olio tidak menjawab pertanyaan Macaranga.

Tak payah bantuan tambahan

Pada Julai 2021 – sebulan selepas penduduk Orang Asli membuat laporan polis – YP Olio mencadangkan pampasan dan bantuan tambahan untuk komuniti Orang Asli. Dalam surat kepada JAKOA, syarikat menyatakan bahawa “setelah mengambil kira kepentingan penduduk untuk jangka masa panjang”, syarikat ingin menambah elaun RM700 sebulan selama 20 tahun kepada kesemua lapan individu yang menandatangani surat persetujuan.

Selain itu, syarikat menawarkan bantuan pendidikan untuk anak-anak Orang Asli, dengan memberi biasiswa, perkhidmatan pengangkutan dan alat tulis selain menjadikan tadika mereka tadika angkat. Ladang getah Buyan tidak disebut pula.

Penduduk kampung berkata mereka tidak mengetahui tentang cadangan baharu YP Olio sehingga diberitahu oleh Macaranga. Namun, Omar dan Rani tetap dengan pendirian mereka.

“Memang tidak setuju, bagi elaun ke, bagi rumah ke. Biar saya kerja sendiri,” kata Omar sambil makan tengah hari bersama keluarga di lokasi sekatan. “Saya susah payah pun, [itu kehidupan] sendiri pun.”

Tawaran YP Olio untuk membiayai pendidikan empat anak mereka “memang tak baik”, kata isteri Omar. Sepupu Omar pula, Aminah Tan, menjelaskan sebab mereka berasa sangsi: nenek moyang mereka “dihalau keluar” dari tanah pusaka sesudah peladang menebang hutan.

“Itu kampung asal kami,” tambah Omar. “Kami dah kena, kami dah tahu.”

Pemaju jujur dialu-alukan

Suandi, pegawai JAKOA, memberitahu Macaranga yang beliau memahami perasaan Omar. “Kalau saya pun, mesti risau kalau ada orang luar masuk kawasan saya.” Namun, beliau mempertahankan YP Olio: “Mereka selalu meminta JAKOA untuk hadir sebagai saksi, dan membuat segala perjanjian hitam putih.”

Tambahan pula, Suandi mengakui bahawa JAKOA kekurangan sumber untuk membangunkan kampung kecil Orang Asli seperti Kampung Mesau dan Kampung Berengoi. Oleh itu, sebarang “usaha jujur” oleh pihak pemaju untuk mengembangkan ekonomi kampung sepertinya adalah dialu-alukan.

Rani Jilal, the elder of Kampung Mesau, explains the many medicinal and spiritual functions of the 'semburuk hutan' tree bark, using it as an example of how the forests provide for his people. (YH Law)
Rani Jilal, antara ketua penduduk Kampung Mesau, menjelaskan pelbagai peranan perubatan dan kerohanian kulit kayu ‘semburuk hutan,’, sebagai contoh kekayaan hutan yang memberi pelbagai sumber kehidupan kepada komuniti beliau. (YH Law)

Menerobos jalan buntu

Untuk sekian lama, penduduk kampung dan YP Olio seperti terperangkap dalam tarik tali, bak kata Aminah. Untuk memuaskan semua pihak, Suandi mencadangkan supaya YP Olio membina rumah baharu di hujung tapak, supaya mudah untuk Orang Asli keluar masuk hutan di luar kawasan tapak.

Namun, itu bukanlah kehidupan yang didambakan Rani, Omar dan Arip. Menurut mereka, mereka ingin hutan yang boleh dipanggil hutan mereka sendiri, seperti pada zaman nenek moyang mereka. Mereka ingin terus bergantung kepada hutan dan sungai untuk daging, ikan, damar, minyak keruing dan ubat.

Dan mereka ingin menikmati semuanya di tanah adat yang diiktiraf kerajaan dan dilindungi oleh undang-undang. Ini sememangmya tertulis dalam tuntutan saman mereka terhadap YP Olio dan kerajaan Pahang.

Sementara proses mahkamah berlangsung, penduduk Kampung Mesau terus diuji. Jumaat lalu (14 Oktober), beberapa orang yang tidak dikenali tiba dalam sebuah kereta putih dan meminta untuk bercakap dengan Omar dan Rani. Berlegar-legar di salah satu kampung Orang Asli berhampiran yang lebih besar, mereka belum lagi memasuki kawasan Kampung Mesau.

Penduduk kampung memberitahu Macaranga yang pengunjung misteri itu adalah pembalak dari Johor.

 

 

[Penyunting: SL Wong]

Bahagian 1 – Menebang Hutan Demi Kelapa Sawit Yang Tidak Terjual

Bahagian 2 – Biarpun Sudah Berjanji, Habitat Harimau di Pahang Tetap Dimusnahkan

 

Related stories

Komen dialu-alukan tetapi akan disemak. Jangan gunakan bahasa yang kasar, fitnah, ganas atau yang boleh melanggar undang-undang. Serangan peribadi tidak akan diterima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *