Sebuah projek perladangan di Pahang akan membasmi hutan primer seluas 85km2. Projek ini dibantah oleh penduduk Orang Asli sejak 2019. Namun demikian, terdapat dua surat persetujuan yang ditandatangani penduduk Orang Asli yang kononnya menyuarakan sokongan untuk projek tersebut. Apa sebenarnya yang terjadi?
Diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris oleh Adriana Nordin Manan.
Read this article in English. 点击阅读中文版.
OMAR RANI ialah penduduk Orang Asli dari Kampung Berengoi, Pahang. Beliau dan teman Orang Asli sekampung buta huruf – atau seperti dibahasakan mereka: “Kami tidak bersekolahan.”
Tahun lepas, mereka diminta menandatangani surat untuk menerima rumah percuma daripada sebuah syarikat swasta, YP Olio Sdn Bhd. Meskipun tidak memahami sepatah perkataan yang tertulis, Omar dan penduduk sekampung bersetuju untuk menandatangan; mereka percaya kepada pegawai kerajaan yang menemani wakil syarikat.
(Foto: Penduduk Orang Asli di Kampung Berengoi and Kampung Mesau, Pahang, menyuara bantahan mereka terhadap pembalakan atas tanah adat mereka. Rani (kiri pertama), Sani (kiri kedua), Omar (duduk tengah), Abdullah (kanan pertama) | Jurugambar: Aminah A/P Tan Kay Hoe.)
Tiada bantahan?
Kalau lah penduduk boleh mengecam huruf yang tertera, mereka akan melihat kenyataan yang berkata mereka “tiada halangan pembangunan projek di tanah milik YP Olio Sdn Bhd”, sepotong ayat yang tidak disertakan maklumat lanjut mengenai projek itu.
Tetapi pada awal bulan ini, penduduk Orang Asli mendapat khabar berita yang mencemaskan.
YP Olio berkemungkinan menyalahanggap persetujuan mereka untuk menerima rumah menandakan sokongan untuk projek pembalakan dan perladangan syarikat. Projek ini telah dibantah oleh penduduk semenjak 2019.
Maksud surat
“Saya tak tahu ambil rumah sama dengan setuju pembalakan,” kata Omar yang berusia 37 tahun. “Tak ada siapa kata surat itu pembalakan.”
Seorang peguam yang menyokong suku Orang Asli di Malaysia menyifatkan proses kontrak tersebut sebagai “berunsur tipu helah”, manakala seorang penyokong hak asasi manusia menyatakan proses itu bersalah “mengeksploitasi Orang Asli”.

Projek YP Olio Sdn Bhd akan menebang tebas 8,498.58 hektar (sekitar 85 km2) – bersamaan dengan kehilangan liputan hutan terbesar di Pahang dalam tempoh dua dekad – di lokasi yang sehingga penghujung 2020 diwartakan sebagai hutan simpan.
Syarikat itu akan menjadikan lokasi ladang kelapa sawit dan Paulownia, sejenis pokok eksotik yang ditanam untuk kegunaan pembalakan. Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek kini sedang disemak oleh Jabatan Alam Sekitar peringkat persekutuan.
Tetapi, pertubuhan-pertubuhan alam sekitar dan hak asasi manusia mengkritik projek kerana membinasakan habitat haiwan liar terancam serta menyisihkan Orang Asli dari tempat tinggal mereka. Sekurang-kurang lapan buah keluarga Orang Asli, termasuk keluarga Omar, tinggal di dua kampung di tapak yang berkenaan.
Perjuangan panjang
Kejadian terkini di Kampung Berengoi hanya yang terbaru dalam perjuangan berpanjangan komuniti orang asal untuk mempertahankan hak tanah adat mereka di Malaysia.
Perjuangan ini seakan-akan bertambah baik pada 2018, apabila gabungan Pakatan Harapan memenangi tampuk kuasa kerajaan persekutuan dengan agenda reformasi yang termasuk mempertahankan hak orang asal.
BACA: In Defence of Orang Asli Rights
Tetapi, kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lalu. Semenjak itu, pergelutan tanah Orang Asli seakan tanpa henti, dan komuniti Kampung Berengoi menjadi contoh perjuangan berterusan kumpulan orang asal Malaysia.
“Perebutan tanah ialah situasi genting yang berlarutan selama beberapa dekad untuk Orang Asli,” kata Jerald Joseph, pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
“Situasi semakin teruk akibat pertembungan antara pembangunan dan cara hidup tradisional masyarakat Orang Asli.
“Yang ironi, Orang Asli tidak membantah pembangunan tetapi mereka inginkan pembangunan yang lestari dan [tidak] membinasakan tanah dan budaya turun-temurun mereka.”
BACA: Report of The National Inquiry Into The Land Rights of Indigenous Peoples 2013 by SUHAKAM
Sekitar 220,000 Orang Asli menetap di Semenanjung Malaysia. Mereka adalah kelompok termiskin, tidak seimbang pemakanan dan paling kurang berpendidikan di dalam negara. Pemilikan tanah yang tidak terjamin mencerminkan cabaran hidup seharian mereka.
Selama beberapa dekad, Orang Asli terpaksa melancarkan tentangan di mahkamah dan mendirikan sekatan untuk menegaskan hak mereka.
Perubahan yang dialu-alukan berlaku pada April 2019 apabila kerajaan persekutuan Pakatan Harapan yang baru dilantik menganjurkan Konvensyen Orang Asli Peringkat Kebangsaan buat kali pertama.
Perwakilan orang asli menerangkan perjuangan mereka dan hadirin menerima pakai 136 resolusi. Pengiktirafan hak tanah menjadi fokus pertama.
Respons kerajaan persekutuan berbentuk langkah awal untuk merangka pelan bagi melaksanakan resolusi.
Kemelut politik
Namun, kerajaan Pakatan Harapan tumbang berikutan kemelut politik Malaysia pada Februari 2020.
Berikutan perubahan berleluasa di dalam kerajaan semenjak itu, trend reformasi hak Orang Asli yang baru bertapak kini lenyap. Bilangan kes pertikaian hak tanah Orang Asli turut meningkat.
Sepanjang enam bulan yang lalu, sekurang-kurangnya tiga komuniti Orang Asli telah menerima notis pengusiran selepas kerajaan negeri memajak tanah kepada pihak pemaju.
Bagaimana bantahan Orang Asli menjadi persetujuan
HANYA DUA tahun yang lalu, Omar boleh melangkah keluar dari pondoknya dan meredah hutan ke arah barat sepanjang 15 km. Dia mungkin tercari tanda-tanda tapir, beruang madu, harimau bintang, dan gajah. Mungkin juga harimau belang.
Tetapi pembalak mula menebang hutan pada penghujung 2019. Tidak sampai setahun, tanah rata di arah barat pondok Omar sudah selebar 5 km. Pembalakan berterusan sehingga hari ini.
“Kami sayang hutan, kami sayang sumber air,” kata Omar. “Kami tidak boleh terima pencerobohan tanah kami.”
Hasil hutan penting
Rani Jinal, ayah Omar, memetik buah-buahan, rotan, damar, dan tumbuhan ubatan dari hutan.
“Cari makan hidup saya terhenti [tanpa hutan],” kata beliau. “Makanan saya di dalam hutan akan habis. Macam mana saya sokong [projek pembalakan]?”
YP Olio memiliki tapak projek melalui pajakan 99 tahun dari kerajaan negeri Pahang yang bermula pada Disember 20, 2019. Tapak itu meliputi 4,074 hektar wilayah adat yang dituntut oleh masyarakat Orang Asli setempat pada 2017, namun pengiktirafan oleh kerajaan negeri belum kunjung tiba.
Hak tanah
“Di Pahang, mereka mempunyai rekod amat buruk dalam mengiktiraf dan melindungi hak tanah Orang Asli,” kata Dr. Colin Nicholas, pemegang ijazah PhD dalam isu Orang Asli yang telah mengasaskan Center for Orang Asli Concerns pada 1989.
Nicholas merujuk kepada data kerajaan yang menyatakan bahawa hanya 7,156 hektar tanah adat Orang Asli sudah diwartakan sebagai kawasan atau rizab Orang Asli di Pahang. Pewartaan ialah proses pengiktirafan secara rasmi dan sah melalui notis kerajaan.
Sekitar 45,000 hektar tanah lain yang sudah dipohon masih menanti pewartaan selama bertahun-tahun.
“Terang lagi bersuluh yang kerajaan tidak bertindak melindungi,” kata Nicholas. “Dan kerana tanah ini tidak rasmi di bawah nama Orang Asli, sesiapa pun boleh merampasnya.”
Penduduk membantah
Antara September 2019 dan Disember 2020, pembalak menebang sekurang-kurangnya 1,684 hektar hutan di tanah YP Olio di sekeliling kampung Omar, menurut data di laporan EIA.
Penduduk Orang Asli mengecam kegiatan pembalakan yang berlaku. Pada November 2019, Omar menyerahkan surat (ditulis dengan bantuan saudaranya yang celik huruf) kepada beberapa agensi kerajaan untuk menyuarakan bantahan terhadap projek YP Olio di wilayah adat mereka.
Omar tidak keseorangan. Laporan EIA menunjukkan yang 85% penduduk Orang Asli yang diwawancara di dalam dan berhampiran tapak projek membantah projek itu. Di kampung Omar, iaitu Kampung Berengoi, semua responden membantah.
“[Jika projek berterusan] semua kebun dan pokok kami akan habis tebang. Mereka sudah rosak kubur nenek moyang kami,” kata Omar. “Kami tak ada tempat lain pindah. Macam mana nak pindah? Ini tempat kami turun-temurun.”
Empat daripada penandatangan – Omar, Rani, Sani Kotiz, dan Maarof bin Abdullah – bertegas yang mereka menandatangani surat dari YP Olio tanpa mengetahui yang surat itu berhubung kait dengan pembalakan.
Persetujuan?
Hon Kai Ping, peguam dan ahli Jawatankuasa Hak Orang Asli Badan Peguam Malaysia, menyifatkan surat keizinan itu sebagai “berunsur tipu helah”.
Jika Orang Asli tidak mengetahui yang menerima tawaran rumah menyiratkan keizinan untuk pembalakan dan perladangan, mereka “mesti menulis untuk menarik balik tanda tangan”, kata Hon.
“Selain itu, mereka patut menyaman semua pihak berkuasa yang berkaitan, lebih-lebih lagi kalau projek diluluskan.”
Syarat keizinan bebas
Menurut Joseph dari SUHAKAM pula, surat keizinan yang digunakan “tentu sekali tidak memenuhi syarat keizinan bebas, terdahulu dan termaklum.”
Menurut Joseph, perbincangan sedemikian dengan Orang Asli perlu dihadiri wakil “yang membela hak [Orang Asli]”, seperti masyarakat madani atau peguam dari Badan Peguam Malaysia, untuk “mengelakkan sebarang lompang atau salah tafsir”.
Dalam kes ini, surat keizinan “mengeksploitasi tahap pemahaman Orang Asli dengan tidak memaklumkan ruang lingkup penuh projek kepada pihak terjejas dan penduduk asal kampung,” kata Joseph.
Siasatan dijalankan
Apabila ditanya, Jabatan Alam Sekitar peringkat persekutuan berkata pihak mereka sedang menyiasat tuduhan tipu helah dalam memperoleh tanda tangan Orang Asli pada surat keizinan.
Ketua Menteri Pahang tidak menjawab permintaan untuk mengulas.
Para pengarah YP Olio, melalui peguam lantikan, menyangkal tuduhan tipu helah dan salah gambaran ketika berurusan dengan komuniti Orang Asli.
Semuanya sah, kata syarikat
Terdapat empat pengarah di YP Olio. Pengarah pengasas adalah Tun Putera Yasir Ahmad Shah bin Mohamed Moiz, merangkap pemilik 50% syarikat melalui Metallic Hallmark Sdn Bhd. Yasir ialah anak saudara kepada Sultan Pahang, yang kini Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kenyataan bertulis, pengarah-pengarah YP Olio mengatakan yang YP Olio “mematuhi protokol dan pengurusan sewajarnya” dan syarikat itu “bekerjasama rapat” dengan agensi kerajaan berkenaan dan “mematuhi undang-undang sepenuhnya”.
Lembaga pengarah syarikat berkata setiap pertemuan dengan Orang Asli turut dihadiri Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), agensi kerajaan yang dimandatkan di bawah Akta Orang Asli 1954 untuk menyelia hal ehwal Orang Asli.
Apabila pengarah ditanya jika mereka berpendapat penduduk kampung telah memberi keizinan kepada projek pembalakan dan perladangan syarikat, mereka tidak memberi jawapan.
Omar dan Rani mengesahkan yang pegawai JAKOA menemani wakil YP Olio ketika lawatan dan urusan menandatangani surat. Tetapi pegawai tersebut tidak memaklumkan yang surat itu berkaitan dengan pembalakan, kata mereka.
Menunaikan tugas
Nicholas, penyelaras Center for Orang Asli Concerns, menyimpulkan bahawa JAKOA telah “gagal dalam tanggungjawab mereka untuk memaklumkan Orang Asli tentang kesudahan yang mendatang apabila menandatangani persetujuan”.
“Menurut undang-undang, JAKOA sepatutnya melindungi kepentingan Orang Asli, untuk kesejahteraan dan kemajuan mereka,” kata Nicholas. “Dalam kes ini, JAKOA telah gagal menjalankan tugas fidusiari mereka terhadap Orang Asli.”
Pertanyaan kepada JAKOA Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) tidak dijawab.
Peluang bekerja
YP Olio pula telah berjanji untuk mengutamakan Orang Asli untuk peluang pekerjaan dalam projek baharu. Laporan EIA menyimpulkan bahawa projek itu dapat membangunkan ekonomi dan bahawa syarikat boleh memitigasi impak alam sekitar.
Langkah-langkah mitigasi yang disenaraikan termasuk sistem perparitan untuk mengurangkan hakisan, pagar elektrik untuk menghalang kemasukan gajah, dan kawasan perlindungan yang baharu untuk hidupan liar.
Namun, tinjauan yang terkandung dalam laporan EIA menunjukkan yang hampir semua responden Orang Asli tidak bersetuju dengan pendapat yang menyatakan projek YP Olio akan menawarkan mereka pekerjaan atau peningkatan pendapatan.
Keraguan
Sebaliknya, mereka menolak projek tersebut atas dasar keraguan tentang pencemaran air, kehilangan sumber hutan, dan kerosakan disebabkan jalan pembalakan.
Akhir kata, meskipun pihak pemaju kelak menerima manfaat daripada penjualan balak dan kelapa sawit, pihak yang mungkin menanggung kerugian berikutan kerosakan alam sekitar merangkumi komuniti Orang Asli, penduduk setempat, serta kerajaan negeri dan persekutuan.
Kehilangan perkhidmatan alam sekitar sebanyak RM39 milion
SELAIN MENYISIHKAN Orang Asli, projek akan merosakkan ribuan hektar hutan dan habitat unggul hidupan liar.
Imej Google Earth semenjak 1984 menunjukkan yang kali terakhir tapak menjadi lokasi pembalakan lestari adalah pada 1989–1994. Di Malaysia, pembalakan dijalankan di hutan simpan secara terpilih setiap 25–30 tahun untuk mengurangkan impak.
Menjelang 2018 hutan itu sudah dijana semula menjadi lokasi kaya dari segi ekologi, di mana pokok mencecah ketinggian melebihi 30 meter.

Tetapi kini, hutan itu disasarkan untuk pembasmian.
Pahang ialah negeri dengan liputan hutan tertinggi di Semenanjung Malaysia, tetapi sepanjang dekad lalu, negeri itu sudah kehilangan sebanyak 15,565 hektar hutan simpan.
Tapak projek ini yang seluas hampir 8,500 hektar adalah kehilangan hutan simpan terbesar di Pahang dalam dua dekad kebelakangan ini.
Kehilangan berterusan hutan simpan di Pahang bersifat tidak lestari, kata Balu Perumal, ketua pemuliharaan di Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).
Walaupun kerajaan negeri meluluskan projek YP Olio dengan syarat hutan yang ditebang digantikan, Perumal “tidak menjangkakan ini akan berlaku memandangkan situasi sekarang”.
Laporan EIA juga menganggarkan sepanjang 30 tahun yang mendatang, projek YP Olio akan menyebabkan kehilangan bersih perkhidmatan alam sekitar bernilai RM39.35 juta.
Kehilangan sebegini bermaksud jualan balak dan minyak kelapa sawit tidak mampu mengimbangi kos kehilangan fungsi hutan seperti penyimpanan karbon.
“Pihak kerajaan negeri sepatutnya tidak sama sekali menyahwartakan atau mengizinkan penukaran status hutan di tapak itu,” kata Perumal. MNS dipelawa oleh Jabatan Alam Sekitar untuk meninjau semula projek tersebut.
Landskap hutan yang bernilai
Kawasan terjejas terletak di antara hutan paya gambut pantai dan hutan tanah lembap di kawasan pedalaman.
“Kehilangan kawasan ini kepada perladangan dan aktiviti tidak lestari yang lain” akan merosakkan integriti landskap hutan, kata Perumal.
Beliau memberi amaran bahawa mengecilkan ruang berkeliaran untuk mamalia besar dan menghadkan pergerakan mereka kepada tapak hutan yang terpencil akan meningkatkan konflik antara hidupan liar dan manusia.
Mammalia dan burung
Tinjauan terkini oleh pakar perunding alam sekitar menemui beruang matahari, ungka, harimau bintang, dan cipan terancam di lokasi hutan berkenaan.
Tapak ini juga dipercayai menjadi habitat kepada burung enggang tebang mentua, spesies yang terancam. Menurut Omar, gajah juga boleh dijumpai.
Lagipun, ada kemungkinan yang harimau menggunakan atau mendiami tapak projek. Pada 2017, terdapat insiden di lokasi yang melibatkan harimau, menurut PERHILITAN, empunya data yang diterbitkan di laporan EIA.
Perlindungan harimau
Salah seorang daripada pengarah YP Olio, Felix Danai Link, ada kaitan dengan perlindungan harimau di Thailand.
Felix juga merupakan pengarah di konglomerat sektor tenaga yang tersenarai di bursa saham Thailand, B. Grimm Power PCL, dan merupakan anak kepada presiden B. Grimm Power, Harald Link.
Kedua-dua B. Grimm Power dan Harald Link telah menyokong usaha perlindungan harimau oleh WWF Thailand selama tujuh tahun.
Felix dan Harald Link tidak membalas permintaan untuk mengulas.
Yang bertanggungjawab
Sejujurnya, “pihak yang telah mengkhianati kepercayaan Orang Asli ialah kerajaan negeri,” kata Nicholas, pakar hal ehwal Orang Asli.
“Akhirnya, kami perlu ke mahkamah…Ini akan melibatkan banyak kerja tetapi dari segi undang-undang dan hak di bawah sistem perundangan am, kemungkinan untuk menang adalah besar,” kata Nicholas.
Beliau merujuk kepada contoh beberapa kes duluan di mana mahkamah Malaysia telah mengiktiraf hak adat Orang Asli.
Berjuang sepenuhnya
“Saya cari makan hidup dalam hutan. Itu hidup saya. Ribut ke, petir ke, gajah ke, harimau ke, tak kira apa-apa,” kata Rani.
Sekumpulan penduduk berhimpun di sekeliling Rani, dan anaknya Omar menjulang penumbuk ke udara.
“Sekarang, kerajaan apa tujuan…tok yang besar besar, apa tujuan begini? Tak ada timbang rasa ke? Tak ada fikir ke [akan] rakyat dalam hutan?” kata Rani.
“Kami tidak setuju!” ujar penduduk kampung. “Kami membantah balak!”
[Disunting oleh Macaranga]
Pembetulan: 28 September 2022: Nama “Metallic Hallway” diubah kepada “Metallic Hallmark” dalam teks dan gambarajah.
Nak tahu situasi terkini di Kg Berengoi dan Kg Mesau? Klik sini.
Artikel ini dihasil dengan sokongan Pulitzer Center’s Rainforest Investigations Network.
Pandangan anda dialu-alukan tetapi akan disemak. Sila jaga budi bahasa. Jangan guna bahasa yang memfitnah atau melanggar undang.