Pencarian Segera untuk Super Karang Malaysia

Di sebalik tirai pulau syurga Pulau Lang Tengah, Terengganu, terdapat perlumbaan saintifik dengan peningkatan suhu laut bagi menyelamatkan karang Malaysia daripada kepupusan.

Ditulis oleh : SL Wong | Foto oleh SL Wong, dan Coralku & rakan usaha sama

Pengarang: YH Law

Diterjemah oleh: Natural Translation

Diterbit: 21 Julai 2023

Karang manakah yang paling sesuai untuk memulihkan sesebuah terumbu? Dengan mengambil kira kadar peningkatan suhu laut, adalah wajar untuk menanam karang yang mampu menahan suhu yang tinggi. Untuk mengenalpasti ‘super karang’ ini, ahli sains di Lang Tengah, Terengganu sedang menjalani ujian tekanan haba kepada beberapa jenis karang. (SL Wong)

Lagun sepanjang 700 m yang indah ini tidak menggambarkan makmal bawah laut hiruk-pikuk yang diuruskan oleh Coralku, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan. Pada kedalaman 9—12 m terdapat beberapa ‘tapak semaian’ di mana ahli sains sedang menanam karang. Terdapat ‘pokok’, bingkai, jaring keluli dan grid terapung. Secara keseluruhannya, mereka membekalkan 1,000 serpihan karang setahun daripada sekurang-kurangnya 12 spesies untuk pemulihan. (SL Wong)

Dilindungi daripada monsun, tapak semaian terletak di kawasan terumbu Pasir Besar yang kebanyakannya berpasir dan mempunyai runtuhan karang. Tapak pemulihan utama di mana kebanyakan karang ditanam ialah Batu Kuching di selatan. Di sini, 1,500 karang telah ditanam di kawasan seluas 150 meter persegi. Objektifnya adalah untuk menyelamatkan karang Lang Tengah daripada kepupusan apabila suhu meningkat.

Projek ini telah bermula 3 tahun yang lalu. Pasukan Coralku menjalankan banyak kajian saintifik. Serpihan karang pada ‘pokok’ PVC ini berasal daripada koloni karang yang sihat dan serpihan yang pecah akibat ribut. Projek ini merupakan contoh kajian teliti yang jarang berlaku dalam projek pemulihan karang Malaysia. Coralku tahu tempat asal setiap serpihan karang, tapak semaian di mana ia ditanam, kadar pertumbuhan dan kelangsungan hidup, penyakit dan pemangsa, serta di mana dan prestasi pertumbuhannya setelah ditanam. (Affendi Yang Amri)

Setiap bulan, karang di tapak semaian akan diukur. Dalam tempoh kajian selama 14 bulan, kadar kelangsungan hidup adalah antara 34–94%, “bergantung pada spesies, tapak semaian dan genetiknya,” kata ketua projek Sebastian Szereday. Menurut data yang dikumpul dalam tempoh 650 hari, karang yang ditanam di Batu Kucing merekodkan kadar kelangsungan hidup antara 9–62%, bergantung kepada spesies dan tapak tempatan. (Natasha Zulaikha)

Untuk mengenal pasti karang yang mampu menahan panas, Szereday dan ketua ahli sain bersama, KL Chew memotong serpihan 3 cm daripada spesimen tapak semaian. Spesimen tersebut kemudiannya didedahkan kepada tekanan haba. Karang yang paling berdaya tahan kemudiannya dipilih dan ditanam. (Natasha Zulaikha)

Di atas darat, serpihan karang menjalani ujian tekanan haba experimental piawai yang dikenali sebagai Coral Bleaching Automated Stress System (CBASS). Ujian ini dibangunkan di Laut Merah 3 tahun yang lalu, dan merupakan satu sistem yang mampu milik, senang dijalankan, mudah alih dan boleh dikendalikan di tapak kajian. Pencipta konsep CBASS, ahli genetik marin Christian Voolstra, juga merupakan rakan usaha sama projek Coralku, bersama-sama ahli ekologi terumbu karang dari Universiti Malaya, Affendi Yang Amri. (SL Wong)

Dalam CBASS, karang dipanaskan selama 18 jam dalam tangki yang mempunyai 4 suhu: normal (suhu purata laut maksimum, iaitu 30 °C di Lang Tengah), 4 °C melebihi normal, 6 °C melebihi normal dan 9 °C melebihi normal. Tahap tekanan karang diukur melalui kebolehan mikroalganya menggunakan cahaya untuk fotosintesis. Apabila suhu meningkat, keupayaan ini menurun. Alga yang tidak tahan haba akan dibuang karang, dan karang menjadi luntur. (SL Wong)

Setakat ini, Coralku telah mengenal pasti individu daripada tiga spesies ‘super karang’ yang tahan haba: Acropora florida, Echinopora horrida, dan Acropora gemmifera. Gambar menunjukkan Hydnophora rigida (Karang pemerah lemon). Ia berfungsi dengan baik di tapak semaian dan setelah ditanam, dan ambang pemutihannya adalah “okay”. Szereday berharap “daripada membuat tekaan liar” tentang karang yang hendak ditanam, saringan CBASS akan menjadi satu standard di seluruh negara. (SL Wong)

Coralku telah menanam kira-kira 500 serpihan spesies tahan haba ini, di terumbu pemulihan. Tetapi mereka tidak mampu memanaskan serpihan karang dengan pantas. Oleh itu, mereka terus menanam karang yang tidak tahan haba dan belum diuji. Mereka mahu mencuba untuk mengelakkan kepupusan tempatan dan serantau. Menjelang akhir tahun, mereka akan menanam dan memantau 3,000 serpihan. Memandangkan fenomena El Niño yang bakal berlaku dijangka akan meningkatkan suhu laut, usaha ini adalah perlumbaan dengan masa. (Atkinson Tan)

Ini sebahagian siri #SeaWorld Macaranga. Baca cerita utama sini:  Kubu Alam Semula Jadi Kunci Mengharungi Ribut Badai. Siri ini disokong oleh Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur.

English | 中文版  | Français

Rujukan:

Coralku. Our Coral Reef Research Projects. 2021.

Henry, J.A., et al. (2023), Using relative return-on-effort scoring to evaluate a novel coral nursery in Malaysia. Restoration Ecology, 31: e13767.

Szereday, S., et al. Highly variable response of hard coral taxa to successive coral bleaching events (2019-2020) and rising ocean temperatures in Northeast Peninsular Malaysia. bioRxiv 2021.11.16.468775

Voolstra, CR, et al. Extending the natural adaptive capacity of coral holobionts. Nature Reviews Earth and Environment 2, 747–762 (2021).

Voolstra, CR, et al. Standardized short-term acute heat stress assays resolve historical differences in coral thermotolerance across microhabitat reef sites. Global Change Biology. 2020; 26: 4328– 4343.

Related stories

Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Be A Macaranga Supporter

Like our stories?

You can help us do more.
Sign up to be a Macaranga Supporter!