Beberapa siri empangan kecil berikutan peralihan hijau negeri Perak cetuskan bantahan komuniti Orang Asli. Diterjemah oleh Shazni Bhai.
PERJALANAN pacuan empat roda melambung-lambung sepanjang laluan berliku mendaki Gunung Korbu di negeri Perak. Empat puluh minit ke pedalaman terdapat binaan konkrit didirikan berketinggian 5 meter atau hampir 2 tingkat.
Binaan itu adalah sebuah empangan hidro elektrik mini, yang akan dikerah bagi menjana 7 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui untuk grid kuasa elektrik.
Ini adalah salah satu empangan hidro elektrik mini yang akan dibina di seluruh negeri ini. Walau pun bertujuan untuk memenuhi komitmen tenaga boleh diperbaharui kerajaan, konflik dengan komuniti Orang Asli dilihat makin meningkat.
(Imej utama: Tenaga boleh diperbaharui dijana oleh empangan hidro mini di Sungai Korbu, namun untuk siapa dan apa korbannya? | Foto: Ashley Yeong)
Empangan ini terletak di gunung tertinggi di negeri Perak. Ia mengambil punca air daripada Sungai Korbu yang terpancar dari hulu air berhutan subur nan menghijau. Di tapak binaan empangan di Jalong Tinggi, dasar sungai terkandung batuan dan batu tongkol pelbagai saiz dan bentuk.
Seorang penduduk kampung, Mat Seri bin Pandak, berdiri di tebing 100 meter dari dinding empangan dan menunjukkan ke arah sebongkah batu tongkol di tengah sungai yang tersembul keluar daripada air.
“Kalau kita seru namanya, dia boleh memberi rezeki ataupun menahan bahaya-bahaya macam bencana alam,” kata Mat Seri, seorang Orang Asli Temiar yang tinggal di hilir sungai empangan itu.
Lama sebelum aliran air Sungai Korbu memutar turbin untuk menjana kuasa mesin, sungai dan batuannya berumbi lubuk maknawi kerohanian Orang Asli.
Satu bah besar melanda kawasan itu bergenerasi dahulu mengikut cerita orang di situ. Leluhur Mat Seri kemudiannya mempersembahkan korban, dengan harapan bagi menghentikan kekuasaan membinasakan itu. Banjir itu berhenti.
Kekeramatan batuan ini masih dihormati, ujar Mat Seri. Tiap kali penduduk mahu memohon sebarang permintaan, mereka akan ke sana dan berdoa.
Beliau kata ada lebih daripada sebongkah batu keramat di Sungai Korbu. “Batu ini dia punya cucu, ini dia punya atok, yang sana isteri dia, dan sini semua anak buah-anak buah dia.”
Sepanduk tanda keramat
Di tebing sungai, orang kampung telah memacak sepanduk yang mengiktiraf batu-batuan ini adalah sebahagian daripada kerohanian Jalong Tinggi. Tanda itu juga memberi amaran agar jangan diceroboh tapak keramat tersebut.
Tiang tanda dinaikkan pada tahun 2022, setelah empangan itu dibina bersebelahan dengan batuan tersebut. Sekurang-kurangnya empangan itu tidak memusnahkan tapak keramat, seperti diberitahu Mat Seri. Walaupun demikian, tanda tersebut berniat sebagai peringatan terhadap projek itu daripada terus diperbesarkan sepanjang sungai tersebut.
Kerja-kerja bina empangan masih lagi dijalankan, dengan lori lalu lintas keluar masuk. Penduduk kampung sedang mengawasi kerja-kerja di situ.
Pada mulanya, pembinaan empangan dijalankan dengan cermat. Mat Seri kata para kontraktor awalnya keluar masuk guna jalan belakang, merentasi hutan.
Tetapi lama kelamaan mereka tukar kepada penggunaan jalan utama yang diguna pakai oleh orang kampung. Ini mengakibatkan kemalangan jalan membabitkan penduduk kampung dengan kontraktor.
Penduduk kampung juga terpedaya dengan nama projek itu. Walaupun ia dipanggil “empangan hidro elektrik mini”, ia sebenarnya jauh lebih besar daripada yang dijangkakan.
Empangan itu sudah pun diwujudkan. Tidak praktikal untuk nyahkannya. Biar pun begitu, Mat Seri mengambil ini sebagai iktibar untuk disampaikan buat komuniti Orang Asli lain tentang natijah projek sedemikian terhadap kawasan dan tanah adat.
Rancangan empangan negeri Perak
Limpahan sungai negeri Perak membawa kepada perkembangan projek hidro mini yang mana akan menyumbang kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui kebangsaan. Sasaran Malaysia adalah ke arah 31% daripada tenaga yang dijana, dibekalkan oleh tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2025.
Perak Hydro Renewable Energy Corporation (PHREC) – sebuah syarikat swasta – telah diberikan hak eksklusif sebagai pemaju utama bersama kerajaan negeri Perak untuk 31 buah tapak hidro mini.
Empangan-empangan ini menyasarkan untuk menjana sejumlah kira-kira 240 MW tenaga. Bekalan kuasa ini mencukupi untuk 200,000 buah isi rumah. Daripada tapak-tapak ini, 10 buah empangan kini aktif.
Perak Hydro Renewable Energy Corporation (PHREC) mempunyai hak eksklusif untuk membangunkan 31 buah empangan hidro mini di negeri Perak, yang mana 10 buah telah pun mula beroperasi. | Sumber peta: Lokasi empangan didigitalkan dengan pemetaan daripada G Capital Berhad/PHREC dan mengekalkan ketidaktepatan peta asal; aliran sungai daripada OpenStreetMaps. Hak cipta: Macaranga Media.
Meski dengan kuasa elektrik yang dijana, perkampungan setempat yang telah pun sedia ada dibekalkan sumber tenaga, tidak mendapat manfaat secara langsung daripada empangan-empangan ini.
Hakikatnya, disebabkan empangan ini yang biasanya diletakkan di Tanah Adat Orang Asli, komuniti ini terjejas oleh akibatnya, kata Piarapakaran Subramaniam, presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).
Ini bercanggah dengan alamiah kuasa hidro, ujar Piarapakaran. Walaupun kuasa hidro adalah boleh diperbaharui dan boleh membekalkan kuasa elektrik yang stabil, ia “melibatkan pembasmian hutan sebelum menakung empangan.
“Pembasmian hutan menghapuskan kehidupan Orang Asli dan dalam beberapa kes, [mereka] dipindahkan […] ke penempatan yang jauh daripada kegiatan ekonomi asasi mereka.”
Kebarangkalian lebih besar akan air bah
Tambah beliau, komuniti-komuniti yang mendiami hampir dengan tengah dan hilir sungai berdepan dengan peningkatan risiko banjir.
“Perlunya ada analisis risiko bagi yang tinggal di hilir empangan itu, dengan membangunkan rancangan tindak balas kecemasan.”
Encik Mat Seri menyahut kerisauan yang sama gemanya. Beliau dakwa bahawa kontraktor menggunakan bahan letupan di tapak empangan itu, yang mengakibatkan gegaran. Beliau khuatir sekiranya berlaku banjir atau tanah runtuh, puing reruntuhan dari tapak projek itu akan hanyut dibawa ke hilir di mana orang kampung tinggal.
Macaranga telah menghubungi ibu syarikat PHREC iaitu Gunung Capital, dan juga kerajaan negeri Perak, namun kami masih tidak mendapat jawapan kepada soalan kami.
Menentang raksasa
Di kampungnya, Mat Seri dianggap sebagai pengkritik yang paling lantang terhadap empangan hidro mini dan pemajunya. Beliau dakwa yang projek tersebut kurang ketelusan dan mengakibatkan kegelisahan kepada orang kampungnya.
Beliau hinggakan mengadakan sidang media, mengutus sepucuk surat kepada pejabat kerajaan negeri Perak, dan bertemu dengan Menteri Besar Dato’ Seri Saarani Mohamad ketika dilangsungkan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Ipoh Oktober tahun lalu.
Mengetahui bahawa empangan itu tidak dapat diundur pembinaannya, beliau hanya mahu kerajaan negeri ambil perhatian mengenai isu keselamatan sebelum terjadi sesuatu yang tidak diingini.
Membangkitkan kesedaran
Beliau juga sedang berikhtiar menyebarkan perihal bahaya hidro mini ini kepada kaum kerabat sedaerah di perkampungan lain.
Salah satu perkampungan ini adalah Kampung Mangyes di Pos Legap, terletak kira-kira 18 km ke utara merentasi pergunungan di situ. Perjalanan sepanjang jalan berkelok untuk sampai ke Kampung Mangyes, pemandangan silih berselang antara gunung ganang berhijab kabus dengan tanah gersang ditebang untuk perladangan.
Setiba sahaja Mat Seri di Kampung Mangyes, beliau turut serta bersama orang kampung yang lain berkumpul di rumah ketua kampung Alang Bin Pandak. Mereka mula membincangkan rancangan tindakan projek-projek hidro lain yang sedang didirikan di kawasan Orang Asli berjiran dalam negeri itu.
Selepas lebih sejam menjelaskan keadaan di Jalong Tinggi, Alang – yang diam kebanyakkan masa – berkata: “Kita tak pasti jika kita mahu lawan. Kita tidak pasti jika kita boleh lawan [pihak pemaju].”
Ketidak tentuan ini adalah sentimen yang sering timbul dalam kalangan ramai komuniti pribumi, kata Encik Mat Seri. Sungguh pun begitu, makin ramai pemimpin Orang Asli yang bersuara.
Hakikatnya, di selatan, komuniti Ulu Geruntum sedang menyaman pendokong sebuah projek hidro mini bersabit pencerobohan ke atas tanah adat mereka.
Tindakan mahkamah itu menamakan dua pendokong yang juga pendokong empangan di Sungai Korbu: kerajaan negeri Perak dan PHREC, termasuk juga ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Tanah dan Galian negeri Perak, kerajaan pusat dan sebuah lagi syarikat sendirian berhad – Conso Hydro RE Sdn Bhd.
Ulu Geruntum terletak di Gopeng, 50 km di selatan dari Jalong Tinggi.
Pada tahun 2018, PHREC dan Conso Hydro RE mula membina sebuah empangan hidro mini berdekatan dengan sungai kegunaan komuniti iaitu Sungai Geruntum. Orang kampung di Ulu Geruntum mendakwa yang projek tersebut telah memusnahkan lebih 50 kawasan perkuburan moyang dan dusun buah tanpa kebenaran mereka.
Mengambil tindakan
Seorang penduduk kampung berbangsa Semai, Wah Sona, berkata yang orang kampung perlu lakukan sesuatu. Jadinya mereka mendirikan halangan dan cuba hentikan jentera-jentera itu.
Mereka tidak berjaya. Maka mereka memfailkan tindakan mahkamah pada tahun 2018, dengan tujuan untuk mendapatkan pengisytiharan sebagai pemilik sah terhadap tanah adat mereka di Ulu Geruntum.
Mereka mahu mahkamah mengesahkan yang defendan-defendan tidak berhak mengapa-apakan atau menghapuskan hak tanah mereka.
“Memang menakutkan, walau pun cuma kedengaran bunyi bingit gergaji rantai yang mereka gunakan,” Wah Sona mengimbas kembali di kala mereka berdepan menghadapi kontraktor itu. “Tapi kami mesti teguh berdiri dan pertahankan maruah kami.”
Pentingnya kepimpinan
“[Orang Asli] mesti kuat. Orang luar yang mahu bantu dan lawan untuk kita tak akan jadi apa-apa jika kita yang tidak melawan untuk diri kita sendiri,” tegas beliau.
Beliau berkata lagi bahawa oleh sebab Covid-19, pembinaan empangan itu telah ditangguhkan. Pada September lalu, mahkamah persekutuan telah membenarkan henti kerja sementara terhadap pembinaan itu.
Tetapi penghakiman belum diputuskan lagi, dan kesan akibat empangan itu terhadap komuniti Ulu Geruntum masih tergantung penentuannya.
Adrian Banie Lasimbang, yang terlibat dalam kes mahkamah Ulu Geruntum, berkata yang projek-projek tenaga boleh diperbaharui yang berada di atau berhampiran dengan tanah-tanah didiami oleh Orang Asal, sering kali kurang mendapat penglibatan dan perbincangan bersama dengan komuniti.
Ramai daripada komuniti pribumi menyokong projek-projek tenaga bersih, tetapi tidak pula dijadikan pemegang taruh dalam pembangunan ini, ujar beliau.
“Kebanyakan pemaju tidak menghormati hak Orang Asli. Mereka hanya ambil tanah, bina sistem dan Orang Asli tidak dapat apa pun daripada keseluruhan perusahaan itu,” kata Lasimbang, yang mengendalikan TONIBUNG, pertubuhan bukan untung dipimpin Orang Asal di Sabah yang menumpukan kepada penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.
TONIBUNG menggunakan bengkel dan bilik darjah di lapangan untuk memperkasa komuniti dalam perihal tenaga boleh diperbaharui.
Peralihan tenaga yang saksama
“Ini wilayah Orang Asli. Mereka juga patut jadi pemegang taruh atau punyai sebahagian perkongsian dalam pembangunan ini.”
Namun Mat Seri berkata pendekatan PHREC kekurangan dalam aspek tersebut.
Apabila idea projek hidro mini itu diperkenalkan kepada penduduk kampung di Jalong Tinggi, orang kampung teruja kerana ia menjanjikan peluang pekerjaan untuk membina empangan itu. Beberapa orang kampung mendapat pekerjaan, tetapi kekecewaan menyusul apabila mereka ditolak dari projek tersebut.
“Bila projek bermula, beberapa orang kampung memang kerja di situ. Tapi kemudian kami kena tendang keluar daripada projek itu tanpa penjelasan,” seorang penduduk yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Encik Mohamad berkongsi pengalaman beliau. “Saya bekerja tak sampai sebulan. Mereka tidak bayar pun duit gaji kami.”
Lasimbang berkata yang ini adalah tata cara yang diamalkan kebanyakan syarikat sebegini dalam pengambilan beberapa orang tempatan pada awal projek, kemudiannya buang mereka dengan alasan “masalah bahasa”.
“Ia adalah perkembangan yang merisaukan sebab mereka cuma gunakan ini sekadar satu gimik dalam mengadakan pekerjaan untuk orang setempat tetapi yang sebenarnya adalah sebaliknya,” beliau berkata. Beliau juga membantu orang kampung Ulu Geruntum dalam kes mahkamah mereka.
Manfaat sebenar
Beliau mengatakan memang bagus kerajaan beralih daripada arang batu dan bahan bakar fosil kepada sumber yang lebih bersih, tetapi mereka harus menerima pakai proses yang telus dan bermanfaat kepada komuniti Orang Asal.
“Selalunya, komuniti hanya tahu tentang kewujudan syarikat-syarikat menjalankan cari gali di kawasan itu selepas mereka nampak jentera-jentera masuk,” katanya.
“[Sungguh pun dalam menghambat] ekonomi hijau, tampak seolah-olah syarikat-syarikat yang terlibat seperti masih menjalankan urus niaga kaedah yang sama – banyak amalan menyeleweng, kurang ketelusan, tiada rundingan dan kurang hormat hak dan masyarakat.
“Peralihan apa ini? Kita patutnya beralih kepada amalan yang lebih mampan, tetapi apa yang kita lihat adalah ibarat dijual sayak, dibeli tempurung.”
Untuk mengendalikan cabaran ini perlu penglibatan perubahan menyeluruh pada kedua-dua peringkat baik dasar mahu pun pelaksanaan.
Menurut Piarapakaran, kerajaan sepatutnya mengutamakan penyelesaian praktikal seperti mengurangkan penggunaan tenaga dan menambah baik kecekapan tenaga berbanding membina hidro mini.
“Apabila kerajaan mahu melabur dalam teknologi yang lebih mesra alam yang belanja modal berkos lebih tinggi, ia tidak munasah sebab penggunaan masih tidak cekap,” beliau berkata.
Sebaliknya, mengurangkan penggunaan bermakna kurangnya keperluan untuk jana lebih banyak elektrik.
Masa depan yang lebih cerah
Di tapak empangan hidro mini di Jalong Tinggi, hujan mulai turun renyai-renyai, menyelimuti persekitaran dalam desiran yang sayup. Mat Seri bersiap untuk mengundurkan diri.
Bagi Orang Asli, hujan bukan sekadar kejadian cuaca semula jadi. Ia dianggap sebagai satu keberkatan dan juga undangan bagi meraikan, katanya. Beliau mengamati renyai itu sebagai alamat mudah-mudahan pasti akan lebih elok kehidupan komunitinya.
“Kami dah ada di sini beribu tahun. Saya mahu lihat masa hadapan yang mana Orang Asli tidak lagi diketepikan.”
[Disunting oleh SL Wong]
Rencana ini adalah sebahagian daripada program bimbingan bilik berita Macaranga berkenaan peralihan tenaga adil dan disokong oleh Macaranga dan Klima Action Malaysia.
Ini cerita penuh batu-batuan keramat di Jalong Tinggi, spertimana diceritakan oleh penduduk Temiar Mat Seri bin Pandak kepada Shazni Bhai daripada NGO KUASA:
“Batu-batuan di situ, yang dipanggil sebagai Batu Bog Kuak, suatu ketika dahulu adalah leluhur Encik Mat Seri serta orang Temiar setempat. Moyang mereka pernah berdoa agar cucu cicit generasi mendatang akan selamat daripada sebarang malapetaka.
“Hatta diminta dalam pesanannya supaya sentiasa mengingatinya dan menyeru namanya. Akhirnya beliau menjadi batuan dan isteri, cucu, anak anaknya ikut bersemayam di Sungai Kuak.
“Pernah sekali dilanda bah besar yang amat dahsyat sekali namun perkampungan di situ terselamat dek keberadaan batu batuan itu yang merintangi kekuasaan banjir. Hingga kini, batu batuan itu dipercayai ada ruai atau semangat/roh padanya.”