Adakah antara kamu seorang yang bijak dan pandai? Dia harus membuktikannya dengan kelakuannya yang baik, dan melalui kebajikan yang diamalkannya dengan kerendahan hati dan kebijaksanaan. – Alkitab, Yakobus 3: 13
Ditulis oleh Ginny Ng SL dengan Chin Sing Yun, Dylan Ong, Joanna Tang and Surin Suksuwan. Diterjemah oleh Noorainie Awang Anak.
PADA saat saya menerima berita mengenai pemergian Balu Perumal pada 6 Ogos 2021, saya seperti terkedu, tidak percaya. Saya jarang berkomunikasi dengannya, hanya sekali-sekala ketika mengikuti persidangan dan mesyuarat-mesyuarat yang mana kami mempunyai kepentingan bersama.
Saya terus terbayang bagaimana keluarganya dan juga dunia pemuliharaan telah kehilangan seseorang yang amat berharga, seorang pejuang mereka.
Balu adalah seorang pengiat pemuliharaan sepanjang hayatnya, pakar botani, mentor, guru, ketua keluarga, dan juga seorang sahabat.
(Gambar: Seorang pengiat pemuliharaan yang tulin, Balu Perumal [1966–2021] digambarkan pada awal 2000-an meninjau apa yang sekarang ialah Taman Negeri Selangor | Foto oleh Dylan Ong)
Mentor yang luar biasa
Pewarisan yang ditinggalkan Balu bukan hanya program dan projek yang dipimpinnya selama bertahun-tahun di lapangan, tetapi juga pada mereka-mereka yang bernaung dibawahnya.
Dia memahami bahawa projek dan program adalah sementara, yang mungkin memiliki jangka hayat yang terbatas kerana pendanaan, namun pelaburan terhadap mereka yang terlibat akan mewujudkan penyokong yang bersemangat dalam meneruskan pemuliharaan yang mana akan meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Bagi kami yang pernah bekerja dengan Balu di permulaan bidang pemuliharaan, dialah yang mendidik, mengasuh, mendorong, membina dan membantu kami berkembang.
Dengan itu saya dan rakan-rakan, Chin Sing Yun, Dylan Ong, Joanna Tang dan Surin Suksuwan terpanggil untuk memberikan penghormatan ini kepada beliau.
Pengajaran harian
Salah satu falsafah yang menjadi pegangan Balu semasa hayatnya adalah “mengajar setiap hari”. Pembelajaran ini boleh berlaku pada bila-bila masa, sama ada pada waktu makan tengah hari, waktu minum teh, semasa perbincangan mengenai satu-satu isu atau ketika kita berada di lapangan.
Banyak kenangan dan perkongsian tentang ekologi, perhutanan, undang-undang alam sekitar, dan hampir semua topik lain yang mencetuskan minatnya akan dikongsi bersama pada bila-bila masa.
Pembelajaran ini diulang berkali-kali, untuk memastikan bahawa ianya meresap ke dalam minda kami.
Pada suatu ketika, kami dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perlis, di mana sepanjang perjalanan dia telah memberikan penceritaan yang mendalam mengenai ekosistem botani tanah tinggi dari pelbagai ketinggian yang kami lalui sehingga lah kami sampai ke destinasi.
Perkembangan diri
Balu juga adalah seorang insan yang memahami bahawa untuk seseorang itu berkembang, mereka perlu dicabar.
Sebagai anak didiknya pada ketika itu, Dylan, Joanna dan saya ingat bagaimana dia akan memberikan tugas yang lebih sukar dan mencabar kepada kami seiring dengan halatuju tugasan.
Dia yang memiliki ungkapan “Jangan risau, kawan” yang berterusan yang mana dapat mendorong kami untuk memberikan yang terbaik pada tugasan yang diamanahkan.
Pada Dylan, “ini membuatkan dunia berbeza dengan perkembangan dan keyakinan kami, bila mempunyai seorang penyelia yang mempercayai kita.”

Sesungguhnya, salah satu sifat Balu yang paling menonjol adalah, dia akan membela dan melindungi kami demi tugasan yang diamanahkan.
Ini membolehkan kami meneruskan tugasan tanpa menangani campurtangan yang tidak perlu. Ianya mewujudkan ruang yang selesa untuk kami sebagai anak buahnya, untuk terus berkembang sebagai pakar pemuliharaan dan juga sebagai manusia.
Seingat Joanna, “Salah satu kenangan yang paling terkesan bagi diri saya ialah, Balu akan bersuara dan berbincang dengan sesiapa saja yang mewujudkan perlakuan yang tidak adil terhadap anak buahnya di tempat kerja.
“Ini adalah etika kerja yang luar biasa yang saya hargai walaupun kini kerjaya saya telah membawa saya ke industri yang berbeza.”
Keutamaan terhadap masyarakat
Selain daripada anak buahnya, Balu juga mendorong Sing Yun, yang merupakan rakan sekerja, untuk tidak pernah menyerah kalah ketika bekerja dengan komuniti.
Bagi Balu, sekiranya kami dapat membuat perbezaan dalam seorang dari 100 orang di lapangan, itu dikira kejayaan!
Kenyataan ini telah membantu Sing Yun untuk menyedari betapa pentingnya memperkasakan masyarakat dalam tugasan pemuliharaan dan dari situ juga, dia menyedari betapa pentingnya kesabaran ketika bekerja dengan masyarakat setempat.
Warisan hutan bakau
Salah satu kejayaan terbesar Balu dalam memperkasakan masyarakat setempat mengenai pemuliharaan adalah dengan tertubuhnya Sahabat Hutan Bakau.
Ini sebuah organisasi berasaskan komuniti di Kuala Gula, Perak, satu kawasan yang kaya dengan bakau dan burung-burung.
Program ini, yang dimulakan dan diketuai Balu, diakui di peringkat setempat sebagai contoh ulung pengurusan berasaskan masyarakat dalam pemulihan bakau.
Organisasi tersebut kini mempunyai 40 orang anggota, kebanyakannya dari komuniti nelayan di sekitar kawasan bakau. Anggota-anggota tersebut berperanan aktif dalam pemulihan, perlindungan dan pemberian input dalam pengelolaan kawasan bakau mereka.
Penyelamat spesis Merbau
Sebagai ahli botani terlatih, Balu sangat meminati tumbuh-tumbuhan.
Sebagai contoh, Balu pernah bekerja di Gua Musang demi memperkasakan masyarakat setempat dalam melindungi Sungai Nenggiri.
Dari pememerhatiannya, di situ terdapat sebilangan besar pokok ibu Merbau. Dari sini wujud keinginan untuk menyelamatkan spesies Merbau (Intsia palembanica) yang hampir terancam.
Sekali lagi, berdasarkan keyakinannya dalam memperkasakan masyarakat setempat, dia berjaya meyakinkan ahli masyarakat untuk mengumpulkan benih, yang bertujuan untuk memastikan kelangsungan hidup spesies tersebut di luar kawasan asal mereka.
Inisiatif ini berakhir dengan kerjasama dari pelbagai organisasi, termasuk Jabatan Perhutanan. Masyarakat setempat akan menyediakan benih Merbau yang dicambah di tapak semaian dan kemudian menanamnya di kawasan lain.

Balu juga sangat-sangat menyayangi keluarganya. Dia sentiasa berusaha untuk mencari keseimbangan antara keluarga dan amanah yang dipegangnya dalam usaha pemuliharaan. Kita semua pasti pernah mendengar kisahnya bagaimana dia bertemu dengan isterinya ketika dia melakukan kerja lapangan di Sarawak.
Kisah Balu tentang keluarga juga menjadi peringatan kepada kita bahawa keluarga juga sama pentingnya dengan apa jua pekerjaan yang diceburi.
Bekerja dengan semua
Di antara pengajaran berharga yang diajarkan oleh Balu kepada kita adalah, kerja-kerja alam sekitar dan pemuliharaan tidak boleh terpisah dari isu sosial dan ekonomi.
Contohnya, dia memahami bahawa tugasan untuk pengumpulan dana sama pentingnya dengan kerja-kerja pemuliharaan.
Balu percaya bahawa seseorang itu tidak boleh bekerja secara bersendirian kerana bidang kerja ini adalah saling berkaitan. Oleh itu, ia sangat penting untuk bekerja dengan pemegangtaruh lain yang tidak berada di bidang yang sama demi untuk mencapai matlamat pemuliharaan kita.
Perjuangan diteruskan
Setelah sekian lama, kita semua telah berpindah ke pelbagai organisasi dan pekerjaan yang berbeza namun kita terus gigih untuk memulihara alam sekitar kita.
Sebilangan daripada kita terus membantu memperkasakan masyarakat setempat untuk melindungi sumber semula jadi mereka. Sebahagian lain bekerjasama dengan industri berasaskan komoditi dalam meningkatkan tahap kefahaman mereka mengenai kelestarian.
Selebihnya pula, berusaha untuk memberikan panduan teknikal kepada pihak kerajaan dan industri demi untuk meningkatkan tahap kelestarian masing-masing.
Falsafah peribadi
Secara peribadi, pengajaran dari Balu telah menjadi sebahagian daripada falsafah bekerja saya.
Saya mendapati diri saya “mengajar setiap hari”, dengan menjelaskan perkara-perkara kepada orang-orang yang bukan pakar dalam bidang saya, dalam usaha untuk memberi kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu-isu di lapangan.
Saya tidak takut untuk mencuba pengalaman baru walaupun mungkin gagal, kerana saya tahu bahawa itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.
Dan dengan melalui perkara-perkara kecil inilah saya harap dapat berkongsi warisan yang kaya dan kekal seperti yang ditinggalkan oleh Balu kepada saya.
Bersemadilah dengan tenang, kawan. Kami tetap merinduimu.
[Disunting oleh SL Wong]
Ginny Ng adalah seorang ahli zoologi dan telah bekerja di bidang pemuliharaan alam sekitar selama 20 tahun di tiga sektor yang berbeza, terakhir sekali dalam industri komoditi.
Dylan Ong merupakan seorang pakar perunding dalam bidang perancangan dan interpretasi biodiversiti; beliau mempunyai pengalaman lebih dari 15 tahun sebagai perunding bagi pihak kerajaan, sektor swasta dan Badan Bukan Kerajaan.
Surin Suksuwan mempunyai 20 tahun pengalaman sebagai pengamal pemuliharaan biodiversiti dan pengamal kelestarian.
Chin Sing Yun dilatih dalam bidang perhutanan dan telah bekerja di bidang konservasi melebihi 20 tahun dalam pengurusan kawasan pemuliharaan, perancangan dan pelaksanaan pelbagai projek pemuliharaan.
Joanna Tang telah terlibat dalam pengurusan alam sekitar sebagai NGO, penasihat teknikal, penyelidik dasar kepada perunding selama 13 tahun. Dia sekarang adalah profesional teknikal di syarikat tenaga.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Macaranga.
Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.