Reklamasi: Gerbang kepada Bencana Ekologi
Penebangan hutan sering dianggap ancaman terbesar kepada ekosistem di Malaysia, tetapi reklamasi tanah turut berbahaya, meskipun dalam diam.
Penulis: Ashley Yeong
Penyunting: SL Wong
Penterjemah: Adriana Nordin Manan
Diterbit: September 29, 2022
Cerita ini sebahagian daripada Projek Khas #TanahAir Macaranga.
(Gambar utama: Adakah janji reklamasi selalu dikotakan? Sebuah contoh ialah Melaka Gateway yang terbengkalai, yang telah mengimpak nelayan Kristang | Foto oleh Ashley Yeong)
BERUKURAN sepanjang 33 km, kawasan yang diperkatakan meliputi hampir satu perempat pantai di Melaka. Ia antara projek penambakan terbesar dalam sejarah Malaysia. Diterajui pihak kerajaan negeri dan memiliki ikatan politik, projek Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) dijangka menambak kira-kira 10,117 ha pesisir pantai, keluasan hampir dua kali ganda Putrajaya.
Semenjak awal 1970-an, puluhan projek reklamasi telah membaham pantai di sepanjang pesisir pantai Malaysia yang berukuran 4,800 km, meningkatkan kebimbangan awam tentang kos kepada ekologi.
Ekosistem yang diliputi – merangkumi paya bakau, lumpur pantai, pantai berpasir, hutan pantai dan terumbu karang – mengandungi kepelbagaian bio dan memainkan peranan kritikal dalam ekosistem.
Impak minima
Pihak kerajaan negeri Melaka telah berjanji bahawa impak ke atas alam sekitar akan dikekalkan pada tahap minimum. Namun, penyokong pemuliharaan, pakar pembangunan, komuniti setempat dan ahli politik pembangkang tergamam melihat kerosakan yang disebabkan projek reklamasi berskala besar kepada ekosistem pantai dan marin di negeri itu.
Menurut mereka, projek pada skala sebegitu besar akan menyebabkan kerosakan ekologi yang tidak mungkin dipulihkan, korban demi keuntungan ekonomi yang wajar dipertikaikan. Ini menurut pengalaman pada projek-projek mirip yang lalu.
Beberapa Contoh Projek Reklamasi Tanah Terpilih di Malaysia (Ogos 2022)
Lapan tahun lalu di Melaka juga, Melaka Gateway, projek 546ha di pulau buatan manusia Pulau Melaka, mulanya digambarkan sebagai salah satu daripada projek strategik Inisiatif Jalur dan Laluan dari China, yang kelak menjadikan negeri Melaka pusat ekonomi tersohor.
Namun, tahun lalu kerajaan negeri Melaka menghentikan kontrak dengan tiba-tiba, selepas pihak kontraktor didapati gagal menyiapkan kerja pada tarikh yang dipersetujui. Melaka Gateway kini menjadi projek gajah putih, walaupun ada laporan menyatakan ia akan dibangunkan semula.
Dr Goh Hong Ching, profesor madya di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Malaya, berkata bahawa tanah reklamasi yang tidak dibangunkan adalah antara tanda perancangan pembangunan strategik yang lemah.
Manfaat kewangan
“Penilaian pembangunan lazimnya mengutamakan manfaat kewangan yang dibawa oleh projek pembangunan, berbanding penilaian keseluruhan yang mengambil kira kos alam sekitar dan sosial dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu ditanggung masyarakat,” kata beliau.
Goh mengetahui yang semua cadangan pembangunan disertai “kesan sampingan”. Namun, yang paling utama adalah memastikan sebarang keputusan yang diambil mengutamakan kepentingan awam.
“Masanya juga sudah tiba untuk mengambil maklum perspektif baharu serta langkah pemulihan dalam pendekatan lazim kita terhadap perancangan pembangunan, yang hanya bertumpukan dan dikuasai hitungan ekonomi.”
Macaranga telah cuba menghubungi M-WEZ untuk komen tetapi tidak menerima balasan.
DNA sama
Ada persamaan antara M-WEZ dan Melaka Gateway. M-WEZ, projek yang lebih besar daripada Melaka Gateway, berkongsi DNA dengan projek terdahulu itu yang kini terbengkalai.
Ketua pegawai eksekutif M-WEZ, Mohd Yusof Abu Bakar dilaporkan berkata yang apabila siap pada 10 atau 15 tahun akan datang, projek “game changer pembangunan” ini dijangka mencipta 10,000 pekerjaan baharu, menarik pelaburan sebanyak RM100 bilion dan menyumbang sebanyak 5% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka.
Namun, untuk para saintis dan orang awam yang terkesan, memastikan kelangsungan sistem ekologi yang berfungsi elok adalah sesuatu yang jauh lebih berharga.
Melonggokkan pasir di dasar lautan boleh meninggalkan kesan luarbiasa kepada alam sekitar, kata Affendi Yang Amri, pakar ekologi terumbu karang di Universiti Malaya.
“Pertama sekali, aliran permukaan berlebihan atau kerja-kerja reklamasi akan meninggalkan jumlah endapan yang banyak. Kedua, perubahan hidrodinamik juga akan berlaku.” Perubahan hidrodinamik merujuk kepada perubahan pada arus dan aliran air.
Kombinasi berbahaya
Kombinasi ini amat berbahaya untuk ekosistem marin, kata Affendi. Menurut beliau, kawasan yang sebelum ini mengalami aliran air perlahan mungkin bertukar kepada kawasan aliran deras selepas direklamasi. Endapan kemudian berkumpul atau mengalir kepada kawasan yang tidak sepatutnya.
Jika ini berlaku, terumbu karang di kawasan sekitar menjadi antara unsur pertama yang terjejas, jelas Affendi. Beliau telah menyelidik terumbu karang selama 27 tahun. “Jika karang diselaputi endapan, polip tidak dapat memanjangkan tentakel untuk mencapai sumber makanan. Jadi, karang akan mati kelaparan.”
Situasi ini membahayakan terumbu dan kesemua hidupan yang bergantung kepadanya. “Satu karang sebenarnya menyokong kehidupan lima atau enam spesies lain di terumbu. Jadi jika satu karang tiada, kesan berganda dapat dilihat di sepanjang rantai.
“Jika satu kawasan dimusnahkan, keterhubungan ekologi umumnya akan terganggu. Ini membawa kesan besar kepada industri perikanan dan bekalan makanan negara.”
Koridor binatang
Mungkin tidak ramai yang mengetahui, tetapi ‘lebuhraya mega’ perdagangan maritim di Selat Melaka merupakan habitat kepada kelompok rencam hidupan marin.
Ikan paus, ikan lumba-lumba, penyu dan dugong diketahui memperoleh makanan di perairan Selat Melaka, atau menggunakannya sebagai laluan migrasi.
Melaka Gateway sudah merosakkan kebanyakan kawasan Pulau Upeh, sebuah pulau kecil yang dahulu menjadi kawasan bersarang terbesar di Malaysia untuk spesies penyu sisik yang terancam. Bilangan pendaratan penyu dilaporkan menurun kepada 20 pada 2018, daripada 111 pada 2011. Populasi penyu dijangka pupus suatu masa nanti.
Pulau-Pulau Karang Melaka Bersebelahan dengan Reklamazi M-WEZ
Terumbu karang banyak dijumpai di Melaka juga, dan tumbuh mekar di sekitar 13 pulau di negeri itu. Ini termasuk 84 spesies karang keras, lebih kurang 19 spesies karang lembut, 67 spesies ikan terumbu karang dan 38 invertebrata akuatik kecil yang mendiami dasar laut.
Malah, Affendi dan sekumpulan pakar sains dari Jabatan Perikanan membuat penemuan menakjubkan pada 2018: lima spesies karang yang diklasifikasi sebagai rentan oleh IUCN.
Karang Rentan Melaka. ‘Hover’ di atas foto untuk baca nama karang masing-masing. Foto oleh Alvin Chelliah kecuali Euphyllia ancora, oleh Quek Yew Aun (ilustrasi, bukan semestinya daripada Melaka)
Penemuan seperti ini sangatlah penting. Pada Jun tahun ini, Jabatan Perikanan memutuskan untuk mewartakan tiga pulau – Pulau Dodol, Pulau Nangka dan Pulau Undan – sebagai taman marin terlindung.
Ini dilakukan sejajar dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan untuk meningkatkan kawasan darat dan marin yang kaya dengan kepelbagaian bio sehingga meliputi 10% kawasan negara menjelang 2025.
Namun, pulau-pulau ini terletak bersebelahan dengan projek penambakan M-WEZ, jarak yang cukup dekat untuk menerima impak longgokan pasir dan reklamasi, kata Affendi.
Terumbu istimewa
Ini semua memeranjatkan kerana terumbu karang di kawasan tersebut bukan sebarang terumbu. “Data sudah menunjukkan bahawa pertumbuhan karang di dan berhampiran Semenanjung Malaysia sudah semakin perlahan, akibat perubahan iklim.” Kebanyakan karang akan mati.
Namun demikian, beberapa karang di kawasan hanya 50 km ke utara Melaka, di Port Dickson, menunjukkan daya tahan yang lebih tinggi terhadap impak iklim. Ini mungkin menandakan bahawa perairan yang dikongsi dengan Melaka memiliki ciri istimewa yang dapat membantu ketahanan karang. Menggunakan istilah sains, mereka adalah refugia karang.
“Kami berasa kalau karang di Port Dickson lebih berdaya tahan, karang di Melaka juga sama,” kata Affendi.
Nilai terumbu
Namun, mampukah kewujudan karang menghentikan kerja reklamasi? Kehadiran spesies penyu terancam gagal menghentikan Melaka Gateway, misalnya.
Affendi mengiyakan, terutama sekali jika bakau turut terjejas.
“Kerosakan yang mungkin adalah jauh berbeza, kerana terumbu dan bakau ialah lokasi ribuan, atau mungkin ratusan ribu, spesies. Terumbu dan bakau mempunyai fungsi ekologi yang mengimpak kelompok [hidupan dan sistem] yang lebih luas jika dibandingkan dengan penyu, contohnya bekalan makanan dan perlindungan kawasan pesisir pantai.”
Fungsi yang berbeza
Fungsi sebegini termasuk mitigasi impak perubahan iklim seperti ribut; rekreasi; dan sumber pendapatan, kesemuanya perkara yang jarang diambil kira.
Dari perspektif ekonomi tempatan, reklamasi telah menghambat sektor penangkapan ikan tradisional untuk komuniti Kristang yang kecil dan hanya ditemui di Melaka.
Bekas nelayan Kristang dan pemimpin komuniti terkenal, Martin Theseira, berkata yang nelayan merupakan antara golongan pertama yang merasai impak alam sekitar.
Semuanya berubah
Pantai di Perkampungan Portugis, tempat bertolak nelayan dahulu kala ketika ke laut, kini berhadapan dengan lagun tertutup. Menara gergasi Melaka Gateway, yang kini semakin usang dan mereput, menghalang laluan terbuka ke laut serta pemandangan laut dan langit.
Pantai kini dipenuhi sampah sarap, bukan hidupan marin. Kebanyakan nelayan dan keluarga mereka sudah meninggalkan dunia penangkapan hasil laut.
“Ini bencana ekologi,” kata Theseira, menggeleng kepala sebagai tanda tidak setuju. “Reklamasi dah menyebabkan kerosakan yang tidak boleh dipulih, ke atas alam sekitar, komuniti pantai dan sumber marin yang diperlukan untuk kelangsungan hidup.”
Dihimpit Kesukaran: Komuniti Nelayan Melaka
sebuah karangan foto
Berdiri di jeti, Theseira menunjuk kepada kelompok-kelompok kecil pokok dan pucuk bakau yang gigih bertahan. Bakau memainkan peranan penting bagi mengekalkan kepelbagaian bio pantai. Hutan menjadi habitat untuk anak-anak ikan yang kemudian mendiami lautan luas, serta udang geragau yang menjadi ramuan utama belacan unik Melaka.
Pakar ekologi bakau, Dr Ahmad Aldrie Amir, berkata dengan tegas: “Tindakan reklamasi hutan bakau ialah hukuman mati terang-terangan untuk ekosistem.”
Beliau menerangkan yang kelompongan kecil di kanopi paya bakau mungkin mengambil 25—30 tahun untuk pulih. Seluruh ekosistem paya bakau yang dicabut dan diruntuhkan pula mungkin memerlukan ratusan tahun.
Penghalang hakisan
Selain itu, peranan penting bakau dalam menghindar hakisan pantai juga terjejas. Risiko hakisan pantai bertambah disebabkan paras laut yang meningkat serta ombak yang lebih kuat disebabkan krisis iklim. Kawasan reklamasi khususnya, terdedah kepada risiko hakisan.
Sebelum ini, dilaporkan yang hakisan sudah berlaku di 11% pantai di Malaysia, menurut Indeks Kerentanan Pantai Kebangsaan di Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara.
Menjelang 2030, 20,000 ha kawasan pantai dan penduduk yang mendiaminya dijangka terjejas oleh paras laut yang meningkat, manakala 123,000 ha kawasan mempunyai risiko dilanda tsunami.
Menanangi tsunami
Gempa bumi dan tsunami di Lautan Hindi pada 2004 menyebabkan kehilangan suku juta nyawa di seluruh dunia, di mana 52 korban nyawa dicatatkan di Pulau Pinang. Bakau diumumkan penghalang ombak tsunami yang berkesan. Namun, reklamasi di seluruh Malaysia sedang giat mengganti tempat ekosistem penyelamat nyawa ini.
Seperti senario di Melaka, Johor mengumumkan projek reklamasi Maharani Energy Gateway meskipun projek reklamasi yang lalu, Forest City, kini dikenali sebagai bandar tanpa penghuni. Setiap projek berukuran hampir satu perempat saiz Putrajaya. Untuk projek baharu, bakau, nelayan dan pantai rekreasi setempat akan disisihkan.
Di utara semananjung, kerajaan negeri Pulau Pinang baru menyerahkan sekali lagi EIA untuk projek Reklamasi Selatan Pulau Pinang yang berukuran lebih kurang separuh Putrajaya, dan kini tekad mengambil hati kelompok nelayan yang terjejas. EIA pertama yang diserahkan diketepikan oleh Jabatan Alam Sekitar.
“Reklamasi tanah itu langkah yang mudah, tapi jika (projek) gagal, huru-hara yang tercetus tiada kesudahan. Semua orang tak tahu apa yang boleh dilakukan,” kata perancang bandar, Ahmad Jefri Clyde.
Sudah ada kos yang terpaksa ditanggung. Ini termasuk kehilangan kepelbagaian bio yang kritikal, kerosakan ke atas perkhidmatan ekosistem dan berakhirnya sumber pendapatan tradisional, dalam kerangka luas makanan dan sekuriti sosial serta keliutan dalam menghadapi krisis iklim.
Kemaskini:
1.11.22 @ 12.39pm: Fakta ini diperbetulkan: Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan bertujuan meningkatkan kawasan darat dan marin yang kaya dengan kepelbagaian bio sehingga meliputi 10% dan bukannya 30% kawasan negara menjelang 2025.
30.9.22 @ 12.30pm: Ayat ini ditambah: “Macaranga telah cuba menghubungi M-WEZ untuk komen tetapi tidak menerima balasan.”
Artikel ini sebahagian #TanahAir, Projek Khas Macaranga.
Penerbit siri: SL Wong
Pengarang: Law Yao Hua dan Masjalizah Hamzah
Penulis: Lee Kwai Han, Ashley Yeong dan Ushar Daniele
Penterjemah: Adriana Nordin Manan dan Mun Yee San & pasukan
Read: Reclamations Gateway to Ecological Disaster