Corals in Mukut, Tioman (Alvin Chelliah)

Seribu Satu Cara Melindungi Lautan

Rantau Abang, Miri-Sbuti dan Sipadan adalah kawasan perlindungan pantai dan marin yang memainkan pelbagai peranan. Kini, bilangan kawasan perlindungan kian bertambah seiring dengan peningkatan usaha perlindungan oleh Malaysia.

Penulis: SL Wong

Pengarang: YH Law

Peta: Lee Kwai Han

Penterjemah: Adriana Nordin Manan

Diterbit: November 20, 2023

Cerita ini sebahagian siri #SeaWorld Macaranga.

(Gambar utama: Terdapat pelbagai manfaat Kawasan Lindungan Marin, termasuk perlindungan terumbu karang seperti di Tioman |  Foto oleh Alvin Chelliah/Reefcheck Malaysia)

MALAYSIA berusaha keras untuk meningkatkan bilangan kawasan perlindungan bio-pelbagai pantai dan marin (MPA) menjelang 2025. Sarawak mewartakan laut di sepanjang pantai negeri sepanjang 750 km sebagai kawasan perlindungan marin.

Melaka kini mempunyai 3 taman marin manakala di Johor, ada 13. Sabah adalah Tapak Senarai Hijau IUCN, diselia menurut penanda aras sedunia dalam pengurusan kawasan terlindung.

Kesemua perkembangan ini berlaku sepanjang 2 tahun kebelakangan ini.

Sasaran 10%

Matlamat yang ditetapkan adalah melindungi sekurang-kurangnya 10% keseluruhan kawasan tanah dan marin negara, seiring dengan Dasar Kepelbagaian Bio Kebangsaan dan Konvensyen Antarabangsa Kepelbagaian Bio yang telah ditandatangani Malaysia.

Buat masa ini, Malaysia hanya melindungi 5% kawasan lautan negara. Untuk mencapai matlamat, negara sedang menambahkan keluasan dan memperkukuhkan kawasan MPA.

Ini bukanlah usaha menyedapkan hati tanpa asas. Melindungi pantai dan lautan membawa pelbagai manfaat untuk alam sekitar, ekonomi, masyarakat dan budaya (lihat infografik).

Laut adalah kunci kepada kesihatan Bumi dan manusia. Plankton lautan membekalkan separuh keperluan oksigen planet. Pada masa yang sama, lautan meresap 25% karbon dioksida dan merupakan kawasan tadahan karbon terbesar di muka bumi.

Ekosistem pesisir pantai dan marin memastikan lautan seimbang dan berperanan sebagai benteng semulajadi yang penting dalam meresap impak perubahan iklim.

Melindungi kawasan ini mengukuhkan bekalan makanan dan mata pencarian untuk komuniti pesisir pantai, khususnya golongan berpendapatan rendah. Ini menjadi kunci kepada perubatan, kearifan manusia dan warisan budaya.

Hutan bakau seperti yang ini di Taman Negara Bako, Sarawak mencegah hakisan tanah dan meresap lebih banyak karbon berbanding hutan hujan (Foto: SL Wong)

Kertas posisi berkaitan Ekonomi Biru yang diterbitkan baru-baru ini oleh Akademi Sains Malaysia menyeru pembangunan lestari sektor ekonomi marin dan maritim.

Meletakkan nilai sektor-sektor ini sebanyak RM288 bilion, kertas tersebut menyatakan Malaysia harus membangunkan sektor berkenaan kerana negara “telah lama tertinggal di belakang negara tetangga dari segi produktiviti ekonomi”.

Sektor yang diketengahkan adalah pengangkutan maritim, pelabuhan dan perkhidmatan berkaitan; perkhidmatan ekosistem lautan; dan pengurusan perubahan iklim.

Untuk dipertimbangkan

Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan apabila mengurus kawasan pesisir pantai dan laut. Ini merangkumi perikanan dan kepelbagaian bio, perkapalan, keselamatan dan sebagainya.

Oleh itu, kawasan perlindungan mesti diberi klasifikasi yang berbeza bagi memenuhi keperluan tertentu. Misalnya, zon larangan menangkap ikan ataupun zon pelbagai guna yang membenarkan kegiatan perikanan, rekreasi dan aktiviti lain.

Untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, pelbagai undang-undang dan peraturan peringkat persekutuan dan negeri digunapakai. Di Malaysia, tiada badan khusus yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia kawasan perlindungan.

Sebaliknya, himpunan pelbagai agensi yang terlibat mencerminkan sistem pemerintahan federalisme yang diamalkan di Malaysia dan yang merangkumi tiga wilayah – semenanjung, Sabah dan Sarawak. (lihat peta)

Jelajahi peta untuk melihat lokasi MPA di Malaysia, undang-undang yang mewartakan kewujudan MPA, dan badan kawal selia yang dipertanggungjawabkan. MPA yang dipaparkan merangkumi kawasan pesisir pantai dan marin yang dilindungi bawah undang-undang negara. Sumber primer maklumat adalah Enhancing Uptake of Nature-Based Solutions for Informing Coastal Sustainable Development Policy and Planning: A Malaysia Case Study (Chee et al, 2021). Klik di sini untuk nota terperinci berkaitan peta ini.

Bidang kuasa yang bertindih mengelirukan situasi, tetapi turut menawarkan peluang untuk kerjasama. Bagi mengukuhkan pengurusan dan fungsi MPA, barisan pakar mengesyorkan pelbagai langkah diambil.

Tadbir urus dan pengurusan

Sistem perpisahan persekutuan-negeri menjejaskan keputusan dan pengurusan MPA.

“Semua orang sedia maklum tentang isu yang bertindih berkaitan persoalan bidang kuasa,” ujar Affendi Yang Amri, pakar ekologi terumbu karang di Universiti Malaya. “Jadi, kita perlu melihat isu ini dari aspek keseluruhan, bukan dari satu negeri sahaja.”

Menggunapakai Dasar Lautan Negara mungkin boleh menjadi penyelesaian, sama seperti menghidupkan semula Direktorat Oseanografi Kebangsaan di Kementerian Alam Sekitar, unit yang telah membangunkan dasar dengan kerjasama barisan pemegang taruh.

Namun begitu, sokongan dari pihak kerajaan negeri amat perlu untuk memastikan keberkesanan dasar dan rancangan marin persekutuan, ujar Kevin Hiew. Beliau adalah mantan ketua jabatan perikanan Johor serta ketua Jabatan Taman Marin di peringkat persekutuan selama 8 tahun, mengawal selia taman marin di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Libatkan kerajaan negeri

“Perlu ada sesi libat urus di setiap negeri. Jika boleh, libatkan Menteri Besar.” Satu cadangan adalah untuk bergerak dalam kerangka Lembaga Tanah Negara, badan tertinggi berkaitan penggunaan tanah dalam negara dan dipengerusikan Perdana Menteri.

Alternatif di luar lingkungan kerajaan juga boleh dipertimbangkan. MPA yang disenaraikan di Senarai Hijau IUCN pertama di Malaysia, Kawasan Konservasi Marin Kepulauan Sugud (SIMCA) di Sabah, diwartakan sebagai Kawasan Konservasi dan terletak bawah tadbir urus swasta.

“Syarikat tidak bermotifkan keuntungan” yang dilantik kerajaan negeri 2 dekad lalu berfungsi mirip agensi kerajaan. Tanggungjawabnya pemuliharaan habitat, pelancongan dan penguatkuasaan bersama. Penyenaraian IUCN pada 2022 mengiktiraf usaha konservasi dan tadbir urus baik syarikat.

SIMCA ialah MPA bawah tadbir urus swasta yang telah memenangi anugerah dan berjaya meningkatkan populasi penyu melalui semakan ke atas kegiatan pengeboman ikan (kiri) (Foto: Reef Guardian)

Umumnya, pemuliharaan biologi perlu ditekankan dan bukan rekreasi, kata Hiew. “Untuk pengurusan marin, habitat seperti terumbu karang, kukup lumpur, pokok bakau, kawasan berbatu-bata dan rumput laut sangat penting untuk tujuan perikanan.”

Sisi sosioekonomi juga tidak boleh dipandang enteng, ujar beliau dengan nada kesal atas dasar larangan memancing yang berkuatkuasa di Taman Marin.

“Bergantung kepada lokasi, kita perlu mengambil kira situasi penduduk setempat, katakan nelayan tradisional setempat yang menggunakan 2 – 3 joran sahaja.

“Melindungi kawasan marin bermaksud ia boleh menjadi kawasan kaya dengan kepelbagaian bio serta ikan, jadi mereka patut dibenarkan memancing menggunakan peralatan tradisional. Tak ada mudarat kepada terumbu karang.”

Hiew turut mengesyorkan undang-undang lebih ketat berkaitan taman marin, supaya “pegawai boleh menjalankan tugas penguatkuasaan dengan lebih telus; misalnya, mereka boleh merangka peraturan terperinci tentang kelajuan bot laju yang membawa pelancong ke taman marin.”

Penglibatan komuniti setempat

Barisan pakar yang diwawancara turut menekankan peri penting melibatkan komuniti setempat dalam pengurusan lautan. “Laut adalah milik semua dan pada masa yang sama, bukan milik sesiapa pun,” kata pakar konservasi bio budaya, Dr Jarina Mohd Jani dari Universiti Malaysia Terengganu.

“Tapi pihak yang paling layak mentadbir urus kawasan sepunya ini adalah mereka yang menggunakan sumber dari kawasan yang diperkatakan. Penyelidik dan teknokrat sebaik-baiknya memainkan peranan sebagai penasihat.”

Kini, terlihat lebih banyak komuniti yang terlibat dalam pengurusan MPA.

Penglibatan dari mula

Di Sabah, komuniti setempat terlibat dalam perjalanan 30 tahun untuk menjadikan Taman Tun Mustapha kenyataan. MPA diwartakan yang kedua terbesar dalam negara, ia meliputi hampir 9,000 km persegi terumbu karang, pokok bakau, pulau dan pesisir pantai.

Kelolaan kerajaan negeri, ia juga merupakan taman pelbagai guna yang pertama di Malaysia, dengan agihan zon untuk tujuan pemeliharaan, penggunaan komuniti, pelbagai kegunaan dan perikanan komersil. Pihak taman masih menjalinkan perhubungan dan menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti setempat seramai 80,000 orang.

Masyarakat Orang Asli

Di Selangor pula, Jabatan Perikanan Malaysia (DOFM) sedang mendalami konsep ICCA, terma yang merujuk kepada wilayah dan kawasan yang dipelihara oleh masyarakat pribumi dan komuniti setempat.

Ini merupakan kali pertama agensi tersebut sedang meneliti rangka kerja ICCA di Malaysia. Kajian perintis DOFM melibatkan dokumentasi sektor perikanan yang diterajui komuniti Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey.

Di Pahang, Kumpulan Konservasi Marin Tioman dan Reefcheck Malaysia (RCM), sebuah NGO, bekerjasama dengan DOFM dalam program Reef Care, di mana komuniti setempat diberi sebahagian tanggungjawab pengurusan.

“Penduduk setempat sepatutnya dilantik ke lembaga yang membuat keputusan supaya mereka dapat menyumbang suara kepada perkembangan semasa, kepada penggubalan dasar,” kata Hiew, ahli lembaga pemegang amanah RCM. “Sekarang, semua diturunkan dari peringkat atas ke bawah. Sepatutnya semua orang perlu diberi hak membuat keputusan [demi pulau kediaman mereka].

“Dengan cara ini, barulah kita akan dapat tahu masalah yang dihadapi para nelayan. Merekalah komuniti yang terkesan secara langsung, bukan kakitangan kerajaan yang duduk di pejabat tanpa tahu menahu apa yang berlaku di laut dan sektor pelancongan, salah satu sumber pendapatan untuk rakyat dan negara.”

Penduduk setempat sepatutnya lebih terlibat dalam pengurusan: penduduk Pulau Tioman di sesi taklimat berkaitan projek lapangan terbang yang kini telah dibatalkan (kiri) dan para pengemudi bot di Terengganu bertungkus lumus untuk melalui kawasan tebing pasir selepas monsun (Foto: Alvin Chelliah/RCM dan SL Wong)

Jaringan MPA

Satu lagi syor yang diutarakan adalah untuk membina jaringan sesama MPA.

“Setiap MPA yang kecil menawarkan tahap perlindungan yang tertentu, tetapi dapatan saintifik menunjukkan bahawa melindungi kawasan yang lebih besar membawa kepada tahap perlindungan yang lebih baik secara keseluruhan,” kata Julian Hyde, pengurus besar RCM. 

Ini kerana hidupan marin, dari penyu ke ikan jerung dan larva karang, bergerak melampaui batas taman. Larva khususnya adalah sangat penting untuk membentuk terumbu di kawasan cetek antara pulau, kawasan yang Hyde memanggil “terumbu tersorok”.

Affendi, penyelidik bersama hal ini bersama RCM, bersetuju. “Sekarang, ada taman marin di timur laut dan tenggara pantai timur. Yang mana satu sumber [hidupan marin] dan mana satu kawasan teduhan? Sebab kedua-dua taman saling membekalkan sumber.”

Oleh itu, kawasan laut yang lebih besar perlu dilindungi, kata Hyde. “[Jika tidak], ada risiko kerosakan, misalnya oleh kegiatan menangkap ikan dan pembangunan pantai, lalu mengganggu koridor jaringan dan kemudian, rantaian bekalan semula [terumbu karang].”

Kawasan perlindungi marin yang besar

Di Borneo pula, Sarawak sedang menghubungkan MPA sepanjang pantai negeri dengan mewartakan laut seluas 1,600 km persegi. Kawasan baharu ini menjejaki lokasi bola terumbu karang (reefballs) yang telah ditanam di dasar laut sejak 1998.

Terdapat matlamat berganda. Yang utama adalah untuk mencegah kapal pukat tunda daripada menangkap ikan secara terlampau di perairan Sarawak dan menjejaskan mata pencarian nelayan kecil-kecilan.

Namun, bola terumbu karang turut memainkan peranan sebagai substrat untuk pertumbuhan karang dan kawalan hakisan.

Apabila seluruh kawasan diwartakan, MPA yang terhasil akan menjadi MPA terbesar, jauh lebih besar daripada MPA lain.

MPA baharu di Sarawak seluas sejuta hektar akan memelihara hidupan liar dari timur [kiri] ke barat [kanan] (Foto: Lau Chai Ming)

Rangka kerja dan data

Rangka kerja seperti Solusi Berasaskan Alam Sekitar (Nature Based Solutions) dan Karbon Biru menawarkan peluang untuk memperluaskan, memperkukuhkan dan membiayai perlindungan habitat pantai dan marin, menurut Cheryl Rita Kaur, penganalisis kajian marin di Institut Maritim Malaysia.

“Sudah ada usaha oleh beberapa pemegang taruh [untuk] memelihara ekosistem kita. Tapi dengan kewujudan mekanisme [sebegini], tekanan yang diberikan meningkat secara positif.”

Perlindungan kolektif ekosistem yang terlibat wajar dipertimbangkan. Tsunami yang melanda Malaysia 20 tahun lalu menyuluh perhatian kepada peranan penting paya bakau sebagai benteng pantai.

Dengan perubahan iklim, pokok bakau serta rumput laut dan terumbu karang semakin penting sebagai kelengkapan mitigasi terhadap peningkatan paras air laut selepas ribut, dan fenomena peningkatan paras air laut amnya yang meningkatkan hakisan pantai, membanjiri kawasan pantai dan merosakkan infrastruktur.

Pada masa yang sama, perlu ada usaha mengkaji dan mendokumentasi hidupan laut yang terdapat di kawasan tumpuan serta mengenalpasti yang mana perlu diutamakan dalam sebarang usaha perlindungan, tambah Affendi.

Sebagai contoh, taman marin wartaan DOFM yang terbaru di Malaysia (2022) melindungi spesies karang yang berpotensi memiliki daya tahan tinggi terhadap perubahan iklim.

“Selat Melaka sangat keruh, namun terumbu di sini tumbuh mekar,” kata beliau. “Ini mungkin menunjukkan bahawa terumbu ini [mempunyai] ciri sama seperti terumbu yang terletak hanya 50 km ke utara Melaka, di Port Dickson.

“Kami berpendapat sekiranya karang di Port Dickson dianggap berdaya tahan tinggi, yang di Melaka pun sama. Ini mungkin menunjukkan bahawa perairan yang dikongsi dengan Melaka ada ciri tertentu yang boleh membantu kesinambungan terumbu karang.”

Potensi pulau-pulau Selat Melaka

Beberapa tahun kebelakangan ini, DOFM mengkaji tapak cadangan MPA di Selat Melaka.

“Kami telah mengumpul data di pantai barat semenanjung untuk menentukan kawasan yang diklasifikasikan ekologi bio pelbagai dan sensitif,” kata Izarenah Md Repin dari bahagian konservasi dan perlindungan perikanan DOFM.

“Kami ingin tahu lokasi habitat penting, yang dianggap kritikal dan memerlukan perlindungan. Selat Melaka sangat istimewa: kecil dan sempit tetapi berproduktiviti tinggi – dan ini termasuk pokok bakau.

“Ia juga lokasi di mana habitat yang ada perlu bersaing dengan pembangunan pesat seperti penambakan dan perlombongan pasir. Kami tidak menentang pembangunan tetapi memerlukan data untuk memastikan jika ada pembangunan, langkah-langkah mitigasi yang sewajarnya turut diambil.

Tiga taman laut baharu di Melaka adalah hasil tinjauan DOFM di Melaka dan Negeri Sembilan. Tahun ini, DOFM di fasa akhir kajian di Selangor dan menjalankan tinjauan di Perak.

Taman laut Melaka baru melindungi karang kipas Gorgonian [kiri]; nelayan Mah Meri menangkap ikan di perairan tempatan di Selangor, untuk makanan dan pendapatan [kanan] (Foto oleh Quek Yew Aun [kiri] dan SL Wong [kanan])

Makanan untuk semua

Melindungi kawasan pantai dan laut melindungi manusia, pekerjaan, warisan dan kesihatan. Dengan tahap konsumsi makanan laut yang kesembilan terbesar di dunia, penduduk Malaysia menitikberatkan pemakanan ikan.

Namun mereka kurang mengambil tahu dari mana datangnya ikan yang dimakan, atau cara penangkapan. Sebenarnya ini yang perlu dititikberatkan, kata Jarina, terutama sekali apabila memakan ikan yang ditangkap di perairan dalam negara.

Di sini juga MPA memainkan peranan, kata Hiew. “Jika kita lindungi semua habitat [marin], ini juga dikira langkah pengurusan perikanan, dan kita tak akan kehilangan ikan bilis, tenggiri, bawal putih, kerapu…semua yang kita gemar hidangkan di meja makan.”

Segi tadbir urus

Dari segi tadbir urus, Cheryl menyatakan bahawa “ada penekanan daripada kerajaan persekutuan berhubung beberapa keutamaan [dalam bidang pengurusan marin] untuk negara. Kerjasama antara kerajaan negeri sangat penting untuk merealisasikan rancangan kerajaan persekutuan…

“Jika [pihak kerajaan negeri] ada keutamaan berbeza, sukar untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.”

Seiring dengan ini, kerajaan yang stabil amat diperlukan. “Apabila Kementerian dan agensi berubah mengikut perubahan politik…impaknya terasa. Apabila kementerian bertukar, keutamaan, fokus dan mandat turut bertukar – jadi semakin sukar untuk kita bertanya, adakah hala tuju yang dahulu masih sama?”

Cerita ini sebahagian daripada siri #SeaWorld Macaranga. Siri ini disokong oleh Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur. Baca juga:

Kisah Nenek Moyang Boleh Menyelamatkan Perairan Kita  |  Kubu Alam Semula Kunci Mengharungi Ribut Badai  |  Pencarian Segera untuk Super Karang Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Email
Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Be A Macaranga Supporter

Like our stories?

You can help us do more.
Sign up to be a Macaranga Supporter by 21 Aug for extra goodies!