Tebang, Tarah, Tebas: Perginya Hutan Besar

Bagaimana penyahwartaan terbesar hutan dalam tempoh dua dekad mengubah alam sekitar, ekonomi dan komuniti

Penerbit/Penulis: YH Law

Penterjemah: Adriana Nordin Manan

Penyunting: SL Wong

Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network, Pulitzer Center

Tarikh diterbitkan: 22 April 2022

(Hutan ditebang untuk ladang kelapa sawit di Jemaluang, Johor | Video oleh IMR Kreatif)

Tebang, Tarah, dan Tebas: Perginya Hutan Besar

Bagaimana penyahwartaan terbesar hutan dalam tempoh dua dekad mengubah alam sekitar, ekonomi dan komuniti

Penerbit/Penulis: YH Law

Penterjemah: Adriana Nordin Manan

Penyunting: SL Wong

Diterbitkan dengan kolaborasi Rainforest Investigations Network, Pulitzer Center

Tarikh diterbitkan: 22 April 2022

(Hutan ditebang untuk ladang kelapa sawit di Jemaluang, Johor | Video oleh IMR Kreatif)

Versi ini diterjemahkan daripada versi Inggeris yang diterbitkan 21 September 2021. Perkembangan selepas penerbitan tidak dikemas kini dalam artikel ini.

Dahulu, Hutan Simpan Jemaluang dan Tenggaroh terbentang sepanjang pesisir timur laut Johor. Hutan berjiran, kedua-duanya meliputi kawasan sepanjang 25km dan seluas 11 km. Tahun ini, hutan simpan Jemaluang sepatutnya mencecah usia 98 tahun manakala hutan simpan Tenggaroh pula, 70 tahun.

Namun, enam tahun yang lalu pada Disember 2014, kedua-dua hutan telah dinyahwartakan oleh kerajaan negeri Johor. Kawasan yang dinyahwartakan seluas 15,011 hektar, menjadikan keputusan tersebut penyahwartaan hutan simpan sekali berlaku yang terbesar di Semenanjung Malaysia sejak 2000.

Penyahwartaan pada 2014 menyusul daripada tindakan serupa dua tahun sebelumnya, bagi kawasan seluas 2,619 ha di Tenggaroh. Ini bererti Jemaluang dan Tenggaroh sudah kehilangan sebanyak 17,630 ha hutan simpan.

Macaranga menggunakan 17,511 ha sebagai hitungan luas kawasan keseluruhan hutan simpan Jemaluang dan Tenggaroh, sebelum penyahwartaan bermula pada 2012.

Walaubagaimanapun, kami sedia maklum bahawa terdapat percanggahan maklumat luas kawasan hutan simpan Jemaluang dan Tenggaroh yang dilaporkan dalam laporan tahunan Jabatan Perhutanan Negeri Johor, berbanding warta negeri Johor.

Data laporan tahunan Jabatan Perhutanan

Jemaluang, 2012: 5,208.85 ha

Tenggaroh, 2012: 12,302.29 ha

Jumlah keseluruhan pada 2012 = 17,511.14 ha

 

Data penyahwartaan di warta negeri Johor

Jemaluang, 2014: 8,094 ha dinyahwartakan

Tenggaroh, 2014: 6,917 ha dinyahwartakan

Keseluruhan kawasan dinyahwartakan pada 2014 = 15,011 ha

Data warta negeri Johor mencadangkan bahawa sebanyak 2,500 ha kawasan hutan simpan masih terdapat di Jemaluang dan Tenggaroh.

Namun, kawasan hutan simpan ini tidak disenaraikan dalam laporan tahunan selepas 2014, bermaksud kedua-dua hutan simpan tersebut sudah dinyahwartakan sepenuhnya pada 2014. Tiada sebarang tambahan kawasan hutan simpan selepas itu.

Lebih menghairankan, warta negeri Johor mengumumkan penyahwartaan kawasan seluas 83 ha di hutan simpan Tenggaroh pada 18 Mac 2021.

Sepatutnya, hutan simpan Tenggaroh tidak lagi wujud selepas dinyahsenaraikan dari laporan tahunan jabatan perhutanan negeri pada 2015.

Jabatan Perhutanan Negeri Johor tidak menjawab pertanyaan kami.

Sebahagian tanah yang dinyahwartakan dijadikan hakmilik persendirian. Sebahagian tanah yang tidak diketahui keluasan dimiliki Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sekitar 21% hutan sudah ditebang untuk mendirikan ladang kelapa sawit dan lombong emas – kesemuanya di atas tanah milik Sultan Ibrahim.

Pada 2020, Macaranga menerbitkan rencana berkenaan satu daripada hutan tersebut —Jemaluang — di laporan Forest Files kami, bagi menggambarkan bagaimana keputusan dari pihak atasan untuk menyahwartakan dan menebang hutan simpan boleh memudaratkan komuniti setempat.

Penduduk Jemaluang sudah lama menanggung kerugian ekonomi oleh pencerobohan gajah yang berkeliaran dari hutan berhampiran, di mana sebahagian kawasan sudah ditebang. Mereka berharap pihak kerajaan kelak bertindak menghentikan pembasmian hutan.

Namun, setahun selepas lawatan kami, dijangkakan lebih banyak kawasan di hutan tetangga, Tenggaroh, akan ditebang. Kini terdapat sekurang-kurangnya tiga cadangan projek untuk menukarkan sebanyak 24% kawasan hutan kepada ladang dan lombong.

Satu demi satu, projek ini akan mencantas dan menebang satu daripada hutan hujan pesisir utuh yang terakhir di Semenanjung Malaysia. Apakah impak yang dibawa dan jika ada pihak yang menerima ganjaran, siapakah dia?

Seratus tahun perubahan hutan simpan

Hutan simpan Jemaluang diwartakan oleh kerajaan negeri Johor pada 1 Oktober 1923, manakala Tenggaroh pula pada 8 November 1951.

Hutan simpan tersebut tidak lagi tersenarai dalam laporan tahunan Jabatan Perhutanan Johor pada tempoh 2015–2019, perkembangan yang menandakan kedua-dua hutan telah dinyahwartakan sepenuhnya menjelang 2014.

A scanned copy of the gazette notice in 1923 that established the Jemaluang forest reserve, then called Jembaluang. (Courtesy of Sinar Project)

Beberapa tahun kemudian, kawasan hutan simpan tersebut berubah secara mendadak, selepas pihak pemaju membangunkan tanah milik Sultan Ibrahim. (Rujuk Peta di bawah)

Pada November 2016, pembalak mula menebang pokok di bahagian utara. Imej satelit menunjukkan sebidang tanah seluas 2,190.49 ha (PTD 1814) ditebang sepenuhnya pada Disember 2018, digantikan dengan tanaman kelapa sawit.

Pihak pemaju adalah AA Sawit Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki 51% oleh Sultan Ibrahim. Anak Tuanku Sultan iaitu Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, adalah salah satu daripada dua pengarah syarikat.

Kemudian pada 2017, 43 ha tambahan di bahagian selatan ditebang untuk memberi laluan kepada lombong emas. Dan selepas itu pada Jun 2018, sebuah syarikat lain, Nadi Mesra Sdn Bhd, mula menarah sebidang tanah seluas 2,125.17 ha (PTD 217) untuk dijadikan ladang kelapa sawit. Menjelang Ogos 2021, sekitar 73% tanah tersebut sudah ditebang botak.

Baki hutan hanya menunggu masa untuk ditimpa nasib sama.

Pada 17 Ogos lalu, Nadi Mesra Sdn Bhd menghantar laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) untuk sebuah projek ladang seluas 2023.72 ha (di PTD 216) di hutan itu. Ini merupakan percubaan ketiga untuk projek yang sama, selepas kedua-dua percubaan terdahulu ditolak.

Pada November, Nadi Mesra akan memfailkan laporan EIA yang lain, kali ini untuk ladang seluas 2245.3 ha (di PTD 218), Macaranga dimaklumkan oleh perunding EIA yang terlibat.

Cadangan ketiga pula menyasarkan simpanan emas yang terbenam di dasar hutan. Southern Alliance Ltd, sebuah syarikat yang disenaraikan di Singapura, menjadi rakan niaga Sultan Ibrahim untuk melombong emas di tapak itu.

Southern Alliance dan Nadi Mesra diterajui orang yang sama – Pek Kok Sam, warganegara Malaysia.

Macaranga cuba menghubungi kesemua pihak yang terlibat. AA Sawit tidak membalas permintaan untuk ditemuramah. Nadi Mesra enggan mengulas, menyatakan risiko diberi amaran oleh “tuan tanah” (iaitu Sultan Ibrahim) jika bertindak demikian.

Macaranga tidak berjaya menghubungi Sultan Ibrahim untuk memperoleh sebarang ulasan. Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor yang dipertanggungjawabkan mengurus saluran komunikasi rasmi Tuanku tidak menjawab permintaan untuk ditemuramah.

Di tiga bahagian yang menyusul dalam rencana ini, kami menjelaskan bagaimana projek pembalakan, perladangan dan perlombongan di Jemaluang dan Tenggaroh telah dan kelak menjejaskan hutan, hidupan liar dan tumbuhan, ekonomi serta komuniti setempat.

A 2,190 ha oil palm plantation developed by AA Sawit in part of the excised Jemaluang forest reserve, Johor. The remaining Jemaluang forest stretches south of the plantation. (Photo taken 12 September 2021 by IMR Kreatif)
Sebuah ladang kelapa sawit seluas 2,190 ha yang dimajukan oleh AA Sawit di sebahagian kawasan yang dinyahwartakan di hutan simpan Jemaluang, Johor. Baki kawasan hutan Jemaluang meliputi kawasan di selatan ladang. (Gambar diambil pada 12 September 2021 oleh IMR Kreatif)

Hutan

Semakin banyak pemaju berkerumun di hutan Jemaluang dan Tenggaroh, wajar ditanya jika manfaat yang diperoleh melebihi kerugian, dan untuk siapa?

Hutan Jemaluang dan Tenggaroh tergolong dalam kategori hutan dipterokarpa dan hutan paya air tawar yang unik, Macaranga dimaklumkan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Hutan jenis ini “sangat jarang ditemui di Semenanjung Malaysia, dan kebanyakannya terbatas kepada kawasan tanah rendah di pantai timur.”

Hutan pesisir tanah rendah sepertinya menjadi lokasi biodiversiti tertinggi di Malaysia, ujar seorang pakar ekologi yang telah mengkaji kawasan berkaitan selama dua dekad. Beliau meminta identiti dirahsiakan.

Disebabkan hutan sebegini dianggap paling senang ditebang dan menawarkan pulangan paling lumayan, kawasannya menyusut dengan mendadak di Malaysia. “Di Johor masih ada kawasan hutan yang luas. Bagi saya, hutan ini berharga dan usaha menyelamatkan perlu ditingkatkan,” ujar beliau.

Beliau menambah bahawa tindakan menebang hutan Jemaluang dan Tenggaroh menggugat usaha menyeluruh pemeliharaan hutan di Semenanjung Malaysia.

Kerajaan persekutuan berikhtiar mendirikan Central Forest Spine (CFS) – rangkaian hutan yang bersambung dari utara ke selatan Semenanjung Malaysia.

Hutan Jemaluang dan Tenggaroh menjadi sebahagian kluster selatan CFS. Satu daripada ‘koridor sekunder’ (SL4 di imej di bawah) kelak menghubungkan Jemaluang dan Tenggaroh kepada kawasan hutan utama. Kehidupan binatang bakal dipertingkatkan di habitat yang jauh lebih besar.

Jaringan Koridor ‘SL4’ dirancang untuk menghubungkan hutan Jemaluang dan Tenggaroh kepada rangkaian hutan utama melalui pelan Central Forest Spine. (Diagram dari Rancangan Fizikal Negara 3, 2015)
Jaringan Koridor ‘SL4’ dirancang untuk menghubungkan hutan Jemaluang dan Tenggaroh kepada rangkaian hutan utama melalui pelan Central Forest Spine. (Diagram dari Rancangan Fizikal Negara 3, 2015)

Namun, perkembangan di hutan Jemaluang dan Tenggaroh menimbulkan kemusykilan terhadap fungsi yang dirancangkan dalam Central Forest Spine.

Laporan EIA untuk ladang kelapa sawit di PTD 2016 (Tenggaroh) menyatakan bahawa “kawasan hutan semulajadi terpencil dan terpisah, menyebabkan koridor hutan tidak berturutan. Kawasan tersebut dipecahbelah oleh pembangunan ladang dan infrasktruktur.”

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia tidak membalas pertanyaan Macaranga tentang koridor sekunder ini.

Kerajaan negeri di Malaysia lazim membangunkan tanah hutan yang, menurut mereka, dikelaskan sebagai hutan terosot yang tidak membawa banyak manfaat, sama ada dari segi pembalakan atau ekologi.

Laporan EIA menyatakan hutan sudah terosot

Adakah hutan Jemaluang dan Tenggaroh sudah terosot sebelum dinyahwartakan?

Golden Ecosystems Sdn Bhd, pakar perunding EIA untuk AA Sawit dan Nadi Mesra, berpendapat sedemikian. Menurut laporan EIA, pihak perunding menyatakan bahawa hutan Jemaluang dan Tenggaroh dianggap “hutan yang tidak sihat dan produktif” kerana “sukar untuk menjumpai spesies balak matang dengan ukur lilit lebih daripada 30—40 cm.”

Seorang pemilik kilang papan di Kota Tinggi, berhampiran kawasan hutan tersebut, bersetuju. Beliau membeli balak dari tapak AA Sawit dan Nadi Mesra, dan kebanyakan kayu berukuran diameter kurang daripada 30 cm. Beliau meminta identiti dirahsiakan.

Meskipun demikian, beliau menambah bahawa kayu yang dibeli hanya jenis yang lebih murah. Saiz atau bilangan jenis kayu balak yang lebih mahal seperti cengal, kapur dan meranti di hutan Jemaluang dan Tenggaroh tidak diketahui.

Jabatan Perhutanan Negeri Johor tidak menjawab pertanyaan berhubung hal ini.

Tempoh memadai untuk menjadi hutan kaya

Namun begitu, bukti lain menunjukkan bahawa hutan berkaitan mungkin tidak kaya, tetapi jauh sama sekali wajar dianggap daif.

Menurut imej satelit Google Earth, cebisan kecil hutan Jemaluang and Tenggaroh ditebang dari 1991 sehingga 2012. Namun, kebanyakan kawasan hutan tidak menunjukkan sebarang kesan gangguan sepanjang tiga dekad bermula 1984.

Menjelang 2014 – tahun penyahwartaan – hutan tersebut sepatutnya mengandungi jumlah pokok kayu yang berupaya menampung satu pusingan baharu pembalakan lestari. Ini menurut anggaran yang lazim digunakan dalam amalan perhutanan di Semenanjung Malaysia.

Kaedah lain untuk menilai mutu hutan di Jemaluang dan Tenggaroh adalah melalui perbandingan dengan hutan simpan berdekatan.

Inventori rasmi tapak di hutan simpan berdekatan merekodkan 2–3 pokok besar per hektar pada 2018. Tapak tersebut diangggap cukup produktif dan lumayan untuk pembalakan lestari.

Crested Fireback (Pic by Izereen Mukri/ Malayan Rainforest Station)
Crested Fireback (Gambar: Izereen Mukri / Malayan Rainforest Station)

Hidupan Liar dan Tumbuh-tumbuhan

Meskipun bukti saling bercanggah apabila membahaskan mutu kayu yang ditemui di Jemaluang dan Tenggaroh, tidak dinafikan yang kedua-dua hutan itu menjadi sumber biodiversiti yang luarbiasa.

Menurut laporan EIA, ratusan spesies tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar ditemui atau diramalkan boleh ditemui di hutan-hutan ini. Ini termasuk haiwan besar seperti gajah, harimau, beruang matahari dan tenuk.

Sejak dinyahwarta pada 2014, 21% kawasan hutan simpan Jemaluang dan Tenggaroh telah dibangunkan menjadi ladang kelapa sawit dan lombong emas.

Laporan EIA menyenaraikan 183 spesies tumbuh-tumbuhan di PTD 2016 — tapak seluas 2,024 ha di mana Nadi Mesra merancang untuk mendirikan ladang. Laporan tersebut menyatakan himpunan spesies ini bersamaan “hanya” 2.2% daripada tumbuhan vaskular di Semenanjung Malaysia.

Kenyataan itu sebenarnya peratusan tersebut. Jika dibandingkan kepada saiz tapak sebagai pecahan (0.035%) keseluruhan tanah hutan di Semenanjung, PTD 216 sebenarnya mempunyai 63 kali ganda spesies tumbuhan yang dijangkakan.

Satu sorotan menarik yang diketengahkan di laporan EIA ialah keperluan pemuliharaan untuk pokok Meranti telopok (Shorea peltata). Spesies tersebut berstatus terancam di Malaysia, dan terancam kritikal di peringkat dunia.

Di Semenanjung Malaysia, spesies ini pernah dianggap pupus, tetapi ditemui semula di timur laut Johor. Kebanyakan pokok ini ditemui di hutan Jemaluang dan Tenggaroh.

Sejak 2010, kehilangan habitat di serata timur laut Johor telah menyusutkan kawasan di mana Meranti telopok boleh ditemui kepada separuh kawasan terdahulu, menurut Senarai Merah Malaysia (2021) terbitan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Terdapat laporan yang menyatakan FRIM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia berusaha mendirikan kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi (HCVF) di Tenggaroh untuk melindungi Meranti telopok.

FRIM dan Jabatan Perhutanan tidak menjawab pertanyaan berhubung usaha pemuliharaan di hutan Jemaluang dan Tenggaroh.

Selain itu, satu lagi sorotan menarik dari laporan EIA adalah bahawa PTD 216 juga menjadi sebahagian Hutan Simpan Hidupan Liar Endau-Kota Tinggi. Walaubagaimanapun, ladang dan projek pembangunan lain sudah memecahbelahkan hutan dan “dengan itu kawasan tersebut dianggap sudah berhenti berfungsi sebagai [rizab  hidupan liar]”.

Laporan menyimpulkan yang penukaran hutan di PTD 216 kepada ladang “tiada kena mengena dengan soal status hutan simpan hidupan liar itu.”

Dari perspektif spesies yang sebenarnya ditemui di PTD 216, 59 spesies mamalia yang disenaraikan bersamaan dengan hampir 20% spesies mamalia yang tersenarai di Semenanjung Malaysia. Ini termasuk tenggiling Sunda dan gajah Asia, masing-masing berstatus Terancam Kritikal dan Terancam.

Mamalia ini dan hidupan yang lain akan terhapus atau tersisih jika hutan setempat ditebang.

Namun, laporan EIA menyatakan yang “impak tersebut dikurangkan oleh hakikat yang kini tidak banyak spesies hidupan liar masih terdapat di Kawasan Projek, dan apa-apa spesies yang mungkin terjejas tidak berciri endemik, jarang ditemui atau terancam.”

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) tidak menjawab pertanyaan berkaitan hujah yang disampaikan dalam laporan EIA.

Trucks carrying logs in Mersing district, Johor, June 2020.
Lori mengangkut balak di sekitar Mersing, Johor, June 2020 (Gambar: YH Law)

Ekonomi

Jika pembangunan di Jemaluang dan Tenggaroh telah memusnahkan ekosistem dan habitat, adakah aspek positif seperti manfaat ekonomi yang diuar-uarkan di laporan EIA turut terzahir?

Pertimbangan ini perlu ditekankan, memandangkan terdapat projek pembangunan yang mendatang dan berisiko memusnahkan lebih banyak ekosistem dan bidiversiti.

Sejak dinyahwarta pada 2014, 21% kawasan hutan simpan Jemaluang dan Tenggaroh telah dibangunkan menjadi ladang kelapa sawit dan lombong emas.

Kayu balak yang diperoleh dari tapak AA Sawit di hutan Jemaluang serta tapak Nadi Mesra di Tenggaroh menjadi talian hayat kilang-kilang kayu berdekatan. Dua pemilik kilang di Kota Tinggi memberitahu Macaranga bahawa AA Sawit dan Nadi Mesra ialah pembekal utama kayu balak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apabila pembalak dilarang membalak

Cik Teo ialah setiausaha Kemajuan Loong Seng Sdn Bhd, syarikat pembalakan dan pedagang kayu balak di Kota Tinggi. Sepanjang dua dekad yang lalu, mereka menebang hutan simpan di kawasan setempat di bawah lesen yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

Namun, jabatan perhutanan telah mengurangkan pengeluaran lesen pembalakan di hutan simpan. “Tahun lepas, kami tidak dibenarkan beroperasi. Bukan disebabkan pandemik sahaja. Kerajaan membatalkan lesen kami,” kata Teo.

“Kuota [pembalakan] yang ditetapkan juga ditarik balik. Tiada pampasan, hanya dibatalkan.”

Apabila syarikat sekutu Kemajuan Loong Seng kehabisan kayu balak, “kami tiada pilihan lain, dan perlu membeli bekalan dari mereka [AA Sawit dan Nadi Mesra].” Pembeli yang tertekan, mana mungkin merunding harga.

“Itu sebabnya harga kayu balak semakin meningkat – bekalan semakin berkurangan.”

Mampukan perniagaan mereka bertahan? “Kalau boleh teruskan sekalipun, sangat sukar sebab kami tiada tapak sendiri untuk ditebang,” ujar Cik Teo. “Kami hanya boleh cuba bertahan selama yang termampu.”

 

Kalau AA Sawit dan Nadi Mesra tidak meneruskan operasi, “kami terjejas teruk,” kata seorang lagi pengusaha kilang kayu, yang meminta identiti dirahsiakan.

Beliau bersetuju dengan kenyataan bahawa bekalan terhad kayu balak menyebabkan harga semakin meningkat. “Berniaga sekarang terlalu mencabar, dan kita terpaksa mengecilkan operasi. Kalau tak, nasib kami seperti orang yang ada dapur besar, tapi tiada beras.” Menurut beliau, perniagaan beliau kini beroperasi pada kadar sepertiga kapasiti terdahulu.

Macaranga menghubungi Jabatan Perhutanan Negeri Johor, tetapi pihak jabatan tidak mengulas tentang kesan pembalakan di Jemaluang dan Tenggaroh. Mereka juga tidak menerangkan sebab kuota pembalakan di hutan simpan dibekukan.

Walaubagaimanapun, Sultan Ibrahim dilaporkan menasihati jabatan perhutanan berulang kali semenjak 2014 untuk membekukan kuota pembalakan di hutan simpan. Menurut Tuanku, Tuanku telah “memulangkan” kuota pembalakan pegangan Tuanku di hutan simpan di seluruh negeri.

Namun, kawalan kuota negeri tidak mengehadkan pembalakan di tanah persendirian. Selain itu, pembalakan di tanah persendirian sudah melebihi pembalakan di hutan simpan di sekitar Jelamuang.

Jadi, siapa yang mendapat manfaat dari pembangunan di hutan Jelamuang dan Tenggaroh sehingga ini?

Jawapannya, Nadi Mesra yang membangunkan PTD 217.

Dalam 12 bulan semenjak syarikat tersebut mula membalak di tapak berkenaan, syarikat telah mencatatkan jualan sebanyak RM18.2 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.4 juta pada 2019, menurut penyata kewangan yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Syarikat telah mencatatkan kerugian selama dua tahun berturut-turut sebelum itu. Seorang kakitangan mengesahkan yang syarikat hanya beroperasi di Jemaluang-Tenggaroh.

Penyata kewangan AA Sawit tidak boleh didapati melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Asian elephant (Photo by Izereen Mukri / Malayan Rainforest Station)
Gajah Asia (Gambar: Izereen Mukri / Malayan Rainforest Station)

Komuniti

Su Chun Fa (nama transliterasi) memang tahu yang gajah berkeliaran di kawasan berhampiran, tapi sebab haiwan itu tidak membuat kacau untuk sekian lama, Su tidak memasang pagar elektrik. “Saya cuai,” kata penduduk Jemaluang yang sudah menetap di sana hampir sepanjang usianya yang kini mencecah 75 tahun.

Kemudian pada 2016 atau 2017 – “Saya tak ingat bila. Masa itu, angin saya tak berapa baik” – gajah bertandang dan memakan semua pucuk pohon kelapa sawit di estet milik Su.

Sekarang Su sudah meninggalkan tapak miliknya. “Saya dah tua, jadi saya serah diri…sekarang, saya tunggu masa sahaja untuk jual tanah ini,” katanya.

Masih segar di ingatan Su, dua dekad lalu sang gajah “tidak begitu baran, tapi sekarang mereka datang berkelompok.” Haiwan itu memakan pokok kelapa sawit, menginjak-injak tapak tanaman sayur dan merosakkan harta benda.

Gajah sudah lama menjadi sebahagian sejarah dan persekitaran setempat. Namun kini, gajah “adalah masalah utama kami,” kata Su.

Konflik manusia-gajah bersangkut paut dengan kehilangan habitat hutan haiwan tersebut, dan kekecohan di Jemaluang semakin menjadi-jadi selepas hutan Jemaluang dan Tenggaroh ditebang.

Kawasan panas konflik manusia-haiwan terletak di jalan utama yang merentasi pekan Jemaluang dan sepanjang hutan setempat.

Kedua-dua hutan itu didiami 20—30 ekor gajah pada 2018, menurut statistik PERHILITAN yang dipetik dari laporan EIA. Gajah merantau jauh untuk mencari makanan, dan di landskap yang dipenuhi ladang, kebun dan kampung berselang-seli dengan hutan, pertembungan dengan manusia tidak mungkin dielakkan.

Pertembungan antara spesies tidak menyenangkan, malah boleh membawa maut untuk gajah dan manusia. Ada kejadian di mana gajah terbunuh di atas jalan, atau diracun.

Sepanjang satu dekad yang lalu, usaha menangani krisis ini di Semenanjung Malaysia sudah membebankan pihak berkuasa dengan perbelanjaan yang melebihi RM22 juta. Perbelanjaan meliputi kos mendirikan pagar elektrik untuk menghentikan pencerobohan gajah ke tanah pertanian; kegiatan menangkap dan translokasi gajah; dan program santun masyarakat.

Langkah penyelesaian sedikit sebanyak membuahkan hasil. Aduan tahunan berkaitan gajah di Johor berkurangan daripada 400 kepada 70.

Namun, konflik manusia-gajah berlarutan. Dan di kawasan Jemaluang-Tenggaroh, yang memang terkenal sebagai lokasi pertembungan sebegini, pertukaran hutan kepada ladang akan menghimpit manusia dan gajah di mana kemungkinan bertembung adalah lebih tinggi.

Jemaluang yang aman dan bersih

Meskipun isu gajah membimbangkan, penduduk Jemaluang kelihatan senang hati menghabiskan masa di pekan. Majoriti penduduk berusia 50 tahun ke atas dan sudah menyaksikan pekan mereka berubah wajah.

Ramai antara mereka masih mengingati zaman 1960an dan 1970an, apabila Jemaluang menjadi tumpuan pembalak dan pelombong bijih timah. Kini, ia seperti kawasan desa terceruk, suasana yang disenangi penduduk warga emas.

“Tempat ini bagus untuk menetap selepas bersara. Udara segar,” kata Su, penduduk berusia 75 tahun yang kehilangan pokok kelapa sawit disebabkan gajah. Seperti kebanyakan penduduk lain yang ditemuramah oleh Macaranga, Su berpendapat isu gajah paling merunsingkan.

Pegawai kerajaan “datang untuk memantau kawasan jika kami melaporkan [gangguan gajah], tapi tak jadi apa-apa. Pampasan, apa-apa pun tak ada. Tak ada sesiapa yang mengambil tanggungjawab,” kata Su.

Adakah Su kecewa dengan kehilangan hutan di sekeliling pekan? “Umur kami dah senja, jadi kami tak ambil tahu sangat…kami hanya menghabiskan masa tua di sini.” Su turut berasa yang projek pembangunan dikendalikan kerajaan negeri, maka tiada ruang untuk berunding.

Projek kerajaan negeri atau persendirian?

Kebanyakan penduduk berkongsi pendapat bahawa jalan penyelesaian untuk menyelamatkan hutan adalah terhad. Tinjauan membabitkan 183 orang penduduk Jemaluang pada 2020, yang dijalankan oleh perunding EIA untuk ladang di PTD 216 mendapati hampir kesemua mereka menjangka pembalakan dan perladangan kelapa sawit akan merosakkan alam sekitar dan meruncingkan konflik dengan hidupan liar.

Namun begitu, hanya 19% tidak bersetuju dengan projek pembangunan berkenaan. Sekitar 63% responden mengambil pendirian atas pagar, kerana mereka menganggap projek terbabit di bawah kelolaan kerajaan negeri.

Sebenarnya, semua projek semasa dan akan datang – pembalakan, kelapa sawit, lombong emas – di hutan Jemaluang dan Tenggaroh yang dinyahwartakan berstatus projek persendirian di tanah persendirian.

Memandangkan terdapat projek lain yang hanya menanti pelaksanaan, penduduk Jemaluang mungkin diminta menyertai lebih banyak tinjauan. Usai setiap tinjauan, mereka perlu bersedia melihat lebih banyak perubahan pada persekitaran dan perniagaan masing-masing.

Masih menjadi tanda tanya jika sepuluh tahun yang akan datang, anak-anak Su juga ingin meniti usia emas mereka di Jemaluang.

 

Artikel versi Inggeris menerima Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2022 yang disampaikan  Pusat Sejarah Rakayat.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Komen dialu-alukan tetapi akan disemak. Jangan gunakan bahasa yang kasar, fitnah, ganas atau yang boleh melanggar undang-undang. Serangan peribadi tidak akan diterima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Be A Macaranga Supporter

Like our stories?

You can help us do more.
Sign up to be a Macaranga Supporter by 21 Aug for extra goodies!