Pulau Sampah Petanda Malaysia Tercemar

Ditimbuni sampah yang tidak diurus dengan baik, pulau di Malaysia memberi amaran tentang tahap pencemaran di dalam negara.

Penulis: Ushar Daniele

Penyunting: Masjalizah Hamzah & SL Wong

Penterjemah: Adriana Nordin Manan

Diterbit: September 30, 2022

Cerita ini sebahagian #TanahAir, Projek Khas Macaranga.

(Gambar utama: Beg plastik berisi sampah di Perhentian Kecil menunggu untuk dikutip; cebisan lebih besar masih belum dikumpul  |  Foto: Ushar Daniele)

Menyampah: apa yang anda tahu tentang sisa pepejal di Malaysia?

1 / 4

1. Berapakah purata sampah yang dikeluarkan setiap penduduk Malaysia setiap hari?

2 / 4

2. Bilangan penduduk di Kepulauan Perhentian adalah 1,800. Berapakah bilangan pelancong yang berkunjung setiap tahun?

3 / 4

3. Langkah mana mempunyai kemungkinan paling rendah tidak akan menggalakkan pengitaran semula?

4 / 4

4. Kadar kitar semula di Malaysia adalah 31.25%. Apakah sasaran kerajaan menjelang 2025?

Your score is

The average score is 20%

0%

Exit

DI SUATU petang hangat di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu, kelihatan penduduk setempat dan pelancong menjamu selera di barisan gerai bersebelahan jeti utama. Makanan mereka dibungkus dengan kertas lilin. Minuman pula diikat dalam kantung plastik yang diikat tepi, dengan penyedut plastik tercacak mesra di bukaan.

Sisa daripada sesi makan seperti ini – serta banyak kegiatan lain – membanjiri pulau yang dahulu terkenal sebagai destinasi nyaman ini, dan pulau berhampiran, Perhentian Besar. Sampah. Kebanyakannya jenis plastik, ia dijumpai merata-rata: di kampung, di denai hutan, pantai, permukaan laut dan juga dasar laut.

Malah, tinjauan dalam air menunjukkan bahawa pada 2020 dan 2021, Perhentian tersenarai antara pulau paling tercemar daripada 9 pulau yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Punca tempatan

NGO konservasi marin, Reef Check Malaysia (RCM), berkata bahawa pencemaran berpunca daripada kawasan sekeliling dan terdiri daripada sampah dan sisa kumbahan dari darat.

Lebih dahsyat lagi, pencemaran semakin menjadi-jadi. Di satu laporan lain berkaitan pengurusan sisa di pulau (2022), RCM mendapati masalah sampah dan kumbahan semakin meningkat di kesemua 31 pulau kecil dan didiami manusia di Malaysia.

Mungkinkah pulau-pulau menjadi petanda pencemaran sisa yang menjerut Malaysia?

Jumlah sisa pepejal di Malaysia semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan penduduk negara.

Pengurusan sisa pepejal terletak bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, yang sudah bertahun bergelut dengan isu kekangan infrastruktur, teknologi dan kepakaran, selain kekurangan kawasan untuk dijadikan kambus tanah.

Sisa plastik terutamanya isu mencemaskan, kerana mengambil sehingga beratus tahun untuk mengalami degradasi bio, selain terurai kepada cebisan mikroskopik yang membahayakan alam semulajadi dan mungkin manusia juga.

Pengeluar sampah besar

Keadaan semakin genting memandangkan penduduk Malaysia adalah antara pengeluar sampah terbesar, menurut Bank Dunia. Pada 2016, purata sampah yang dikeluarkan adalah 1.2 kg per kapita setiap hari – lebih dua kali ganda purata di rantau Asia Timur dan Pasifik iaitu 0.56 kg.

Perhentian terletak di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Besut. Menurut RCM, majlis daerah menganugerahkan kontrak tahunan untuk pengurusan sisa di pulau melalui sistem tender.

Menggunakan bot, pihak kontraktor mengumpul sampah dari kampung dan resort pelancongan di pantai-pantai sekitar pulau. Sampah kemudian dibawa ke tanah besar untuk dilupuskan di kambus tanah.

Tidak memuaskan

Namun, penduduk di Perhentian memberitahu Macaranga bahawa pihak berkuasa tempatan tidak menjalankan tugas dengan baik.

Antara isu yang dihadapi penduduk ialah jadual pengutipan sampah yang tidak menentu, sistem perparitan yang lemah dan ketiadaan pusat pengumpulan sampah yang sesuai.

“Kawasan yang kini digunakan penduduk kampung untuk membuang sampah tidak strategik dan mengganggu pemandangan, manakala langkah penyelesaian memerlukan kos dan tenaga yang banyak,” kata ketua kampung, Muhamad Zakuwan Mat Nasir.

Sistem perparitan yang tidak dirancang dengan elok hanya memburukkan keadaan. “Tiada mana-mana pihak yang bertanggungjawab ke atas [perparitan], dan ini menjadikan situasi penduduk lebih teruk.”

Servis dipotong

Apabila cuaca tidak elok, pihak pengutip sampah tidak hadir menjalankan tugas. Sampah berlonggok untuk tempoh yang lama. Lebih teruk lagi, kerja pengutipan sampah dihentikan ketika musim monsun timur laut dari Oktober ke Mac.

“Jadi, penduduk kampung dan mereka yang menetap di pulau tiada pilihan lain kecuali membakar sampah,” kata jurulatih yoga, Zen Lim. Menurut beliau, tiada bantuan daripada pihak kerajaan untuk menambahbaik sistem pengurusan sisa.

Majlis Daerah Besut tidak menjawab permintaan Macaranga untuk ditemuramah.

Denai sampah: ‘cenderamata’ peninggalan pelancong dan penduduk setempat di Laluan Mendaki Kincir Angin, yang telah dikumpul oleh pasukan sukarelawan. (Ushar Daniele)

Namun begitu, kerajaan bukanlah satu-satunya pihak yang wajar dipersalahkan untuk masalah sisa yang melanda.

Misalnya, jika sampah tidak dikutip, “sampah hanya dibuang di kawasan belakang kampung,” kata Siti Naquiah Fadzil, pengurus projek di NGO konservasi marin, Fuze Ecoteer. Di kawasan yang dilengkapi tong sampah sekalipun, sampah dijumpai di merata-rata, sebagai contoh di denai hutan.

Sejujurnya, isu yang dihadapi tidak berpunca daripada penduduk setempat, tetapi pelancong.

100,000 pelancung

Sebelum pandemik, bilangan penduduk seramai 1,800 didatangi pelancong seramai 100,000 orang setiap tahun, menurut data RCM dari 2022. Kebanyakan pelancong berkunjung pada 6 bulan setiap tahun di luar musim monsun. 

Keadaan semakin melarat, kata Naquiah. Semakin pulau tersebut menerima kunjungan pelancong, “lebih ramai orang akan membina homestay dan resort, dan jumlah sampah akan meningkat.”

Sementara itu, di perairan biru yang menjadi tarikan utama Perhentian, “ada juga pelancong yang bertanya kami kenapa ada banyak sangat sampah di dalam air, dan sejujurnya, sukar untuk kami memberi jawapan,” kata jurulatih selam, Mohd Ruslan Mat San.

Namun, perlu diingati juga yang sampah di dalam air boleh juga dibawa arus lautan daripada kawasan lain.

Di dasar laut di Pulau Perhentian: bungkusan rokok, pembalut aiskrim dan penutup bekas. [label dikaburkan oleh Macaranga] (Zen Lim)

BAHANA PLASTIK TERHADAP KARANG

Apabila karang dilitupi plastik, kemungkinan dijangkiti penyakit meningkat 20 kali ganda. Karang berduri berisiko menghadapi impak lebih teruk kerana kemungkinan lebih tinggi untuk plastik tersangkut.

“Puing plastik menjejaskan karang dengan menghalang akses kepada cahaya, menyebabkan serapan toksin dan anoksia ([memotong bekalan oksigen]), lalu memberi laluan kepada pathogen untuk menyerang.”

– Sumber: ‘Plastic waste associated with disease on coral reefs’ (Lamb, 2018)

Namun, perlu dinyatakan di sini yang laporan RCM memaklumkan bahawa pengurusan seragam untuk semua pulau adalah mustahil kerana setiap pulau memiliki ciri fizikal, ekonomi dan sosial tersendiri.

Bagaimana pula dengan kawasan lain di Malaysia?

Dalam jawapan bertulis kepada Macaranga, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican mengakui bahawa “pencemaran alam sekitar disebabkan sisa [sampah sarap] yang tidak diurus dengan baik serta sikap kita [penduduk Malaysia] yang sambil lewa terhadap isu pengurusan sampah.”

Tindakan yang diambil

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyelia pengurusan sisa pepejal oleh pihak berkuasa tempatan, dan merangka serta melaksanakan dasar.

Reezal menyenaraikan kesemua dasar dan program KPKT untuk menangani isu sisa (rujuk sidebar), menekankan konsep ekonomi kitaran, serta blueprint dan ujian bukti konsep di beberapa kawasan yang ditadbir pihak berkuasa tempatan.

STRATEGI AKAN DATANG OLEH KERAJAAN UNTUK MENANANGI ISU SAMPAH

  • Majlis Ekonomi Kitaran Negara
  • Pembangunan Blue Print Ekonomi Kitaran bagi sisa pepejal
  • Bukti konsep dan pensijilan ekonomi kitaran oleh pihak berkuasa tempatan
  • Pelanjutan Tanggungjawab Pengeluar (meletakkan tanggungjawab pengurusan sampah di pihak pengeluar)
  • Kemudahan sisa-kepada-tenaga di kambus tanah
  • Rawatan sisa di punca, contohnya penghadam dan pengkompos anaerob untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke kambus tanah

– Sumber: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

Namun, Reezal turut berkata yang semua pihak perlu memainkan peranan. “Akhirnya, ia berbalik kepada kesedaran kita. Ini yang perlu kita sama-sama semarakkan, bermula dengan unit terkecil dalam masyarakat iaitu Keluarga. It must start from home.”

Persoalan ini memainkan peranan besar dalam tiga R: ‘reduce, reuse, and recycle’ (kurangkan, guna semula, dan kitar semula). Pihak Kementerian menyasarkan peningkatan kadar kitar semula nasional daripada 31.25% hari ini kepada 40% menjelang 2025, kata Reezal.

Pengasingan sampah

Pengasingan sampah ialah teras kepada pengurusan sisa pepejal, kata Dr P Agamuthu, naib presiden, Persatuan Pakar Pengurusan Sisa Pepejal Asia dan Kepulauan Pasifik. Pengasingan sampah yang sewajarnya dapat mengurangkan sampah dan meningkatkan pengitaran semula.

Namun begitu, dalam kalangan rakyat Malaysia, “sikap tidak endah ialah masalah lebih utama”.

Bersetuju dengan kenyataan ini, pakar tadbir urus alam sekitar, Dr Haliza Abdul Rahman, berkata perubahan sikap adalah sangat penting, khususnya bagi memerangi pencemaran plastik.

Kesedaran awam

“Kunci utama dalam isu ini adalah kesedaran awam, sama ada di kawasan pulau atau pusat bandar di seluruh negara…

“Ini termasuk sekecil-kecil perkara seperti enggan menggunakan beg plastik apabila membeli barang keperluan, (tetapi) lebih penting lagi adalah mengurangkan pengambilan makanan dan barangan yang tidak penting, bagi mengurangkan penggunaan plastik pembungkusan.”

Sementara itu, di Perhentian Kecil, penduduk mengambil langkah sendiri untuk mengatasi masalah sampah. Mengasingkan sampah adalah langkah bernas kerana laporan Reefcheck menyatakan bahawa 80% sampah adalah jenis organik.

Projek sukarelawan

Naquiah dan Lim masing-masing memulakan projek untuk mengumpul, mengurus dan mengitar semula sampah.

Naquiah menumpukan kerjasama dengan penduduk kampung, memperkenalkan tong kitar semula dengan reka bentuk jejaring jarang. Menurut beliau, ini dapat menggalakkan penduduk kampung untuk mengasingkan sampah.

Projek Waste yang diterajui Lim pula menumpukan kerjasama dengan pengusaha pelancongan di Long Beach, dan merangkumi gotong royong membersihkan kawasan pantai dan dalam air.

Ruslan, yang bekerja sebagai jurulatih selam, turut berkata bahawa pihak pengurusan syarikat selam menganjurkan gotong royong lautan, dengan menawarkan diskaun kepada pelancong yang membantu mengumpul sampah dari dasar laut.

See-through containers encourage waste separation (top). Separated waste is housed in a rubbish collection facility built by the local council which is unused by locals and trash collectors because it is inconveniently located. (Ushar Daniele)
Bekas jarang menggalakkan pengasingan sampah (atas). Sampah yang diasingkan terletak di fasiliti pengutipan sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan, tetapi tidak digunakan oleh penduduk setempat mahupun pengutip sampah disebabkan lokasi yang tidak sesuai. (Ushar Daniele)

Memberi tunjuk ajar ialah faktor penting dalam usaha sebegini. “Meskipun inisiatif kitar semula wajar dipuji, ia boleh diperbaiki dengan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong,” kata Zakuwan, ketua kampung.

Namun, menurut Lim, penduduk pulau menghadapi isu lebih besar seperti bekalan elektrik yang tidak menentu, menjadikan pengurusan sampah isu yang kurang dihiraukan.

“Sejujurnya, mereka tiada pilihan lain kerana mereka tidak diajar tentang kesan atau kesudahan apabila membakar sampah. Jadi, akhirnya cara termudah untuk melupuskan sampah adalah dengan membakar.”

Tindakan positif

Tidak dinafikan, inisiatif seperti ini menambahbaik pengurusan sampah. Paling tidak, ada usaha mengasingkan dan mengitar semula.

Hakikatnya, masyarakat yang tidak dibekalkan maklumat secukupnya menandakan kekurangan tadbir urus di sektor pengurusan sisa, kata Haliza.

“Pihak berwajib yang paling berkuasa dalam kebanyakan isu berkaitan alam sekitar ialah kerajaan jua.” Kerajaan seharusnya menunjukkan dedikasi bertekad terhadap kelestarian, misalnya dengan menjadikannya salah satu tunjang dasar awam, diikuti pelaksanaan.

Di Perhentian, langkah kecil seperti perundingan berupaya menyelesaikan isu, kata Naquiah. “Jika tiada komunikasi langsung sesama pihak berkepentingan di pulau, komuniti setempat serta agensi, mana mungkin ada persetujuan bersama tentang sistem [pengurusan sisa] yang sesuai?”

Lam, J. et al. 2018. Plastic waste associated with disease on coral reefs. DOI: 10.1126/science.aar3320

Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018–2030. Ministry of Energy, Science, Technology, Environment & Climate Change, 2018.

Manaf, Latifah Abd et al. “Municipal solid waste management in Malaysia: practices and challenges.” Waste management (New York, N.Y.) vol. 29,11 (2009): 2902-6. DOI:10.1016/j.wasman.2008.07.015

Reef Check Malaysia. 2020. Status of Coral Reefs in Malaysia, 2020. PDF.

Reef Check Malaysia. 2021. Status of Coral Reefs in Malaysia, 2021. PDF.

Reef Check Malaysia. 2022. The Cost of Waste Management on Small Inhabited Islands in Malaysia. PDF.

Disokong oleh:

Artikel ini sebahagian   #TanahAir, Projek Khas Macaranga.

Penerbit siri: SL Wong

Pengarang: Law Yao Hua dan Masjalizah Hamzah

Penulis: Lee Kwai Han, Ashley Yeong dan Ushar Daniele

Penterjemah: Adriana Nordin Manan dan Mun Yee San & pasukan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Email
Comments are welcomed but shall be moderated. Do not use language that is foul, slanderous, violent or that may violate laws. Personal attacks will not be tolerated.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Be A Macaranga Supporter

Like our stories?

You can help us do more.
Sign up to be a Macaranga Supporter!